Halaman

21 February 2013

Kos asal RM15 juta baik pulih Stadium SMZA tidak berubah

Oleh: Noraini Jusoh

Kos asal RM15 juta untuk membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) tidak akan berubah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib.

Beliau berkata, kerugian akibat kerangka bumbung SSMZA yang sedang dalam proses baik pulih runtuh kira-kira jam 11.30 pagi semalam, akan ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor yang bertanggungjawab dan soal kenaikan kos yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri bagi meneruskan projek baik pulih tersebut tidak akan timbul.

"Kesilapan kaedah kerja oleh pihak kontraktor antara punca berlakunya kejadian yang tidak diingini itu.

"Sebelum kerja-kerja membaik pulih bumbung itu dijalankan kajian integriti telah kita lakukan dan cadangan kaedah kerja yang dikemukakan oleh pihak kontraktor untuk membuka kerangka bumbung itu tidak tepat,” katanya pada sidang media di Bangunan Umno Negeri, malam tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat kelemahan struktur utama bumbung setelah melalui beberapa proses menurunkan kerangka di bahagian tengah bumbung dimana proses baik pulihnya dijadualkan siap sepenuhnya 24 Februari ini.

Difahamkan, struktur kerangka bumbung yang runtuh itu adalah sepanjang 137 meter iaitu dua pertiga daripada keseluruhan struktur bumbung yang mahu diruntuhkan.

Semalam, lima daripada lapan pekerja binaan yang sedang menjalankan kerja-kerja memotong kerangka lama bumbung stadium itu cedera apabila kerangka lama bumbung SSMZA yang dalam proses baik pulih itu tiba-tiba runtuh.

 

Peniaga Pasar Payang lega

Oleh: Suriati Ali

 Keputusan Menteri Besar membenarkan peniaga Pasar Payang di ruang pasar basah tidak akan dipindahkan ke Pasar Cabang Tiga sebagaimana cadangan asal nyata melegakan golongan itu.

 Bagaimanapun kelonggaran yang diberi itu bersyarat di mana peniaga pasar basah dikehendaki berdisiplin dan mematuhi peraturan ditetapkan.

 Langkah itu cukup penting bagi memastikan premis jualan mereka kemas dan bersih sejajar dengan konsep perniagaan moden seperti di pasar raya terkemuka lain.

 Keputusan itu dicapai hasil daripada pertemuan ahli jawatankuasa Persatuan Penjaga dan Peniaga Melayu cawangan Kuala Terengganu dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Peniaga di Pasar Payang tidak akan dipindahkan ke tapak lain ekoran cadangan kerajaan negeri untuk membina kompleks bersepadu yang menempatkan pasar baru, selain hotel dan pangsapuri.

 Sebelum ini, kebanyakan mereka berasa resah dan mengakui tidak tidur lena selepas menerima berita berkaitan itu, ditambah pula dengan hasutan pihak tidak bertanggungjawab. Peniaga ikan di pasar itu, Mustafa Kamal, berkata pihaknya seboleh-bolehnya tidak mahu berpindah kerana sudah serasi dengan keadaan dan suasana Pasar Payang. “Ada di antara kami, lebih 30 tahun bersama-sama mencari rezeki dilokasi itu. Jika kami berpindah ke Pasar Chabang Tiga mungkin hubungan kami menjadi kurang akrab kerana terpaksa berpisah. “Apatah lagi terpaksa bersaing dengan peniaga barangan sama, selain pilihan pelanggan terhadap barangan keperluan juga terhad kerana peniaga pelbagai barangan terpaksa diasingkan,” katanya. Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, keadaan Pasar Payang yang ada sekarang sudah tidak sesuai kerana sempit, kotor dan mencemarkan imej Bandar Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air. Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk membina semula Pasar Payang dengan pelbagai kemudahan moden dan struktur baru supaya lebih selamat dan mampu menarik lebih ramai pelancong membeli-belah di situ. Mengulas mengenai persetujuan itu, Menteri Besar berharap ia tidak lagi menjadi isu dan meminta semua peniaga di Pasar Payang tidak melayan sebarang hasutan daripada pihak lain, khususnya pembangkang yang cuba mempolitikkan isu berkenaan. “Bagi pihak kerajaan kita akan melakukan yang terbaik bagi menjaga kebajikan dan keselesaan peniaga, tetapi pada masa yang sama peniaga pula perlu menjaga tempat perniagaan supaya sentiasa bersih. “Mereka tidak boleh sepanjang masa mengharapkan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu memantau keadaan ini kerana persekitaran yang bersih amat penting bagi menarik pelanggan, khususnya pelancong dari luar Terengganu,” katanya.

Dana khas bantu rakyat miskin dapat rawatan terbaik

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.5 juta untuk Tabung Dana Khas Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan pada tahun ini bagi membantu rakyat miskin mendapatkan rawatan terbaik.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, dana khas yang mula diperkenalkan pada 2007 itu menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta setahun.

"Walau bagaimanapun, bermula 2012 jumlah tersebut ditambah menjadi RM2.5 juta bagi membantu lebih ramai pesakit yang tidak berkemampuan.

"Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang menyediakan dana khas sebegini bagi membantu meringankan beban rakyatnya terutama yang menghadapi masalah kewangan untuk mendapatkan rawatan sempurna,” ujarnya ketika ditemui Teganukita, hari ini.

Katanya, dibawah dana tersebut pesakit dibantu untuk membeli peralatan rawatan contohnya seperti kaki palsu dan bagi pesakit lumpuh umpamanya, perbelanjaan untuk keperluan harian seperti lampin pakai buang dan bekalan susu khas turut diberikan.

Menurut beliau, pesakit yang ingin mendapatkan bantuan melalui dana tersebut perlu membuat permohonan melalui pihak hospital.

"Setiap pesakit yang mendapat bantuan merupakan kes yang dirujuk kepada hospital dengan laporan lengkap yang disediakan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan.

"Sekiranya bukan pesakit di hospital mereka boleh mengambil borang permohonan bantuan melalui Unit Kerja Sosial, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu atau di Pejabat Dewan Undangan Negeri masing-masing tetapi mesti mendapatkan perakuan daripada doktor terlebih dahulu,” jelasnya.

Katanya, setelah permohonan diperakui oleh pihak hospital ia akan dihantar kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan apabila telah diluluskan proses pembayaran atau sumbangan bantuan akan dilakukan oleh Unit Kewangan, Pejabat Setiausaha kerajaan Negeri Terengganu.

 

Kerajaan BN tepati janji

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah tipu rakyat seperti yang didakwa pembangkang sebaliknya merekalah yang menipu rakyat tabur pelbagai janji serta menfitnah pemimpin kerajaan memerintah.

Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh berkata, apa yang dilakukan kerajaan semata-mata membantu rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa seperti yang diterima penduduk di Kampung Tanjung.

“Apakah kita bangga tinggal di kediaman yang uzur dan tidak selesa semata-mata kerana ingin mengekalkan tradisi,” katanya ketika berucap di majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Ladang Gemilang 2, petang semalam.

Majlis penyerahan kunci dilakukan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazan Ngah; Pegawai Kewangan negeri Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh.

Katanya, kini ramai penduduk di Kampung Tanjung, Ladang Tok Pelam jadi jutawan segera kerana dapat pampasan tanah oleh kerajaan negeri untuk pembangunan di kawasan itu.

“Saya dapat tahu ada penduduk terima pampasan sehingga RM2.6 juta dan diberi rumah pula dengan harga subsidi sehingga RM75,000, apakah zalim kerajaan kerana bantu rakyat,” tanya beliau kepada lebih 300 jemputan termasuk penghuni pangsapuri Ladang Gemilang Satu dan Dua.

Katanya, jangan terpengaruh dengan hasutan pembangkang supaya jangan bayar sewa rumah yang diduduki kerana wang berkenaan akan dijadikan deposit untuk memiliki terus rumah berkenaan bila tamat tempoh sewaan tiga tahun.

Beliau yakin pengaruh pembangkang kini semakin hilang setelah orang ramai mula sedar apa yang kerajaan BN buat adalah untuk menjaga kepentingan orang Melayu.

“Setelah tinggal di rumah baru, mereka tambah yakin kerajaan BN tepati janji dengan menyediakan kediaman yang selesa kepada mereka dan keluarga,” katanya.

 

Seramai 1,476 mangsa banjir daerah Besut terima bantuan


Menteri Besar mengira sejumlah RM1,000 bagi membantu mangsa banjir daerah Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Penantian 1,476 mangsa banjir daerah Besut untuk menerima bantuan kerajaan berakhir apabila mereka menerima bantuan berkenaan hari ini. Bantuan RM1,000 yang diperolehi masing-masing RM500 dari Kerajaan Pusat dan Kerajaan negeri membolehkan mangsa terbabit menfaatkan bantuan itu untuk keperluan keluarga.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyalurkan bantuan itu bertujuan meringkan beban mangsa yang ditimpa bencana pada akhir tahun lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said merasmikan majlis penyampaian bantuan itu kepada mangsa yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB), Gong Kemuntong, di Jertih, hari ini.,

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, ADUN Jabi Ramlan Ali dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Berucap pada majlis itu Menteri Besar berkata, kerajaan sentiasa cakna kepada rakyat termasuk meereka yan g ditimba bencana dengan menghulurkan pelbagai bentuk bantuan.

Oleh itu,katanya, rakyat negeri ini sepatutnya bersyukur kerana kerajaan negeri Terengganu turut menyumbangkan RM500 selain kerajaan pusat yang menyediakan bantuan dengan jumlah sama.

180 peserta sertai seminar anjuran JPBD Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Terengganu telah menganjurkan Seminar Pendedahan Pemakaian Rancangan-Rancangan Pemajuan dan Amalan Perancangan Di Negeri Terengganu, bertempat di Hotel Prinz Park, baru-baru ini.

Seramai 180 peserta mewakili agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi swasta menyertai seminar yang mengundang lima orang ahli panel untuk membentangkan kertas kerja masing-masing.

Tujuan seminar adalah untuk menjelaskan keperluan dan kepentingan pemakaian rancangan pemajuan sebagai rujukan utama bagi membuat keputusan perancangan di peringkat Pihak Berkuasa Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib berkata, penyediaan rancangan pemajuan merupakan antara komitmen kerajaan yang berterusan dalam merealisasikan pembangunan fizikal dan sosiol ekonomi negara dan negeri yang mampan dan berdaya maju.

"Inisiatif JPBD Terengganu mengadakan majlis perkongsian ilmu ini diharap dapat memberi pemahaman kepada peserta dan merancakkan lagi perancangan pembangunan untuk kesejahteraan penduduk.


"Selaras dengan apa yang disuarakan YAB Menteri Besar, program pendedahan yang berterusan kepada agensi pelaksana dan PBT sangat penting dalam memupuk kesedaran dan penggunaaan dokumen rancangan pemajuan secara efektif dalam memandu arah pembangunan di kawasan masing-masing,” ujarnya dalam ucapan perasmian seminar tersebut.

Katanya, penganjuran seminar sebegini juga diharap dapat membantu menghasilkan pelan pembangunan negeri yang lebih berdaya maju dengan konsep dan pendekatan baru perancangan.

Tambah beliau, Terengganu kini telah mengalami perubahan dari segi kepesatan ekonomi hasil usaha Kerajaan Negeri mempromosi dan menarik pelaburan luar ke negeri ini.

"Saya yakin, dengan kerjasama PBT serta JPBD memastikan rancangan pemajuan tersebut di kaji dari masa ke semasa supaya sentiasa relevan dengan keperluan penduduk dan dilaksanakan sepenuhnya, usaha Kerajaan Negeri untuk merancakkan lagi pembangunan di negeri ini akan tercapai,” katanya.

 

Pembangunan Kampung Tanjung untuk kepentingan orang Melayu

Oleh; Esah Abdullah

Demi menjaga kepentingan orang Melayu agar terus kekal menetap dalam kawasan bandar serta tuntutan pembangunan, Kampung Tanjong Kapor, Ladang Tok Pelam dan sekitarnya dibangunkan semula.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pembinaan Pangsapuri Ladang Gemilang 1 dan 11 membuktikan kerajaan bertanggung jawab dan tidak menganiaya rakyat.

“Kita buat rumah dulu dan beri mereka duduk dengan selesa bila selesai bayar pampasan baru kita jalankan kerja-kerja meroboh kawasan berkenaan,” katanya di majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Ladang Gemilang 2 dan Penerangan Pembangunan Kampung Tanjung semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abd Razak Ismail; Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Dato’ Haji Osman Muda; Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh.

Katanya, sebelum kerajaan laksanakan pembangunan di sini, seluas tiga hektar kawasan yang mempunyai 50 lot tapak rumah sudah jatuh ke tangan orang bukan Melayu.

“Jadi untuk menyelamatkan kaadaan, kerajaan sediakan rumah yang selesa dalam kawasan bandar yang berdekatan dengan tempat mereka bekerja,” katanya.

Menteri Besar berkata, sewa yang dikenakan sebanyak RM280 sebulan kepada penghuni dalam tempoh tiga tahun itu akan dijadikan sebagai wang pendahuluan untuk memiliki rumah berkenaan.

“Tujuan kita berbuat demikian bagi mengelak rumah ini bertukar tangan kerana kerajaan telah memberi subsidi sebanyak RM75,000 setiap keluarga yang memiliki rumah ini,” katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai 20 daripada 25 keluarga pertama yang masuk ke pangsapuri iti menerima kunci rumah masing-masing yang disampaikan oleh Menteri Besar manakala lima orang lagi akan menerima kunci rumah  mereka daripada Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam Program Jelajah Janji Ditepati pada 23 Februari ini.
 

PM temui rakyat sempena Program Jelajah Janji Ditepati

Oleh: Aida Abd Rahman

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan menemui orang ramai di dua kawasan tumpuan awam, iaitu Pasar Besar Kedai Payang dan Perhentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebaik tiba di bandar ini, kira-kira jam 9 pagi sempena Program Jelajah Janji Ditepati (PJJD), 23 Februari (Sabtu) ini.

Sejurus `walkabout’ dan menikmati sarapan pagi di Perhentian Bas MBKT, beliau bersama isteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dengan diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan ke tapak PJJD, di Dataran Syahbandar.

Turut sama dalam program itu, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Karnival yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 bermula jam 10 pagi bakal dilancarkan Perdana Menteri kira-kira 30 minit kemudian.

Selepas pelancaran, Dato’ Sri Mohd Najib bersama rombongan dijangka melawat tapak pameran sebelum berakhir dengan jamuan makan bersama rakyat, kira-kira jam 12 tengah hari.

Sejurus kemudian, Perdana Menteri akan menghadiri majlis perjumpaan tertutup bersama pemimpin Umno dan Komponen Barisan Nasional bertempat di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong, kira-kira jam 2.30 petang.

Pertemuan bersama pemimpin dan ahli parti berakhir dengan jamuan petang kira-kira dua jam kemudian. Sementara itu, Datin Paduka Seri Rosmah pula dijangka melawat Taska Permata Keluarga Serdang Baru, Kuala Nerus, kira-kira jam 2.30 petang.


Program Jelajah Janji Ditepati saji pelbagai acara menarik

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelbagai program dan acara menarik bakal disajikan kepada pengunjung sempena Program Jelajah Janji Ditepati (PJJD), di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, pada 23 Februari (Sabtu) ini.

Karnival yang bermula jam 8 pagi hingga 10 malam akan dilancarkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, kira-kira jam 10 pagi.

Selain berpeluang menemui pemimpin nombor satu negara itu, pengunjung juga diperkenalkan pelbagai inisiatif 1Malaysia seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Bantuan Lesen 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia.

Pada masa yang sama, karnival yang mendapat liputan secara langsung menerusi TV3 turut memberi peluang orang ramai menyemak status cukai pendapatan, daftar mengundi, saman trafik dan pertukaran alamat pada MyKad.

Selain kemudahan pemeriksaan kesihatan secara percuma, pengunjung juga boleh melibatkan diri dalam aktiviti riadah dan sukan seperti senamrobik yang bermula jam 8 pagi,  selain acara bola sepak jalanan dan bola keranjang 3 lawan 3.

PJJD juga menjadi platform untuk golongan muda yang belum memiliki pekerjaan atau mahu menukar kerjaya kerana Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) Terengganu 2013 menawarkan hampir 3,000 pekerjaan sepanjang dua hari, bermula 22 Februari bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Seramai 80 majikan daripada pelbagai sektor perkhidmatan dan pembuatan seluruh Malaysia akan berkampung di karnival itu bagi menawarkan peluang kerjaya, selain perkhidmatan latihan serta kemudahan pinjaman menerusi agensi kerajaan dan perbankan berkaitan.

Bukan sahaja dapat bejumpa personaliti Media Prima seperti TV3, TV9, 8TV dan ntv7  PJJD yang menyediakan pelbagai booth dan gerai jualan juga akan melabuh tirai dengan persembahan artis popular tanah air seperti Tomok, Shiha, candy & Azlan Typewriter bermula jam 9 malam (Sabtu).


Pas tidak mampu perintah negara

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman 

Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong diingatkan bahawa Pas tidak mampu memerintah negara kerana melalui Pakatan Rakyat (PR), parti itu hanya diberi kuota yang kecil dalam pembahagian kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, berkata Pas dijangka memperolehi antara 50 hingga 60 kerusi Parlimen saja manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan membolot bilangan kerusi yang jauh lebih besar.

“Oleh itu, pemimpin Pas tidak boleh ‘bermimpi di siang hari’ untuk mengetuai Kerajaan Pusat sekiranya pembangkang menang pilihan raya,” katanya ketika berucap pada majlis pembahagian hamper Program “1 Rumah 1 Hamper” anjuran DUN Bukit Payong di Balai Raya Kampung Belukar Jambu, malam tadi.

Beliau berkata, jika pengundi memilih PR mereka akan ditimpa bala besar kerana PR yang sebahagian besarnya didokong pemimpin bukan Islam dan Melayu akan menindas masyarakat Islam di negara ini.

 “Pada waktu itu kita menangis hingga kering air mata pun tidak ada guna lagi. Oleh itu, sebelum ‘nasi menjadi bubur’, marilah kita sama-sama mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti membela nasib umat Islam dan masyarakat Melayu di negara ini,” katanya.

Encik Zaidi berkata, pemimpin BN sentiasa mengambil berat kebajikan penduduk di kawasan Bukit Payong walaupun ia dikuasai parti pembangkang.

“Macam-macam kita bagi kepada penduduk kawasan ini. Semua bantuan yang diterima penduduk kawasan lain seperti bantuan persekolahan anak-anak, BR1M, sumbangan hari raya dan bantuan dari Jabatan Kebajikan masyarakat, kita dapat juga,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta pengundi kawasan berkenaan supaya memilih calon BN pada pilihan raya kali ini supaya mereka dapar terus menikmati bantuan yang diterima selama ini.

Sementara itu, kira-kira 180 ketua keluarga di kampong berkenaan menerima sumbangan hanper daripada Encik Zaidi, sebagai tanda sokongan mereka kepada Kerajaan BN selama ini.