Halaman

26 March 2011

Tabung Penyakit Kronik – rakyat dapat faedah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Bagi memastikan rakyat mendapat yang terbaik selaras dengan slogan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.



Adik Ayub Mansor kini boleh bermain seperti kanak-kanak normal yang lain selepas menjalani pembedahan jantung. - Foto: Zulkipli Putra.

Kes 1

Kanak-kanak berusia lapan tahun, Ayub Mansor dari Kampung Simpang Tok Ku, Kuala Terengganu, sepatutnya berada di sekolah pada setiap hari persekolahan.

Bagaimanapun, disebabkan dia menghidap penyakit jantung yang kronik, kanak-kanak malang itu terpaksa menghabiskan banyak masa di atas katil.

Keluarga Ayub sedih apabila melihat dia tidak dapat bermain dengan kanak-kanak sebaya dan terpaksa berulang-alik ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi mendapatkan rawatan.

Kunjungan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, ke rumah keluarga Ayub kira-kira dua tahun lalu, telah merubah segala-galanya. Menteri Besar meminta Ayub dibawa ke Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur bagi menjalani pembedahan dan semua kos ditanggung oleh kerajaan negeri.

Selepas menjalani pembedahan dan rawatan, kini Ayub bukan saja boleh ke sekolah pada setiap hari, tetapi dia juga mampu mengayuh basikal keliling kampung.


Kes 2



Mohd Khaidill Sharifuddin, 5, dari Kampung Lubuk Lesong, Kemaman, juga menghidap penyakit jantung. Pemeriksaan doktor mendapati terdapat ‘ventricular septal defect’ iaitu lubang berukuran 10 mm di antara lubang bilik jantung kiri dan kanan kanak-kanak malang itu.

Pesakit kemudiannya menjalani pembedahan di hospital yang sama di mana 100 peratus kosnya ditanggung oleh kerajaan.

Kini Mohd Khaidill mampu menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak normal dan tidak perlu berulang-alik ke hospital seperti sebelum ini.

Kes 3

Puan Nafisah Abdul Rahman, dari Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu tidak dapat meneruskan pekerjaan sebagai tukang jahit setelah menghidap penyakit kanser servik. Ibu tunggal berkenaan bukan setakat menganggung kesakitan akibat penyakit tersebut, tetapi kehidupan keluarganya juga terjejas kerana dia tidak mampu bekerja.

Bagaimanapun, kini Puan Nafisah berada dalam keadaan sihat setelah dia menjalani rawatan di Pusat Perubatan Prince Court selama hampir sebulan. Dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah menanggung kos rawatan tersebut.

Begitulah gambaran tiga kes pesakit di negeri ini yang telah menerima kemudahan rawatan daripada Tabung Penyakit Kronik yang diwujudkan Kerajaan Terengganu khusus bagi membantu rakyat yang menghidap penyakit kronik.

Peruntukan RM10 juta disediakan bagi menubuhkan tabung tersebut bagi membiayai rawatan untuk menyembuhkan penyakit mereka.

Inilah sebahagian daripada sikap prihatin kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad, bagi memastikan rakyat mendapat yang terbaik selaras dengan slogan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.




25 March 2011

Produk pelancongan Terengganu perlu dieksploitasi

Oleh: Suriati Ali

Kepelbagaian produk pelancongan di Terengganu perlu dipromosikan secara sama rata dan tidak tertumpu kepada destinasi pulau saja kerana setiap tempat mempunyai tarikan berbeza.

Pengarah Tourism Malaysia negeri, Encik Mohd Nasir Khusairi, berkata keunikan Terengganu yang senonim dengan identiti budaya timur dan nilai keIslaman tinggi perlu dieksploitasi sebaik mungkin dalam usaha menarik kehadiran pelancong terutama dari negara jiran termasuk Singapura.

Katanya, sudah tiba masanya kita mengalih perhatian daripada laut ke darat dengan mempromosikan produk warisan yang kita ada seperti makanan tradisional, gaya hidup, kraftangan dan adat serta budaya yang tiada di tempat mereka.

“Selain mengembalikan nostalgia rumpun Melayu dan Islam bagi pelancong luar, kehadiran mereka juga dapat menjana ekonomi penduduk setempat apabila berbelanja di Terengganu dan keadaan itu disifatkan sebagai program serampang dua mata,” katanya ketika ditemui, di satu majlis, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menurutnya, kerjasama erat antara pelbagai agensi kerajaan negeri dan masyarakat setempat diperlukan untuk merealisasikan hasrat itu sekali gus memperluaskan skop pelancongan secara menyeluruh di Terengganu walaupun negeri ini sinonim dengan keindahan pantai dan pulau.




Industri pelancong mampu jana ekonomi

Oleh: Suriati Ali

Industri pelancongan Terengganu mempunyai nilai tambah tinggi dan berupaya menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

Berdasarkan kemasukan 2.5 juta kemasukan pelancong tempatan dan luar negara direkodkan tahun lalu, industri ini mampu memperolehi hasil pendapatan sebanyak RM2.2bilion.

Manakala pada tahun ini pula 3.5 juta pelancong disasarkan dengan anggaran pendapatan sejumlah RM2.5 bilion hingga RM2.8 bilion.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata kerajaan negeri akan memastikan sektor ini terus berkembang dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat yang telah bersetuju menjadikan Pulau Bayas di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu sebagai kawasan bebas cukai.

“Sejajar keputusan ini, RM40 juta diperuntukkan untuk tujuan pembangunan di kawasan itu di mana kini sudah memasuki fasa penyediaan pelan,” katanya.

Katanya, kita bukan sahaja akan memajukan Pulau Bayas malah pulau-pulau disekitarnya melalui konsep Kenyir Island Hopping (KIH) sebagai destinasi percutian keluarga dengan tarika eko pelancongan yang pelbagai.

Antaranya, Taman Burung di mana kini sudah dibuka sebagai percubaan kepada pelajar sekolah manakala Taman Tropika dan Taman orkid pula kerja-kerja infrastruktur terakhir sedang giat dijalankan.



Songket Terengganu jadi dekorasi dalam Dewan Undangan Negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Penggunaan songket bukan hanya terhad kepada pemakaian semata-mata, malah dipelbagaikan penggunaannya sejajar dengan perkembangan teknologi dan inovasi terkini.

Malah, songket Terengganu bakal menjadi dekorasi yang akan memperindahkan lagi bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang kini sedang menjalani kerja pengubahsuaian dan dijangka siap sebelum persidangan pertama DUN 2011 yang dijadualkan pada Mei ini .
Pengusaha Nor Atikah Songket, Mohd Nor Ashari, beliau berasa sungguh bertuah dan berbangga kerana Kerajaan Terengganu memilih produk tekstil tradisi tempatan itu sebagai satu daripada dekorasi dinding yang bakal menghiasi ruang penting dalam komposisi pentadbiran negeri.

“ Sebelum ini, mungkin ramai di kalangan kita tidak terfikir bahawa penggunaan songket juga indah sebagai hiasan yang mampu menjadi tarikan dan mengindahkan lagi ruang atau satu-satu kawasan. Ia juga lambang identiti dan kesenian negeri.

“Hasil gabungan idea ramai pihak, songket yang dihasilkan perusahaan saya menjadi pilihan dan bakal diketengahkan di dalam Dewan Undangan Negeri. Ini satu pengiktirafan dan saya amat berbangga kerana pengusaha tempatan sentiasa diberi peluang menonjolkan lagi produk menerusi pelbagai cara,” katanya ketika ditemui di satu majlis, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, bangunan Dewan Undangan Negeri, yang terletak di Tingkat U2 Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu yang digunakan kira-kira 24 tahun yang lalu menjalani kerja pengubahsuaian sejak penghujung tahun lalu.

Kerja-kerja pengubahsuaian yang sedang giat dilaksanakan bagi memastikan supaya ruang itu memenuhi ciri-ciri keperluan masa kini.

Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, YB Dato' Tengku Putera Tengku Awang berkata, apabila selesai kerja itu kelak, tempat persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu akan lebih selesa dan menarik.

"Ia adalah tempat yang mulia bagi tujuan perbincangan untuk kesejahteraan dan pembangunan rakyat, oleh itu tempat yang mulia ini mestilah disempurnakan sebaik mungkin," katanya.




Operasi berkas 54 pelajar ponteng

Oleh: Aida Abd Rahman



Operasi Gerak Gempur Basmi Ponteng Sekolah berjaya menahan 54 pelajar sekolah menengah berusia 14 hingga 17 tahun yang sedang ponteng di sekitar Kuala Terengganu termasuk kawasan Gong Badak, pagi semalam.

Sebahagian pelajar berkenaan yang lengkap berpakaian sekolah dan sebahagian lagi berpakaian biasa ditahan dalam operasi tiga jam melibatkan Pejabat Pelajaran Daerah dengan kerjasama polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan rakyat Malaysia (Rela) serta Jabatan Kesihatan.
Timbalan Pegawai Pelajaran PPD Kuala Terengganu, Encik Azahar Abu Bakar, berkata operasi itu dilaksanakan secara serentak seluruh negeri bagi memastikan masalah ponteng sekolah di kalangan pelajar dapat ditangani secara bersepadu dan serius.

Seramai 13 pelajar yang ditahan dari Sekolah menengah kebangsaan (SMK) Gong Badak, SMK Bukit Besar (14), SMK Bukit Tunggal (sembilan), SMK Seri Budiman (tujuh), dua pelajar SMK Panji Alam dan masing-masing tiga pelajar dari SMK Bukit Guntong, SMK Agama Tok Jiring dan SMK Ibrahim Fikri.

Encik Azahar berkata, ketika serbuan sebahagian pelajar berkenaan asyik menyaksikan acara sukan Majlis Sekolah Daerah Kuala Terengganu Utara.

“Kita menyerbu ke kawasan yang menjadi `port’ pelajar untuk ponteng. Kita juga menahan beberapa pelajar ponteng yang kononnya mahu menyokong rakan yang sedang menyertai acara sukan di kompleks itu, “katanya selepas member taklimat kepada pelajar terbabit serta ibu bapa mereka di Dewan SMK Ibrahim Fikri.

Katanya, hasil operasi itu juga, pihaknya mendapati seorang pelajar lelaki yang ditahan positif dadah selepas melakukan ujan air kencing.




PPDNKKT laksana 60 program dekati pengguna

Oleh: Esah Abdullah

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu (PPDNKKT) merancang mengadakan 60 program kepenggunaan sepanjang tahun ini membabitkan peruntukan RM390,000.

Timbalan Pengarahnya, Encik Abdul Ghani Harun berkata, program yang dirancang itu merupakan kesinambungan tanggungjawab jabatan bagi melindungi kepentingan pengguna di negeri ini.

“Pelbagai pendekatan membabitkan segenap lapisan masyarakat antaranya, mengadakan ceramah, pameran, sembang pengguna serta kempen agihan risalah untuk memberi kesedaran tentang hak mereka sebagai pengguna,” katanya.

Program Bestari turut di adakan pada minggu pertama di setiap daerah bermula di Hulu Terengganu, diikuti Besut, Dungun, Kemaman, Setiu, Kuala Terengganu dan Marang serta merancang setiap program akan diarasmikan oleh wakil rakyat di kawasan terbabit.

“Setiap program yang dianjurkan tumpuan khusus adalah untuk pengguna terutama golongan yang tinggal di kawasan pedalaman kerana kumpulan ini agak lambat mendapat info terhadap setiap isu yang berbangkit,” katanya.

PPDNKKT juga merancang beberapa program baru di kawasan baru yang dikenal pasti di bawah projek pengedaran barang perlu di Sungai Sayap, Keruak, Pulau Perhentian, Besut dan Mukim Pasir Raja, Hulu Dungun.

Manakala projek penyeragaman harga LPG dan program komuniti ‘drumming’ turut diadakan di kawasan berkenaan termasuk di Pulau Redang, Kuala Terengganu.



Kerajaan sedia ratusan juta untuk sedia kemudahan jalan

Oleh: Esah Abdullah

Berdasarkan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan, kerajaan negeri terus memacu pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam yang menyeluruh dan seimbang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Zaa’bar Mohd Adib berkata, kerajaan menyediakan peruntukan besar untuk projek jalan negeri(luar bandar) dan persekutuan serta pembinaan jambatan mengikut keutamaan di daerah.

Katanya, antara keutamaan projek termasuklah persimpangan bertingkat di Bandaraya Kuala Terengganu membabitkan Jalan Batu Buruk ke Jalan Kamarudin dan ke persimpangan Cabang Tiga/Kuala Berang,Kuala Terengganu yang menelan kos RM465 juta.

“Jalan Kemajuan ke Jambatan Sultan Mahmud (RM170 juta) dan dari Jambatan Sultan Mahmud ke jalan Sultan Mohamad (RM165 juta),” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan merancang membina jalan utama dari Universiti Darul Iman (UDM) dan Taman Ilmu ke Kampung Raja di Besut dan Jalan Kuala Terengganu By-Pass fasa 3 dan Feeder Road (RM120 juta).

“Kerajaan juga memperuntukan RM400 juta bagi projek pembinaan jambatan kedua yang merentasi Sungai Terengganu bagi mengelak kesesakan di jambatan Sultan Mahmud terutama ketika waktu puncak,” katanya.

Katanya, semua cadangan projek akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan berbentuk baru dan sambungan kemudahan sedia ada .



Ampangan Jajar Baru Sungai Besut tingkat hasil padi

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pembinaan Ampangan Jajar Baru Sungai Besut atau lebih dikenali ‘Besut Barrage’ yang berharga RM86 juta dapat membantu meningkatkan kecekapan bekalan air ke kawasan jelapang padi di daerah Besut.

Projek berkenaan juga dijangka dapat membantu meningkatkan pengeluaran padi di kawasan berkenaan sehingga mencecah 6 metrik tan sehektar menjelang tahun 2015.

Secara tidak langsung, projek yang dirancang kerajaan itu bertujuan meningkatkan hasil pendapatan para petani serta mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.

Mengikut Berita Ketara 2010, empangan baru itu yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Jertih, mula dibina pada 7 Jun 2009 dan mengambil masa 20 bulan untuk disiapkan.

Pembinaan empangan itu bertujuan menyediakan bekalan air yang lebih efisien serta mencukupi dalam meningkatkan hasil padi di samping bertindak sebagai sokongan kepada tebatan banjir bagi seluruh kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (Ketara).

Projek itu dapat meningkatkan bekalan air ke kawasan Ketara sebanyak 28 peratus iaitu dari sembilan cumec kepada 11 cumec di mana struktur baru itu dapat menakung bekalan air pada paras bekalan penuh (FSL) 14.9 m.

Dengan adanya empangan itu, lebihan curahan hujan pada musim tengkujuh dapat ditakung dan disimpan secara berkesan.



100,000 murid di Terengganu guna e-Book akhir tahun ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Dulunya sejak zaman berzaman, Terengganu lebih dikenali dengan keropok lekor dan songket tenun yang sangat halus buatannya.

Para pelancong datang dari jauh semata-mata mahu menikmati keenakan keropok lekor dan memberi sehelai dua songket sebagai ‘ole-ole’ untuk dibawa pulang ke tempat masing-masing.

Namun begitu, kejayaan demi kejayaan yang diraih di bidang pelajaran sejak kebelakangan ini, mula mengalih pandangan masyarakat luar terhadap negeri ini.

Terkini nama Terengganu terus menjadi sebutan apabila ia mengorak maju di bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi dengan terhasilnya e-Book.

Kejayaan menjadi perintis e-Book menjadikan Terengganu cukup masyhur, termasuk di kalangan negara luar apabila produk tersebut turut diimport ke beberapa negara luar.
Sehingga ini, lebih 50,000 murid Tahun Empat, Lima dan Enam di seluruh negeri sudah mendapat e-Book yang diagih secara percuma oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, berkata kira-kira 100,000 murid sekolah rendah akan mendapat e-Book menjelang akhir tahun ini.

Proses pengagihan e-Book akan diteruskan dalam tempoh terdekat bagi memastikan sasaran 100,000 murid mendapat e-Book akan dicapai, sebelum sesi persekolahan 2012 bermula.

Kedudukan Terengganu sebagai negeri terbaik dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama 10 tahun berturut-turut menjadi penyuntik semangat kepada pemimpin kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada para pelajar.

Hakikat ini terbukti apabila kini kelas maya diperkenalkan membabitkan tiga buah sekolah rendah di Kuala Terengganu dan Kemaman.

Dengan penggunaan pembelajaran secara ‘online’ itu diharapkan prestasi pelajar dapat ditingkatkan dan kelas tersebut diperluaskan di seluruh negeri.

Program e-Book kini mendapat pujian di kalangan pendidik, cendikiawan dan pemimpin kerajaan di dalam dan luar negara.



















24 March 2011

Sistem pembelajaran taska YPK dinaiktaraf

Oleh: Suriati Ali

Sistem pendidikan kanak-kanak di 65 Taska Keluarga dan Taska Permata Keluarga di bawah pengurusan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dinaiktaraf bersesuaian dengan perubahan sistem pendidikan di negeri ini.

Taska berkenaan dilengkapi kemudahan pembelajaran canggih atau dikenali sebagai TB-kids di mana kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah boleh mengenali pelbagai jenis haiwan, kenderaan, abjad dan sebagainya melalui skrin sesentuh.

Tinjauan pemberita Teganukita mendapati, kanak-kanak yang belajar menggunakan kaedah itu bukan sahaja menunjukkan minat dan semangat untuk mencuba malah berdisplin serta mampu duduk diam kerana teruja mendengar suara, melihat setiap pergerakan gambar atau abjad apabila disentuh guru atau rakan.

Pendekatan itu membuatkan kanak-kanak cepat belajar dan mudah mengingati berbanding menerangkan sesuatu perkara menggunakan buku atau `flash card’.

Penolong Pengurus Taska YPK Batas Baru, Kuala Terengganu, Puan Norhayati Omar berkata, kanak-kanak yang mendapat pendidikan di taska YPK cukup bertuah kerana pelbagai kemudahan dapat dinikmati.

Ini termasuk setiap kelas dilengkapi kemudahan penghawa dingin, menu makanan yang berkhasiat dan mampu dinikmati sebanyak empat kali dalam tempoh lapan jam, pengasuh berpendidikan tinggi dan pelbagai jenis permainan canggih dan moden dapat dicuba.

“Kanak-kanak taska YPK cukup berdisplin kerana mereka tahu apa yang perlu dilakukan ketika ingin tidur, makan dan bermain.

“Pengasuh atau pembimbing yang telah melalui pelbagai jenis kursus mempunyai kaedah tersendiri untuk mendisplin setiap kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, YB Yahya Khatib, berkata kerajaan negeri melaksanakan pelbagai pendekatan semata-mata ingin melihat anak jati Terengganu mendapat pendidikan sempurna dari awal usia lagi.

Seramai 3,700 kanak-kanak berusia dua bulan hingga empat tahun mendapat pendidikan di 65 taska YPK seluruh negeri ini.

Katanya, kemudahan taska yang disediakan ini nyata memberi manfaat kepada ibu bapa terutama mereka yang bekerja dan mengalami masalah untuk menempatkan anak masing-masing.

“Kemudahan yang diterima itu dikenakan yuran yang sangat berpatutan setanding dengan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.