Halaman

22 April 2012

Tuduh SPR tidak adil, demontrasi, kutip derma sindrom pembangkang menjelang PRU-13

Oleh FAUZI MOHD

Pemimpin Pakatan Rakyat akan terus menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bersih selagi cita-cita mereka untuk menawan Putrajaya gagal walaupun badan itu berjaya membuktikan pengurusan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus dan adil.



Bukan itu sahaja malah, golongan yang disifatkan sebagai kemaruk kuasa itu akan terus menanamkan persepsi buruk terhadap SPR supaya kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang sekiranya berlaku boleh dikaitkan dengan sistem yang berat sebelah.

Sehubungan itu Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said meminta rakyat membuka mata dan tidak terpengaruh dengan ‘permainan’ pihak pembangkang kerana pihak kerajaan dan SPR telah berusaha membuat penambaikan agar sistem pilihan raya negara ini lebih adil dan telus.

“Sekiranya mereka kalah pada PRU-13 saya nampak mereka akan cuba mencetuskan huru-hara atas alasan SPR tidak adil. Huru-hara penting bagi mereka untuk elakkan parti itu malu dan derma yang banyak dikutip tidak dipertikaikan penyokong sendiri.

“Sebenarnya mereka sengaja tanam persepsi-persepsi ini bagi menunjukkan jika mereka kalah bukan kerana rakyat tidak sokong mereka tetapi kerana SPR jahat dan kerajaan zalim," katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada majlis Gerakan Daya Wawasan di Bandar Seri Bandi, Kemaman semalam. Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Dalam perkembangan berkaitan Dato’ Seri Ahmad mengingatkan rakyat tidak panik atau tekejut dengan siri rusuhan, perarakan dan tunjuk perasaan anjuran pihak pembangkang.

“Rakyat jangan terkejut dengan perarakan bersiri atau tunjuk perasaan bersiri yang diadakan pembangkang. Itu kerja biasa pemimpin pembangkang bila pilihan raya makin hampir.

“Mereka hanya mahu tunjuk kuat, mahu rakyat nampak Kerajaan BN sudah hilang sokongan dengan mengadakan demontrasi. Bagi kita, itu taktik lama yang sudah ada dalam poket kita,” katanya sinis.