Halaman

15 August 2011

Pemimpin Marang anjur Majlis Berbuka Puasa

Oleh: Amirullah Othman

Majlis Berbuka Puasa yang dianjurkan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, di kediaman beliau di Kampung Gelugor Kedai, Marang, malam kelmarin, dihadiri pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.



Seramai 600 orang hadir ke majlis tersebut yang diadakan khusus bagi mengeratkan hubungan antara pemimpin masyarakat dan penduduk tempatan.

Majlis tersebut dimulakan dengan ceramah tentang fadhilat Ramadan, tahlil dan majlis berbuka. Selepas itu semua hadirin menunaikan solat maghrib dan Isyak secara berjemaah, diikuti solat Tarawih.

Dato’ Haji Abdul Rahman dalam ucapannya, meminta masyarakat Marang supaya bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana memberi rezeki yang melimpah ruah kepada rakyat negeri Terengganu dan Malaysia.

Beliau meminta mereka supaya menjaga perpaduan dan tidak melakukan sebarang kegiatan yang boleh memecah-belahkan umat Islam.



Tukun tiruan tingkat hasil laut

Oleh; Esah Abdullah

Nelayan sekitar Pulau Perhentian menarik nafas lega apabila projek penanaman tukun tiruan menjadi kenyataan serta membolehkan mereka meraih pendapatan lebih melalui aktiviti memancing.

Baru-baru ini lapan tukun tiruan mesra alam telah berjaya diturunkan di kawasan bersempadan taman laut yang tidak jauh dari Pulau Perhentian.

Pengerusi jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Penguna negeri YB Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, projek yang telah di uar-uarkan tahun lalu itu memberi harapan baru kepada nelayan sekitar sekali gus menjadikan kawasan ini sebagai pelancongan rekreasi.

“Hidupan marin dapat membiak di sini untuk membolehkan aktiviti memancing dapat diadakan serta memberi faedah kepada pengusaha bot di mana mereka boleh mengendalikan pakej memancing,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut berkata, inovasi mesra alam itu perlu diperbanyakkan lagi bagi menggalakkan pertumbuhan kawasan pelancongan rekreasi sesuai dengan persekitaran berkenaan yang menjadi tumpuan pelancong.

Katanya, tukun yang dihasil menggunakan seramik ini tidak menyebabkan pencemaran sebaliknya memberi kelebihan menggalakkan pertumbuhan alga yang menjadi makanan ikan dan hidupan laut lain.

“Saya harap kerajaan dapat melabur lebih banyak lagi untuk menghasilkan tukun tiruan ini di mana pulangannya tentulah kepada penduduk sekitar yang rata-rata bergantung hidup kepada aktiviti nelayan,” katanya.

Tukun tiruan ini dihasilkan menerusi penyelidikan Pusat Teknologi Seramik dan Kaca Sirim Berhad yang mengandungi bahan seramik yang tidak menyebabkan pencemaran serta sesuai digunakan kerana ia statik dan tidak bertindak balas dengan apa juga keadaan.




Pupuk semangat jati diri kalangan remaja

Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Pemuda UMNO Perhubungan Terengganu telah mengadakan 15 siri kursus jati diri membabitkan 2,250 golongan muda dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dalam usaha memupuk semangat jati diri kalangan pengundi muda.

Ketua pergerakan itu, Encik Saiful Bahari Dato’ Baharuddin berkata, sepanjang berkursus , tiga hari dua malam mereka turut diberi pendedahan mengenai sejarah kemerdekaan dan ketuanan Melayu yang perlu dihayati oleh semua warga negara.

Selain itu katanya, ativiti sukan permotoran, kayuhan basikal waktu malam, bola sepak dan futsal antara yang diberi liputan meluas keseluruh pelusuk daerah dan kampung.

“Kita juga melaksanakan pelbagai aktiviti mengikut kesesuaian satu-satu tempat berdasarkan kecenderungan golongan sasar bertujuan mendidik mereka menghargai keharmornian hidup bermasyarakat,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, golongan remaja perlu didekati dan dibimbing bagi menentukan hala tuju perjuangan ke arah memperkasakan bangsa dan agama.

Menurutnya, mereka tidak harus dibiarkan hanyut dengan aktiviti tidak berfaedah sekali gus mendatangkan masalah dalam masyarakat dan masa depan negara.

“Pemuda sentiasa memantau perkembangan ini dan menyusun agenda ‘turun padang’ mendekati mereka melalui pelbagai aktiviti bagi merapatkan hubungan masyarakat setempat,” katanya.




UMAT ISLAM DIINGATKAN PERLU BERANI HADAPI CABARAN

Oleh: Mohammad Ishak


Dr. Abdullah menyampaikan sumbangan kepada seorang warga emas di Masjid Kayu Seberang Jertih.

“Usah biarkan umat Islam menjadi lemah sebaliknya perlu berusaha meningkatkan takwa dan ilmu bagi menghadapi cabaran yang lebih besar kerana umat Islam kini berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran,” kata Penasihat Agama Perdana menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin.

Katanya, cabaran yang datang kepada umat Islam negara ini jangan dipandang ringan kerana jika dibiarkan perpaduan yang sudah lama ujud dikalangan masyarakat khusunya umat Islam sendiri akan hancur.

Menurutnya, kemunculan pelbagai fatwa yang tidak selari dengan Majlis Fatwa Kebangsaan juga membantut usaha kerajaan untuk tujuan penyatuan umat Islam kerana ada pihak cuba menggangu proses berkenaan.

Dr Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata kecelaruan umat Islam memahami sesuatu isu sekarang berpunca daripada adanya golongan yang memberi fatwa mengikut tafsiran politik dan bukannya merujuk kepada hadis dan al Quran.

“Kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN) sudah banyak melaksanakan program pembangunan Islam termasuk kebajikan untuk rakyat tetapi ada pihak tidak tahu menilainya,” katanya pada majlis penyampaian zakat kepada golongan miskin di Kampung Seberang Jertih, semalam.

Pada majlis yang berlagsung di ruang legar Masjid Kayu Seberang Jertih seramai 20 golongan miskin dari Kampung Seberang Jertih dan Perumahan Awam Seberang Jertih menerima sumbangan berkenaan.

Dr Abdullah, berkata sebarang masalah berbangkit berhubung isu agama pihak yang bertelagah perlu merujuk kepada agensi terbabit selain Yang Dipertuan Agung dan Sultan di negeri masing-masing.

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan didik peniaga dan pengguna

Oleh FAUZI MOHD

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bagi kira-kira 20 jenis barangan yang bakal dilaksanakan menjelang Hari Raya Aidilfitri minggu depan dijangka mampu mengatasi masalah kenaikan mendadak barangan tertentu di musim perayaan.

Timbalan Pengarah, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunan (PPDNKK) negeri, Ab. Ghani Harun berkata, skim itu bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada permintaan tinggi semasa musim perayaan untuk menaikkan harga barang yang tidak berada dalam senarai barangan kawalan sebelum ini.

Menurutnya, jenis barangan kawalan itu termasuklah daging import dan tempatan, telor, ayam hidup, ikan kembung, bawang, ubi kentang dan cili merah.

Ab. Ghani berkata, skim itu dibuat bagi memastikan pengguna tidak ditindas segelintir peniaga yang mahu mengambil kesempatan atas pemintaan tinggi ketika perayaan.

“Di bawah skim tersebut pihak PPDNKK menetapkan tempoh selama dua minggu iaitu seminggu sebelum dan selepas perayaan untuk mengawal harga barang yang akan disenaraikan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Ab. Ghani, skim tersebut tidak hanya akan diaktifkan ketika Hari Raya Aidilfitri malah juga perayaan-perayaan utama lain yang disambut di negara ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengguna agar bijak dalam membuat pilihan ketika berbelanja dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran jualan murah ketika musim perayaan.

Katanya, ketika ini pihaknya bukan hanya memberi tumpuan kepada usaha untuk mengawal harga barangan agar tidak membebankan rakyat, malah juga mahu mendidik pengguna agar bijak berbelanja.

"Ada banyak pilihan kedai dan produk di pasaran, kita mahu pengguna bijak dalam menentukan apa pilihan mereka dan tidak hanya terkongkong kepada sesebuah kedai ataupun sesuatu jenama sahaja," katanya.


14 August 2011

Pas usah jadi ‘lalat hijau’ selama-lamanya

Oleh: Pencari Keadilan

Rupanya ada yang melenting apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengeluarkan kenyataan Pas Terengganu diibaratkan seperti 'lalat hijau' yang sering membawa penyakit kepada masyarakat.

Tetapi, ternyata ramai yang menyokong kenyataan tersebut kerana sememangnya pemimpin parti itu gemar sekali menghamburkan dakwaan palsu dan tuduhan yang tidak berasas.

Sewaktu membuat kenyataan itu, Menteri Besar berkata, setelah usaha pemimpin Pas mahu memburukkan kepimpinan Barisan Nasional tidak berkesan, sebaliknya mereka kini sibuk 'membedil' Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk dijadikan isu.

Pemimpin Pas mengeluarkan pelbagai tohmahan kepada SPR dan mendakwa badan bebas yang mengendalikan perjalanan pilihan raya di negara ini, berkomplot dengan BN.

Jika benar dakwaan pemimpin Pas itu, sudah lama BN dapat menawan semula negeri Kelantan selepas ia kalah pada Pilihan Raya Umum 1990.

Jika benar juga dakwaan itu, BN tidak akan gagal dalam sebahagian besar pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU 12.

Apa yang sebenar berlaku di Terengganu, ialah Pas yang membawa pengundi “import” atau lebih dikenali sebagai “pengundi hantu”.

Setiap kali pilihan raya, banyak bas dari luar datang ke Terengganu membawa pengundi hantu bagi mengundi calon-calon Pas. Mereka biasanya datang lebih awal bagi mengelakkan diri mereka dikesan oleh pihak berkuasa.

Pengundi hantu ini akan mengundi calon-calon Pas, khususnya Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang. Inilah antara taktik kotor yang dilakukan oleh Pas sejak zaman berzaman, tetapi mereka sengaja buat-buat tidak tahu mengenai perkara itu.

Sebaliknya pemimpin Pas yang semakin terdesak kini lantang membuat tuduhan kononnya SPR berkomplot dengan BN mewujudkan pengundi hantu bagi memenangkan calon tertentu.

Inilah kerja pemimpin Pas dan keadaan ini mendorong Menteri Besar untuk melabelkan mereka sebagai ‘lalat hijau’.

Sepatutnya pemimpin Pas menghentikan perbuatan tidak bermaruah itu dan bertaubat mulai sekarang. Mereka juga tidak sepatutnya membiarkan diri mereka menjadi tunggangan DAP selama-lamanya.



Warga hospital dirai dalam majlis berbuka puasa

Oleh; Esah Abdullah

Kira-kira 2,500 orang kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), klinik swasta dan keluarga pesakit akan diraikan dalam satu majlis berbuka puasa di perkarangan Klinik Harian Kuala Terengganu pada 27 Ogos depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Timbalan Menteri Kesihatan, YB Dato’ Rosnah Rashid Shirlin dijangka hadir pada majlis yang pertama kali diadakan bagi meraikan petugas di hospital.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Perhubungan Terengganu merangkap Ketua Penerangan Puteri UMNO Pusat, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, program ini anjuran bersama Persatuan Wanita Melayu Muda (Mawardah) dan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT).

“Majlis ini antara lain untuk menyatakan penghargaan terhadap kakitangan hospital yang tidak kenal erti jemu melayan pelbagai ragam pesakit ,” katanya kepada Teganukita.

Selain itu katanya, tugas jururawat dan doktor tanpa mengira waktu dan pengorbanan mereka tidak ternilai dengan wang ringgit.

Menteri Besar dan Dato’ Rosnah yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan turut mengagihkan 850 hamper kepada semua pesakit bermula di wad satu hingga lapan di HSNZ pada hari berkenaan.




Program kayuhan singgah sahur


Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Pemuda UMNO Perhubungan Negeri Terengganu mempunyai cara tersendiri mendekati masyarakat dengan mengadakan Program Kayuhan Singgah Sahur/Ambang Merdeka 2011 pada 16 Ogos ini.

Ketuanya, Encik Saiful Bahari Dato’ Baharuddin berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka turut serta bersama kira-kira 500 pemuda akan mengayuh basikal sambil mengagihkan juadah untuk bersahur kepada mereka yang bertugas malam.



“Ini termasuklah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengawal keselamatan dan petugas hospital kerajaan dan klinik swasta sekitar bandaraya,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, kayuhan akan bermula di Taman Awam Batu Buruk mulai jam 11 malam dan dijangka berakhir dua pagi dengan membawa juadah seperti nasi goreng, kurma dan air zamzam untuk diagihkan.

“Mereka yang menyertai program ini merupakan ahli-ahli Kelab Remaja Terengganu yang menjadi benteng dan pewaris generasi akan datang,” katanya.

Sehubungan itu katanya, mereka diberi pendedahan sedikit demi sedikit mendekati pelbagai golongan masyarakat dengan cara turun padang beramah mesra serta menghulur bantuan kepada yang memerlukannya.

katanya, usaha ini sebahagian daripada pendedahan awal kepada mereka untuk menjadi seorang pemimpin yang peka dan menjaga kebajikan rakyat.




Program Semarak Ramadan meriah



Oleh FAUZI MOHD

Peniaga bazar Ramadan Pekan Manir bertuah apabila menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Dato’ Mohd. Said sempena program Semarak Ramadan Berita Harian-AmIslamic kelmarin.

Kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu itu bersama Pengurus Besar Jualan AmIslamic, Dato’ Zainal Abidin Mohamad dan Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian, Zainor Said diserikan dengan penyerahan kemeja T, apron, air mineral sumbangan AmIslamic Bank.

Manakala, Berita Harian turut mengagihkan 500 naskah akhbarnya secara percuma kepada peniaga dan pengunjung bazar itu.

Dalam program itu, AmIslamic turut menymbangkan wang tunai RM5,000, beras dan kurma kepada 50 anak yatim serta ibu tunggal dari kariah Kampung Bukit Baru, manakala Berita Harian menyerahkan sumbangan RM2,000.

Sesi gotong-royong bermula di Masjid Al-Ikhlas di Kampung Banggol Tuan Muda, dengan acara menyembelih lembu sumbangan AmIslamic seawal pukul 8 pagi, diikuti acara memasak juadah berbuka puasa bersama penduduk kampung.

Kemuncak program itu, lebih 500 penduduk setempat menghadiri majlis berbuka puasa di masjid berkenaan yang turut disertai Dato’ Abdul Rahin dan pemimpin masyarakat setempat yang lain.






Tindakan serah semula wang zakat wajar dipuji

Oleh: Suriati Ali

Keprihatinan 21 penerima zakat di negeri ini yang menyerahkan semula wang bantuan tersebut kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sewajarnya dicontohi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, wang bantuan zakat itu perlu diserahkan kembali kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu untuk diagihkan kepada mereka yang benar-benar layak sahaja.

Katanya, semua pihak perlu memberi penekanan serius dalam mengagihkan wang zakat, terutama dengan memastikan setiap penerima adalah golongan asnaf.

"Kalau ada yang rasa mereka tak layak terima zakat, mereka boleh semak terlebih dahulu. Jika tak layak, jangan terima wang zakat.

"Kita tak mahu tanggung dosa orang kerana ini bukan kerana belas kasihan tapi ini berkaitan hukum," katanya.

Maidam memperuntukkan RM15 juta bantuan zakat untuk diagihkan kepada 30,000 orang fakir miskin di seluruh negeri bagi persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.

“Tahun ini kita percepatkan pengagihan bagi memberi peluang golongan fakir miskin dapat membuat persiapan menyambut ketibaan Ramadan dan Hari Raya Puasa,” kataya

Katanya, terdapat dua skim pengagihan yang dibuat Maidam iaitu golongan miskin terdiri daripada mereka yang pendapatan isi rumah RM750 manakala fakir pula pendapatan isi rumah RM450 sebulan.

“Bagi yang mempunyai tanggungan empat orang dan ke atas menerima RM450 manakala mereka mempunyai tanggungan tiga orang ke bawah akan menerima RM350,” katanya.