Halaman

02 September 2013

KEJAYAAN PENTERNAK MUDA

Yusrizal sedang memberi makan beberapa ekor kambingnya.
.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

SETIU: Minat mendalam seorang pemuda untuk menceburi bidang penternakan, selepas melihat kejayaan beberapa rakanya sebagai penternak mendorongnya untuk melepaskan jawatan sebagai seorang juruteknik di sebuah syarikat swasta untuk menternak kambing.

Yusrizal Yusof, 26, dari Kampung Pandan, Rhu Sepuluh, Penarik, di sini, bekas pelajar diploma jurusan makanikal nekad untuk berhenti kerja kerana yakin bidang penternakan kambing mampu memberi pulangan yang lebih.

Ternyata, keputuasan Yusrizal untuk berhenti kerja tidak sia-sia apabila dia kini memiliki lebih 60 ekor kambing selepas menternaknya sejak 2009 dan pernah mencapai jumlah ternakan seramai 90 ekor.

"Sebenarnya saya mula meminati bidang perternakan kambing ini sejak di sekolah menengah lagi tetapi lepas sekolah, saya menyambung pelajaran dan terus dapat kerja. Minat saya terhenti seketika sehinggalah enam tahun kemudian saya teruskan minat saya itu.

"Lagipun beberapa rakan yang menyertai bidang perternakan ini berjaya dan ia memberi semangat kepada saya untuk menjayakan minat saya itu selain itu saya sering membaca mengenai penternakan kambing di internet serta pernah menyertai beberapa kursus yang dianjurkan kerajaan," katanya.

Dia yang memulakan perniagaan dengan membeli sembilan ekor kambing dengan harga RM3,000 dan membina kandang bernilai RM10,000 kini mampu menjual kira-kira 10 ekor kambing sebulan dengan harga antara RM300 hingga RM1,200 seekor.

"Selain memberi makanan segera kambing, saya banyak memberi rumput dan daun-daun pokok. Saya akan mampastikan kambing-kambing ini dalam keadaan sihat dan segar dengan mendapat khidmat nasihat dan perubatan dari Pejabat Haiwan," katanya.

Yusrizal berkata, jika mempunyai cukup modal dan tanah yang sesuai dia bercadang untuk membina sebuah ladang kambing yang boleh menempatkan jumlah kambing yang lebih ramai tetapi buat masa dia mahu menumpukan perhatian kepada kambing-kambing yang sedia ada.

 

KEINDAHAN PANTAI BARI KECIL

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Pemandangan indah di Pantai Bari Kecil
PANTAI Bari Kecil yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Bandar Permaisuri, Setiu tidak sepopular pantai Bukit Keluang di Besut ataupun Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu tetapi keindahan pantai ini mempunyai keunikan tersendiri dan sering dikunjungi penduduk sekitar daerah Setiu.

Memiliki pantai yang agak landai dan air yang cetek, Pantai Bari Kecil dijadikan tempat perkelahan mereka yang gemarkan suasana damai. Kedudukannya yang stategik, pengunjung Pantai Bari Kecil dapat melihat dengan jelas empat pulau iaitu Pulau Perhentian, Redang, Lang Tengah dan Pulau Bidong.

Bagi yang gemar sukan lasak, pengunjung dapat melakukan pelbagai aktiviti antaranya ialah memanjat bukit, berkayak, berlari di tepi pantai dan lain-lain.

Walaupun ada yang berani manda-manda digigi pantai tetapi anda tidak digalakan untuk berbuat demikian kerana bimbang berlaku tanah jerlus ataupun air pasang yang boleh mengancam nyawa pengunjung.

Pulau Redang dapat dilihat dengan jelas jika cuaca baik.
Seorang penduduk, Rubiah Sidek, 56, berkata, walaupun Pantai Bari Kecil tidak dikenali ramai sebagaimana Pantai Penarik tetapi pada setiap jumaat ramai yang datang untuk berkelah bersama keluarga. 

"Sejak dahulu hingga sekarang, pantai ini sememangnya menjadi kunjungan ramai terutamanya penduduk di daerah ini, keadaanya yang tenang dan damai serta mempunyai beberapa kawasan berbatu menjadikan pantai ini begitu indah sesuai untuk BBQ ataupun bermain di gigi pantai," katanya.

Keindahan Pantai  Bari Kecil sehingga ke Pantai Penarik
Pantai Bari Kecil ini dibangunkan oleh kerajaan Barisan Nasional kira-kira tiga tahun lalu dengan membina beberapa tempat rehat, tandas, jalan yang menghubungkannya ke Pantai Penarik dan menanam pokok ru.


     

01 September 2013

MCPF jalin kerjasama dengan m asjid atasi jenayah

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Terengganu akan mengadakan kerjasama dengan masjid-masjid di seluruh negeri bagi membantu membanteras kegiatan jenayah.

Pengerusi MCPF, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata buat permulaan pihaknya merancang menjadikan Masjid al-Muktabillah Shah, Ladang, sebagai projek perintis di mana kerjasama bagi membendung jenayah dilakukan melalui progam berunsur agama.

“Jika projek ini yang akan dimulakan dalam masa terdekat ini berjalan lancar dan membuahkan hasil yang baik, kita akan memperluaskannya di masjid seluruh negeri,” katanya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Katanya, sebelum ini pihaknya mengadakan kerjasama seumpama itu dengan pihak sekolah rendah dan menengah di negeri ini dan ia menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

Beliau berkata, pihaknya sedia mengadakan kerjasama dengan pihak lain bagi memastikan kadar jenayah di negeri ini berkurangan dari semasa ke semasa.


24 Pasangan bersyukur atas kelahiran bayi

 Oleh: Suriati Ali 

Sambutan kemerdekaan negara kali ke-56 bukan sahaja disambut penuh semangat patriotik malah dengan rasa kesyukuran bagi 24 pasangan ibu bapa di seluruh negeri ini apabila dikurniakan cahaya mata sempena tarikh bersejarah Negara, semalam.

Ibu kepada bayi Merdeka pertama yang dilahirkan iaitu Noraini Mamat, 32, melahirkan rasa syukur dan bangga apabila dapat menimang cahaya mata ketiga sempena tarikh kemerdekaan negara.

Jelasnya yang berasal dari Felda Kampung Rahmat, Setiu, dia dijangka melahirkan bayi seberat 3.2 kilogram berkenaan pada 4 September depan namun surirumah itu tidak menyangka dapat melahirkan bayi lelaki itu tepat pukul 12.21 pagi tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Ada dua benda yang mengejutkan saya iaitu pertama perlu melahirkan anak awal daripada tarikh sepatutnya dan bayi saya adalah lelaki kerana sebelum ini ketika buat pemeriksaan adalah bayi perempuan.

 "Bagaimanapun saya bersyukur kerana dia selamat dan mungkin ada rahmat dia dilahirkan sempena tarikh bersejarah hari ini dan saya harap dia dapat berkorban dan menjaga negara dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi seperti mana tarikh hari lahirnya.

 “ Saya juga menyokong jika dia mahu menjadi polis atau tentera apabila besar nanti," katanya.

 Bagi Maisarah Mat, 33, dari Seberang Takir, dia amat gembira dan bangga dapat melahirkan bayi Merdeka pada pukul 1.09 pagi tadi dan berharap anak sulungnya ini dapat membanggakan dia dan suaminya serta mengharumkan nama negara satu hari nanti.

 "Sepatutnya saya lahirkan dia pada 28 September depan tetapi semalam rasa sakit dan terpaksa melahirkan dia walaupun masih belum cukup bulan dan ketika dilahirkan bayi saya seberat 2.5 kilogram sahaja.

 "Namun saya harap dia mempunyai jiwa yang besar untuk menjadi anak yang berguna pada masa depan dan mahu dia membanggakan saya dan suami suatu hari nanti dengan melakar pelbagai kejayaan," jelasnya.

Sementara itu, seramai 13 bayi perempuan dan 11 bayi lelaki selamat dilahirkan di seluruh negeri ini di mana bayi pertama Merdeka dilahirkan pada pukul 12.24 pagi di HSNZ.

 

Manfaat Jalanraya tiga kilometer




Jalanraya yang menghubung Kampung Kederang ke Binjai Manis, Permaisuri.


Teks dan gambar: Aminudin Ismail.


KEPERIHATINAN kerajaan Barisan Nasional membantu rakyat tidak mengira fahaman politik, ini terbukti apabila terbinanya jalanraya yang menghubungkan Kampung Kederang ke Binjai Manis di Permaisuri, Setiu kira-kira tiga tahun lalu biarpun dikatakan kebanyakan penduduk kampung itu adalah pembangkang. 

Tinjauan Teganukita mendapati, jalanraya sejauh tiga kilometer itu kini digunakan lebih 100 penduduk kampung itu untuk berulang-alik ke Pekan Permaisuri atau menghantar anak mereka ke Sekolah Menengah Tengku Ibrahim serta Sekolah Kebangsaan Permaisuri.

Seorang penduduk, Nik Soh Nik Kut, 44, berkata dia dan penduduk kampung berterima kasih kepada kerajaan kerana membina jalan raya bertar yang memberi manfaat kepada penduduk setempat kerana sebelum itu, penduduk terpaksa mengunakan jalan yang kurang elok dan mengambil masa yang lama untuk ke pekan Permaisuri.

"Memang banyak bezanya mengunakan jalan lama yang mengunakan jalan parit taliair untuk ke Pekan Permaisuri daripada mengunakan jalan ini yang hanya mengambil masa tidak sampai 15 minit ke pekan Permaisuri. Lagipun untuk ke sekolah menengah dan sekolah rendah hanya mengambil masa tujuh minit sahaja," katanya.

Nik Soh berkata, pada masa depan, jalanraya ini akan disambung ke Kampung Guntung dan ini akan mendekatkan lagi kampung itu ke kawasan pantai dan katanya, berkemungkinan jalan ini akan menjadi laluan penduduk kampung lain untuk ke pekan Permaisuri.

"Dengan mempunyai jalanraya yang baik, ia bukan sahaja boleh memberi kemudahan kepada penduduk tetapi juga boleh meningkat ekonomi penduduk kerana mereka boleh menghantar hasil pertanian ke pekan Permaisuri dengan cepat," katanya.


BATU BUAYA DI CALOK...kisahnya realiti atau dongeng?



Pengunjung bergambar kenangan berhampiran kepala "buaya".

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.


CERITA tentang seekor buaya besar akan menghentak air di atas sebuah Bukit di Kampung Gong Terap, Chalok, Setiu, Terengganu pada setiap kali musim tengkujuh akan tiba, dengan mengeluarkan bunyi yang kuat sehingga boleh didengar oleh penduduk kampung suatu ketika dahulu.

Untuk mendapat kepastian mengenai apa yang berlaku itu, Tidak lama dulu, Teganukita berkesempatan ke atas bukit yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Kampung Gong Terap itu bersama seorang penduduk asal kampung itu untuk mengetahui apa yang terdapat di atas bukit itu.

Walaupun jaraknya tidaklah jauh dari jalan utama iaitu kira-kira setengah jam perjalanan tetapi, agak sukar untuk ke bukit itu kerana kami terpaksa berjalan kaki kira-kira lebih satu kilometer kerana kereta tidak boleh memasuki kawasan itu yang berbukit dan melalui satu ladang getah.

Kami di pandu arah oleh seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Pak Long untuk ke tempat itu kerana Pak Long agak mahir di kawasan itu kerana ia pernah beberapa kali ke tempat yang agak misteri itu kerana membawa beberapa orang yang mahu melihat sebuah batu berbentuk buaya di tempat itu.

Akhirnya selepas meredah sebuah bukit kami sembilan orang termasuk empat kanak-kanak tiba di tempat yang menjadi bualan ramai penduduk Chalok itu.

“Inilah batu yang mahu awak ihat tu, ia memang nampak seperti seekor buaya tetapi ekornya sudah terputus manakala badanya seperti terlekat di atas sebuah batu yang lain,” kata Pak Long sambil mengusap batu berbentuk buaya itu.

Pada mulanya penulis tertanya-tanya juga di mana batu berbentuk buaya yang saya mahu lihat itu tetapi selepas diamati betul-betul barulah saya perasaan bahawa batu itu sudah berada di hadapan mata dan ternyata sememangnya batu itu seakan seperti seekor buaya yang besar tersadai di atas sebuah bukit.

Batu sepanjang kira-kira 10 meter dan lebar ditengahnya sekitar dua meter itu mengambarkan seekor buaya yang sedang berehat dalam keadaan mengiring kira-kira 10 darjah menakala bahagian ekornya tertanam ke dalam tanah yang yang kelihatan ialah bahagian atas ekor manakala yang lain terbenam di dalam tanah.

“Pak Long tahu tak kisah batu ini,” Tanya penulis kepada Pak Long kerana mungkin ada cerita mengenai batu itu. Walaupun ceritanya mungkin dongeng rakyat tetapi saya mengharapkan akan mendapatkan cerita itu bagaimana batu itu boleh terbentuk seperti buaya, adakah kerana sumpahan atau sebagainya.

"Pak Long tahu ialah bukit ini ialah kawasan perkampungan Cina pada zaman dahulu manakala orang Melayu tinggal di bawah bukit iaitu di kampung Calok Terap sekarang. Orang Cina dan orang Melayu sering bergaduh kerana orang Melayu menyatakan orang Cina tidak boleh tinggal di atas daripada sungai itu. Akhirnya mereka berperang.

“Meraka yang meninggal dunia di tanam di kawasan batu ini, tetapi kawasan perkuburan ini tidak dipastikan samada wujud atau tidak di kawasan ini, Terdapat sebuah sungai di atas bukit ini dan di dalam sungai itulah terdapat seekor buaya peliharaan seorang pahlawan tersohor di daerah ini bernama Tok Bujuk, “ kata Pak Long sambil menunjukan sebuah sungai kecil berhampiran batu buaya itu.

Menurut Pak Long ada juga pendapat menyatakan batu buaya itu adalah sumpahan kepada seseorang yang melanggar perjanjian tetapi tidak diketahuinya siapakah yang disumpah menjadi buaya itu.

Pak long berkata, selain itu, di hadapan batu buaya itu terdapat satu lubang kecil dipercayai menjadi pintu masuk ke dalam sebuah gua dan di dalam gua itulah kononnya terdapat harta peninggalan beberapa orang kaya dari keturunan Cina yang menghuni kawasan itu.

Apapun cerita mengenai batu berbentuk buaya itu namun yang pasti batu itu kelihatan seakan-akan seekor buaya yang besar tersadai di atas bukit di kampung itu.

 

31 August 2013

Terengganu catat kelahiran 24 bayi

Menteri Besar dan isteri memotong kek meraikan bayi merdeka yang lahir di HSNZ.
Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

 Terengganu mencatatkan seramai 24 bayi selamat dilahirkan di hospital seluruh negeri ini ketika masyarakat menyambut Hari Kemederdekaan Ke 56.

 Berdasarkan bilangan itu, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mencatatkan bilangan kelahiran paling tinggi iaitu seramai 10 bayi diikuti Hospital Kemaman (5 bayi) dan Hospital Dungun pula 4 bayi.

To'  Puan Seri Hajah Norliza Mahmud memangku bayi pertama yang lahir selepas ambang merdeka ditemani Dato' Seri Haji Ahmad Said dan ibu bayi berkenaan.
Manakala Hospital Besut dan Hospital Setiu masing-masing (2 bayi) dan paling rendah Hospital Hulu Terengganu dengan bilangan seorang bayi.

 Timbalan Pengarah (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Muhammad Omar, berkata semua bayi yang dilahirkan sempena sambutan hari merdeka itu dicatatkan dalam tempoh 12 jam di mana catatan terakhir pada jam 12.00 tengah hari ini.

“Bayi paling awal selamat dilahirkan adalah di HSNZ pada jam 12.24 pagi tadi, dan kemungkinan ada beberapa lagi bayi bakal dilahirkan di seluruh Terengganu pada sambutan 31 Ogos kali ini,” katanya.


Sementara itu, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata masalah kesesakan pesakit terutama yang melibatkan kes bersalin di HSNZ dijangka dapat diselesaikan apabila Kompleks Pakar Materniti dijangka siap akhir tahun ini.

“Dengan tambahan katil di kompleks itu sebanyak 210 unit dan katil bersalin sebanyak 24 unit, insyaAllah masalah ini akan dapat diatasi.

 “Pada sama sama, kompleks itu juga dapat menyelesaikan masalah parkir di HSNZ apabila sebanyak 385 parkir dibina untuk kemudahan menempatkan kenderaan di bangunan lima tingkat berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas meraikan kelahiran bayi merdeka di HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, To' Puan Norliza Mahmud bersama beberapa rombongan lain.

Dato’ Ahmad turut memberitahu, kerajaan negeri tumpang bangga di atas kelahiran bayi ketika masyarakat menyambut Hari Kemerdekaan Ke 56.

 “Diharapkan `bayi-bayi merdeka’ ini mendapat didikan yang sempurna daripada ibu bapa mereka di samping dapat mengerti apa itu kemerdekaan sebenar apabila dewasa kelak,” katanya.

 

Rakyat Terengganu turut raikan merdeka

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Rakyat Terengganu turut memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan dengan cara berkumpul bersama keluarga atau sahabat handai di sepanjang jalan di Bandar Kuala Terengganu bagi menyaksikan perarakan kontinjen yang mengambil bahagian dalam perbarisan.

Orang ramai tidak mahu melepaskan peluang meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dengan menyaksikan perarakan pembarisan.
Manakala sebahagian lagi penduduk negeri ini turut berada di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sejak awal pagi bagi menyaksikan sambutan tersebut yang diadakan bagi mengingati jasa pejuang tanah air bagi memerdekakan negara daripada belenggu penjajah.

Orang ramai yang juga terdiri daripada pelajar dan kanak-kanak melambaikan tangan dan memberi tepukan setiap kali kontinjen yang menyertai perbarisan lalu di hadapan mereka.




Majlis sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri bermula jam 7.35 pagi itu dengan acara pertama ialah upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada Menteri Besar oleh anggota simpanan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan diikuti upacara menaikkan jalur Gemilang.

Selepas Menteri Besar melaungkan ‘merdeka’ sebanyak tiga kali, acara perarakan kontinjen yang mengambil bahagian dimulakan.


Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 Peringkat Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, pembesar negeri dan pemimpin kanan kerajaan.

Perarakan kontinjen yang mewakili pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan itu berakhir di Dataran Batu Buruk.



Usah bina tembok pemisah – MB

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama barisan exco dan pegawai kanan kerajaan melaungkan Merdeka sebanyak tiga kali.
Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Rakyat negeri ini diminta supaya tidak membina tembok pemisah akibat perbezaan politik hingga menyekat usaha menyatupadukan penduduk tempatan.

Perarakan dimulakan dengan pembawa Jalur Gemilang berarak dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ke Batu Buruk.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sepatutnya perbezaan fahaman politik tidak perlu dijadikan alasan untuk rakyat berpecah belah hingga melemahkan bangsa, agama dan negara.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Terengganu mengambil semangat sambutan ulangtahun kemerdekaan negara ke-56 tahun ini, untuk kembali bersatu bagi mengukuhkan masyarakat dan negara.

Katanya, tema sambutan hari kebangsaan tahun ini ‘Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' membawa erti yang besar dalam usaha memupuk semangat cintakan negara di kalangan semua bangsa.
Upacara menaikkan bendera Malaysia, Jalur Gemilang.
“Semangat cintakan tanah air perlu ada pada setiap individu tanpa mengira bangsa bagi menguatkan lagi kedudukan negara kita,” katanya ketika membacakan perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-56 peringkat negeri Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, hari ini.










Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 Peringkat Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, pembesar negeri dan pemimpin kanan kerajaan.

Majlis tersebut yang bermula jam 7.35 pagi itu dimulakan dengan upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada Menteri Besar dan diikuti upacara menaikkan jalur Gemilang.

Selepas Menteri Besar melaungkan ‘merdeka’ sebanyak tiga kali acara perarakan kontinjen yang mengambil bahagian dimulakan.

 

Rombongan Huaxicun China lawat Bandaraya Kuala Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Rombongan Huaxicun, China yang membuat kunjungan hormat ke negeri ini baru-baru ini tidak melepaskan peluang melawat tempat-tempat menarik yang terdapat dalam Bandaraya Kuala Terengganu.

Hari terakhir berada di negeri ini, rombongan Huaxicun pada sebelah paginya telah membuat lawatan ke Istana Maziah. Di sana, sejarah berkaitan institusi kesultanan Terengganu serta peranan dan fungsi istana telah diterangkan kepada rombongan Huaxicun.



Selepas itu, rombongan Huaxicun menaiki beca daripada perkarangan istana untuk melawat pasar tersohor di Terengganu iaitu Pasar Payang yang terletak tidak jauh dari Istana Maziah.

Di Pasar Payang, kesempatan melihat kehalusan seni songket dan kraftangan, makanan popular Terengganu seperti keropok lekor, telur penyu serta pelbagai jenis buah-buahan yang tidak pernah dilihat, memberikan satu pengalaman baru kepada ahli rombongan.

Lawatan sehari tersebut tidak habis di Pasar Payang sahaja, malah rombongan Huaxicun turut di bawa melawat Taman Tamandun Islam yang terdapat di Pulau Wan Man. Rombongan berkenaan begitu teruja melihat keunikan monumen dan Masjid Kristal yang menjadi mercu tanda negeri Terengganu.

Dengan menaiki bot dari jeti Pulau Wan Man, perjalanan diteruskan ke Kompleks Tuanku Nur Zahirah (KTNZ) Tanjung Bunut, Manir untuk melihat proses pembuatan songket secara lebih dekat. Selepas itu, rombongan Huaxicun turut di bawa melawat Muzium Negeri Terengganu di Bukit Losong.

Di muzium, rombongan Huaxicun di bawa melihat bahan-bahan sejarah mengenai Negeri Terengganu yang begitu berharga seperti Batu Bersurat dan sebagainya.