Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi Gambar oleh Nurul Aziela SabriKolej Universiti TATI (TATIUC) akan mengendalikan salah satu modul khas untuk melatih tenaga mahir dalam bidang pengurusan rumahtangga atau ‘Home Manager’ bagi mengurangkan kebergantungan rakyat negara ini terhadap khidmat amah dari negara asing khususnya dari Indonesia.
Rektornya, Dr. Mohd Rozailan Mamat @ Ibrahim berkata, modul khas yang dikendalikan TATIUC untuk kursus yang diperkenalkan di bawah Kementerian Sumber Manusia itu adalah dari segi teknikal dan keselamatan.
Menurutnya, cadangan agar TATIUC mengendalikan salah satu modul untuk kursus terbabit disuarakan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) Kementerian Sumber Manusia dan ia telah dibincangkan.
Katanya, kursus pengurusan rumah tangga itu dijangka bermula dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi dan ia juga menjadi projek eksperimen untuk melihat potensi pasaran tempatan.
“Dengan adanya kursus ini, kita berhasrat untuk menyediakan tenaga mahir sebagai pengurus rumahtangga atau pembantu rumah yang berkualiti. Mereka ini tidak semestinya perlu tinggal di rumah majikan sebaliknya boleh bekerja sebagaimana waktu pejabat kerana ada juga majikan mahukan privasi.
“Selain itu, dengan jadual kerja yang fleksibel, pengurus rumahtangga ini juga tidak semestinya hanya boleh bekerja di sesebuah rumah sahaja sebaliknya mereka juga boleh berkerja di rumah lain dalam satu-satu masa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Program Peningkatan Kemahiran Industri (Insep) dan Latihan Kemahiran
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk sesi 2009-2011 yang diadakan di Dewan Besar Kampus Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) TATIUC, Teluk Kalong.
Perasmian dan penyampaian sijil kepada seramai 170 pelajar disempurnakan Ketua Eksekutif PTPK, En. Ali Badaruddin Abd Kadir.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd Rozailan berkata, mengikut perbincangan yang telah dilakukan skim latihan pengurusan rumah tangga itu dilakukan secara sistematik dan akan ada sebuah syarikat khusus yang akan menguruskannya.
“Kursus ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan setakat ini permohonan yang diterima juga menggalakkan malah untuk sesi pertama kursus ini calonnya pun sudah ada iaitu seramai 25 orang ,” katanya.
Menurutnya, selain mengendalikan salah satu modul untuk skim latihan itu, TATIUC juga bakal memperkenalkan beberapa lagi kursus latihan baru untuk tahun ini iaitu kursus ‘Remote Automatic Vehicle’ untuk bidang robotik bagi memenuhi kehendak industri.
Menyentuh mengenai majlis penyampaian sijil terbabit, katanya, sejak 2002 TATIUC telah melatih seramai 1,000 orang graduan untuk meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang kejuruteraan di mana latihan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu para graduan menambahkan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu.
“Pelajar yang memperoleh sijil kali ini telah mengikuti kursus bermula 2009 hinggalah 2011. Sebanyak 22 kursus ditawarkan melalui Program Insep dan Ecer antaranya ‘Non-Destructive Testing’, ‘Industrial Motor Control’ dan ‘Product Engineering’,” katanya.