Halaman

22 February 2013

Tuah Azlan daftar saat akhir

Oleh: Aida Abd Rahman

Pendaftaran saat-saat akhir bagi menyertai pertandingan memancing membawa tuah kepada seorang nelayan di Marang apabila membawa pulang hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah motosikal Modenas Kriss bernilai lebih RM5,000 sempena Karnival Pancing Ikan Darat Terbuka 1Malaysia Mesra Rakyat, di Kampung Gong Baru Gong Tok Nasek, hari ini.



Mohd Azlan Salleh, 37, dari Kampung Seberang Marang yang sudah sepuluh kali menyertai pertandingan memancing anjuran Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) berkenaan tidak menduga penyertaan kali ini menyebelahinya untuk membawa pulang hadiah utama.

“Saya terkejut apabila empat angka pada cabutan bertuah yang diumumkan pengacara majlis satu persatumenepati nombor saya `4577’. Malah, saya tiba di tapak program dan mendaftar pada saat-saat akhir ketika masa pertandingan hanya berbaki enam minit sahaja lagi sbelum bermula.

"Nampaknya tahun ini rezeki memihak kepada saya untuk membawa pulang motosikal ini. Hadiah ini menambah kenderaan yang saya miliki kini dan saya berhasrat menghadiahkannya kepada isteri saya, Wan Rohaya Yaakob, 29  untuk kegunaan sehariannya,” kata bapa kepada empat cahayamata itu.

Program anjuran JKKK Kampung Gong Baru Gong Tok Nasek di parit kampung itu dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Menteri Besar turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah dan pemenang pertandingan memancing berkenaan.

Program yang bermula dari jam 9 pagi dan berakhir sembilan jam kemudian turut menyediakan pelbagai acara menarik termasuk teka biji betik, pameran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pemeriksaan kesihatan percuma.


Menteri Besar: Pemimpin PAS jahil ketika mentadbir Terengganu

Oleh: Mohammad Ishak

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mendedahkan betapa buruk dan jahilnya PAS dan pemimpin parti pembangkang itu ketika memerintah Terengganu pada 1999 hingga 2004.

Katanya, antara kejahilan dan keburukan itu apabila banyak syarikat milik kerajaan negeri dijual sehingga ada yang terpaksa dilelong oleh bank atau lenyap tidak dapat dikesan.

Beliau berkata, beberapa syarikat milik kerajaan negeri yang mempunyai pegangan saham seperti A&W, Medic Air, Pelangi Air dan sebuah syarikat yang terbabit dalam pengurusan dermaga di Kemaman iaitu West Wharf yang dilelong oleh bank.

“Kita kecewa dalam tempoh lima tahun semasa PAS memerintah negeri ini (1999-2004) banyak perkara yang dilakukan membabitkan syarikat keraaan. “PAS telah menjual syarikat A&W milik kerajaan Terengganu yang baru mendapat lesen untuk membuka cawangan di Singapura, Manila (Filipina) dan juga di Bangkok (Thailand).

“Kerajaan negeri (ketika zaman pimpinan bekas Menteri Besar Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad) membabitkan diri dalam perniagaan ‘fast food’ adalah sebagai usaha untuk memperluaskan produk halal ini. 

Beliau berkata, PAS menjual syarikat itu apabila memerintah negeri ini. “Begiutu juga dengan syarikat penerbangan Medic Air yang lenyap begitu saja dan saya cuba kesan failnya tetapi tak jumpa.

“Kita tak tahu apa jadi pada Medic Air dan ke mana pergi kapal terbang dan juga pelangi Air yang dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

Ahmad berkata, lebih menyedihkan lagi apabila kerajaan PAS ketika memerintah negeri ini juga gagal menjelaskan pinjaman bank bagi pembinaan pelabuhan West Wharf di Kemaman yang dibina oleh kerajaan BN sebelum itu.

Disebabkan  kerana kepetingan politik, PAS membiarkan pelabuhan itu yang dibina dengan harga RM80 juta dilelong oleh bank yang diambil oleh sebuah syarikat di Kuala Lumpur dengan harga RM12 juta yang membabitkan kawasan tanah industry seluas kira-kira 280 hektar.

“Tetapi, kita mengambil langkah mengambil semula West Wharf yang membabitkan tanah seluas 240 hektar dan saham syarikat itu menerusi pembelian secara pakej bernilai RM240 juta dan akan diselesaikan dalam masa terdekat. “Pembelian semula West Wharf ini yang PAS membiarkan bank lelong untuk memblehkan kita (kerajaan negeri) mengendalikan pengurusan dan perniagaan kargo yang mampu memberi  pendapatan lumayan,” katanya.

Ditanya PAS menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) seperti binatang yang diberikan makanan, beliau berkata ia amat keterlaluan.

Sambil melahirkan  rasa kesal dan sedih, beliau berkata tuduhan itu didakwa turut dilemparkan oleh Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu ceramahnya dalam majlis PAS Ganti UMNO di negeri ini.

Katanya, bekas artis yang juga bekas pelawat Bob Lokman kini menyertai PAS juga dalam ceramahnya menyamakan penerima BR1M sama seperti ayam yang dating apabila ditabur makanan. “Terbaru saya juga diberitahu Abdul Hadi dalam ucapanya (ceramah PGU) baru-baru ini di negeri ini menyebut mereka yang menerima bantuan kerajaan BR1M sebagai binatang yang diberi makan.

 “PAS juga sebenarnya menghina penyokongnya sendiri yang juga ramai menerima BR1M. “Saya meminta penyokong PAS yang menerima bantuan ini yang turut dilabelkan seperti binatang oleh pemimpin mereka jangan undi PAS pada pilihan raya ini (PRU-13),” katanya.

Syukur dapat rumah yang selesa

Oleh; Esah Abdullah

“Saya bersyukur dan berpuas hati dapat tinggal di rumah baru dan selesa berbanding rumah lama yang uzur,” kata Encik Mohamad Muda, 61, orang kelainan upaya (OKU) dari Kampung Tanjung Kapor, Ladang.

Katanya, beliau percaya kerajaan tidak akan menganiaya rakyat lebih-lebih lagi golongan miskin kerana sentiasa menerima pelbagai bantuan sejak dulu hingga sekarang.

Encik Mohamad merupakan pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebelum ini tidak pernah memiliki rumah sendiri tetapi tinggal menyewa dari satu tempat ke satu tempat dan terakhir menyewa di Kampung Tanjung Kapor.



“Walau pun selama 30 tahun tinggal menyewa, saya tidak pernah berputus asa memohon rumah daripada kerajaan dan setiap kali gagal saya anggap belum ada rezeki,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan kunci Pangsapuri Ladang Gemilang 2 semalam.

Bapa kepada tiga anak itu yang aktif sejak zaman remaja dan pernah menjadi jawatankuasa pemuda UMNO dan cawangan serta tidak pernah terpengaruh dengan ceramah pembangkang yang sering memburukkan kerajaan memerintah.

“Saya yakin dengan keikhlasan dan kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) bantu rakyat dan pembangkang hanya suka menangguk diair keruh,” katanya.

Seorang lagi penerima kunci pangsapuri berkenaan ialah Encik Yeo She Tang, 68, mengucap terima kasih kepada kerajaan yang sediakan rumah selesa kepada rakyat.

Beliau yang berasal dari Jalan Banggol, dan tinggal menyewa di Kampung Tanjung Kapor melahirkan rasa gembira kerana tersenarai sebagai kumpulan pertama memasuki pangsapuri itu.

 



Nelayan Marang dapat elaun sara hidup

Oleh :Amirullah Othman 

Seramai 604 orang nelayan dalam Parlimen Marang mendapat elaun sara hidup daripada kerajaan Barisan Nasional sebanyak RM200 seorang di Dewan Pusat Sumber Negeri Terengganu, semalam.

Program itu dirasmikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), YB. Dato’ Haji Yahya Khatib Mohamad yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Marang.

Turut hadir di majlis itu, Y.B. Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, Pegawai Pembangunan Parlimen Marang; Pengarah LKIM Negeri Terengganu, Encik Wei Fu Kui dan ketua-ketua jabatan serta pemimpin masyarakat.

Dato’ Yahya Khatib dalam ucapannya berkara, Kerajaan BN mengharapkan sokongan warga nelayan secara berterusan bagi membolehkan lebih banyak program untuk kebajikan mereka dilaksanakan di masa depan.

Beliau yakin lebih banyak lagi bantuan diberikan oleh kerajaan akepada penduduk negeri ini jika mandat diberikan kepada BN pada PRU- 13 nanti.

Beliau juga berharap tidak akan berlaku kekacauan dan pergaduhan dalam PRU 13 dan golongan nelayan tidak berbelah bagi untuk mengundi calon-calon BN di peringkat DUN dan Parlimen.

 Pada majlis itu juga semua warga nelayan diberikan jaket keselamatan sumbangan daripada AmBank (M) Kawasan Terengganu dan Kelantan.

 

YPU lahir pelapis industri batik

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) memilih 20 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada golongan miskin untuk menyertai Program Inkubator Batik bagi melahirkan usahawan industri batik.

Program berkenaan diperkenalkan khusus oleh YPU bagi mengembangkan industri batik serta melahirkan usahawan yang mampu memasarkan produk ke peringkat antarabangsa.

Langkah tersebut bukan saja bertujuan meningkatkan taraf ekonomi keluarga berkenaan, tetapi juga memastikan industri batik tidak pupus berikutan bilangan pengusaha yang semakin berkurangan.

Ketua Pegawai Eksekutif (YPU), Encik Azmi Razik, berkata bakal pelatih berkenaan akan diberi elaun bagi menyara hidup mereka sepanjang mengikuti kursus berkenaan.

Beliau berkata, dua syarikat iaitu STR Batik Sdn Bhd dan Khamis Batik sudah dilantik oleh YPU sebagai inkubator bagi melatih pelajar mengenai selok belok proses pembuatan batik secara lebih cekap dan moden.

"Syarikat berkenaan dilantik bagi menyertai program ini kerana ia mempunyai reputasi cemerlang di bidang industri batik negara dan rekaannya berpotensi diketengahkan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, pelatih program berkenaan akan menjalani latihan di Kota Batik Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) yang dilengkapi dengan kemudahan pusat latihan dan demonstrasi membuat batik.

Manakala syarikat yang dipilih sebagai inkubator akan dilakukan secara bergilir-gilir di mana pihak pengurusannya diberi kontrak bagi tempoh tiga tahun.

"Selepas itu, pihak kami akan memilih syarikat lain yang berpotensi sebagai inkubator bagi melatih pelajar di bidang pembuatan batik,” katanya. Pada masa yang sama, YPU juga menjalinkan kerjasama dengan Terengganu Institute Design Excellence (TIDE) bagi mendapatkan kepakaran di bidang batik kontemporari.

 
Kerajaan BN mampu laksana pembangunan

 Oleh: Suriati Ali Kerajaan Barisan Nasional (BN) yakin pembangunan yang dirancang di seluruh bandar Kuala Terengganu dalam tempoh lima tahun akan datang hanya akan berjalan lancar, sekiranya parti mendapat mandat baru pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pelbagai pembangunan yang sudah dirancang serta bakal dibangunkan di seluruh Bandar Raya Kuala Terengganu itu juga turut memberi manfaat kepada 20,000 pengundi Tionghua yang tinggal di kawasan itu.

 “Antara pembangunan itu, bangunan Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu 30 tingkat dan satu lagi blok bangunan di Kampung Tanjung dengan reka bentuk yang sama setinggi 31 tingkat.

“Kita akan melakukan semua ini dalam masa lima tahun akan datang, sebab itu kita perlukan mandat baru dan memenangi PRU13 dengan kemenangan yang besar,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam bersama Masyarakat Cina, di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw.

 Menteri Besar berkata, bukan hanya sokongan diperlukan, masyarakat Tionghua juga diingatkan tidak terpengaruh dengan desakan dan propaganda pihak luar memandangkan apa yang sudah dikecapi semua kaum di negara ini kini amat selesa, harmoni dan terhindar dari masalah.

 “Saya sebenarnya bersifat terbuka, kata orang, `ada ubi ada batas, ada hari boleh balas’. Kita tidak minta pergi berperang, atau sebagainya.

Cuma minta dalam tempoh lima tahun sekali pergi menunaikan tanggungjawab mengundi itu sahaja.

 

Tambahnilai di bidang pendidikan bukti Kerajaan Negeri prihatin

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menambahnilai dalam bidang pendidikan untuk melahirkan anak-anak Terengganu yang cemerlang dalam peperiksaan demi masa depan yang terbilang.

Yayasan Terengganu adalah salah satu badan yang dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk memartabatkan bidang pendidikan di negeri ini.

Pelbagai kaedah dilaksanakan untuk meningkatkan mutu pendidikan seperti menaiktarafkan sekolah biasa kepada sekolah premier,menampung sekolah berasrama penuh,mewujudkan sekolah imtiaz dan menghantar mereka yang berjaya ke luar negara untuk menyambung pelajaran.

Menurut Encik Che Mazlan Che Wil selaku Penolong Ketua Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Yayasan Terengganu, pelbagai bantuan disalurkan melalui Yayasan Terengganu untuk membantu rakyat tempatan mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

“Yayasan Terengganu telah menghantar pelajar-pelajar ke luar negara seperti Rusia,Jordan dan sebagainya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang di pilih dengan kos yang tinggi dan di biayai sepenuhnya melalui pinjaman.Untuk yang berminat menjadi juruterbang juga boleh memohon kepada Yayasan Terengganu dan yang berjaya akan di hantar ke negara China.”

 “Oleh sebab itu,sebagai langkah permulaan untuk menggalakkan mereka yang berjaya untuk meneruskan perjuangan demi masa depan,pihak kami memberi penganugerahan hadiah kecemerlangan pelajar kepada mereka yang berjaya dalam peperiksaan setiap tahun.

Ini adalah kali ke 34 majlis ini di adakan oleh Yayasan Terengganu bagi meraikan mereka yang berjaya dalam upsr dan pmr 2012.” kata beliau semasa berucap di Majlis Penganugerahan Hadiah Kecemerlangan Pelajar peringkat Dun Kuala Berang.

Majlis tersebut dirasmikan YB Tuan Haji Mohd Zawawi Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuala Berang.Turut hadir wakil Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu,ibu bapa serta pelajar yang telah berjaya dalam upsr dan pmr 2012 dalam dun Kuala Berang.

21 February 2013

Kos asal RM15 juta baik pulih Stadium SMZA tidak berubah

Oleh: Noraini Jusoh

Kos asal RM15 juta untuk membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) tidak akan berubah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib.

Beliau berkata, kerugian akibat kerangka bumbung SSMZA yang sedang dalam proses baik pulih runtuh kira-kira jam 11.30 pagi semalam, akan ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor yang bertanggungjawab dan soal kenaikan kos yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri bagi meneruskan projek baik pulih tersebut tidak akan timbul.

"Kesilapan kaedah kerja oleh pihak kontraktor antara punca berlakunya kejadian yang tidak diingini itu.

"Sebelum kerja-kerja membaik pulih bumbung itu dijalankan kajian integriti telah kita lakukan dan cadangan kaedah kerja yang dikemukakan oleh pihak kontraktor untuk membuka kerangka bumbung itu tidak tepat,” katanya pada sidang media di Bangunan Umno Negeri, malam tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat kelemahan struktur utama bumbung setelah melalui beberapa proses menurunkan kerangka di bahagian tengah bumbung dimana proses baik pulihnya dijadualkan siap sepenuhnya 24 Februari ini.

Difahamkan, struktur kerangka bumbung yang runtuh itu adalah sepanjang 137 meter iaitu dua pertiga daripada keseluruhan struktur bumbung yang mahu diruntuhkan.

Semalam, lima daripada lapan pekerja binaan yang sedang menjalankan kerja-kerja memotong kerangka lama bumbung stadium itu cedera apabila kerangka lama bumbung SSMZA yang dalam proses baik pulih itu tiba-tiba runtuh.

 

Peniaga Pasar Payang lega

Oleh: Suriati Ali

 Keputusan Menteri Besar membenarkan peniaga Pasar Payang di ruang pasar basah tidak akan dipindahkan ke Pasar Cabang Tiga sebagaimana cadangan asal nyata melegakan golongan itu.

 Bagaimanapun kelonggaran yang diberi itu bersyarat di mana peniaga pasar basah dikehendaki berdisiplin dan mematuhi peraturan ditetapkan.

 Langkah itu cukup penting bagi memastikan premis jualan mereka kemas dan bersih sejajar dengan konsep perniagaan moden seperti di pasar raya terkemuka lain.

 Keputusan itu dicapai hasil daripada pertemuan ahli jawatankuasa Persatuan Penjaga dan Peniaga Melayu cawangan Kuala Terengganu dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Peniaga di Pasar Payang tidak akan dipindahkan ke tapak lain ekoran cadangan kerajaan negeri untuk membina kompleks bersepadu yang menempatkan pasar baru, selain hotel dan pangsapuri.

 Sebelum ini, kebanyakan mereka berasa resah dan mengakui tidak tidur lena selepas menerima berita berkaitan itu, ditambah pula dengan hasutan pihak tidak bertanggungjawab. Peniaga ikan di pasar itu, Mustafa Kamal, berkata pihaknya seboleh-bolehnya tidak mahu berpindah kerana sudah serasi dengan keadaan dan suasana Pasar Payang. “Ada di antara kami, lebih 30 tahun bersama-sama mencari rezeki dilokasi itu. Jika kami berpindah ke Pasar Chabang Tiga mungkin hubungan kami menjadi kurang akrab kerana terpaksa berpisah. “Apatah lagi terpaksa bersaing dengan peniaga barangan sama, selain pilihan pelanggan terhadap barangan keperluan juga terhad kerana peniaga pelbagai barangan terpaksa diasingkan,” katanya. Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, keadaan Pasar Payang yang ada sekarang sudah tidak sesuai kerana sempit, kotor dan mencemarkan imej Bandar Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air. Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk membina semula Pasar Payang dengan pelbagai kemudahan moden dan struktur baru supaya lebih selamat dan mampu menarik lebih ramai pelancong membeli-belah di situ. Mengulas mengenai persetujuan itu, Menteri Besar berharap ia tidak lagi menjadi isu dan meminta semua peniaga di Pasar Payang tidak melayan sebarang hasutan daripada pihak lain, khususnya pembangkang yang cuba mempolitikkan isu berkenaan. “Bagi pihak kerajaan kita akan melakukan yang terbaik bagi menjaga kebajikan dan keselesaan peniaga, tetapi pada masa yang sama peniaga pula perlu menjaga tempat perniagaan supaya sentiasa bersih. “Mereka tidak boleh sepanjang masa mengharapkan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu memantau keadaan ini kerana persekitaran yang bersih amat penting bagi menarik pelanggan, khususnya pelancong dari luar Terengganu,” katanya.

Dana khas bantu rakyat miskin dapat rawatan terbaik

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.5 juta untuk Tabung Dana Khas Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan pada tahun ini bagi membantu rakyat miskin mendapatkan rawatan terbaik.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, dana khas yang mula diperkenalkan pada 2007 itu menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta setahun.

"Walau bagaimanapun, bermula 2012 jumlah tersebut ditambah menjadi RM2.5 juta bagi membantu lebih ramai pesakit yang tidak berkemampuan.

"Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang menyediakan dana khas sebegini bagi membantu meringankan beban rakyatnya terutama yang menghadapi masalah kewangan untuk mendapatkan rawatan sempurna,” ujarnya ketika ditemui Teganukita, hari ini.

Katanya, dibawah dana tersebut pesakit dibantu untuk membeli peralatan rawatan contohnya seperti kaki palsu dan bagi pesakit lumpuh umpamanya, perbelanjaan untuk keperluan harian seperti lampin pakai buang dan bekalan susu khas turut diberikan.

Menurut beliau, pesakit yang ingin mendapatkan bantuan melalui dana tersebut perlu membuat permohonan melalui pihak hospital.

"Setiap pesakit yang mendapat bantuan merupakan kes yang dirujuk kepada hospital dengan laporan lengkap yang disediakan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan.

"Sekiranya bukan pesakit di hospital mereka boleh mengambil borang permohonan bantuan melalui Unit Kerja Sosial, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu atau di Pejabat Dewan Undangan Negeri masing-masing tetapi mesti mendapatkan perakuan daripada doktor terlebih dahulu,” jelasnya.

Katanya, setelah permohonan diperakui oleh pihak hospital ia akan dihantar kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan apabila telah diluluskan proses pembayaran atau sumbangan bantuan akan dilakukan oleh Unit Kewangan, Pejabat Setiausaha kerajaan Negeri Terengganu.