Halaman

27 April 2012

YT tarik balik tajaan pelajar serta perhimpunan haram

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Yayasan Terengganu (YT) akan mengambil tindakan tegas, termasuk menarik balik tajaan pengajian pelajar tajaannya yang menyertai mana-mana perhimpunan haram, termasuk perhimpunan BERSIH 3.0 yang akan diadakan di Dataran Merdeka, esok.

Timbalan Pengarah YT, Encik Razali Mahmud, berkata pihaknya akan memantau perkembangan semasa yang melibatkan demonstrasi sama ada di dalam atau luar negara, bagi memastikan pelajar tajaannya tidak terlibat dengan perhimpunan haram seumpama itu.

“Saya nasihatkan semua pelajar tajaan YT supaya menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka dan tidak menghadiri mana-mana perhimpunan haram bagi memastikan mereka dapat menamatkan pengajian dengan jaya.

“Jika ada pelajar yang didapati menyertai perhimpunan haram, pihak kami akan mengambil tindakan mengikut Fasa 3 (2) Perjanjian Pinjaman antara YT dengan pelajar di mana pinjaman mereka akan ditarik balik dan boleh dikenakan penalti,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui semalam.

Pelajar yang ditamatkan pinjaman pengajian mereka dikehendaki membayar balik semua wang yang diberi kepada mereka dan dikenakan penalti sebanyak 20,000 atau sekali ganda jumlah pinjaman.

Beliau mengingatkan semua pelajar tajaan bahawa mereka melanggar Fasa 2 perjanjian antara YT dengan pelajar jika mereka menyertai mana-mana perhimpunan haram di dalam atau luar negara.

Sebelum ini sembilan pelajar di Mesir ditarikbalik pinjaman mereka kerana didapati bersalah terlibat dengan perhimpunan Bersih di Mesir, tahun lalu.

Encik Razali mengingatkan pelajar supaya tidak menyertai perhimpuan BERSIH 3.0 yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka esok bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan tegas oleh YT.

“Jika pelajar menyertai perhimpunan berkenaan mereka bukan saja akan ditahan oleh pihak berkuasa tetapi juga bakal berdepan dengan hukuman ditarikbalik pinjaman,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bertindak jika ada laporan pelajar terlibat dengan perhimpunan itu dan terdapat bukti kukuh seperti gambar-gambar yang diambil semasa perhimpunan, bagi mensabitkan kesalahan mereka.