Halaman

29 May 2011

Teganukita 40




Terengganu hargai jasa guru

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Jika mahu dinilai, jasa para guru mendidik anak-anak watan memang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. - YAB Dato' Seri Ahmad bin Said.

Keputusan Kerajaan Terengganu pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, untuk menaja 110 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaaan (SK) dari negeri ini melawat luar negara merupakan ‘hadiah’ Hari Guru yang tidak ternilai bagi warga pendidik.

Jika mahu dinilai, jasa para guru mendidik anak-anak watan memang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Golongan pendidik banyak telah berkorban dalam usaha mereka mendidik dan mengajar anak murid masing-masing, tanpa mengira masa dan waktu, lebih-lebih lagi menjelang peperiksaan awam.

Dalam konteks Terengganu pula, kesungguhan para guru mengajar terbukti apabila negeri ini muncul sebagai negeri terbaik pada setiap kali peperiksaan awam diumum, mengatasi negeri-negeri lain yang jauh lebih maju di bidang fizikal.

Terengganu telah muncul sebagai negeri terbaik bagi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) selama 10 tahun berturut-turut dan tiga tahun berturut-turut bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Begitu juga dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Terengganu menjadi antara negeri terbaik pada tahun 2010 dan 2009.

Menteri Besar ketika mengumumkan ‘anugerah’ sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri di Dungu kelmarin turut mengakui jasa guru tidak ternilai dengan wang ringgit.

Beliau menegaskan ganjaran itu diberi kerajaan negeri sebagai menghargai jasa mereka yang mendidik anak bangsa hingga mencapai kejayaan sekaligus mengharumkan nama negeri.


Harapan besar terletak di bahu para guru untuk menggalas harapan agar terus mengekalkan negeri ini sebagai yang terbaik dalam semua peperiksaan awam di masa depan.

Daripada jumlah itu, 50 orang guru besar SK yang cemerlang dalam UPSR akan dibawa melawat ke Korea pada cuti sekolah Ogos ini dan meninjau kelas maya yang ada di negara berkenaan.

Manakala 60 orang lagi terdiri pengetua SMK yang cemerlang dalam PMR dan STPM akan dibawa melawat ke Perth, Australia.

Kita mengharapkan para guru yang terpilih menerima ganjaran tersebut tidak mensia-siakan harapan kerajaan negeri dan seluruh rakyat Terengganu agar mereka melipatgandakan usaha untuk membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan di negeri ini.

Kini harapan besar terletak di bahu mereka untuk menggalas harapan agar terus mengekalkan negeri ini sebagai yang terbaik dalam semua peperiksaan awam di masa depan.

Pameran Tamadun Islam pamer 150 artifak perang

Oleh: Aida Abd Rahman

Pameran Tamadun Islam di Taman Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu yang berlangsung tujuh hari bermula 19 Mei lalu menjadi medan mengetengahkan 150 peralatan dan artifak serta peralatan perang zaman dahulu dan kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata peralatan perang seperti pedang dan belati, peralatan perubatan dan perundangan, peralatan adat dan budaya serta peralatan astronomi yang digunakan pada zaman kegemilangan Islam lampau dipamerkan di karnival itu.
“Pameran julung kali diadakan di negeri ini dapat mengetengahkan artifak Islam sebagai material pameran untuk dipertonton kepda khalayak umum supaya ianya sinonim dengan arus kemodenan Islam.

"Selain itu ia juga untuk memberi kesedaran tentang kepentingan sejarah Islam dalam peradaban manusia sejagat," katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Pameran Tamadun Islam, di Taman Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam.

Datuk Abdul Rahin, berkata pameran seumpama itu juga dapat menambah kesedaran dan ilmu pengetahuan kepada umat Islam serta para pengunjung terutama pelajar.

Beliau berkata, bayaran sebanyak RM10 dikenakan bagi golongan dewasa, manakala pelajar berpakaian sekolah dan kanak-kanak yang berumur tujuh hingga 12 tahun hanya dikenakan bayaran sebanyak RM5.

Pameran itu dianjurkan syarikat, Dynasty Event Sdn Bhd dengan kerjasama Kerajaan Terengganu.




28 May 2011

Sekolah Maya diperluaskan ke sekolah menengah

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Hassan Harun

Kelas Maya yang diperkenalkan di sekolah rendah negeri ini akan diperluaskan pula di sekolah menengah seluruh negeri mulai tahun depan.

Buat permulaan, dua sekolah elit iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong, Setiu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Lagam, Kemaman, dipilih sebagai projek perintis.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi & Sains dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sekolah tersebut dijangka memulakan
Kelas Maya bagi pelajar tingkatan satu mulai Julai tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan peruntukan RM300,000 bagi membolehkan dua sekolah tersebut mengadakan pelbagai keperluan bagi membolehkan Kelas Maya diadakan.

“Kita akan menggunakan modul khas bagi Kelas Maya di sekolah menengah yang agak berbeza dengan Kelas Maya di sekolah rendah,” katanya kepada Teganukita semalam.

Menurutnya, selepas ini lebih banyak sekolah menengah akan memulakan Kelas Maya yang kini semakin terbukti banyak member manfaat kepada para pelajar.

Katanya, dengan memperluaskan Kelas Maya ke sekolah menengah kerajaan negeri berharap lebih ramai pelajar menjadi ‘celik’ IT.



Umno Terengganu buat persiapan awal hadapi PRU13

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Umno Terengganu melakukan persiapan awal bagi memastikan jentera pilihan raya parti itu dan Barisan Nasional (BN) siap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan yang dijangka lebih sengit.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pada masa yang sama Program Turun Padang dan program mesra rakyat diadakan di seluruh negeri bagi mendekatkan pemimpin dengan rakyat.

“Umno dan BN mengamalkan pendekatan mendekati rakyat pada setiap masa, bukan tunggu musim pilihan raya baru nak dekat dengan rakyat dan umum macam-macam projek,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin baru-baru ini yang meminta Umno lebih bersedia bagi menghadapi PRU13.

Sewaktu berucap merasmikan Mesuarat Perwakilan Umno Bahagian Kemaman baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri itu mengingatkan pemimpin dan ahli Umno bahawa PRU13 akan menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah politik tanah air kerana pihak pembangkang akan bermati-matian mahu menjatuhkan kerajaan.

Menteri Besar berkata, Umno dan BN Terengganu telah melakukan segala-galanya untuk kesejahteraan rakyat tempatan meliputi semua bidang.

“Kita harap rakyat akan berterima kasih kepada kerajaan dan bersyukur dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka.

“Kerajaan juga berharap golongan muda menyokong kerajaan kerana kita telah menyediakan segala kemudahan dan keperluan mereka,” ujar beliau.



27 May 2011

Dua DUN sedia 28 bas untuk penyokong Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) memutuskan untuk menyediakan sebanyak 28 buah bas bagi orang ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil, menyaksikan perlawanan akhir antara Terengganu dan Kelantan, 11 Jun ini.

Teganukita difahamkan beberapa DUN lain akan turut menyediakan perkhidmatan yang sama sebagai tanda penghargaan kepada pasukan Terengganu yang layak beraksi dalam perlawanan akhir setelah menumpaskan sebuah lagi pasukan jiran iaitu Pahang pada peringkat separuh akhir,

Sehingga ini, DUN Kijal mengesahkan menyediakan 15 buah bas manakala DUN Seberang Takir 13 buah bas bagi tujuan tersebut.

Mereka yang berminat mendapatkan perkhidmatan itu bolehlah berhubung dengan pejabat DUN berkenaan.



32 Kelas Maya baru dikenalpasti

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri sudah mengenal pasti 32 sekolah rendah di seluruh di negeri ini yang akan memulakan Kelas Maya, tidak lama lagi.

Pada masa ini Syarikat Top IT sedang mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan sekolah bagi memasang pelbagai keperluan di bidang Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) bagi membolehkan kelas tersebut dimulakan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi & Sains dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, apabila sekolah tersebut memulakan Kelas Maya, bermakna terdapat 35 kelas seumpama itu di negeri Terengganu.

“Sebelum ini kita memilih tiga buah sekolah rendah sebagai projek perintis Kelas Maya dan didapati ia banyak memberi faedah kepada pelajar, khususnya bagi melahirkan murid yang celik IT,” katanya ketika ditemui semalam.

Berikutan itu, katanya, kerajaan negeri memutuskan untuk memperluaskan Kelas Maya ke seluruh negeri bagi membolehkan lebih ramai murid mendapat pendedahan awal di bidang ICT.

Bagi tujuan tersebut, setiap wakil rakyat diminta mengenal pasti sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk mengadakan Kelas Maya.

“Kita harap semua sekolah yang dipilih akan memulakan kelas tersebut selewat-lewatnya pada bulan Julai depan,” ujar beliau.



Bicara media jadi saluran baiki kepimpinan

Oleh: Aida Abd Rahman

Program Bicara Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) merupakan antara medium tepat kepada pemimpin dan Ahli Jawatankuasa Mesyuarat Kerajaan Negeri mengenal pasti kelemahan kepimpinan masing-masing menerusi respon kumpulan pengamal media.

“Program anjuran Ukom amat bertepatan kerana kita mendapat `signal’ daripada kumpulan media, kadangkala kita merasakan apa yang kita lakukan betul semuanya, tetapi ada yang kita rasa baik kepada diri kita dan mungkin tidak sampai kepada masyarakat serta rakyat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, di majlis Bicara Media, di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Dato' Mohamed merupakan pemimpin kelima yang dijemput sebagai tetamu khas sempena program bual bicara bersama pengamal media yang dilaksanakan secara bulanan inisiatif pejabat Ukom.

Dalam program sama sebelum ini, tetamu khas termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad.

Dato’ Mohamed berkata, pertemuan dua hala secara terus antara pemimpin dan kumpulan media di majlis itu sedikit sebanyak mampu memberi input berguna kepada kedua-dua pihak melalui perkongsian pandangan, idea dan juga persoalan yang diajukan pihak media.

Katanya, pandangan golongan media amat penting kerana kumpulan ini merupakan pihak yang sentiasa turun ke bawah untuk mengupas pelbagai isu yang terdapat dalam masyarakat sebagai bahan untuk siaran media masing-masing.

“Segala pandangan dan isu itu boleh kita guna pakai dan perhalusi demi memperbaiki kelemahan serta indikator bagi memajukan bidang yang diterajui,”katanya lagi.

Sebagaimana portfolio lain, menurut Dato’ Mohamed, portfolionya turut menyusun hala tuju untuk tempoh lima tahun bermula 2008.

“Beberapa projek teras yang kita susun termasuk `membandarkan’ luar bandar sebagai tambahan terhadap apa yang dilaksanakan Kerajaan Pusat sebab menjadi tanggungjawab utama Kerajaan Pusat membangunkan luar bandar melalui pembangunan dan program luar bandar seperti klinik desa, jalan dan elektrik 24 jam.

“Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM25 juta setiap tahun untuk membangunkan bandar melalui peruntukan membina empat hingga lapan blok bangunan komersial dua tingkat di kawasan yang baru membangun sejak dua tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu memberi peluang kepada usahawan luar bandar untuk memulakan perniagaan sekaligus membangunkan kawasan luar bandar dengan pertumbuhan pusat perniagaan baru yang menepati perkembangan semasa dan tidak lagi menggunakan konsep gerai sebagaimana dilakukan kerajaan sebelum ini.

Menurutnya,sektor peruncitan juga menjadi tumpuan utama dan atas faktor itu, pihaknya mewujudkan T-Shoppe, rangkaian kedai 24 jam sebagai usaha memasarkan produk tempatan. Sehingga kini, sebanyak 18 cawangan kedai itu beroperasi di seluruh Terengganu termasuk empat lagi di Kedah, Ampang dan Melaka.



Pertimbang gaji baru untuk guru MRSM

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan digesa supaya mempertimbangkan kenaikan pangkat dan skim gaji baru bagi guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, berkata pertimbangan itu bagi memastikan gaji guru Mara selaras dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengenai kenaikan pangkat mengikut kaedah baru kepada golongan guru.
“Perkara itu antara beberapa isu yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan.Sehubungan itu Mara akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam tempoh terdekat bagi menyelesaikannya.

"Guru MRSM juga mempunyai taraf yang sama dengan guru di kementerian dan tidak ada sebab guru-guru Mara tidak mendapat taraf kenaikan gaji yang sama," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA (Muafakat) ke-7 di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu, semalam.

Dato’ Seri Haji Idris berkata, guru di MRSM juga memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan pendidikan negara sellain mendidik anak bangsa sehingga mampu melahirkan ramai tengaa professional dan mereka wajar menikmati faedah sama atas jasa yang diberikan.

"Kita akan memperjuangkan nasib guru di MRSM kerana mereka juga melakukan kerja yang sama dan kita tidak mahu guru MRSM dianaktirikan," katanya

Pada masa ini, lebih 3,000 orang guru sedang berkhidmat di 45 buah MRSM di seluruh negara.





26 May 2011

Haji Abdullah Tokoh Guru Terengganu

Oleh; Esah Abdullah


Menteri Besar menyampaikan hadiah kepada Tokoh Guru, Abdullah Ali pada Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri, di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun. - Foto: Zulkipli Putra.

Usaha yang tidak mengenal jemu serta pengorbanan yang tidak pernah mengharap balasan sebaliknya menjadikannya sebagai tanggung jawab ‘wajib’ untuk mendidik anak bangsa supaya menjadi insan berguna kepada agama dan negara akhirnya membuahkan hasil yang tidak pernah termimpi olehnya.

“Saya tidak pernah mengharapkan anugerah atau penghargaan, tapi apa yang saya buat adalah untuk melihat generasi pelapis penuh ilmu didada,” kata Haji Abdullah Ali, Tokoh Guru Terengganu 2011.




Beliau yang dilahirkan 59 tahun lalu di Kampung Nyior, Paka, Dungun, Terengganu, lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan memulakan tugas sebagai pendidik pada 1976 di Sekolah Menengah Tengku Hussin, Johor.

Sepanjang tempoh 32 tahun bergelumang dalam bidang pendidikan dan pernah ditugaskan ke beberapa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) antaranya, SMK Tengku Ampuan Intan, Dungun, SMK Pulau Serai, Dungun dan lain-lain lagi.

Haji Abdullah telah bersara dalam bidang perguruan pada 22 April 2008 dan kini bergiat aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan memegang beberapa jawatan di tempat kelahirannya seperti Pengerusi jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Ketua UMNO cawangan.

Dengan anugerah berkenaan, beliau membawa pulang wang tunai RM5,000, senaskah al-Quran dan sepersalinan pakaian.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah menyampaikan hadiah bersempena sambutan Hari Guru Peringkat Negeri yang berlangsung di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun hari ini.

Turut menerima Anugerah Guru Berjasa ialah Haji Abdul Rahim Long, Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu; Cheah Ah Tee @ Shieh Soon Yen, Wisma Tenang Kuala Terengganu dan Joachim A/L Joseph Masilamany dari Taman Permint Jaya, Chendering.