Halaman

25 September 2013

15 calon tarik diri tanding Umno

Oleh: Suriati Ali dan Mohd Syazni Zainudin (Pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra

 Badan Perhubungan UMNO Terengganu menerima 15 borang permohonan menarik diri daripada
bertanding pelbagai jawatan dalam pemilihan parti bulan depan.

Dato' Seri Haji Ahmad Said ditemani Dato' Haji Mazlan Ngah
ketika menjawab soalan daripada wartawan.
Pengerusinya, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, Muhammad Pehemi Yusof mengambil keputusan menarik diri menentang Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad bagi jawatan Ketua Umno Bahagian, beberapa individu yang menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan penting lain Bahagian dan Pemuda turut mengambil tindakan sama.

 Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada calon yang menang tanpa bertanding manakala mereka yang masih ingin bertanding, itu hak masing-masing dan Umno Terengganu tidak pernah menghalang hasrat mereka.


“Ada sesetengah bahagian mempunyai persaingan empat penjuru bagi merebut jawatan tertinggi, tetapi kita menganggap perkara itu positif kerana sistem demokrasi masih subur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu pihaknya ingin melihat semua calon yang bertanding mengekalkan kempen secara sihat, di samping memastikan etika yang ditetapkan parti dan mematuhinya sebaik mungkin.


“Terpulang kepada ahli untuk memilih calon kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Jangan memilih atas dasar kawan atau sekadar untuk memuaskan hati sendiri

 “Semangat cintakan UMNO perlu dipupuk dalam pertandingan dan tidak perlu memburukkan ahli-ahli lain,” katanya .

Difahamkan Jawatankuasa pemilihan UMNO negeri menerima 1,567 borang pencalonan melibatkan pertandingan empat peringkat iaitu bahagian, pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Ia melibatkan 601 borang untuk pertandingan jawatankuasa bahagian, 311 untuk Wanita, Pemuda (399) dan Puteri (256). UMNO Terengganu mempunyai lapan bahagian iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman

 

Akademi bomba Wakaf Tapai terbaik di Asia Tenggara

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wakaf Tapai, Marang membelanjakan kira-kira RM127 juta untuk muncul sebagai akademi yang terbaik dan terbesar di Asia Tenggara selaras dengan hasrat menjadi organisasi kebombaan berprestasi tinggi.

Pasukan Bomba dan Penyelamat sedang menjalani latihan kebakaran di ABPM Wakaf Tapai, Marang.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abdul Rahman Dahlan berkata, pembinaan ABPM bagi fasa satu dan dua yang disiapkan dalam tempoh kira-kira 12 tahun itu, dilengkapi pelbagai kemudahan infrastruktur meliputi bangunan asrama, bangunan pentadbiran, dewan makan, auditorium, bilik kuliah, surau dan pusat sukan.


“Selain ABPM juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan simulator-simulator latihan pemadaman dan penyelamat yang moden dan terkini khusus untuk keberkesanan latihan bagi meningkatkan kompetensi pengetahuan dan kemahiran anggota dan pegawai Bomba.

 “Sudah tentu ABPM ini salah satu terbaik di dunia. Fasa seterusnya melibatkan pembinaan simulasi memadam kebakaran yang melibatkan kapal air, kapal besar di tasik sendiri. Kapal itu nanti kita simulasikan kebakaran dan fasiliti itu untuk memadam api. Begitu juga simulasi kapal terbang terhempas. Pada masa akan datang, kita juga berhasrat mewujudkan kapal terbang sebenar dan simulasi terbakar dan operasi memadam,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Perasmian Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, Marang, semalam.

Majlis perasmian berkenaan disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Sri Temenggong Raja.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan isteri, To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

Dato’ Abdul Rahman, berkata pihaknya menjangkakan kira-kira RM100 juta lagi diperlukan bagi menjalankan kerja fasa seterusnya termasuk menyediakan landasan kapal terbang sendiri.


Katanya, kemudahan itu bukan sahaja bagi menjalankan latihan simulasi menyelamat yang berprestasi tinggi seperti pesawat terhempas, malah mampu menjadi akses kepada APBM ini tidak lama lagi.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenalpasti tanah dan kawasan yang sesuai untuk membangunkan kemudahan untuk fasa berikutnya itu sebaik sahaja perancangan kementeriannya itu mendapat kelulusan kewangan dari kerajaan.

“Daripada keseluruhan 140 hektar, kita baru menggunakan 40 hektar dan selebihnya belum kita bangunkan serta akan kita bangunkan untuk fasa seterusnya nanti.

“Selain itu, di sini kita juga melatih anggota yang berkaliber dan berdisiplin tinggi. Malah, kita juga berbangga apabila perkhidmatan bomba dan keselamatan setanding dengan negara luar di seluruh dunia dengan kelengkapan yang serba canggih,” katanya.


NEGERI TERENGGANU PEMBUKA TIRAI PESTA NEGERI 2013 @ MENARA KUALA LUMPUR





Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Menara Kuala Lumpur akan menganjurkan Pesta Terengganu @ Menara Kuala Lumpur di perkarangan 1Malaysia Cultural Village pada 26 September hingga 2 Oktober 2013.

Ianya dibuka kepada pengunjung mulai jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam dan masuk adalah percuma. Ini merupakan acara tahunan Kerajaan Negeri Terengganu dan Menara Kuala Lumpur dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan semenjak ia diperkenalkan empat tahun yang lalu.

Pesta Negeri Terengganu diadakan bagi memperkenalkan keunikan dan kepelbagaian destinasi, kebudayaan, kesenian, permainan dan masakan tradisonal serta pelbagai produk kraftangan kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Mengulas mengenai majlis tersebut, Dato’ Zuraidah Haji Mohd Said, Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur berkata, “Di samping memberi peluang kepada rakyat tempatan dan antarabangsa mengetahui dengan lebih mendalam mengenai seni dan budaya Negeri Terengganu, ianya secara tidak langsung dapat membantu mempertingkatkan lagi usaha mempromosikan warisan dan destinasi pelancongan di Malaysia khususnya di Terengganu”.

“Ini merupakan peluang keemasan kepada para pengunjung untuk mencuba produk-prosuk makanan yang berasal dari Terengganu. Saya menyeru marilah kita bersama-sama memartabatkan produk tempatan dan saya mengambil kesempatan ini menjemput semua rakyat Malaysia ke Menara Kuala Lumpur bagi bersama-sama memeriahkan lagi Pesta Negeri Terengganu ini”, tambah beliau lagi.

Negeri Terengganu yang tersohor dengan tema ‘Negeri Cantik, Budaya Menarik’ kaya dengan warisan seni dan keindahan alam semulajadinya.

Pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung seperti seperti permainan tradisional, demonstrasi kraftangan, persembahan Gamelan dan tarian kebudayaan dari Kumpulan Kebudayaan SUKTRA Terengganu dan kumpulan penari kebudayaan Menara Kuala Lumpur (MKLPAG).

Pelbagai gerai jualan turut disediakan untuk para pengunjung yang ingin membeli dan merasai keenakan produk makanan tradisional Negeri Terengganu seperti nasi dagang, sata, keropok lekor dan makanan tradisional yang lain.

Ruang informasi, pameran dan jualan juga ada dibuka yang menampilkan tarikan tempat pelancongan di Negeri Terengganu seperti Tasik Kenyir, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan banyak lagi.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi talian 03-2020 5499 atau layari laman web rasmi Menara Kuala Lumpur di www.menarakl.com.my atau ‘like’ laman Facebook rasmi Menara Kuala Lumpur di www.facebook.com/officialmenarakl.

 

Pesta Negeri Terengganu di Menara Kuala Lumpur promosi TMT

Oleh; Esah Abdullah 

Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Menara Kuala Lumpur akan menganjurkan Pesta Terengganu @ Menara Kuala Lumpur di perkarangan 1Malaysia Cultural Village bermula esok hingga 2 Oktober depan.

Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) Encik Ahmad Fathil Abd. Ghani berkata, ini merupakan acara tahunan kerajaan negeri Terengganu dan Menara Kuala Lumpur yang telah mendapat sambutan menggalakkan semenjak ia diperkenalkan empat tahun lalu.

“Pesta Negeri Terengganu diadakan bersempena TMT bagi memperkenalkan keunikan dan kepelbagaian destinasi, kebudayaan, kesenian, permainan dan masakan tradisonal serta pelbagai produk kraftangan kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Katanya, di samping memberi peluang kepada rakyat tempatan dan antarabangsa mengetahui dengan lebih mendalam mengenai seni dan budaya Negeri Terengganu, ianya secara tidak langsung dapat membantu mempertingkatkan lagi usaha mempromosikan warisan dan destinasi pelancongan di Malaysia khususnya di Terengganu.

Menurutnya, pesta yang dibuka kepada pengunjung mulai jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam dan masuk adalah percuma. ini merupakan peluang keemasan kepada para pengunjung untuk mencuba produk-prosuk makanan yang berasal dari Terengganu. Negeri Terengganu yang tersohor dengan tema ‘Negeri Cantik, Budaya Menarik’ kaya dengan warisan seni dan keindahan alam semulajadinya.

Pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung seperti permainan tradisional, demonstrasi kraftangan, persembahan Gamelan dan tarian kebudayaan dari Kumpulan Kebudayaan SUKTRA Terengganu dan kumpulan penari kebudayaan Menara Kuala Lumpur (MKLPAG) yang menampilkan tarikan tempat pelancongan di Negeri Terengganu seperti Tasik Kenyir, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan banyak lagi.

Gerai jualan turut disediakan untuk para pengunjung yang ingin membeli dan merasai keenakan produk makanan tradisional Negeri Terengganu seperti nasi dagang, sata, keropok lekor dan makanan tradisional yang lain. Ruang informasi, pameran dan jualan juga ada dibuka

“Saya mengambil kesempatan ini menjemput semua rakyat Malaysia ke Menara Kuala Lumpur bagi bersama-sama memartabatkan produk tempatan dan memeriahkan lagi Pesta Negeri Terengganu,” tambahnya.
 

BERTANDING BERTANDING JUGA, PERPADUAN DAN PARTI KENA UTAMAKAN JUA

Oleh: Putera Pesisir Air

Jawatan sebenarnya bukan mahkota untuk dimegahkan, tetapi suatu tanggungjawab untuk dipikul atau tunaikan. Pastikan teras perpaduan UMNO jangan dirosakkan dalam keghairahan bertanding merebut beberapa jawatan dalam parti.

Teras perpaduan UMNO berasaskan semangat setiakawan, bersatu hati dan tolenrasi yang dibina sekian lama hendaklah menjadi keutamaan bagi memastikan agenda perjuangan untuk rakyat terus terpelihara.  Jangan kerana terlalu ghairah mengejar jawatan dan kedudukan sehingga menjadikan kita alpa dan mengabaikan tanggungjawab menjaga perpaduan di dalam parti.

Kepentingan UMNO perlu didahulukan dan tidak bermakna seseorang yang tidak memegang jawatan penting tidak boleh menyumbangkan khidmat bakti dan buah fikiran kepada parti.

UMNO yang dibina sejak sekian lama mampu bertahan sehingga sekarang disebabkan teras perpaduan dan semangat setiakawan yang kukuh berakar umbi di segenap peringkat.

Penulis bimbang akibat terlalu rakus dan ghairah untuk mendapat kedudukan dalam UMNO ada pihak yang sanggup membelakangkan tatasusila dan melakukan perbuatan yang boleh mencemarkan kredibiliti parti. UMNO semenagnya memerlukan barisan kepimpinan dinamik, berwawasan dan mempunyai cetusan idea yang kritis, tetapi keharmonian dan perpaduan dalam parti hendaklah diutamakan.

  Budaya fitnah, cantas-mencantas dan amalan politik wang antara elemen yang boleh merosakkan perjuangan.

  Bagaimanapun dengan pindaan perlembagaan UMNO akan menjadikan pemilihan akan datang lebih telus dan mampu mengelak berlakunya ‘pembelian undi’ daripada perwakilan. UMNO boleh menjadi sebuah parti yang goyah kedudukannya bukan disebabkan ancaman luar tetapi berpunca daripada masalah dalaman. UMNO merupakan parti yang begitu sinonim dan mendarah daging dalam perjuangan politik orang Melayu sejak sekian lama.

  Usaha-usaha untuk memantapkan lagi keyakinan orang Melayu terutama generasi muda terhadap halatuju parti perlu dipertingkatkan.

  Kita perlu akur pembangkang juga sedang hebat menyebarkan dakyah mereka, oleh itu kepimpinan UMNO di setiap peringkat perlu tangkas menepis asakan tersebut supaya keyakinan orang Melayu tidak terhakis.

  Para perwakilan pada mesyuarat perwakilan UMNO memberi fokus yang khusus terhadap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat secara keseluruhannya.

  Pemimpin UMNO komited membersihkan imej parti itu daripada tuduhan penyelewengan dan amalan ‘cantas’ sekiranya ingin menarik sokongan golongan muda serta profesional.

  Kita memerlukan pimpinan dan ahli Umno yang bersatu bagi memastikannya kekal kuat dan diyakini rakyat. Musuh kita yang sebenar ialah bukan sesama kita dalam Umno, tetapi musuh kita yang sebenar ialah lawan kita yakni pembangkang.

  Sebenarnya musuh tidak kuat, yang membuat kita tewas ialah bila kita tidak bersatu, kalau kita tidak bersatu,kita masuk gelanggang sebagai calon, kita masuk dalam keadaan kepala berdarah dan sudah lemah kerana bergaduh sesama sendiri, maka sukarlah untuk menang berdepan lawan sebenar.

  Terima kasih kepada Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak kerana memberi supremo kepada kepimpinan Umno Terengganu dengan melantik Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

  Dato' Seri Ahmad adalah seorang pemimpin yang mempunyai 'supremo'dan supremo itu telah diberikan oleh Presiden parti yang perlu semua kita akur dan sokong sepenuhnya.


Kerajaan Pusat salur RM17.1 juta laksana 163 projek PBT di Terengganu

Oleh Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan Pusat memperuntukkan RM17.1 juta untuk melaksanakan 163 projek di tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Terengganu.

Dato' Abdul Rahman Dahlan (kiri) bermesra dengan Pihak Berkuasa Tempatan  seluruh negeri Terengganu.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’Abdul Rahman Dahlan berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM5.3 juta disediakan untuk melaksanakan projek-projek kecil dan RM5 juta lagi untuk melaksanakan projek-projek kampung tradisional.


“Manakala selebihnya untuk melaksanakan projek khas (RM2.1), projek nasional strategik (RM1 juta) orang kelainan upaya (OKU) (RM410,000), keselamatan jalan (RM100,000) projek cerun (RM190,000) dan projek khas di Besut (RM1.5 juta).

“Saya berterima kasih di atas komitmen semua PBT di negeri ini menyiapkan semua projek yang diluluskan untuk faedah dan manafat secara langsung kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perjumpaan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKBPKT) bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman petang semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Timbalan Ketua Setiausaha KKBPKT, Dato’ Noriah Hashim; Ketua Pengarah KKBPKT Datin Maziah Adnan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang.

Katanya, KKPBKT memberi keutamaan kepada projek-projek yang menyentuh hati rakyat bagi memastikan ia dibangunan untuk memberi keselesaan kepada masyarakat setempat.


Bukan itu sahaja katanya, tahun ini semua PBT di negeri ini turut menerima sumbangan lain daripada Kerajaan Persekutuan bagi membantu operasi dan pengurusan PBT.

“Ini termasuklah geran tahunan berjumlah RM25.3 juta dan kedua sumbangan membantu kadar berjumlah RM4.71 juta,” katanya.

Beliau yakin PBT dapat mengunakan sebaik-baiknya peruntukan yang disalurkan ini terutama untuk meningkatkan keupayaan PBT untuk menghasilkan sistem pencapaian yang cekap dan amanah.

 

Kuliah pengajian al-furqan tingkat kesedaran masyarakat mengenal al-Quran lebih mendalam

Oleh: Noraini Jusoh

Kuliah Pengajian Al-Furqan di Institut Al-Quran Terengganu (IQ Terengganu) dapat membantu meningkatkan kesedaran dan melahirkan masyarakat yang celik Al-Quran serta mendalami ilmu Al-Quran dengan lebih mendalam.

Pengarahnya, Datuk Dr. Alias Abdullah berkata, kuliyah berkenaan merupakan program pengajian Al-Quran khas untuk masyarakat setempat di negeri ini.

"Ia diadakan setiap hujung minggu untuk rakyat Terengganu yang berumur 18 hingga 65 tahun yang telah dipilih berdasarkan kelayakan dan sesi temuduga.

"Melalui kuliyah ini, pelajar diajar dari asas bacaan Al-Quran, termasuklah tajwid hingga ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, program Kuliyah Al-Furqan dijalankan melalui dua kursus utama iaitu Kursus Ulum Al-Quran yang terdapat empat tahap iaitu dari tahap satu hingga tahap empat dan Kursus ad-Dirasat al-Quraniyyah yang mempunyai lima tahap iaitu qiraat, bahasa Arab, tafsir, tahfiz dan tarannum.

"Kursus Ulum Al-Quran melibatkan proses pembelajaran dua hingga empat tahun bergantung kepada penguasaan pelajar untuk tempoh masa dua jam seminggu manakala untuk kursus ad-Dirasat al-Quraniyyah melibatkan proses pembelajaran selama empat tahun untuk tempoh masa empat jam seminggu,” ujarnya.

Alias berkata, program tersebut telah bermula sejak tahun 1995 dan sehingga kini IQ Terengganu merupakan satu-satunya pusat pengajian di negeri ini yang menjalankan program Qiraat Sub'ah yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat Islam dan setiap tahun seramai 1,600 pelajar baru diambil untuk pengajian ini.

 

Marathon TATiUC meriah

Oleh: Aminudin Ismail.
Gambar ihsan: Mazlan Mustafa (Pejabat Dun Batu Rakit).

Pemenang bergambar kenangan bersama Bazlan (berdiri empat dari kanan).
SERAMAI 300 penuntut termasuk kakitangan Kolej Universiti TATI (TATiUC), Kemaman menyertai larian marathon sejauh 10 kilometer bersempena Sambutan Majlis Konvokesyen ke 3, kolej universiti itu, kelmarin.

Larian yang bermula di perkarangan TATiUC dan berakhir di tempat yang sama itu terbahagi kepada lima kategori ialah penuntut lelaki, penuntut perempuan, staf lelaki dan perempuan serta kategori veteran.

Peserta memulakan larian sejauh 10 km.
Jurucakap penganjur, Mohd Shahrul Azmi Mohd Alim, berkata sambutan terhadap larian pada tahun ini begitu mengalakan di mana lebih ramai peserta menyertainya. Manakala, katanya, trek larian juga berbeza dari tahun-tahun lepas.

“Dulu kita hanya mengunakan trek sekitar kawasan TATiUC, tetapi kali ini pihak kami mengunakan laluan di luar Universiti iaitu melalui Teluk Kalong dan kembali semula ke TATiUC. Tujuan diadakan laluan baru itu adalah untuk mempromosikan pesta konvo kepada penduduk setempat,” katanya.

Pemenang kategori pelajar lelaki ialah ialah Shah Ehsan Che Salim, kedua, Mohd Badrul Irham Ghazali dan ketiga Mohd Zulkarnain Mohd Araf manakala pelajar wanita pula dimenangi Faizah Mohd Awi pertama, kedua, Shasilawati Mohd Zain dan ketiga Norhayati Mohamad.

Bagi kategori staf lelaki, pemenang ialah Mashelmie Sidik dan wanita dimenangi Faizah Mohd Awi manakala Kategori vateran pemenangnya ialah Rozita Mohamad.

Majlis pelancaran larian dan penyampaian hadiah kepada pemenang dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Adun) Negeri Batu Rakit, Bazlan Jaafar yang juga Pengerusi TATiUC.


Pembinaan ABPM Wakaf Tapai seiring pembangunan negeri


Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama Sultan Terengganu, Sultan  Mizan Zainal Abidin ketika  perasmian ABPM, semalam.

Oleh: Aida Abd Rahman dan Mohd Syazni Zainudin (Pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra

Keprihatinan Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan membina Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wakaf Tapai, Marang sejajar dengan pembangunan pesat di Terengganu.

Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Marang, Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata rasa tanggungjawab yang amat besar di kalangan semua pihak untuk menjaga keharmonian hidup bagi menjamin kesejahteraan rakyat pada masa depan merealisasikan pembinanan ABPM di negeri ini.

“Kemalangan boleh berlaku dimana sahaja kita berada. Bak kata pepatah malang tidak berbau. Menyedari hakikat ini negeri Terengganu sekarang ini telah terdapat 15 buah balai bomba telah dibina melalui Rancangan Malaysia yang lalu.


 “Memastikan kesejahteraan akan terus dinikmati oleh rakyat negeri ini betapa pentingnya perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan yang mencakupi pelbagai aspek bagi menjamin kemajuan dan pembangunan sesebuah negara,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian ABPM, semalam.

Majlis perasmian berkenaan disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Sri Temenggong Raja. Hadir sama, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abdul Rahman Dahlan; isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan isteri, To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.


Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, perkhidmatan itu akan memastikan kehidupan masyarakat dan persekitarannya berada di suatu tahap yang meyakinkan sehingga ia terus maju dan berkembang.

Beliau juga percaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melaksanakan perancangan dan tindakan yang rapi untuk memastikan pembinaan akademi itu dapat melahirkan modal insan yang mempunyai jati diri serta akhlak tinggi dalam memberikan perkhidmatan yang unggul kepada masyarakat, selaras dengan konsep 1Malaysia, di mana usaha kerajaan adalah untuk sentiasa berbakti kepada masyarakat dengan memberi perkhidmatan terbaik.

“Saya turut menyeru semua kaum dan masyarakat supaya memberikan kerjasama dan sokongan kepada pegawai bomba untuk mereka melaksanakan tugas.

“Selain itu pelanggaran undang-undang atau peraturan yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia harus dilaporkan supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil demi menjamin keselamatan kebakaran di premis-premis,” katanya.

Menurutnya, bahaya kebakaran dapat dikekang serta merta apabila orang ramai menjadi masyarakat prihatin dan penyayang sekaligus membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengurangkan risiko dan juga statistik kebakaran.

Selain itu, Dato’ Seri Haji Ahmad juga berharap pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia supaya menjauhkan diri daripada gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pilih kasih ketika membuat keputusan dalam pelaksanaan tugas harian.

Katanya, setiap urusan dan tugasan yang dipertanggungjawabkan haruslah dilaksanakan dengan telus, adil dan saksama sebagai membalas kepercayaan dan harapan rakyat terhadap penjawat awam di negara ini.

Seni Warisan Budaya satu pendidikan melalui Pekan Budaya

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Program Pekan Budaya yang diadakan selama tujuh hari bermula pada 21 hingga 27 September di hadapan Pasar Besar Kuala Berang mampu menonjolkan pelbagai aktiviti menarik sebagai seni warisan budaya.

Sempena program tersebut pelbagai kegiatan seperti pameran, jualan, demonstrasi, pertandingan dan persembahan kebudayaan/kesenian melibatkan penyertaan secara langsung dari pelbagai pihak seperti agensi kerajaan,

Badan Berkanun dan swasta, pengusaha–pengusaha, kumpulan–kumpulan kebudayaan dan pertubuhan yang terdapat di sekitar daerah ini.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Jailani Johari berharap melalui aktiviti yang telah dirancang, program berkenaan dapat memperkenalkan keunikan seni dan warisan budaya setempat kepada umum.

Beliau berkata, acara itu dapat mempromosikan keindahan destinasi pelancongan serta produk-produk pengeluaran sesuatu daerah, yang secara tidak langsung dapat menarik minat kedatangan pelancong bukan sahaja ke daerah tersebut, malahan negeri Terengganu, selaras dengan kempen Tahun Melawat Negeri Terengganu pada tahun 2013.

 “Saya yakin dengan pelbagai aktiviti menarik yang diatur sepanjang program ini, mampu memberi impak yang besar kepada daerahHulu Terengganu khususnya dari segi peningkatan ekonomi dan pembangunan selaras dengan transformasi yang sedang dibawa oleh kerajaan.

 “Suka juga untuk saya cadangkan agar pihak penganjur dapat mengambilkira untuk menjadikan seni warisan budaya sebagai satu pendidikan dalam usaha memartabatkan seni warisan budaya ini ke tahap yang lebih tinggi supaya tidak luput dan pupus dibawa arus budaya baru,”katanya sewaktu merasmikan Pekan Budaya semalam.

Pada masa yang sama, program itu juga menyokong usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan dalam meningkatkan perpaduan masyarakat berbilang kaum selain mewujudkan semangat berpasukan dan berkumpulan yang mempunyai nilai-nilai keharmonian, perpaduan bangsa dan imej kemasyarakatan yang bermoral tinggi.