Halaman

24 February 2013

JANJI DITEPATI, JANGAN TERPEDAYA JANJI KOSONG PEMBANGKANG.

Oleh: Ruslan Abdul Rahman-Pengarang Teganukita 

Barang yang dikata, itulah yang dikota. Janji mesti ditepati. Itu pendekatan dan slogan yang universal, nilai yang amat positif tidak kira siapa mereka.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak sendiri telah meletakkan sebagai kewajipan di pihak kerajaan untuk menunaikan janji kepada rakyat.

Ia bertepatan dengan ajaran agama kita supaya menunaikan janji dan menjauhi perbuatan memungkiri janji.

Mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan adalah merupakan suatu pengharapan yang tinggi, agar kehidupan mereka lebih selesa, selamat dan terpelihara.

Manifesto yang dikemukakan kepada rakyat setiap kali pilihanraya bukanlah sekadar janji kosong, tetapi ia adalah merupakan janji yang mesti ditepati.

Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab ialah kerajaan yang menunaikan manifesto partinya.

Kerbau dipegang pada tali hidungnya, manusia dipegang pada kata-katanya, itulah peribahasa Melayu yang sesuai sekali bagi penegasan dalam perkara janji ditepati ini.

Kerajaan sekarang melalui manifesto pada penggal pilihanraya yang lalu misalnya, menjanjikan kepada rakyat untuk menjadikan negara yang "Selamat, Aman, Makmur", menepati kehendak majoriti rakyat Malaysia menuju masa depan lebih baik.

Kita bersyukur janji selamat, aman dan makmur itu dengan izin Tuhan ditunaikan dan dapat kita nikmati kini.

Manifesto bolehlah didefinisikan sebagai satu perisytiharan umum tentang dasar dan matlamat, dikeluarkan sebelum pilihan raya oleh sesebuah parti politik, calon, kerajaan dan sebagainya. Ia adalah perisytiharan umum mengenai prinsip, dasar atau hasrat.

Ini selaras dengan pengertian dalam bahasa Latin, bahasa asal perkataan ‘manifestus’ iaitu ‘bukti’ dan ‘nyata’ yang sekaligus menuntut manifesto bukan hanya sebagai pengumuman mengenai niat tetapi juga dituntut ialah bukti-buktinya yang jelas.

Orang ramai jangan terpedaya dengan sesetengah pihak yang hanya pandai berjanji dengan janji-janji manis dan mengemukakan manifesto yang sungguh enak lagi menarik, namun akhirnya ia hanyalah janji kosong atau janji yang tinggal janji.

Di Terengganu kita sudah melalui pengalaman pahit sebelum ini. Rakyat Terengganu pernah terpedaya kepada golongan berkenaan yang berjanji itu dan ini, tetapi berakhir dengan janji kosong.

Selama empat tahun rakyat Terengganu hidup dalam keadaan mundur dan ketinggalan akibat terpedaya dengan janji golongan tersebut.

Kebaikan yang dijanjikan bertukar menjadi sebaliknya kerana golongan ini menjadi seperti ‘tikus membaiki labu’- yang telah baik bertukar menjadi rosak dan binasa. Oleh itu jangan sampai ‘pisang berbuah dua kali’.

Berwaspadalah, bila menjelang musim pilihanraya, golongan ini akan datang lagi kepada rakyat dengan manifesto yang kadang-kadang tidak masuk akal, yang bakal menjadi janji kosong semata-mata. Jangan sampai, mendengar guruh di langit air tempayan dicurahkan.

Misalnya dijanji oleh golongan itu pendidikan dan tajaan menyambung pelajaran percuma, bekalan air percuma dan sebagainya, bagai menanam tebu di bibir mulut- untuk mengaburi mata rakyat.

Ingatlah kerajaan yang ada sekarang sudah melakukan berbagai-bagai pendekatan untuk faedah untuk rakyat membabitkan semua keperluan kehidupan untuk keselamatan, keselesaan dan kemakmuran.

Di bawah pendekatan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, pelbagai usaha pembangunan yang kerajaan di Terengganu lakukan untuk faedah rakyat. Setiap pembangunan yang dijalankan, dipastikan faedahnya untuk rakyat jelata.

Misalnya tempat tinggal yang selesa untuk penduduk setinggan dalam kawasan Bandaraya Kuala Terengganu dengan pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat, Padang Hiliran Cabang Tiga, berjumlah 1,002 unit telah dibina dan 12 unit dikhaskan untuk orang kurang upaya.

Ia dijual dengan harga RM35,000 seunit sahaja atau boleh juga disewa, hanya dengan harga RM124 sebulan.

Malah janji kerajaan kepada rakyat yang berpendapatan rendah untuk diberikan pinjaman membina rumah sendiri pun ditunaikan.

Dalam Bajet 2013 yang diumumkan tahun lepas, kerajaan negeri menawarkan pinjaman untuk rakyat yang berpendapatan rendah.

Kini RM50 juta diluluskan yang akan memberi manfaat kepada 1,000 pemohon pinjaman perumahan itu.

Menyediakan kemudahan ibadat, masjid yang selesa termasuk di pulau, misalnya masjid baru Pulau Perhentian, berharga RM13 juta untuk menampung 800 jemaah di pulau berkenaan .

70 peratus sudah siap, sebahagiannya berada dalam air laut menjadikan ia cukup indah dan menarik untuk menyeru.

Malah di bidang pendidikan pada masa ini Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu sedang menaja 3 700 pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi dalam dan luar negara.

Dari jumlah tersebut 168 orang sedang mengikuti kursus perubatan di Mesir dan 57 orang di Indonesia. Bagi kursus pengajian Islam 115 orang sedang belajar dalam bidang tersebut di beberapa buah universiti di Asia Barat.

Terlalu banyak yang telah kerajaan sekarang lakukan untuk rakyat. Kesemua itu adalah contoh janji-janji yang ditepati.

Justeru itu, Program Jelajah Janji Ditepati bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak di Terengganu ini amatlah besar ertinya kepada rakyat Terengganu.

Ia adalah suatu sikap telus, ikhlas dan mesra pucuk kepemimpinan negara bertemu dengan rakyat di mana sahaja di pasar mahu pun di tempat-tempat awam yang lainnya.

Pemimpin utama negara mahu melihat sendiri kehidupan rakyat, merasai sendiri denyut nadi rakyat- untuk memastikan rakyat di mana sahaja berada, agar semua golongan dapat menikmati kemudahan dan pembangunan yang dibawakan oleh kerajaan untuk rakyat.

 

27 Taska Permata dilengkapi CCTV

Oleh: Esah Abdullah dan Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengambil inisiatif memasang 27 daripada 65 Taska Permata miliknya dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) sehingga kini.

Pengarahnya, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, langkah itu adalah untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di taska selain membolehkan ibu bapa melihat aktiviti anak-anak mereka.

Katanya, adalah menjadi hasrat YPKT untuk memasang CCTV di semua taska secara berperingkat bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dapat dikawal.

"Bagaimanapun pemasangan kemudahan itu di semua taska bergantung kepada peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri,".

"Namun begitu, taska yang belum dilengkapi dengan kemudahan CCTV itu dipasang dengan alat penggera keselamatan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Taska Permata Keluarga Terengganu oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Taska Permata Keluarga Serdang, Buki Tunggal, semalam.

Menurut beliau, Taska Permata juga turut dilengkapi dengan kemudahan peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) terkini yang disediakan oleh Syarikat Top-IT Industries Sdn Bhd, anak syarikat Kerajaan Negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri membelanjakan kira-kira RM1.2 juta sebulan atau RM15 juta setahun bagi memberi perkhidmatan taska yang terbaik di negeri ini.

"Taska Permata menggunakan kurikulum Permata Negara yang dipantau oleh Jawatankuasa Pemantauan yang berpusat di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

"Malah, lebih membanggakan dalam usaha memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak yang dihantar ke taska, pelantikan tenaga pengajar kini mengikut tahap pendidikan yang lebih tinggi samaada pemegang diploma mahupun ijazah berbanding mereka yang hanya berkelulusan SRP dan SPM pada tahun 80 an yang sekali gus dapat mengangkat martabat nama pengasuh kepada pendidik,” katanya.

Sehingga kini seramai 3,520 kanak-kanak yang berusia setahun hingga lima tahun sedang mengikuti pendidikan di Taska Permata Keluarga di seluruh negeri Terengganu dan tenaga pendidik pula melibatkan seramai 570 orang daripada pelbagai jurusan.

 

Polis Terengganu adakan simulasi pilihanraya

Oleh; Esah Abdullah

Polis Terengganu mengadakan program latihan simulasi pilihanraya kali kedua bagi melihat kesiapsiagaan anggota polis dari semua aspek untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) hari ini.

Ketua Polis Terengganu Dato’ Jamshah Mustapa berkata, pada latihan itu pihaknya akan memberi penekanan terhadap aspek lojistik, komunikasi, penugasan anggota semasa hari mengundi.

"Latihan khusus untuk menghadapi hari mengundi yang memakan masa agak panjang iaitu bermula dari pembukaan pusat mengundi hingga kepada proses pengiraan undi.

 "Jadi kita nak lihat bagimana anggota kita menjalankan tugas serta penyampaian maklumat serta tindakan yang patut dilakukan jika timbul masalah pada hari berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis perasmian Taska Permata Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) oleh isteri Perdana Menteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor petang semalam.

Dato’ Jamshah berkata, program yang bermula pada 8 pagi itu melibatkan 1,500 hingga 2,000 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu serta anggota polis daerah-daerah.

Katanya, program latihan 'simulasi pilihan raya' kali kedua itu juga akan memberi pendedahan kepada anggota yang akan ditugaskan di tempat-tempat yang telah ditetapkan.

Menurutnya, polis Terengganu merupakan polis pertama di negara ini mengadakan program latihan seumpama itu dan ini merupakan program kedua di mana program pertama diadakan pada 27 Januari lalu.

Program Permata Negara dimantapkan

Datin paduka Seri Rosmah Mansor bermesra dengan seorang kanak-kanak Program Permata.

Oleh; Esah Abdullah

Permata Negara bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Kanak-kanak Kebangsaan (NCDRC) di Universiti Pergurusan Sultan Idris (UPSI) menjalankan beberapa kajian penyelidikan bagi memberi lebih nilai kepada Program Permata.

Isteri Perdana Menteri merangkap Penaung Program Permata, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor berkata, para penyelidik turut menyediakan cadangan aktiviti menarik bagi memantapkan lagi proses pembelajaran anak-anak.


“Penyelidikan berkonsepkan aplikasi ini melihat beberapa aspek dalam proses pembelajaran boleh dimantapkan seperti pengajaran awal matematik dan terapi lukisan,” katanya ketika berucap merasmikan Taska Permata Keluarga Serdang Baru, Bukit Tunggal, Kuala Terengganu petang semalam.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; isteri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, To’ Puan Hajah Halijah Ali; isteri Setiausaha Kerajaan To’ Puan Hajah Rohani Abdullah; Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) Encik Mohd Safaruddin Mustaffa serta isteri ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Selain itu katanya, himpunan lagu-lagu tradisional turut diterbitkan dalam bentuk CD di mana koleksi itu digubah semula sesuai untuk dinyanyikan sebagai satu cara memperkenalkan kanak-kanak dengan lagu-lagu tradisional.

 “Semua hasil penyelidikan telahpun dibukukan bagi berkongsi maklumat dan sebagai pemudahcara untuk pendidik mengaplikasikannya,” katanya.

Menurutnya, pendidik juga dapat mempelajari teknik dan kaedah baru dalam melaksanakan proses pembelajaran di samping memberi kepelbagaian kepada aktiviti pembelajaran agar sentiasa menarik bagi mengekalkan minat kanak-kanak untuk terus belajar.

Katanya, sehingga ini 654 buah Taska di seluruh Negara telah menggunakan Program Permata yang berkongsi aspirasi menyediakan platform awal bagi melahirkan modal insan yang akan menjadi kebanggaan negara.

“Saya percaya pendidikan berkualiti merupakan salah satu strategi yang boleh diambil sebagai persediaan membina modal insan terbaik sekali gus menangani masalah sosial di kalangan remaja,”.

 “Kanak-kanak dari usia kecil mempunyai peluang untuk digilap dan dikembangkan potensinya secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,” katanya.

Datin Paduka Seri Rosmah berkata, rakyat seharusnya merasa bertuah mempunyai kerajaan yang sentiasa menyokong pelaksanaan program yang mementingkan kebajikan mereka.

Menurutnya, YPKT menerima peruntukan RM18 juta dari kerajaan pusat untuk perluasan program Taska Permata di setiap DUN dan Terengganu mempunyai bilangan Taska Permata paling banyak berbanding negeri lain di negara ini.

“Ini juga ceminan kerjasama dan komitmen kerajaan pusat dan negeri dalam menyediakan program asuhan dan didikan awal berkualiti serta menyeluruh untuk dinikmati oleh kanak-kanak di kawasan luar bandar.

Katanya, ia juga menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan negeri terhadap pendidikan awal kanak-kanak yang akan menjadi sumber manusia atau aset terpenting kepada negeri kelak

Datin Paduka Seri Rosmah kemudiannya menyerahkan Dokumen Kajian Taska Permata kepada Pengarah Kemajuan Masyarakat (Kemas), Puan Nor Hazelina Hashim dan Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Encik Tukimin Sarlan.

 

PM lancar Program GIGIH

Perdana Menteri ketika melancarkan Karnival Kerjaya BN.
Oleh: Suriati Ali 

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Abdul Razak melancarkan program GIGIH yang menggalakkan semangat keusahawanan di kalangan rakyat, selain memberi pengiktirafan kepada individu yang berjaya meningkatkan kualiti hidup menerusi aktiviti itu di tapak Program Jelajah Janji Ditepati di Dataran Shahbandar, di Kuala Terengganu, semalam.

Program kendalian Agensi Inovasi Malaysia itu bertujuan mengetengahkan aktiviti atau perniagaan yang berjaya menambah pendapatan bagi dijadikan contoh atau inspirasi kepada individu lain untuk meraih kejayaan.

 Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Rozario berkata, individu terbabit akan dipelawa berkongsi resipi kejayaan mereka dalam cabaran GIGIH yang menawarkan ganjaran wang tunai keseluruhan berjumlah RM2 juta untuk 500 pemenang.

“Program itu bertujuan mengenal pasti idea aktiviti atau perniagaan yang berjaya dan seterusnya kejayaan itu dikongsi bersama rakyat yang ingin menjadi usahawan berjaya.

“Sememangnya banyak kisah menarik usahawan Malaysia yang boleh memberi inspirasi kepada semua, daripada kisah usahawan Internet atau mereka yang menawarkan pelbagai barangan atau perkhidmatan ke rumah hinggalah kepada kisah peminat permainan kawalan jarak jauh yang membina model kapal terbang.

“Jika usaha mereka dapat diguna pakai untuk membentuk usahawan lain dan seterusnya meningkatkan taraf hidup, kita akan beri ganjaran sebagai tanda sokongan dan pengiktirafan kerajaan terhadap daya usaha serta inovasi mereka,” katanya.

Pada pelancaran itu, Dato’ Seri Najib turut diperkenalkan dengan produk dua peserta GIGIH, Azlan Azhar, 43, yang menghasilkan kapal terbang mainan kawalan jauh, selain produk kasut buatan sendiri diusahakan Aryna Samsudin, 30

Usah hina rakyat – PM

Puluhan ribu rakyat menyambut ketibaab Perdana Menteri ke Terengganu tanda sokongan padu rakyat kepada BN.

Oleh: Kamarudin Mat Akib

“Kalau Pas tidak buat apa-apa (untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat), jangan hina rakyat,” itu pesan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kepada pemimpin Pas.

Sebagai ketua kerajaan, beliau masih boleh menerima hakikat bahawa Pas tidak tolong rakyat atau melakukan sebarang kebaikan untuk mereka, tetapi pemimpin Pas tidak perlu menghina rakyat yang memerlukan pelbagai bantuan daripada kerajaan.

Beliau menjelaskan segala bentuk bantuan yang diberi kerajaan kepada rakyat, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), merupakan amanah yang dipikul Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Malaysia.

“Orang yang mengherdik anak yatim dan tidak tolong anak yatim serta orang miskin melakukan dosa besar,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Shanbandar, semalam.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Awang; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat DUN dan Parlimen serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu.

Perdana Menteri menegaskan Nabi Muhammad s.a.w sendiri menyuruh umat Islam supaya membantu anak yatim dan orang miskin kerana pahalanya amat besar.

Malah, katanya, membantu golongan miskin dan anak yatim menyamai pahala mereka yang berjuang Fisabilillah.

Beliau menyifatkan kenyataan Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamai BR1M sama seperti memberi makanan kepada haiwan, telah menghina mereka yang mendapat bantuan tersebut.

“Kerajaan Pusat menyediakan 231 produk bantuan 1Malaysia bagi membantu golongan kurang bernasib baik di negara ini,” katanya. Sehubungan itu, beliau meminta rakyat negeri ini menolak parti-parti pembangkang dan memberi undi mereka kepada BN pada pilihan raya kali ini.

23 February 2013

Undi pembangkang bawa kerosakan : PM

Satu undi untuk BN demi masa depan lebih baik, perpaduan dan kekuatan umat Islam dan pembelaan bangsa Malaysia kita.
Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Satu undi untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah satu undi yang membawa kepada kerosakan akidah dalam negara, kata Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Satu undi untuk Pas membawa kepada perpecahan umat Islam. Kita tidak lupa Amanat Haji Hadi yang belum ditarik balik. Satu undi untuk DAP, satu undi untuk penindasan terhadap umat Islam.

“Satu undi untuk Barisan Nasional (BN) bererti keselamatan akidah untuk umat Islam. Satu undi BN ialah untuk perpaduan dan kekuatan umat Islam.. satu undi untuk BN adalah demi pembelaan bangsa Malaysia kita. Satu undi untuk BN demi masa depan yang jauh lebih baik nanti,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Shahbandar, hari ini.


Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Sri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putara Awang; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat DUN dan Parlimen serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu.

Dato’ Seri Mohd Najib berkata, pemimpin BN memahami kehendak dan keperluan rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang benar-benar mendahulukan kepentingan mereka.

“Sebab itulah kita melancarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia dan pelbagai produk 1Malaysia yang lain lagi untuk rakyat. Mereka hendak sebuah kerajaan yang boleh menjamin anak-anak mereka yang masih kecil ini dapat membesar dan mewarisi sebuah negara yang lebih maju, progresif dan berjaya.Sebab itulah kita melaksanakan Dasar Transformasi Nasional.

“Kita dapat lihat dalam masa beberapa tahun ini suku terakhir tahun lalu, kadar pertumbuhan ekonomi negara kita mencecah 6.4 peratus, antara yang antara terbaik di dunia. Inilah pencapaian di bawah kepimpinan Kerajaan BN dan kita sudah membentangkan kepada rakyat bahawa kerajaan yang ada pada hari ini mampu membuat sesuatu.

“ Bukan sahaja kita boleh cakap, malah jika kita hendak apa-apa, kalau kita hendak Islam, hendak meninggikan syiar Islam, kalau hendak membangunkan umat Islam dan umat yang lain, kita tidak boleh bercakap dan bersyarah sahaja, tetapi mesti mampu membuat sesuatu, mengambil tindakan, merancang dan melaksanakan. Inilah kerajaan Barisan Nasional yang ada pada hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, Dato' Seri Mohd Najib berkata Kerajaan BN melaksanakan program Jelajah Janji Ditepati yang membuktikan kerajaan benar-benar mampu melaksanakan janji dalam pelbagai bidang dan aspek termasuk mewujudkan negara yang aman, stabil, selain menjaga serta membela akidah dan kesucian Islam.

“Kita tanya pada Pas, apabila DAP memperlekehkan Islam, apabila DAP membuat kenyataan yang menyinggung perasaan umat Islam, apa Pas buat? Tidak buat apa, hanya melutut kepada pemimpin DAP.

 “Sampai Hari jadi Karpal Singh (Pengerusi DAP) pun (Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat) Nik Aziz pergi ke rumah dia (Karpal). Siapa Karpal Singh? Dia yang tidak bersetuju, memperlekehkan apa yang Pas kata hendak negara Islam, DAP tidak bersetuju,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Nik Aziz sanggup menggadai maruah dan membelakangkan prinsipnya dalam memperjuangkan kesucian Islam sehingga sanggup menjalinkan hubungan baik dengan DAP yang jelas menolak Islam.

“ Apabila tidak bersetuju kenapa dia pergi ke rumah orang yang paling tidak setuju. Tanya pada Pas di mana letaknya maruah dan prinsip dia dalam memperjuangkan Islam. Islam duduk di mana? Islam berada di kedudukan paling tinggi sekali. Bukan politik duduk paling tinggi. Bukan kerusi paling tinggi, bukan undi lebih tinggi, maka Islam berada di kedudukan paling tinggi daripada segala-galanya,” katanya..


Sokongan rakyat terhadap BN makin padu

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

Sokongan rakyat Terengganu terutama di peringkat akar umbi semakin bertambah selepas mereka melihat kemampuan Barisan Nasional (BN) membawa satu anjakan pembangunan kepada negeri ini berbanding dulu.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata keupayaan BN yang ditunjangi UMNO mentadbir negara, termasuk Terengganu dalam membela nasib rakyat secara menyeluruh membuatkan golongan pembangkang tidak senang duduk.

 “Faktor itu membuatkan mereka terpaksa mencipta pelbagai fitnah dan dakyah palsu,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Shahbandar, hari ini.


Majlis yang dirasmikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak itu turut dihadiri Datin Paduka Sri Rosmah Mansor; isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

 Tetamu kehormat lain Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Awang; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat DUN dan Parlimen serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu.

Kira-kira 60,000 penduduk hadir pada program yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 bermula jam 10.30 pagi. Selepas pelancaran, Dato’ Sri Mohd Najib bersama rombongan melawat tapak pameran sebelum berakhir dengan jamuan makan bersama rakyat, kira-kira jam 12 tengah hari.

 Sejurus kemudian, Perdana Menteri bertolak menghadiri majlis perjumpaan tertutup bersama pemimpin Umno dan parti komponen Barisan Nasional di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong, Pertemuan bersama pemimpin dan ahli parti berakhir dengan jamuan petang kira-kira dua jam kemudian.

Sementara itu, Datin Paduka Seri Rosmah pula dijangka melawat Taska Permata Keluarga Serdang Baru, Kuala Nerus, kira-kira jam 3.30 petang.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, Terengganu hari ini, cukup bertuah kerana dikunjungi pemimpin nombor satu negara, yang tidak jemu-jemu membantu rakyat dan memberi pelbagai kemudahan kepada semua golongan.

“Kerajaan BN adalah sebuah parti yang memperjuangkan nasib rakyat, justeru itu, mari kita sama-sama seia sekata dengan berjanji menyokong BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti.

“Kita mahu melihat Terengganu terus membangun dan menjadi negeri maju menjelang 2020, oleh itu kita perlukan sebuah kerajaan yang mampu melaksanakan dengan adil dan bijaksana,” katanya..

 

Kunjungan PM ke Pasar Payang disambut meriah

Dato' Seri Mohd Najib melambai tangan ke arah peniaga Pasar Kedai Payang.
Oleh: Esah Abdullah dan Noraini Jusoh

Ketibaan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu kira-kira jam 10 pagi hari ini disambut ribuan orang ramai dalam suasana meriah.


Turut mengiringi beliau Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said serta isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud untuk bertemu dan beramah mesra dengan peniaga di Pasar Payang.

Sejurus kemudian, Perdana Menteri dan Menteri Besar bersama isteri masing-masing menaiki beca berhias untuk bersarapan pagi bersama rakyat di Perhentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Sepanjang perjalanan rombongan Perdana Menteri ke perhentian bas diiringi Pemuda Umno yang membawa bendera parti serta orang ramai.

Perdana Menteri dan Menteri Besar meluangkan masa lebih kurang setengah jam bersarapan pagi bersama orang ramai sambil beramah mesra dengan peniaga di situ.

Beliau kemudian bergerak ke tapak pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu dengan menaiki kereta.

 

Kami bangga dengan PM

Oleh; Esah Abdullah dan Noraini Jusoh

WAN ROSLI
Kunjungan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor mencetuskan perasaan yang sukar digambarkan oleh para peniaga di Pasar Payang dan peniaga di Perhentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (PBMBKT) pagi ini.

PUAN FAEZAH
 “Kedai saya laris semacam sejak awal pagi kerana orang ramai berpusu datang untuk bertemu dengan pemimpin nombor satu negara,” kata Wan Rosli Wan Ismail, 56 peniaga kedai makan di PBMBKT .

Beliau yang dibantu isteri Puan Faezah Awang, 51, berasal dari Kampung Pasir Tinggi, Bukit Payong melahirkan rasa gembira kerana pertama kali bertemu secara dekat dengan Perdana Menteri yang berjiwa rakyat.

KAMARIAH
Bagi Kamariah Ghani, 48, pertemuan ini merupakan kali kedua beliau bertemu secara dekat dengan PM, pertama ketika PM ke negeri ini tidak lama dulu.

Beliau yang tinggal di Kampung Ladang Titian, Kuala Terengganu menjalankan peniagaan makanan ringan sejak 10 tahun lalu merupakan orang kelainan upaya (OKU) turut melahirkan rasa seronok kerana sempat berbual mesra dengan PM yang singgah digerainya.

WAN MARZUKI
Encik Wan Marzuki Wan Shafie yang menjual barangan runcit juga gembira menerima kunjungan Perdana Menteri dan isteri serta beramah mesra dengan peniaga di situ.

“Kesediaan PM turun ke bawah bertemu masyarakat tempatan mengambarkan sikap kesederhanaan beliau yang sentiasa mendengar keluh kesah rakyat,” katanya.

AHMAD SHUKRI
Bagi Ahmad Shukri Abdullah,48, lawatan PM ke negeri ini serta kunjungan ke Pasar Payang mampu merapatkan hubungan antara rakyat dengan pemimpin atasan.

MOHD NAJIB
“Saya yakin dengan kunjungan seumpama ini, rakyat merasakan mereka dihargai dan disayangi oleh pemimpin-pemimpin kita,” katanya yang berniaga keropok di Pasar Payang.

 Peniaga pakaian, Encik Mohd Najib Zakaria, 42, melahirkan rasa bangga dengan sikap yang ditunjukkan pemimpin nombor satu negara itu yang sudi mendekati golongan peniaga serta bertanya khabar.

“Saya gembira dan percaya semua orang seronok dapat jumpa dan bersalam dengan PM yang banyak memberi motivasi kepada golongan peniaga selama ini,” katanya.

RAMLI 
Encik Ramli Mohamad, 48, pula sanggup datang dari Dungun semata-mata kerana ingin bertemu mata dengan PM secara dekat.

 “Saya sangat berbesar hati, dapat bertemu dan bersalam dengan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat serta berani melakukan perubahan demi kesejahteraan rakyat jelata,” katanya.