Halaman

17 January 2012

1,577 masyarakat Cina Kemaman terima dana raya RM400,500

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI

Kerajaan negeri memperuntukkan dana sebanyak RM400,500 kepada 1,577 masyarakat Cina di Parlimen Kemaman bagi membolehkan mereka mengadakan persiapan menyambut Tahun Baru Cina tidak lama lagi.



Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, bantuan tahunan secara berperingkat itu melibatkan 1,059 penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai, DUN Kemasik (337), DUN Kijal (155) dan DUN Air Putih (26).



Menurutnya, setiap penerima mendapat agihan antara RM200 hingga RM400 bergantung kepada pendapatan dan jumlah isi rumah.

"Program ini adalah bagi membantu golongan kurang berkemampuan menjelang Tahun Baru Cina yang bukan sahaja di Parlimen Kemaman malah seluruh Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Dana Raya Tahun Baru Cina di Dewan Sri Amar, Chukai, Kemaman sebentar tadi yang turut disertai isterinya, To' Puan Seri Norliza Mahmud.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi, Dato' Mohamed Awang Tera, ADUN Kemasik, YB. Ir. Rosli Othman dan ADUN Air Putih, YB. Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar.

Tambah Dato' Seri Ahmad, selepas ini lebih banyak lagi program seperti itu akan diadakan untuk masyarakat berbilang kaum termasuk masyarakat Orang Asli dan Siam di negeri ini.


Young Turtle mahu kekal rentak kemenangan

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan yang mendapat jolokan `Young Turtle' yang kini menduduki tangga teratas Liga Super tetap mahu merebut tiga mata penuh ketika menentang Sabah malam ini sekaligus mengukuhkan cengkaman sebagai pendahulu liga.

Jurulatih pasukan berstatus kelab itu, Yunus Aliff berharap supaya anak buahnya terus mempamerkan rentak permainan yang terbaik dan tangkas ketika melayani kunjungan Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah nanti.

“Dengan semangat serta komitmen yang ditunjukkan oleh kesemua pemain, saya yakin T-Team mampu meraih kemenangan itu selain mahu mengekalkan rekod tanpa kalah ketika menentang Sabah. Tiga mata yang bakal dipungut itu amat berharga," katanya.

Menurut Yunus, pasukannya tidak banyak membuat rombakan selain berharap kesemua pemain lama serta baru terus menunjukkan persefahaman dan keserasian yang baik sepanjang perlawanan.

Katanya, walaupun berjaya mencatat dua kemenangan sebelum ini namun beliau sentiasa mengingatkan anak buahnya supaya tidak leka dengan kemenangan dan tidak memandang mudah setiap pasukan lawan.

Pasukan T-Team berjaya menduduki tangga teratas dalam Liga Super apabila berjaya mengumpul enam mata daripada dua perlawanan selepas berjaya menewaskan Kuala Lumpur dan Kedah, masing-masing dengan keputusan 3-0.




Exxonmobil iktiraf 25 guru unggul

Oleh: Aida Abd Rahman

Bagi mengiktiraf peranan guru di negeri ini dalam memacu serta memartabatkan bidang pendidikan, Syarikat Exxonmobil memperuntukkan RM37,500 sebagai ganjaran kepada 25 guru unggul seluruh Terengganu sempena majlis makan malam syarikat korporat itu, di Hotel Primula Beach, malam tadi.



Majlis anugerah anjuran syarikat cari gali minyak dan gas terkemuka itu turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang menyampaikan hadiah wang tunai RM1,500, sijil dan plak kepada setiap pemenang.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman serta Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw.



Kesemua 16 guru wanita dan sembilan guru lelaki daripada 24 sekolah rendah dan menengah itu terpilih selepas menjalani saringan dan proses temuduga daripada 100 permohonan awal kepada syarikat itu.

Penolong Pengurus Pengeluaran Subsidiari ExxonMobil, Mr J Hunter Farris, berkata majlis penganugerahan itu bertujuan memberi pengiktirafan dan mennghargai perkhidmatan golongan pendidik yang berjaya menunjukkan pencapaian serta prestasi cemerlang dalam memperkasa pendidikan anak negeri ini.

"Exxonmobil sentiasa menyokong usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan kesedaran kepada rakyat mengenai kepentingan pendidikan yang baik. Malah, kita percaya pendidikan yang cemerlang lahir daripada guru yang unggul," katanya.



Kanu Terengganu lancar pusat latihan kedua di Pulau Kekabu

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Kanu Negeri Terengganu terus mengaktifkan pembangunan sukan kanu di negeri ini apabila melancarkan pusat latihan kedua di Pulau Kekabu, Marang petang semalan.



Pusat yang berharga RM150,000 itu dilancarkan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Zainal Abidin Hussin berfungsi sebagai tempat latihan, aktiviti kejurulatihan dan persediaan kejohanan selepas pusat latihan pertama di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Zainal Abidin berpuas hati dengan prestasi skuad kanu Terengganu yang mendominasi pungutan pingat dalam Sukan Malaysia (Sukma) sejak tahun 2008 lebih-lebih lagi ia mendapat pengawasan terus daripada para jurulatih berpengalaman.

"Apabila melihat begitu ramai pelapis sukan kanu yang sedang giat menjalani latihan, kami yakin Terengganu akan terus unggul dalam sukan ini untuk beberapa tahun lagi," katanya dalam lawatan ke pusat itu semalam.

Turut hadir, Presiden Persatuan Kanu Negeri Terengganu, Dzulkifli Abas yang juga Presiden Persatuan Kanu Malaysia.

Pusat latihan dua tingkat itu dilengkapi kemudahan bilik penginapan untuk 25 orang dan stor peralatan serta arena latihan di muara Sungai Marang dan laut.

Sementara itu, Dzulkifli memberitahu, walaupun sukan kanu tidak dipertandingkan pada Sukma di Pahang Julai nanti, pasukan itu tetap meneruskan latihan bagi menghadapi kejohanan lain yang dianjurkan.

"Berdasarkan kekuatan dan prestasi semasa atlit yang ada, kami yakin akan terus mempertahankan sekurang-kurangnya 10 emas untuk kejuaraan Sukma tiga tahun lagi pada tahun 2013, 2014 dan 2015," jelasnya.



16 January 2012

Terengganu naib johan SDSI 2011

Oleh: Aida Abd Rahman

Usaha berterusan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) meningkatkan bilangan usahawan di negeri ini ke tahap lebih global serta memaju dan menambah daya saing mereka semakin berhasil apabila berjaya muncul naib johan keseluruhan pada Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Showcase 2011 baru-baru ini.

Dalam pertandingan yang berlangsung tiga hari, di Melaka International Trade Centre (MITC), Terengganu berjaya menggondol hadiah utama bagi Kategori Produk Minuman Terbaik yang mengetengahkan produk Roselle dan Kategori Produk Kraf Terbaik menerusi `Terengganu Leather’.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata inisiatif yang digembeleng YPU serta usahawan dengan menampilkan produk berkualiti dan diterima pengguna membolehkan Terengganu muncul naib johan dan menggondol wang tunai RM75,000.

Manakala kemenangan di tempat pertama bagi kedua-dua katagori itu membolehkan masing-masing mendapat RM4,000.

Dalam pada itu, program SDSI diperkenalkan sebagai Satu Kampung Satu Produk (SKSP) pada 1992, sebelum program ini dikembangkan menjadi Satu Kampung Satu Industri SKSI) pada 2002 dan setahun kemudian ditukar kepada SDSI.

SDSI meliputi skop lebih luas yang berkonsepkan pembangunan produk atau perkhidmatan yang beridentitikan satu daerah yang menghasilkan produk secara komersial untuk menarik minat pelancong ke kawasan itu.

Program ini menjurus ke arah pembangunan budayamasyarakat kreatif dan berinovasi sekaligus memupuk keharmonian bermasyarakat melalui aktiviti sosio-ekonomi secara komuniti.

Konsep baru dilaksanakan pula berorientasikan model perniagaan yang lebih berdaya tahan dan berdaya maju serta mempunyai rantaian nilai tambah yang tinggi untuk mendapat manfaat sepenuhnya.

Melalui konsep ini, SDSI tidak dianggap semata-mata pekerjaan sampingan dan pendapatan tambahan yang boleh mmebasmi kemiskinan, sebaliknya sebagai satu bentuk perniagaan yang mampu menjana potensi serta prospek yang menjamin pendapatan berterusan.



Langkah segera kerajaan selamat pantai

Oleh; Esah Abdullah



Kerajaan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah hakisan pantai yang berlaku di pantai Tok Jembal untuk menyelamatkan lebih banyak harta awam dihanyut ombak ke laut.



Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, projek pengawalan hakisan pantai sedang dilaksana melalui empat fasa membabitkan anggaran peruntukan RM19 juta.

“Fasa pertama membabitkan jajaran perlindungan pantai sepanjang 515 meter (m) dengan kos RM2.5 juta,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke pantai berkenaan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri itu menambah RM6.5 juta lagi untuk fasa dua (1035m) dan RM1.3 juta projek perlu naik taraf (250m) di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurutnya, cadangan baru sejauh 1750 meter pula dijangka menelan belanja RM10 juta dan kesemua fasa ini sedang dilaksanakan satu persatu.

“Apa yang dilakukan ini berbentuk sementara bagi mengelak keadaan menjadi lebih parah dan kerajaan sedang menunggu peruntukan Kerajaan Pusat untuk membina benteng kekal di situ,” katanya.

Tambahnya, kawasan Pantai Tok Jembal sebelum ini menjadi lokasi tumpuan masyarakat tempatan yang membawa keluarga bersantai di hujung minggu di samping menjamu selera dengan keropok, ikan , sotong serta udang celup tepung yang memang digemari ramai.

“Saya difahamkan setiap minggu lebih 2,000 orang berkunjung ke pantai ini tetapi kini tidak seceria dulu apabila lebih 100m kawasan pantai terhakis dan beberapa kemudahan awam termasuk bangku dan pondok rosak,” katanya.

Beliau menaruh keyakinan siapnya projek ini, tumpuan pelancong lebih ramai dan ini menaikkan nama Seberang Takir sebagai destinasi popular di negeri ini.




Pemuda Marang dekati masyarakat Tionghua

Oleh: Aida Abd Rahman

Sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi Pemuda Umno Marang mengambil inisiatif menganjurkan Program Jelajah 1Malaysia bagi mendekati masyarakat Tionghua di sekitar parlimen itu, kelmarin (13 Januari).

Ketuanya, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata sebanyak 250 hamper makanan diagihkan kepada masyarakat itu hasil lawatan dari rumah ke rumah melibatkan enam kawasan kampung dan juga taman di sekitar Marang sejak jam 8 pagi lagi.
Beliau yang merangkap Ketua Pemuda Umno negeri, berkata antara kampung yang dilawati termasuk Taman Padang Midin, Taman Tasik Wakaf Dua, Taman Seri Kiambang, Taman Jasa Padang Midin, Kampung Pengadang Baru dan Kampung Tiruk.

“Program itu bagi mengeratkan jalinan muhibah dan perpaduan di kalangan Pemuda dengan masyarakat Cina, selain sama-sama memeriahkan sambutan perayaan Gong Xi Fa Cai yang bakal diraikan masyarakat itu beberapa hari lagi.

“Penglibatan lebih 30 Pemuda Umno dalam program itu juga membuktikan keprihatinan dan jalinan kemesraan antara kita tanpa mengira kaum sejajar dengan konsep 1Malaysia,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Beliau berkata, program yang julung kali dijalankan itu juga turut mendekati penduduk kampung sambil menikmati makan tengah hari yang disediakan di rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Binjai Berambu di Parlimen Marang, Encik Ramli Sulong.

“Kami berhasrat untuk meneruskan lagi program seumpama ini kerana ia memberi impak yang amat positif selain memupuk budaya perpaduan dan ikatan persaudaraan yang lebih kuat,” katanya.

Sebelum itu, pihaknya turut menganjurkan program `Jom sekolah’ pada hari pertama sesi persekolahan yang mendekati kira-kira 800 murid di lima sekolah sekitar Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, baru-baru ini.

“Program itu berjaya mendekati murid-murid selain mengagihkan sumbangan alat tulis bagi menaikkan moral dan semangat mereka belajar bermula awal tahun lagi,” katanya.



T-Team mula rasai sentuhan Simokonda

Oleh FAUZI MOHD

Jurulatih T-Team, Yunus Alif mengakui pemain import dari Zambia, Zacharia Simukonda mula menunjukkan sentuhan sebenarnya.



Katanya, pengalaman Simukonda yang pernah beraksi dalam saingan tempatan sebelum ini adalah aset terbaik kepada pasukan untuk berdepan cabaran lebih getir selepas ini.

“Ramai yang mempersoalkan prestasinya ketika kami menang ke atas Kedah minggu lalu, namun dia telah buktikan dengan menjaringkan satu gol buat pasukan.

“Saya sangat percaya dengan kemampuannya sebagai penjaring dan sebab itulah kami mengambil keputusan untuk membawa dia bermain bersama pasukan ini,” ujarnya lagi.

Pada aksi kedua Sabtu lalu, T-Team membelasah Kuala Lumpur 3-0, sekali gus mengulangi keputusan sama ketika menewaskan Kedah di Kuala Terengganu.


Beri ganjaran jika berjaya kutip hasil

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri berhasrat memberi ganjaran setimpal kepada Pejabat Tanah di negeri sekiranya berjaya mengutip 85 peratus hasil tahunan daripada keseluruhan hak milik tanah di daerah masing-masing.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata urusan masyarakat berkaitan tanah semakin hari semakin rancak perjalanannya. Jangka masa proses berkaitan permohonan tanah, serah balik beri milikan semula, tukar syarat, pecah bahagian dan pecah sempadan dapat disingkatkan.

“Sebagai contoh, sebanyak 1,832 permohonan tukar syarat dapat diselesaikan dengan sempurna bagi tahun lalu berbanding 1,328 permohonan bagi 2010.

“Jangka masa proses tukar syarat telah dipersetujui untuk sampai ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam tempoh tidak sampai tiga bulan,” katanya ketika berucap di satu majlis baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap bagi tahun ini, proses sama dapat disingkatkan lagi sehingga tempoh 30 hari di Pejabat Tanah di setiap daerah sebelum di hantar ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) untuk dibawa kepada pertimbangan MMKN.

“Saya percaya perkara ini boleh dilaksanaka jika semua pihak yang terlibat mampu melakukan anjakan paradigm dan tugasan masing-masing.

“Kesemua warga pentadbiran daerah juga perlu mahir dengan sistem atas talian pengurusan tanah yang sedia di jabatan masig-masing seperti e-Convert, e-Consent dan e-Mohon supaya proses permohonan dapat dipercepatkan,” katanya.


Dua pemain import Terengganu ke Bumi Kenyalang hadapi Sarawak

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menerbangkan dua pemain import ke Bumi Kenyalang bagi membantu Skuad Penyu menentang Sarawak sekiranya lulus pemeriksaan kesihatan hari ini.



Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh berkata, pemeriksaan kesihatan itu menjadi satu syarat kepada pemain-pemain asing oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Kita sedang menunggu keputusan pemeriksaan kesihatan daripada hospital,” katanya hari ini.

Dalam Liga Super tahun ini, Terengganu menggunakan khidmat dua pemain import iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil.

Abdullah berkata, beliau berharap masalah itu akan selesai hari ini bagi membolehkan kedua-dua pemain itu beraksi di Stadium Negeri Sarawak, Kuching malam esok setelah Terengganu mengharungi dua perlawanan sebelum ini tanpa pemain import.

Sementara itu, jurulatih Mohd Zan Mat Aris berkata, Terengganu akan turun sebagai ‘underdog’ apabila bertemu Sarawak di Kuching malam esok.

Menurutnya, ini kerana pasukan bumi kenyalang itu merupakan antara pasukan terbaik dan boleh menggugat Terengganu dalam pertandingan Liga Super musim ini.

Bekas jurulatih Kuala Lumpur itu berkata, beliau telah mengingatkan anak-anak buahnya supaya memberikan persembahan terbaik bagi memastikan Terengganu tidak kecundang.

Mohd Zan berkata, kecederaan beberapa pemain tidak merisaukannya kerana pasukan itu mempunyai ramai pemain simpanan yang tidak kurang hebatnya untuk diturunkan.

Terengganu yang juga juara Piala FA 2011 setakat ini memperolehi tiga mata hasil kemenangan 3-0 menentang pasukan Felda United baru-baru ini dan kalah dengan pasukan Perak 0-1.