Halaman

29 July 2013

MENTERI BESAR AKAN MENDOKONG WALK FOR BN KUALA BESUT- KUALA LUMPUR



Kalau sebelum ini, penyokong Barisan Nasional (BN) Mohd.Noor Mat, 48, bersendiri menyatakan untuk merealisasikan hasratnya berjalan kaki dari Kuala Besut ke Kuala Lumpur/Putrajaya berikutan kemenangan cemerlang BN dalam Pilihan Kecil (PRK) Kuala Besut, kini hasratnya itu mendapat sokongan dan dokongan dari Menteri Besar , Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
 Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Pengerusi BN Negeri, bersetuju untuk menjayakan Walk For BN sebagai tanda persetujuan dan sokongan kepada seorang penyokong Barisan Nasional (BN) Mohd Noor Mat,  berhasrat meneruskan untuk berjalan kaki dari Kuala Besut ke Kuala Lumpur jika calon BN menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut.
Dato’ Seri Haji Ahmad dalam satu pertemuan dengan Mohd Noor di Pejabat Menteri Besar semalam, 28 Julai bersetuju Walk For BN direalisasikan sebagai menifestasi kejayaan cemerlang BN dalam PRK Dun Kuala Besut 24 Julai baru-baru ini.
 Dalam keadaan yang penuh teka-teki, ternyata BN telah memenangi pilihanraya kecil itu dengan majoriti cemerlang 2,592 menewaskan calon Pas. Mohd Noor yang juga seorang kakitangan rendah kerajaan negeri (Yayasan Islam Besut) beberapa hari sebelum berlangsungnya PRK Kuala Besut ada menyatakan bahawa beliau bernazar untuk berjalan kaki sejauh 600 kilometer sebagai tanda kesyukuran jika calon BN berjaya mengekalkan kerusi berkenaan.
  Calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman telah dipilih oleh rakyat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, menggantikan Allahyarham Dr.A Rahman Mokhtar yang telah meninggal dunia.  Menurut Menteri Besar, ia bolehlah bermula dari Kuala Besut sampai ke Kuala Lumpur sama ada di Putrajaya ataupun di PWTC.
 “Ia boleh merangsangkan lagi ke arah sokongan yang padu kepada BN dan akan berusaha memasukkannya ke dalam Malaysian Book of Record,” katanya kepada Pengarang Teganukita.
  Berjalan kaki lebih 600 kilometer ini adalah suatu pencapaian yang luar biasa,” katanya.
  Difahamkan Mohd Noor akan berjalan 60 kilometer sehari dan dijangka memakan masa 12 hari untuk sampai ke Kuala Lumpur dari Kuala Besut. Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan tarikh yang sesuai daripada Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Razak untuk menyambut Walk For BN dari Kuala Besut itu oleh penyokong BN ,Mohd Noor dan deligasi.
 Terengganu Today akan menjadi portal utama untuk mempromosikan Walk For BN, malah akan turut menjadi urusetia perlaksanaannya di bawah kelolaan Yang Berbahagia Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda.Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Cabaran Pulau Redang sempena TMT

Oleh; Esah Abdullah

Program Cabaran Pulau Redang (RIC) Antarabangsa akan diadakan selama tiga hari bermula 14 September ini di Pulau Redang dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM18,000.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan negeri Terengganu, Encik Mohd Sabri Zakaria berkata, RIC menyasarkan seramai 200 peserta dengan melibatkan sebanyak 100 pasukan iaitu dua peserta bagi setiap pasukan.

Menurutnya, penganjuran RIC yang mendapat kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Semula Jadi Terengganu (Tenaga) dan menawarkan hadiah keseluruhan RM18,000 iaitu johan kategori antarabangsa menerima RM3,000 manakala bagi kategori terbuka pula. RM2,000 di samping hadiah iringan lain.

“Program RIC melibatkan tiga disiplin iaitu acara renang bermula di Taman Laut Pulau Pinang, berlari serta merentas denai dan hutan di pulau berkenaan sebelum berkayak mengelilingi Pulau Paku sejauh 12 kilometer keseluruhan.

“Sehingga kini, 24 pasukan termasuk tiga dari Singapura telah mendaftar manakala peserta dari Kenya, Jepun dan Thailand turut memberi persetujuan menyertai program itu..

Katanya, program ini diadakan bersempena dengan Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT2013) dan juga promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM2014) dan penyertaan masih terbuka kepada sesiapa yang berminat dengan aktiviti lasak ini sehingga 31 Ogos.

 Menurutnya, bersempena dengan program itu turut diadakan Program Pelancongan Pelajar (Karnival 3P) melibatkan 35 buah sekolah yang merupakan ahli kelab pelancongan di samping pertandingan sukan pantai antara resort, seperti bola sepak pantai dan juga bola tampar.

 

28 July 2013

DiGi rai 200 pelajar Perkaya berbuka puasa

Oleh: Aida Abd Rahman

Ketika Ramadhan sudah melebihi separuh perjalanan, pelbagai pihak rancak tampil membantu meringankan bebanan mereka yang kurang bernasib baik seperti anak yatim, warga emas dan ibu tunggal dengan mengadakan majlis berbuka puasa di restoran mewah serta hotel seluruh negara.
Dato' Jailani Johari bergambar kenangan bersama sebahagian anak yatim Perkaya
Syarikat telekomunikasi, DiGi turut menunaikan tanggungjawab sosial dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi menaja 200 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) di majlis berbuka puasa `Happy Iftar Ramadhan’, di Hotel Primula Becah Resort, Kuala Terengganu, kelmarin.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari menyampaikan duit raya dan cenderahati kepada anak yatim terlibat.

Turut hadir Yang Dipertua Perkaya, Dato’ Tengku Mahmud Mansur; Ketua Perhubungan Strategik DiGi Telecommunication Sdn Bhd, Encik Roslan Rosli dan Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat.

Seorang anak yatim Perkaya, Nurhana Zainudin, 15, dari sekolah Menengah Seri Serating, Marang, berkata sumbangan duit raya ini adalah yang pertama diterima kali ini.

"Saya dan rakan amat gembira dan bersyukur kerana ada pihak yang sentiasa prihatin dan sanggup menaja kami menikmati juadah berbuaka puasa yang sungguh istimewa ini.

"Bukan sahaja dapat makan di hotel serba mewah, malah kami terima pula duit raya dan cenderahati menyebabkan Ramadan ini menambahkan lagi kegembiraan kami walaupun membesar sebagai anak yatim,” katanya.

Seorang lagi anak yatim, Nurul Ain Nabila, 15, dari Kampung Serdang, Dungun, turut berkongsi kegembiraan itu apabila berpeluang diraikan bersama hampir 200 rakan yang kurang bernasib baik yang lain.

"Gembira dan teruja sebab dapat berbuka puasa dan terima duit raya pula dari Dato’ Jailani Johari. Ini pengalaman yang sangat manis dan berharga. Kami semua mat menghargainya.

"Ramai pihak tampil menaja kami makan dan menghulur bantuan apatah lagi pada bulan yang mulia dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba nanti,” kata anak ketiga dari empat beradik itu.


TAHNIAH DATO’ SERI AHMAD SAID- KEKAL PENGERUSI BPUNT

Oleh: Penganalisa Politik Terengganu 

Pengumuman Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun A.Razak bahawa Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kekal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu memberi makna yang besar bahawa kepimpinan Dato’ Seri Ahmad perlu untuk memperkuatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Gandingan mantap Dato' Seri Haji Ahmad Said (kanan) sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu bersama Dato' Seri Haji Idris Jusoh sebagai timbalannya.
Penglibatan semula Ketua Umno Bahagian Besut yang juga Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh sebagai Timbalan kepada Dato’ Seri Ahmad adalah suatu harapan untuk perkukuhkan lagi kerjasama dan keperkasaan Umno Terengganu.

Kita yakin dengan penerimaan Idris untuk duduk di kerusi Timbalan, adalah sesuatu yang amat dialu-alukan. Penyokong Umno Terengganu amat meletakkan harapan yang tinggi agar kedua-dua pihak ini dapat bekerjasama erat dan membuat perancangan untuk memperkasakan Umno dan BN Terengganu, walaupun kedudukan di Dewan Undangan Negeri 17-15 dan Parlimen 4-4.

 Kerjasama dan kerja kuat Dato' Seri Ahmad Said dan Dato' Idris Jusoh, berpadu memenangkan calon BN dalam pilihanraya kecil Kuala Besut boleh diteruskan ke dalam usaha membawa kecemerlangan Umno dan BN Terengganu untuk PRU 14.

  Dalam PRK Kuala Besut, Dato' Seri Ahmad Said selaku Pengerusi BN Terengganu dan Menteri Besar bergerak cergas bagi ke seluruh peti undi, termasuk Pulau Perhentian, di samping Peti Undi Bukit Puteri di bawah jagaan Umno Bahagian Kemaman, kesemuanya mencapai keputusan yang cemerlang.

  PDM Bukit Puteri yang sebelumnya BN tewas, tetapi kali ini memperolehi kemenangan. Idris pula selaku Timbalan Pengarah jentera BN sentiasa mencari idea dan perancangan untuk meningkatkan undi, walaupun targetnya 4000 majoriti, tetapi dengan pencapaian majoriti kemenangan 2,592, ia dikira sudah memadai dalam pertandingan yang amat sengit itu.

  Janganlah hendaknya ada spekulasi yang bukan-bukan terhadap kepimpinan padu dua orang pemimpin ini, satu dari selatan dan satu dari utara Terengganu.

 Perahu sudah di air, dayung sudah di tangan....mulakanlah langkah untuk perjuangan demi agama,bangsa dan negara.

 Paduan antara Selatan atan Utara pasti membawa kekuatan semua kawasan yang berada di tengah-tengah atau dalam lingkungan keduanya..Itulah pengertian dan anologinya.

  Oleh itu, Terengganu bersyukur dengan kedudukan DS Ahmad Said selaku Menteri Besar dan sekaligus Pengerusi Perhubungan Umno dan Pengerusi BN Negeri untuk terus berpadu dengan Dato’ Seri Idris membawa Umno Terengganu ke arah kecemerlangan.

 Sekalung tahniah kepada Dato' Seri Ahmad Said dan Dato' Seri Idris Jusoh di atas lantikan dan kepercayaan itu. Pendekatan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan (MPPNT) oleh DS Ahmad disertai dengan Ulul Albab yang pernah diperkenalkan Dato' Seri Idris, sudah tentu akan memantapkan lagi Umno Negeri Terengganu bagi menghadapi PRU 14 nanti.


Bukan semua kesalahan internet bawah SKMM

Oleh: Aida Abd Rahman

Tidak semua kesalahan di atas platform internet itu di bawah tindakan SKMM (Suruhunjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia,Dato’ Jailani Johari.

“Macam kes syiah, yang sepatutnya bertindak Jabatan Agama Islam, kalau macam kes yang disebarkan melalui internet semalam melibatkan kantin sekolah di bawah jabatan pelajaran atau jabatan kesihatan, macam kes Alvin dan Vivian itu tindakan SKMM, polis dan sebagainya.

“Terpulang kepada agensi itu kerana internet hanya sebagai medium, pengantara, platform, begitu juga akhbar arus perdana, kenapa kita tidak suruh pihak berkaitan ambil tindakan..jadi dia punya perbandingan begitulah,” katanya kepada pemberita sempena program `Happy Iftar Ramadhan Bersama Perkaya dan Media, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir Yang Dipertua Perkaya, Dato’ Tengku Mahmud Mansur, Ketua Perhubungan Strategik Digi Telecommunication Sdn Bhd, Encik Roslan Rosli dan Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Encik Ayob Mamat.

Dato’ Jailani berkata, orang awam perlu mempunyai kawalan kendiri dalam menangani laman sosial seperti blog dan Facebook yang tidak sihat dengan memadamkannya sendiri dan jika gagal boleh melaporkan kepada SKMM sebagai badan kawal selia untuk memadamkannya.

“SKMM akan bertindak bersama agensi berkaitan kes berkenaan jika Alvin dan Vivian, bersama polis, kalau elibatkan kesihatan bersama Kementerian Kesihatan.

 “Ada juga kes yang mana SKMM menerima arahan bersurat daripda pihak berkaitan supaya mengeluarkan blog atau Facebook terbabit,” katanya.


JHEAT diminta pantau aktiviti masjid dan surau

Oleh: Suriati Ali 

 Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) diminta bersikap tegas dan memantau pengurusan setiap masjid dan surau, terutama yang dibina di negeri ini, bagi mengelak berlakunya aktiviti bersifat menghasut dan berunsur politik.

 Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pendekatan itu cukup penting bagi mengelak perpecahan di kalangan umat Islam.

"Kerajaan mahu segala pembinaan baru surau dirujuk JHEAT terlebih dahulu supaya pemantauan boleh
dibuat dengan lebih mudah.

"Surau dan masjid perlu wujud berasaskan keperluan, jika kawasan itu sudah mempunyai masjid serta surau, ia tidak perlu lagi membina kemudahan yang sama"katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pengimarahan Masjid dan Surau Daerah Kuala Terengganu di Pejabatan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Ahmad Razif turut memberitahu, dia berharap JHEAT membuat pemantauan sekerap mungkin kerana percaya ada beberapa masjid dan surau di negeri ini, mengadakan ceramah, tazkirah dan kuliah berunsurkan politik dengan menjemput penceramah yang tidak bertauliah.

Pengubahsuaian masjid dan surau juga perlu dibuat selepas dirujuk oleh JHEAT dan agensi yang bertauliah. 

"Ada beberapa masjid dan surau yang diubahsuai tidak mendapat rujukan daripada JHEAT dan agensi yang bertauliah.

Hal ini membimbangkan kerajaan terutama daripada segi keselamatan pengguna di masjid berkenaan. “Kita tidak mahu apabila berlaku sesuatu perkara seperti surau atau masjid runtuh kerajaan juga yang akan dipersalahkan," katanya.

 

30 pemilik beca terima sumbangan Tesdec

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali

Seramai 30 pemilik beca roda tiga sekitar Bandaraya Kuala Terengganu menerima kanvas dan saguhati sebanyak RM200 yang disumbangkan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tesdec, Haji Che Razali Adis berkata, sumbangan tersebut sebagai memenuhi tanggungjawab sosial institusi terbabit dalam meringankan beban golongan kurang berkemampuan sempena bulan mulia ini.

"Sumbangan tersebut diharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka menyediakan keperluan raya untuk keluarga masing-masing.

"Manakala, pemberian kanvas pula diharap dapat memperkasakan nama Kolej Tesdec kepada masyarakat setempat serta pengunjung luar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan kanvas dan saguhati kepada pemilik beca roda tiga sekitar Bandaraya Kuala Terengganu, di Dataran Pantai Batu Burok, baru-baru ini.

Abdullah Mohamad
Katanya, melalui pemakaian kanvas ini memudahkan masyarakat setempat dan pengunjung luar mendapatkan maklumat berkaitan Tesdec melalui nombor telefon serta alamat portal rasmi Kolej Tesdec yang tertera pada kanvas tersebut.

Pengayuh beca, Abdullah Mohamad, 57, berkata, beliau sangat gembira dengan pemberian saguhati tersebut kerana dapat digunakan untuk membeli keperluan raya anak-anaknya.
Sidek Jusoh

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Kolej Tesdec atas pemberian sumbangan ini dan saya akan gunakan wang berkenaan sebaik mungkin untuk kepentingan anak-anak,” ujarnya yang merupakan bapa kepada empat orang anak.

Sementara itu, seorang warga emas yang masih gigih mengayuh beca untuk mencari sesuap nasi, Sidek Jusoh, 89, berkata, sumbangan tersebut akan digunakan untuk menampung keperluan seharian sepanjang Ramadan ini.

"Pendapatan sebagai pengayuh beca memang tidak menentu, justeru saya bersyukur dengan pemberian ini kerana dapat digunakan untuk membeli juadah berbuka puasa,” ujarnya.
 





27 July 2013

`Klik dengan Bijak' tekan kesedaran penggunaan laman sosial

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan memperkenalkan program 'Klik dengan Bijak' ke seluruh negara dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam diri setiap individu mengenai implikasi jika tersalah guna kemudahan internet.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari berkata kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperluas program yang sudah dilaksanakan di lima negeri itu supaya mampu mendidik pengguna laman sesawang mengenai cara dan fungsi yang betul menggunakan kemudahan teknologi itu.

“Kesilapan menekan butang klik ketika mengakses internet boleh memberi kesan buruk kepada pengguna dan juga masyarakat keseluruhannya sebagaimana banyak laporan yang kita terima berhubung peningkatan isu penyalahgunaan laman sosial seperi blog dan Facebook.

"Seperti yang kita tahu, banyak kes dilaporkan membabitkan penggunaan blog dan Facebook jadi kita tekankan program ini bagi mendidik para pengguna," katanya kepada pemberita sempena program `Happy Iftar Ramadhan Bersama Perkaya dan Media, di Hotel Primula, Kaula Terengganu, kelmarin.

Turut hadir Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya), Dato’ Tengku Mahmud Mansur; Ketua Perhubungan Strategik DiGi Telecommunication Sdn Bhd, Encik Roslan Rosli dan Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat.

Hadir sama, 200 anak yatim Perkaya dan 30 pengamal media seluruh Terengganu yang diraikan di majlis itu.

Dato’ Jailani berkata penggunaan  internet boleh diumpamakan seperti pisau pemotong sayur atau daging yang mampu memberi kesan dan risiko yang tidak boleh dijangka jika tidak berhati-hari serta disalahgunakan.

Sehingga kini, lima negeri yang sudah melaksanakan program tersebut iaitu Pulau Pinang, Sabah, Terengganu dan Johor.

“Program `Klik dengan Bijak’ ini mendapat sambutan baik apabila kita laksanakan dengan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan seperti bersama Kementerian Belia dan Sukan, PDRM, KPDNKK dan sebagainya.

"Penerimaan mereka Alhamdulillah, malah mereka mempunyai jadual untuk melaksanakan program kesedaran menggunakan internet. Dari situ, kita mengingatkan pengguna yang mengakses internet dalam setiap portal perlu berhati-hati dengan sentuhan yang kita klik. Kita perlu bertanggungjawab dan berfikirlah terlebih dahulu sebelum kita mahu klik internet," katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai agar mengelak dan mengawal diri daripada mengakses internet yang tidak boleh menjejaskan sensitiviti dan budaya negara.


26 July 2013

Kedai Emas dan Permata Hajah Fatimah tawar harga berpatutan

Oleh: Noraini Jusoh dan Nurul Suraya Abd Sukur
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali

Kedai Emas dan Permata Hajah Fatimah yang terletak di Jalan Banggol Kuala Terengganu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai khususnya kaum wanita ekoran harga emas turun menjelang musim perayaan aidilfitri tahun ini.
Tinjauan Teganukita ke kedai emas terbabit yang dimiliki Hajah Fatimah Abd Ghani dan diusahakan bersama suami dan anak-anaknya baru-baru ini, mendapati harga emas jenis 916 yang menjadi pilihan ramai wanita hanya RM129 untuk 1 gram, berbanding RM135 bagi 1 gram di kedai lain.

Anak pemiliknya, Mohd Faizal Yusof (gambar) berkata, disebabkan harga emas yang dijual di kedai ibunya jauh lebih murah berbanding kedai lain, ramai pelanggan memilih untuk membeli emas di kedai mereka.

"Walaupun harga emas di pasaran ada kalanya naik dan turun kami memilih untuk menawarkan harga yang berpatutan dengan kadar harga yang boleh dirunding.

"Disebabkan faktor sedemikian kemungkinan ramai pelanggan lebih gemar dan memilih untuk berurusan di kedai keluarga kami yang mula beroperasi sejak tujuh tahun yang lalu,”ujarnya kepada Teganukita.

Katanya, disebabkan harga emas yang turun kebetulan dengan bulan Ramadan kali ini, kira-kira 100 pelanggan setiap hari datang ke kedai ini bagi membeli atau melihatnya untuk digayakan pada hari raya tidak lama lagi.

Tambah beliau, sifat peramah mereka sekeluarga yang mudah mesra dengan pelanggan telah menarik kira-kira 5000 pelanggan tetap terdiri daripada penggemar emas bukan sahaja dari negeri ini malah termasuk dari luar Terengganu.
Katanya, selain emas Kedai Emas dan Permata Hajah Fatimah turut menjual, membeli dan menerima tempahan suasa, perak, permata serta surat pajak.

"Kami turut menyediakan perkhidmatan mencuci emas dengan harga yang bersesuaian,”ujarnya.

Katanya, rantai tangan atau gelang paling mendapat sambutan di kedai mereka yang dibuka pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum dari 9 hingga 6 petang.

 

25 July 2013

Rakyat Kuala Besut percaya pada BN

Oleh: Suriati Ali 

Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut menunjukkan rakyat Terengganu menaruh kepercayaan kepada parti gabungan itu untuk terus menerajui kerajaan negeri.

Ketua Pemuda Umno Negeri Terengganu Encik Saiful Bahri Baharuddin, kemenangan itu membuktikan rakyat tidak terpedaya malah menguburkan teori 16:16 yang digembar-gemburkan PAS bagi mewujudkan kerajaan negeri 'tergantung' yang boleh menjurus kepada ketidakstabilan politik dan pentadbiran negeri.

 "Saya berharap PAS mengakui hakikat bahawa rakyat di Terengganu masih memerlukan BN, dan marilah kita istiqamah bersama-sama untuk membentuk kerajaan yang adil untuk rakyat di Terengganu," katanya.

Ketua Puteri Umno Negeri Terengganu, Puan Nordiana Shafei pula menegaskan kemenangan itu menolak tohmahan pembangkang kononnya sokongan rakyat terhadap BN telah berkurangan.

 "Tahniah dan terima kasih kepada semua pengundi di Kuala Besut yang keluar mengundi dan menunaikan hak mereka," katanya

BN berjaya mengekalkan status kedudukan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu apabila berjaya mempertahankan kemenangan di Kuala Besut dengan majoriti 2,592 undi.

Calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menewaskan wakil PAS, Endut @ Azlan Yusof selepas memperoleh 8,288 undi. Azlan yang lebih dikenali sebagai 'Che Long' memperoleh 5,696 undi.BN berjaya menambah majoriti sebanyak 158 undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lepas, BN menerusi wakilnya, Dr A. Rahman Mokhtar menang di DUN Kuala Besut dengan majoriti 2,434 mengatasi calon PAS, Napisah Ismail.

Kemenangan BN ini sekaligus menafikan sasaran PAS untuk mewujudkan 'DUN Tergantung' di Terengganu dengan agihan kerusi sama banyak 16:16. PRK DUN Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar daripada BN akibat masalah paru-paru pada 26 Jun lalu.