Halaman

24 July 2011

Pelajar Hulu Terengganu ditawar belajar di Universiti Oxford

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Mohd Firdaus Samsudin menunjukkan surat tawaran kemasukan ke Universiti Oxford. (Foto: Zulkipli CW Putra.)

Seorang pelajar yang berasal dari kawasan pedalaman mencipta sejarah apabila beliau ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka dunia, Universiti Oxford, akhir tahun ini.

Pelajar berkenaan, Mohd Firdaus Samsudin, 23, dari Kampung Kemat, Hulu Terengganu itu baru saja menamatkan pengajian peringkat ijazah di bidang Bioteknologi di Imperial College, London.

Kini bekas murid Sekolah Kebangsaan Kampung Kemat itu ditawarkan pula mengikuti pengajian peringkat sarjana dalam bidang Sains Biochemistry di Universiti Oxford.

Beliau yang pernah dinobatkan sebagai antara pelajar terbaik lulusan Sijil pelajaran Malaysia 2005 peringkat kebangsaan, amat terharu apabila menerima tawaran melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan yang menjadi impian para pelajar dari seluruh dunia.

“Saya terima tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Oxford dan berazam untuk belajar dengan bersungguh-sungguh supaya mendapat kelulusan yang terbaik,” katanya ketika ditemui Teganukita di rumahnya di Kampung Kemat, malam tadi.


Keluarga Mohd Firdaus sama-sama meneliti surat tawaran.

Beliau yang melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) pada 2001 selepas mendapat 5 A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), kini sedang bercuti dan menunggu majlis konvokesyen di Imperial College, selepas Hari Raya Puasa nanti.

Mohd Firdaus yang mendapat tajaan Yayasan Terengganu (YT) untuk mengikuti pengajian peringkat A Level di Kolej Yayasan UEM, Selangor dan Imperial College, turut ditawar melanjutkan pelajaran di bidang bioteknologi di Imperial College, tetapi dia sudah tekad untuk belajar di Universiti Oxford.



“Saya mengambil keputusan ini kerana taraf Universiti Oxford jauh lebih tinggi dan bukannya mudah untuk diterima masuk ke sana. Lagi pun belajar di Universiti Oxford merupakan impian ramai pelajar kerana lulusan universiti ini menjadi kebanggaan seluruh dunia,” ujar anak kedua daripada empat beradik itu.

Mohd Firdaus amat bangga menjadi anak jati Terengganu dan berharap pelbagai kejayaan yang ditempanya sepanjang menjadi pelajar di negeri ini, akan dicontohi generasi pelajar tempatan.

“Semasa di sekolah banyak kem kecemerlangan diadakan hasil bantuan dana yang disalurkan kerajaan negeri. Pelajar negeri ini amat bertuah kerana banyak program diadakan di sekolah bagi membantu kecemerlangan pelajar, hasil sumbangan kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, bapa Mohd Firadus, Encik Samsudin Mamat, 61, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri dan YT kerana banyak membantu anaknya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi hingga ke luar negara.


Mohd Firdaus bergambar kenangan dengan ahli keluarga di rumah mereka di Kampung Kemat, Hulu Terengganu.

“Sewaktu masuk tingkatan satu, anak saya diberi bisiswa kecil dan setiap kali mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan bermula dari UPSR hingga A Level, pihak YT akan memberi wang hadiah galakan.

“Selepas itu, anak saya ditaja oleh YT untuk melanjutkan pelajaran peringkat A Level selama dua tahun dan masuk pula universiti di luar negara, semuanya diatur oleh YT,” katanya.



Bekas pesara Felcra itu mengakui tanpa bantuan yang berterusan daripada kerajaan negeri dan YT, anaknya tidak mampu melanjutkan pelajaran di luar negara dan mendapat kejayaan tersebut.

Beliau berkata, hanya Allah s.w.t saja yang mampu membalas jasa pemimpin kerajaan negeri Terengganu yang sentiasa memikirkan kaedah bagi membantu kebajikan pelajar dan berusaha meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan di negeri ini.

Jentera parti BN perlu bijak rangka strategi

Oleh: Suriati Ali

Jentera parti Barisan Nasional (BN) perlu mempunyai strategi tertentu termasuk kaedah pemasaran dan penjualan yang bijak bagi memenangi hati rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

Ia juga boleh dilaksanakan dengan menggunakan konsep 5P atau produk (Product) iaitu BN, Price (harga) atau kos program yang dilaksanakan, Place (tempat) atau di mana produk itu dijual seperti di kawasan peti undi yang kalah atau di kawasan atas pagar, Promotion (promosi) yang baik mengenai BN dan People (pelaksana) iaitu pemimpin dan anggota parti di bawah BN yang melaksanakannya.



Ketua Penerangan BN Malaysia, YB Datuk Ahmad Maslan, berkata sebagai ahli BN, kita sudah mempunyai produk (BN) terbaik yang perlu dihebahkan supaya rakyat mendapat kesejahteraan dan keamanan secara berterusan.

“Kita ada pesaing, pesaing kita adalah PAS, DAP, itu pesaing kita. Rakyat adalah pelanggan yang terpenting dan segalanya adalah untuk rakyat.

“Mulai sekarang, semua jentera parti perlu berkerja keras dengan menjual produk yang terbaik ini bertujuan mengelak rakyat memilih parti yang tidak ada hala tuju dan `carca merba’,” katanya kepada sidang media selepas merasmikan Konvensyen BN Terengganu 2011, di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, petang semalam (23 Julai).

Hadir sama, Pengerusi BN Terengganu yang juga Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Konvensyen memerangkap Ketua Penerangan BN, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Naib Pengerusi MCA, YB Toh Chin Yaw, Naib Pengerusi Gerakan, Encik Yap Kia Peng dan parti-parti komponen di semua bahagian.

Konvensyen yang diadakan selama dua hari dan bermula pada 22 Julai itu bertemakan `BN Di Hatiku’. Ia merupakan satu pendekatan terbaik bagi memberi keyakinan bahawan tiada pilihan lain bagi rakyat untuk menjamin masa depan mereka melainkan parti BN.

Datuk Ahmad turut memberitahu mereka perlu berjumpa setiap individu dari rumah ke rumah dengan memberitahu keistimewaan BN berbanding parti lain yang hanya pandai menabur janji dan tidak pandai melaksanakannya.

“Pada masa sama, promosi berkaitan produk juga perlu bijak dan mempunyai kaedah tertentu dan bukannya memberitahu keistimewaan BN pada sehelai kain rentang saja sehingga membuatkan ia sukar difahami,” katanya.

Katanya, dalam menetukan jatuh bangun sesebuah negara, kita memerlukan corak kepimpinan yang mantap dan pemahaman secara menyeluruh.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersyukur kerana dapat hidup kekal stabil, tanpa konflik besar dan aman damai dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa, agama dan kaum.

“Sebagai generasi pewaris kepimpinan, kita telah diamanahkan untuk meneruskan agenda kepimpinan terdahulu yang telah berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk membina asas kemajuan dan ketamadunan,” katanya.


Resolusi BN Terengganu 2011

Oleh: Suriati Ali


Konvensyen Barisan Nasional (BN) Terengganu 2011 yang bertemakan `BN Di Hatiku- Persediaan Menghadapi PRU 13’ merumuskan 13 resolusi utama berasaskan kluster dan diperincikan lagi melalui beberapa resolusi berfukos yang telah dipersetujui bersama antara adalah:-

Menginsafi agar perpaduan dalam BN supaya tidak luntur dan terhakis, maka agenda memperkasa perpaduan parti komponen dari segi persepsi dan tindakan wajar diperhebatkan bagi memenangi hati nurani rakyat ke arah kesinambungan kuasa pemerintahan.

Menyedari kepimpinan yang dinamik menjadi tulang kekuatan parti, maka agenda memastikan pemimpin BN di semua peringkat sentiasa siap siaga, cakna rakyat dan mempunyai daya juang, daya saing dan daya tahan yang tinggi serta mampu memenangi hati rakyat.

Menginsafi kemantapan kepimpian menjadi pasak kepada keutuhan parti, maka agenda mempertingkat ketelusan, integriti dan keperibadian mulia dalam kalangan ahli dan pemimpin parti agar menjadi suri teladan bagi memenangi hati rakyat.

Memahami hakikat pembentukan modal insan menjadi teras pembinaan negara pada masa depan, maka agenda merealisasikan institusi bukan sahaja sebagai agen pembangunan sumber manusia, tetapi juga sebagai pemangkin perpaduan.

Menyedari keperluan dalam pasaran pekerjaan semasa yang menjurus kepada kemahiran, maka agenda melebar luas bidang dan jurusan kemahiran teknikal dan vokasional kepada kumpulan pelajar berprestasi rendah perlu dioptimumkan bagi menjana tenaga berkemahiran tinggi.

Menginsafi sektor ekonomi merupakan tonggak kesejahteraan rakyat, maka agenda memapankan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) dilaksanakan secara bersepadu, berfokus, adil, saksama dan bijaksana agar dapat dinikmati bersama golongan berpendapatan rendah.



Resolusi yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sidang Pleno, Kertas Kerja dan Dokumentasi, Haji Zubir Embong itu adalah sebagai intipati utama yang perlu dijagikan asas dan tunjang untuk merangka gerakan dan gagasan ke arah pemerkasaan parti BN, Memperkukuhkan pentabiran kerajaan, memenangi hati rakyat dan PRU 13 masih dalam genggaman.


23 July 2011

Skate rangsang pencapaian sukan dan akademik

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menyediakan pakej rangsangan kepada atlet pelajar menerusi Skim Kecemerlangan Atlet Terengganu (Skate) yang merangkumi bayaran biasiswa bulanan kepada pelajar yang tidak menerima mana-mana penajaan, bayaran asrama bagi atlet yang menginap di asrama dan penyediaan tuisyen secara percuma.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata kerajaan negeri berharap dengan insentif dan pakej bantuan itu mampu menyuntik serta merangsang atlet pelajar bagi meningkatkan komitmen dalam bidang sukan dan akademik.
“Ibu bapa pula diharap tidak terbeban dengan perbelanjaan untuk persekolahan anak-anak serta tidak bimbang lagi dari aspek kebajikan anak masing-masing yang bergiat dalam sukan,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Malaysia Ke-14 dan Piala FA 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Noorbahri Baharuddin; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Zolkples Embong dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Tuan Haji Zainal Abidin Hussin.

YB Haji Rozi berkata, kerajaan negeri memberi penekanan yang khusus selain komitmen yang tinggi dalam bidang sukan. Malah, tiada negeri lain yang mengiktiraf pencapaian atlet sebagaimana yang dilakukan Kerajaan Terengganu kini.

“Saya harap semua penggiat sukan supaya mengambil peluang yang terhidang ini bagi menggembleng bakat yang ada supaya mampu mengangkat martabat sukan negeri dan negara amnya.

“Selain itu, Terengganu pastinya akan terus berusaha untuk menjadi kuasa baru sukan negara dan pada masa yang sama memastikan akademik atlet pelajar berada di tahap yang baik selaras dengan hasrat menjadikan negeri ini sebagai anjung ilmu,” katanya.


Pencapaian emas terbaik di Sukma 2011

Oleh: Aida Abd Rahman

Pencapaian Terengganu pada Sukan Malaysia Ke-14 Kuala Lumpur adalah yang terbaik berbanding dua kejuaraan Sukma yang terdahulu apabila mencapai 23.25 peratus pingat emas keseluruhan yang ditawarkan pada temasya itu.

Peratusan pungutan emas pada Sukma Ke-13 tahun lalu sebanyak 10.76 peratus, manakala 15.05 peratus pada Sukma Ke-12 2008.
“Kejayaan Sukma di Kuala Lumpur baru-baru ini mengatasi sasaran yang ditetapkan, iaitu 27 pingat emas. Tahniah kepada pasukan kanu, judo, mendayung dan berbasikal kerana berjaya mempamerkan pencapaian hebat, sekaligus melepasi sasaran pingat yang ditetapkan bagi acara masing-masing,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat ketika berucap di Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Malaysia Ke-14 dan Piala FA 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Noorbahri Baharuddin; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Zolkples Embong dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Tuan Haji Zainal Abidin Hussin.

Daripada keempat-empat acara sukan itu, Terengganu berjaya memperolehi 28 pingat daripada 30 pingat emas keseluruhan yang dipungut atau berjumlah 93.33 peratus.

YB Haji Rozi berkata, baki dua lagi pingat emas yang berjaya diperolehi adalah menerusi bola baling dan sofbol.

“Seramai 20 atlet pula memenangi pingat berganda, iaitu 11 atlet lelaki dan sembilan atlet wanita, manakala atlet kanu pula berjaya memecahkan dua rekod Sukma.

“Bagi sukan tenis, walaupun hanya memperolehi pinhat gangsa, namun acara itu berjaya mencipta rekod tersendiri apabila memecah kebuntuan pingat sejak Sukma diperkenalkan 26 tahun lalu,” katanya.



Kebun durian sejuk beku jenama Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman



Kebun durian bagi tujuan sejuk beku dan eksport ke luar negara bakal diwujudkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di negeri ini.

Pengarah Fama negeri, Encik Hasan Jusoh, berkata bagi memastikan perancangan itu berhasil, pihaknya akan cuba mendapatkan kerjasama daripada pihak universiti di Terengganu untuk menjayakan projek berkenaan.
"Pihak Fama merancang untuk melaksanakan satu projek durian sejuk beku jenama Terengganu. Ini kerana durian sejuk beku belum diusahakan di negeri ini," katanya.

Dalam hal ini, Encik Hasan berkata Fama akan cuba mencari kawasan yang sesuai bagi tujuan penanaman itu dan kemungkinan di Hulu Terengganu.

Katanya, terdapat beberapa jenis durian yang didapati sesuai ditanam bagi disejuk beku dan dieksport seperti durian D24 dan 'musang king'.

Beliau berkata, walaupun Terengganu banyak mengeluarkan buah durian tetapi buah tersebut tidak menepati pasaran luar negara.

Dalam perkembangan lain, Encik Hasan berkata masalah durian di beberapa buah negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Kedah yang tidak membuahkan hasil sebagaimana tahun sebelumnya untuk mengadakan kempen makan durian sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan negeri Terengganu yang bermula esok tidak kesampaian.

“Walaupun begitu Fama akan menggantikan acara itu dengan pameran durian sejuk beku yang dieksport ke negara Cina dibawa dari Pahang, Pulau Pinang dan Perak,” katanya.





Terengganu bakal bangunkan Taman Perikanan Rekreasi Mega

Oleh: Aida Abd Rahman

Taman Perikanan Rekreasi Mega bakal dibangunkan Jabatan Perikanan Terengganu untuk kaki pancing, selain bertujuan sebagai tarikan baru pelancong ke negeri ini.

Pengarahnya, Encik Zakaria Ismail berkata projek itu akan dimulakan pada tahun depan dan membabitkan kos kira-kira RM2.5 juta.
Katanya, jabatannya sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai di mana-mana perairan Kuala Terengganu bagi membangunkan projek taman rekreasi itu.

"Ini adalah di antara beberapa projek baru yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Terengganu dan taman rekreasi itu akan menggalakkan kaki pancing berkunjung ke negeri ini," katanya.

Bagi tujuan itu, Encik Zakaria berkata, pihaknya akan meletakkan tukun tiruan bio-aktif, tukun tiruan inovasi penstabilan fosil dan tukun payao di taman rekreasi itu untuk pembiakan hidupan marin.

Katanya, jabatan itu akan bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasa seperti Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) bagi memastikan kawasan taman rekreasi itu nanti tidak dicerobohi.

"Kaki pancing yang hendak memancing di kawasan Taman Perikanan Rekreasi Mega itu nanti perlu mendapatkan kebenaran pihak pengurusan taman itu kelak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Encik Zakaria berkata jabatan telah meletakkan 1,008 unit tukun tiruan di perairan Terengganu dalam tempoh 2006 hingga 2010 untuk menambah sumber perikanan.





Negara hura hara jika PR memerintah

Oleh; Esah Abdullah

Pentadbiran Negara akan menjadi huru hara dan perbalahan politik terus merebak jika Pakatan Rakyat (PAS,DAP, PKR) dibenarkan memerintah negara ini.

“Keadaan ekonomi dan kesejahteraan rakyat akan turut terjejas,” kata wakil parti MCA Terengganu, Encik Yeo Sin Soon ketika berucap di Konvensyen Barisan Nasional (BN) Negeri Terengganu 2011, di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, BN mesti mendedahkan segala tipu helah mereka dan memberi penerangan hingga ke akar umbi mengenai senario yang akan berlaku jika PR berjaya mengambilalih pucuk pimpinan negara.

Katanya, DAP tidak akan menerima dasar Islamisasi PAS yang semestinya dituntut oleh akar umbi PAS manakala PAS pula tidak akan menerima dasar liberalisasi dan pro-Kristian DAP yang semestinya dituntut penyokong DAP dan PKR serta masyarakat bukan Islam.

“Hari ini kita lihat ramai generasi muda tertarik dengan dasar liberalisasi dan meritrokasi yang disebar PR dan golongan mendapat maklumat dari semasa ke semasa melalui internet,” katanya.

Katanya, BN perlu mencari cara terbaik untuk menambat hati golongan muda tetapi bukan dengan cara paksaan sebaliknya dengan bersemuka dan berbincang secara intelektual dalam keadaan hormat menghormati.

“BN perlu lakukan sesuatu untuk menambat hati rakyat termasuk menggalakkan kreativiti dan inovasi selain menangkis serangan yang dibuat parti pembangkang,” katanya.

Katanya, semua parti komponen perlu bekerja lebih kuat untuk memenangi hati rakyat dan apa yang disebarkan tidak tertumpu kepada satu kaum atau satu parti dalam BN sebaliknya hendaklah menyeluruh.

MCA turut menyarankan BN menyusun agenda mempertemukan semua kaum dengan lebih kerap agar mereka memahami satu sama lain dengan lebih mendalam kerana akhir-akhir ini interaksi kaum semakin berkurangan kecuali untuk urusan tertentu sahaja.

“Perjumpaan sosial hendaklah diadakan membabitkan semua lapisan masyarakat dan komposisi kaum biar seimbang supaya tidak berlaku dominasi,” katanya.





Parti BN milik semua

Oleh: Esah Abdullah



Pergerakan Puteri UMNO Perhubungan Terengganu meluahkan rasa kecewa dan sedih terhadap sesetengah ahli sanggup menjadi pengkhianat kepada parti demi kepuasan diri.

“Mereka seakan hilang pertimbangan dan keimanan apabila tidak tersenarai sebagai calon,” kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Puan Nordiana Dato’ Shafie ketika berucap mewakili Puteri Terengganu di Konvensyen Barisan Nasional (BN) Negeri Terengganu 2011 di Primula Beach Resort hari ini.

Katanya, ketika itulah semua boleh melihat siapa yang benar-benar setia kepada parti dan akan terus bekerja untuk parti atau sebaliknya,” katanya.

Katanya, parti BN bukan milik individu sebaliknya ia kepunyaan semua ahli parti yang bernaung di bawahnya termasuk parti –parti komponen yang sentiasa menyokong usaha membangunkan negeri dan rakyat.

Puan Nordiana kemudiannya mengajak semua ahli parti yang sayangkan parti keramat ini bekerja keras demi mempertahankan kerajaan BN untuk terus memerintah negeri dan negara ini.

Mengakhiri ucapan beliau meninggalkan empat rangkap pantun untuk renungan semua perwakilan;

Anak ayam sedang berlari
Sedang berlari dikejar siti
Walaupun penuh onak dan duri
Demi parti Puteri tetap akan tempuhi.

Orang lama kaya dengan pengalaman
Orang muda diterap dengan nilai perjuangan
Golongan hawa dilupa jangan
Kami juga penyumbang kemenangan

Sedap sungguh ikan tenggiri
Makan bersama sambal udang
Pemimpin yang baik tak pentingkan diri
Boleh menerima pandangan orang

Undur bukan sebarang undur
Undur untuk melengkapkan barisan
Perjungan ini tak pernah luntur
Merintis jalan ke arah kemenangan






Sejarah dan budaya BN perlu disemai kepada generasi baru

Oleh; Esah Abdullah

Sejarah dan budaya Barisan Nasional (BN) perlu dipupuk dan disemai kepada generasi baru terutamanya kepada Puteri dan Pemuda agar dapat menghayati dan meletakkan BN di hati masing-masing.

Setiausaha MIC Terengganu, Encik Mangaleswaran Annamalai berkata, semua pemimpin parti komponen juga perlu didedahkan dengan sejarah dan budaya BN termasuk diberi peluang mengikuti kursus dan sebagainya.

“BN bernasib baik kerana dari dulu hingga sekarang mempunyai pemimpin yang memiliki visi serta berpandangan jauh dan futuristik,” katanya ketika berucap mewakili parti MIC di Konvensyen BN Negeri Terengganu 2011 di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama Menteri Besar merangkap Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, semua pemimpin dan ahli parti komponen BN iaitu UMNO, MIC, MCA , Gerakan dan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Veteran serta sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Kita berada di zaman serba canggih dengan perkembangan teknologi pantas di mana budaya serta nilai berubah lebih-lebih lagi dengan konsep dunia tanpa sempadan,” katanya.

Katanya, suka atau tidak masa depan negara terletak pada konsep 1Malaysia, mungkin sekarang ada yang kurang senang dengan konsep ini namun orang bukan Melayu percaya konsep ini adalah keadilan yang sebenarnya.

Selain itu katanya, dengan acuan kita sendiri mampu membawa banyak manfaat kepada generasi akan datang dan dalam suasana negara telah maju anak-anak kita bersatu di bawah konsep 1Malaysia.

Sehubungan itu MIC turut mencadangkan agar semua parti komponen mengutamakan konsep dan budaya BN setiap masa dan selesaikan perbalahan melalui perbincangan serta umum nama calon lebih awal bagi mengatasi masalah yang timbul diperingkat kawasan.