Halaman

14 November 2011

Projek Touch Point Kerajaan Pusat bantu penduduk miskin

Oleh: Mohammad Ishak





Program membantu golongan miskin menerusi Projek “Touch Point” yang diperkenalkan Kerajaan Pusat dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk yang kurang berada negeri ini mendapat pelbagai bentun bantuan

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, projek berkenaan yang mensasarkan golongan berpendapatan rendah akan diberi pilihan untuk mendapatkan batuan segera termasuk kaca mata, gigi, peralatan kerja, basikal dan kemudahan lain yang difikirkan perlu oleh pihak terbabit.

Katanya, peruntukkan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat menerusi Ahli Parlimen kemudian diagihkan kepada setiap Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) di kawasan masing-masing bertujuan membantu golongan miskin.

Abdullah yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri berkata, bagi kawasan parlimen Besut beliau sudah mengagihkan peruntukan yang disediakan kepada semua empat ADUN membabitkan kawasan Hulu Besut, Jertih, Kuala Besut dan Kota Putera.

“Peruntukan itu juga akan diagihkan secara berperingkat-peringkat dan terpuluang kepada ADUN terbabit menggunakan wang berkenaan untuk kepentingan rakyat,” katanya pada majlis penyerahan basikal kepada pelajar di Kampung Padang Luas dekat sini semalam.

Katanya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diberi tanggungjawab menyenaraikan nama mereka yang layak untuk dikemukakan kepada ADUN terbabit bagi membeli peralatan dan peperluan yang dipohon penduduk.

Bagi Parlimen Besut,katanya, beliau sudah menyediakan peruntukan RM70,000 kepada setiap wakil rakyat dan peruntukkan tambahan akan diberikan semula sebaik mereka habis membiayai projek berkenaan.

Beliau berharap, dengan adanya peruntukan menerusi projek segera itu ia dapat membantu rakyat berpendapatan rendah untuk membeli barang keperluan masing-masing.



Terengganu uji tujuh pemain import mulai Rabu ini

Oleh FAUZI MOHD

Sekurang-kurangnya tujuh pemain daripada beberapa buah negara akan diuji oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam rangka pencarian pemain import bagi menghadapi Liga Malaysia tahun depan.

Penolong pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata, setakat ini pihaknya akan menguji pemain-pemain dari Ghana, Nigeria dan Brazil mulai minggu depan.

"Langkah pertama, kita akan menguji dua pemain dari Ghana Rabu ini sebelum menguji tiga pemain dari Nigeria dan dua pemain Brazil,” katanya hari ini.

Selain itu, menurut beliau ramai lagi pemain-pemain import yang sanggup datang dan bermain dengan Terengganu dan pihaknya kini sedang berurusan dengan ejen pemain-pemain berkenaan.

Sheikh Tajudin yang juga Naib Yang Dipertua PBSNT berkata, begitupun pihaknya tidak akan tergesa-gesa dalam pengambilan pemain-pemain import kerana pendaftaran pemain masih lagi panjang.

RM31 juta tingkat kebersihan dan keceriaan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri memperuntukkan RM31 juta bagi meningkatkan kebersihan dan keceriaan membabitkan pelbagai program kebersihan dan keindahan seluruh negeri tahun ini.



Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda berkata, perbelanjaan membabitkan kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), pengindahan landskap kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta bantuan pengurusan kebersihan bandar.

Selain itu katanya, sebanyak RM1.41 juta juga diperuntukkan bagi menjayakan keseluruhan pertandingan kebersihan membabitkan kawasan kampung, sekolah, pra sekolah, tanah perkuburan, masjid dan premis makanan.

Dato’ Haji Wan Ahamad berkata demikian di majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kebersihan Sekolah-sekolah Peringkat Negeri Terengganu 2011 di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama, Penolong Setiausaha Kerajaan (Pentadbiran dan Operasi) Kerajaan Tempatan, Encik Mohd Shahrir Ghani dan Timbalan Pengarah Pelajaran, Encik Hashim Mat Zin.

“Kerajaan amat prihatin dalam soal kebersihan dan tidak pernah berkompromi dalam soal kebersihan serta bersedia mengeluarkan peruntukan besar bagi mewujudkan persaingan sihat kalangan warga pendidik dan pelajar untuk menjaga kebersihan sekolah,” katanya.

“Kejayaan sesebuah negeri bukan saja dinilai melalui pembangunan fizikal semata-mata sebaliknya perlu kaya budi bahasa, berakhlak mulia, berilmu serta mencintai kebersihan,” katanya.

Katanya, pembentukan budaya mencintai kebersihan wajar dimulakan seawal usia muda dan inisiatif kerajaan mengajurkan beberapa kategori pertandingan kebersihan secara tidak langsung menjadi serampang dua mata yang memberi impak besar pada sektor pelancongan.

Dato’ Haji Wan Ahamad kemudiannya menyarankan setiap daerah mempunyai sebuah sekolah bersih sebagai model yang boleh dijadikan sumber inspirasi dan penanda aras kepada sekolah lain disamping dapat mewujudkan persaingan sihat kalangan warga pendidik dan pelajar.

“Dengan cara tersebut buka saja sekolah dan kampung yang kelihatan bersih malah hubungan masyarakat juga menjadi erat dan harmoni,” katanya.




Sekolah Daerah Besut paling bersih dan ceria

Oleh; Esah Abdullah

Daerah Besut mendominasi dua kemenangan apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud 2, (kategori SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut (kategori SK) muncul johan dalam Pertandingan Kebersihan Kawasan Sekolah (KKKS) Peringkat Negeri Terengganu 2011.



Dengan kemenangan itu, kedua-dua sekolah berkenaan masing-masing menerima wang tunai RM5,000, plak dan sijil penghargaan.

Tempat kedua dimenangi SMK Lembah Bidong, Setiu dan SMK Tun Telanai, Marang (ketiga) manakala kategori sekolah rendah dimenangi SK Seri Bandi Kemaman (kedua) dan SK Batu 3, Dungun (ketiga).

Tempat kedua membawa pulang wang tunai RMRM3,000 dan RM2,000 (ketiga) beserta plak dan sijil penghargaan.



Pertandingan KKKS adalah antara 14 kategori yang pertandingan sebagai altenatif strategik merialisasikan agenda kebersihan kerajaan dengan tema ‘Negeri Bersih Rakyat Sihat’ yang membabitkan semua sekolah di seluruh negeri.

Sementara itu SMK Padang Midin, Kuala Terengganu muncul johan dalam Pertandingan Mural dan SK Rantau Petronas johan kategori sekolah rendah dan masing-masing menerima wang tunai RM2,000, plak dan sijil penghargaan.

SMK Seri Bandi Kemaman dan SK Bukit Payong, Marang memenangi pertandingan kain rentang dan menerima wang tunai RM500, plak dan sijil.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda telah menyampaikan hadiah kepada semua pemenang dalam majlis yang diadakan di Wisma Darul Iman hari ini.




Program ETA akan diteruskan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskan Program English Teaching Assistant (ETA) pada tahun depan bertujuan meningkatkan penguasaan dan pencapaian bahasa Inggeris di kalangan pelajar di Terengganu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Mazlan, berkata ETA yang dilaksanakan di beberapa sekolah menengah terpilih di negeri ini bakal diperluaskan ke sekolah-sekolah seluruh negara bagi melahirkan lebih ramai pelajar terbilang yang mampu menguasai bahasa Inggeris secara lebih mendalam.

Katanya, melalui konsep pembelajaran ETA, setiap pelajar nyata lebih berani menjawab soalan, tidak gentar membentang hasil kerja dan gemar menjalankan pelbagai aktiviti berasaskan penggunaan bahasa berkenaan.

“Di Terengganu, program seumpama ini sudah enam tahun dilaksanakan, bermula 2006 di mana setiap tahun terdapat 10 hingga 12 sekolah menengah dipilih untuk memberi ruang kepada pelajar universiti di Amerika Syarikat mengajar di sekolah itu.

“Inilah sebahagian daripada usaha murni yang dilakukan Kerajaan Terengganu bagi meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini di mana sebahagiannya tidak dilakukan di negeri lain,” katanya.

Menurutnya, justeru itu, tidak hairanlah jika negeri ini mencapai keputusan cemerlang pada setiap kali keputusan peperiksaan awam diumumkan dan ini menjadikan kita dicemburui negeri-negeri lain.

“Sebagai tanda penghargaan, rakyat perlu bersyukur dan berterima kasih atas segala usaha yang dilakukan pemipin kerajaan negeri bagi merealisasikan hasrat menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu,” katanya.




Kumpulan pertama jemaah haji Jeddah-KT selamat tiba

Oleh FAUZI MOHD


Kumpulan pertama 447 jemaah haji penerbangan terus dari Jeddah ke Kuala Terengganu (KT) selamat tiba dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada pukul 7.30 pagi tadi.



Menyambut ketibaan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Muhammad Ramli Nuh.

Beliau memberitahu, pihak Kerajaan negeri mengharapkan urusan Tabung Haji yang melibatkan rakyat Malaysia serta jadual penerbangan pergi dan balik tahun ini berjalan lancar.

"Alhamdulillah, setakat ini urusan yang melibatkan urusan Tabung Haji berjalan dengan lancar, kita tengok penerbangan pulang pertama jemaah haji juga telah menepati jadual.

"Dan apa-apa masalah yang dialami oleh jemaah haji ketika berada di sana juga kita dapat menyelesaikannya," katanya dalam ucapan meraikan jemaah berkenaan.

Turut hadir, Pengurus Malaysia Airport Berhad, Dr. Ahmad Ramli Mahmood.

Sebanyak enam lagi penerbangan Jeddah-KT iaitu pada keesokkan harinya, 15 November, 20, 21, 29 dan 30 November serta yang terakhir pada 1 Disember.

Sementara itu, rata-rata jemaah haji yang ditemui berkata mereka berpuas hati dengan pengurusan Tabung Haji ketika di tanah suci.

Bagi peneroka Felda Rasau Kertih II, Dungun, Ismail K.H. Muda, 66, yang bersama isterinya, Zaleha Embong, 60, berkata, sepanjang hidupnya itulah pengalaman pertama berhadapan dengan manusia yang begitu ramai.

“Semasa Tawaf selamat tinggal, pada ketika itulah paling ramai sampai nak berjalan pun payah dan itulah antara dugaan yang menguji kesabaran kita sebagai tetamu Allah.

“Walaubagaimanapun, pak cik tidak rasa susah. Dengan bantuan Tabung Haji, perjalanan lancar. Tahun depan pak cik mahu pergi lagi ke sana untuk menunaikan umrah bersama anak sulong pak cik,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Fatimah Abdullah, 60, yang berasal dari Bukit Depu, Kuala Terengganu, memberitahu, masa 55 hari di Mekah dan Madinah cukup singkat buatnya walaupun sebelum ini dia rasa itu cukup lama.

“Alhamdulillah, lapan tahun menanti akhirnya selesai hari ini,” katanya yang pergi bersama suaminya, Abdullah Hassan Muda, 60.

TED elak penyu pupus

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Perikanan Negeri Terengganu bercadang menggalakkan nelayan di negeri ini menggunakan Peranti Penyisih Penyu (TED) pada pukat tunda udang sebagai satu usaha mengelak kepupusan penyu.

Pengarahnya Encik Zakaria Ismail berkata, langkah itu penting kerana penggunaan pukat jenis tersebut dikenal pasti sebagai punca utama penyu terperangkap dan mati.
Menurutnya, masalah serupa turut berlaku secara meluas di negara-negara lain sehingga menyebabkan reptilia tersebut mengalami ancaman kepupusan.

Encik Zakaria berkata, peraturan seumpama itu telah dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS) supaya negara-negara pengeksport hasil tangkapan laut menggunakan TED pada pukat tunda mereka.

“Tanpa TED hasil tangkapan udang adalah dilarang untuk dieksport ke AS dan peraturan ini adalah merujuk kepada US Shrimp Import Embargo yang berkuatkuasa pada 1996,” katanya.

Katanya, peranti ini diperbuat daripada keluli dan boleh dipasang pada bot-bot pukat tunda bagi memastikan hanya hidupan laut seperti ikan, sotong, udang sahaja yang ditangkap.

Peralatan yang dianggarkan berharga RM650 sebuah itu telah lama digunapakai di negara luar termasuk AS, Mexico dan Australia.



RM400,000 bantuan tambahan hadapi banjir

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu bersedia menghadapi ancaman banjir lebih kritikal berbanding tahun sebelum ini dengan tambahan bantuan sebanyak RM400,000 menjadikan keseluruhan bantuan bernilai RM1.1 juta kini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Zuhami Omar memberitahu, bantuan tambahan itu kini berada di Stor Simpanan Banjir JKM di Pulau Kerengga, Marang sebagai langkah menghadapi keadaan terburuk.

Manakala bantuan bernilai RM700,000 yang sudah disediakan lebih awal pihaknya, menurut Zuhami ia sudah dihantar di 131 pengkalan hadapan di seluruh daerah di negeri ini bagi menghadapi bencana tersebut.

“Dalam masa sama kita juga sudah berbincang dengan pembekal-pembekal lain termasuk pasar raya besar di negeri ini yang bersedia memberikan stok mereka sekiranya diperlukan nanti,” katanya semalam.

Jelasnya, banjir mungkin berlaku bila-bila masa ekoran keadaan cuaca tidak menentu dan penduduk di Pantai Timur sedang melalui musim tengkujuh yang pada kebiasaannya akan berlaku banjir.

Dalam pada itu, katanya, cuti kakitangannya seramai kira-kira 600 orang juga telah dibekukan sejak 8 November lalu sebagai persediaan untuk membantu mangsa banjir dan tiada tarik bila arahan itu akan ditarik balik.

“Apa yang pasti, arahan itu hanya akan ditarik balik selepas banjir reda dan semua penduduk yang memerlukan bantuan sudah tidak memerlukannya lagi,” katanya.

Sementara itu, katanya, sebanyak 353 pusat pemindahan banjir telah disediakan di negeri ini yang boleh menampung sehingga 52,000 mangsa pada satu-satu masa.

Hasil ladang sawit Perkasa biayai anak yatim

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Kebajikan Islam Terengganu (Perkasa) yakin mampu memperolehi pendapatan tahunan kira-kira RM1.7 juta pada 2012 dan 2013 berdasarkan hasil positif dalam pelaburan perladangan kelapa sawit.

Yang Dipertua Perkasa, Yusof Musa berkata, ladang sawit seluas 611 ekar di Hulu Cukai, Kemaman melalui usahasama pertubuhan itu dengan Syarikat Tradewinds (M) Sdn. Bhd. mula membuahkan hasil.

Bermula tahun 2011 katanya, pembahagian dividen hasil ladang itu adalah mengikut kadar baru dengan nisbah 30 peratus milik Perkasa dengan jangkaan perolehan kira-kira RM1 juta pada kedua-dua tahun itu.

Menurutnya, kaedah lama sebelum ladang itu membuahkan hasil, Perkasa menerima RM375,000 pada 2008, RM360,000 (2009), RM300,000 (2010) daripada pelaburan berkenaan.

“Dengan sumber pendapatan hasil ladang kira-kira RM1 juta dan selebihnya sumbangan daripada pelbagai pihak, kita yakin mampu mengukuhkan dana Perkasa dengan perolehan RM1.7 juta untuk dua tahun berturut-turut.

“Perolehan itu mampu membiayai perbelanjaan aktiviti kebajikan 161 orang anak yatim dan gaji 22 kakitangan di asrama kita yang makin meningkat serta pengurus dan penyelia ladang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Perkasa kali ke-57 di Asrama Darul Falah, Bukit Payong, Marang Sabtu lalu yang dirasmikan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Zaidi Muda.

Tambah Yusof, Perkasa turut memperolehi hasil tambahan daripada ladang sawit yang diusahakan sendiri pertubuhan itu di Seri Bandi, Kemaman seluas 116 ekar dan di
Kuala Telemong, Hulu Terengganu seluas 9.5 ekar.

“Perkasa akan terus memikirkan peluang pelaburan terbaik termasuk sektor hartanah bagi membiayai kebajikan anak yatim dan tidak mengharapkan sumbangan orang ramai dan badan kerajaan semata-mata,” jelasnya.

Menurutnya, selain bantuan syarikat dan persendirian, Asrama Darul Falah turut mendapat peruntukan tahunan daripada Jabatan Pelajaran negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kira-kira RM700,000 setahun.

Sementara itu, Yusof kekal sebagai Yang Dipertua Perkasa untuk empat tahun akan datang apabila menang tanpa bertanding dalam mesyuarat itu.

Muka lama, Awang Taha dan Abdul Hamid Mohd. Salleh masing-masing terus diberi mandat sebagai Timbalan dan Naib Yang Dipertua pertubuhan itu.


Kunjungan MB singkap cerita lama

Oleh; Esah Abdullah

Kunjungan pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ke rumah mantan ketua Kampung Banggol Pauh, Bukit Tunggal telah menyingkap cerita lama kerana dulu dia sering turun naik pejabat Dato’ Seri Haji Ahmad (Kerajaan Tempatan) untuk menyelesaikan masalah tanah penduduk kampung.



Haji Ngah Abdullah, 87, dilihat tergamam bila menyedari Menteri Besar muncul di rumahnya kerana tidak menyangka menerima tetamu istimewa itu dan matanya berkaca bila Dato’ Seri Haji Ahmad mengengam erat tangannya.

“Ingatan ayah tidak begitu baik sekarang kadang-kadang ingat kadang-kadang tidak, tapi bila sebut ‘UMNO’ riak wajahnya bertukar ceria,” kata anak sulong Haji Ngah, Puan Khamisah Ngah,61.

Pada zaman kegemilangan politik sekitar tahun 50an, bapa kepada 18 orang anak ini begitu aktif dalam politik dan merupakan rakan karib mantan Menteri Besar Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri.

Haji Ngah menjadi ketua kampung lebih 30 tahun dan telah melepaskan jawatan berkenaan pada 2004 kerana uzur dan dia turut kehilangan orang tersayang iaitu isterinya Hajah Esah Harun yang meninggal dunia pada 2005.



Dato’Seri Haji Ahmad dalam rangka lawatan sehari ke DUN Bukit Tunggal turut berkunjung ke rumah bekas Ketua Kampung Banggol Limau, Haji Mohamad Mat Amin, 91, dan singgah ke rumah warga emas Encik Wahab Abu Bakar, dari Kampung Gong Setul yang sedang uzur.