Halaman

08 December 2013

Keprihatinan warga Terengganu bantu mangsa banjir

Petugas sedang mengangkat barang keperluan hasil sumbangan orang ramai ke atas lori untuk dihantar ke daerah Kemaman.
Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam tempoh kurang lima jam, pelbagai barangan makanan dan pakaian dianggarkan melebihi lima tan berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai untuk diagihkan kepada pusat pemindahan mangsa banjir di sekitar Kemaman.

Inilah barangan sumbangan orang ramai untuk mangsa banjir di sekitar Kemaman.
KHAIRIL ZUHDI
Inisiatif berkenaan hasil kerjasama kakitangan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Terengganu dengan Kelab Motor Retro Terengganu bermula sejak jam 9 pagi hingga 5 petang, bertempat di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam.

Pengarah Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN Terengganu, Encik Khairil Zuhdi Khairuddin, berkata pihaknya terpanggil untuk mengajak seluruh masyarakat di negeri ini tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik berganding bahu menunjukkan rasa cinta, kerjasama dan keprihatinan kepada mereka yang tidak bernasib baik terutama ketika berdepan musibah banjir di seluruh negeri.

“Timbul rasa ingin membantu mangsa banjir yang juga terdiri di kalangan saudara-mara dan rakan-rakan kita sendiri selepas melihat usaha yang dilaksanakan oleh sebuah kelab motor juga di Kuala Terengganu ini sejak semalam.

“Jadi selepas menghubungi Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Terengganu untuk menyediakan logistik bagi menghantar bekalan ini dan mendapat persetujuan beliau, saya mengerahkan petugas membuat promosi hebahan menerusi website dan Facebook sejak 9 malam tadi. Alhamdulillah sambutan amat di luar jangkaan pada hari ini,” katanya kepada Teganukita, semalam.

Encik Khairil berkata, usaha itu bukan sahaja disertai lebih 10 petugas, malah beberapa orang awam secara sukarela turut menghulurkan kerahan tenaga membantu mengangkat barangan yang dibawa orang ramai dari but kenderaan yang tidak putus-putus tiba di pusat pengumpulan barang berkenaan.

Malah, menurutnya, pihaknya juga berbangga dan terharu apabila ada orang perseorangan yang tampil membantu untuk menyediakan lori bagi mengangkut dan memindahkan barangan itu ke pusat pemindahan nanti.

“Kita bukan sahaja dapat meringankan beban mereka yang sedang dirundung masalah dan memerlukan sokongan kita, malah usaha sebegini juga membuktikan masyarakat Terengganu amat prihatin dan bersedia menghulurkan bantuan tanpa mengira sesiapa.

“Kita juga bersedia dan tidak mustahil untuk meneruskan usaha murni itu sekiranya masih ada sambutan dan keperluan berbuat demikian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata  JPAM juga bersedia menyediakan lori muatan lima tan jika lori tiga tan yang dipersetujui awal pihak berkenaan tidak dapat menampung barangan berkenaan.


Bazlan Kota Janji.

Puashati...Bazlan meninjau kerja mengali parit.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BATU RAKIT: Selepas menyelami sendiri kesusahan yang dialami oleh penduduk beberapa kampung di kawasanya yang sering dinaiki air apabila berlaku hujan lebat, Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman mengotakan janjinya memperelokan sistem saliran di kampung terbabit untuk mengelakan berlakunya banjir.

Baru-baru ini, kerja-kerja mengali parit dan mencuci longkang dilakukan di Kampung Kubur Timah sebagai permulaan dengan mengali beberapa parit besar dan mengadakan kalvet di beberapa tempat bagi membolehkan air dapat mengalir dengan sempurna.

Bazlan berkata, kerja-kerja mengali parit dan memasang kalvet itu dilakukan oleh kontraktor yang dilantik dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Terengganu.

"Saya mengharapkan dengan kerja-kerja yang dilakukan ini dapat mengurangkan risiko banjir yang sering berlaku di beberapa kampung di kawasan ini, antaranya ialah Kampung Kubur Timah, Pengkalan Atap, Pecah Rotan dan Kampung Darat.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Pejabat Daerah Kuala Terengganu dan Penghulu Mukim yang memberi kerjasama mengatasi masalah ini." katanya.

Sebelum itu Bazlan meninjau permasalahan banjir di kampung-kampung terbabit dan berjanji membantu mengatasi masalah itu dengan berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi mengali parit dan mengadakan kalvet serta mengadakan longkang besar di tepi jalan utama.

 

JPAM lancar 32 unit kenderaan bantu operasi banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu melancarkan 32 unit kenderaan bagi operasi pemindahan dan penghantaran makanan kepada mangsa banjir di beberapa daerah yang terjejas akibat bencana itu, di negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Timbalan Pengarah JPAM Terengganu, Encik Mohd Zubir Mohd Juzad, lori 3 tan hingga 5 tan, bot dan kenderaan pacuan empat roda digerakkan bersama-sama kenderaan pasukan penyelamat lain untuk membantu mangsa banjir.

"JPAM Terengganu juga telah mengerahkan seramai 250 anggota skuad utama yang sangat terlatih dan mempunyai asas dalam paramedik, ke Kemaman.

 "Jika keperluan semakin mendesak, kita akan menambah lagi seramai 1,500 anggota dari skuad bantuan bagi memastikan operasi menyelamatkan mangsa banjir berjalan lancar," katanya ketika ditemui di pusat pengumpulan barangan untuk mangsa banjir di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, dalam menghadapi bencana banjir, JPAM diberi peranan untuk menjadi kumpulan bertindak di barisan depan untuk memindahkan dan menghantar bekalan makanan kepada mangsa ke pusat penempatan sementara dengan menggunakan logistik yang ada.

"Kita sebelum ini memang sedia ada satu platun yang dianggotai 30 anggota di setiap daerah dan kini kita membantu mangsa banjir di Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu," katanya.


07 December 2013

Jalan Chukai-Kuantan melalui Geliga sudah boleh dilalui.

KUALA TERENGGANU: Jalan yang menghubungkan Bandar Chukai ke Kuantan melalui Geliga sudah boleh dilalui semua kenderaan bermula awal pagi tadi.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) daerah Kemaman ketika dihubungi hari ini (jam 7.30 pagi) memberitahu jalan kembali pulih seperti biasa berikutan air yang melintasi jalan surut awal pagi tadi.

"Jalan untuk ke Kuantan boleh dilalui sejak awal pagi tadi, bagaimanapun di Chendor (Kuantan) hanya sebelah jalan sahaja di buka di sebuah jambatan di tempat itu kerana mengalami kerosakan. 

"Orang ramai boleh juga mengunakan jalan alternatif iaitu jalan Jerangau- Jabor melalui Beris Meraga-Seri Bandi-Padang Kubu untuk ke arah Kuantan atau Kuala Lumpur. Manakala Jalan Chukai ke Air Putih masih belum boleh dilalui kenderaan kerana masih ada air yang melintas jalan di beberapa tempat, pagi ini," katanya.

Dalam pada itu, bekalan elektrik yang terputus di beberapa kawasan sejak banjir melanda bandar Chukai dan sekitarnya baru-baru ini kembali pulih di beberapa tempat.

"Ada sebahagian kawasan yang sudah ada bekelan elektrik manakala beberapa tempat lagi belum ada, begitu juga dengan bekalan air," katanya.

 

Senarai talian kecemasan

Oleh: Suriati Ali

Bagi kemudahan orang ramai mendapatkan segala maklumat mengenai perkembangan banjir terkini di negeri ini termasuk jalan-jalan yang ditutup, mereka boleh mendapat melalui talian yang disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri.

Mereka boleh melayari http://etindakan.terengganu.gov.my sebagai panduan terutama bagi kalangan yang dalam perjalanan agar tidak terkandas di samping bagi mendapatkan bantuan semasa kecemasan dan lain-lain perkhimdatan dalam keadaan memerlukan.

Orang ramai juga boleh merujuk melalui talian berikut: Bilik Gerakan Bencana Negeri - 09-6316021.

Bilik Gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat - 09-6224022 Bilik Gerakan Jabatan Kerja Raya - 09-6274277 Stesen Meteoroloji Lapangan Terbang Sultan Mahmud - 09-6664743

 Bilik Gerakan Jabatan Pengajiran dan Saliran - 09-6224072 Pusat Kawalan Kontinjen Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) - 09-6270499

Bilik Gerakan Bomba dan Penyelamat - 09-6234444 Batalion 18 RAMD (waktu pejabat) - 09-6664233 sambungan 223/226

Bilik Gerakan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia - 09-6668246 / 09-6666492

 Bilik Gerakan Jabatan Pengangkutan Jalan - 09-6222023 Bilik Operasi Tenaga Nasional Berhad - 09-6267348

 

Rezeki Musim Banjir.


SEGAR...Fatimah Abdullah dari Felda Belara, Kuala Terengganu, sedang melihat ikan darat yang dijualnya di tepi jalan di Jalan Kuala Terengganu- Kota Baharu berhampiran felda itu, kelmarin.

Fatimah yang menjual ikan hasil tangkapan suaminya itu memperolehi pendapatan sekitar RM30 hingga RM50 sehari dengan menjual pelbagai jenis ikan antaranya ialah keli, puyu, haruan, lampang jawa, terbo dan ikan baung.

"Ikan-ikan ini dijala oleh suami di beberapa tempat di kawasan banjir ini. Ia sebagai pendapatan sampingan kerana sepanjang musim hujan ini, kami tidak dapat menoreh.

"Biasanya ikan-ikan ini begitu laris pada musim hujan ini kerana sukar untuk mendapatkan ikan laut yang agak mahal. mak cik jual kepada pengguna jalan ini dan ia cepat habis," katanya.

Azmi..sampingan.
Seorang lagi pencari ikan darat, Azmi Mohd, 53, berkata, beliau memperolehi pendapatan sekitar RM30 sekali membawa naik ikan-ikan itu iaitu sekitar 10 hingga 15 ekor.

"Biasanya saya memeriksa pukat yang ditahan itu dua kali sehari iaitu pagi dan petang. Pendapatanya boleh dijadikan sebagai pendapatan sampingan selepas tidak dapat menoreh pada musim hujan ini.

“Setiap kali tiba musim hujan, saya akan turun ke kawasan ini bagi menjala ikan darat dan hasilnya terus dijual di tepi jalan. Musim ini, ikan laut susah didapati dan ikan darat menjadi pilihan untuk dijadikan lauk, tambahan pula ia mudah diperolehi,” katanya juga dari Felda Belara itu- Oleh: Aminudin Ismail.

 

06 December 2013

TPM turun padang tinjau kawasan dan mangsa banjir di Kemaman

Timbalan Perdana Mneteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Dato' Seri Haji Ahmad Said, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek dan rombongan bertanya khabar mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Permindahan Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Banggo, Paya Berenjut, Kemaman.
Oleh Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau kawasan dan penempatan mangsa banjir di sekitar Bandar Chukai, Kemaman, Terengganu, pagi ini. (6 Disember 2013).

Beliau dan rombongan menaiki lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke pusat pemindahan banjir sejauh kira-kira 5 kilometer dari persimpangan Mak Lagam untuk berjumpa dan bertanya khabar mangsa banjir yang ditempatkan di situ selepas menyampaikan bantuan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, Paya Berenjut.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Menteri Komunikasi dan Multimedia Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar turut bersama Timbalan Perdana Menteri.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Perdana Menteri berkata, bekalan makanan kering akan dibekalkan sebagai persediaan keperluan mangsa banjir kerana bimbang keperluan asas yang tidak mampu menampung mangsa banjir yang semkain meningkat.

"Saya telah putuskan dengan panglima tentera darat, stok bekalan makanan kering yang digunakan oleh tentera mungin boleh digunakan untuk mangsa banjir," katanya.

Tan Sri Muhyiddin turut mencadangkan satu pasukan perubatan ditempatkan di pusat pemindahan bagi memantau kesihatan mangsa banjir.

"Kita telah mencadangkan Jabatan Kesihatan negeri menggerakkan pasukan perubatan dari hospital yang tidak terlibat dengan bencana untuk turun padang. Satu pasukan perubatan perlu ada di setiap pusat pemindahan bagi memantau kesihatan mangsa banjir.


2 Jalan utama di Chukai masih ditutup (6.12.13)

Keadaan banjir di Chukai Kemaman yang dirakamkan melalui udara semalam.
Oleh: Aminudin Ismail
Gambar oleh Zulkipli Putra

KUALA TERENGGANU: Dua jalan utama di Chukai, Kemaman iaitu Jalan Chukai ke Kuantan melalui Geliga dan Chukai ke Air Putih masih ditutup kepada semua kenderaan berikutan masih terdapat air melimpahi kedua-dua jalan itu, pagi ini. (6.12.13)

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir IPD Kemaman, ketika dihubungi memberitahu kedua-dua jalan yang ditutup sejak banjir besar melanda bandar itu, kelmarin, masih bertahan dan tidak boleh dilalui sehingga pagi ini.

"Terdapat beberapa tempat di mana air melintas jalan di kedua jalan utama itu. Semua kenderaan yang hendak ke Kuantan atau Kuala Lumpur boleh melalui jalan Jerangau-Jabor iaitu melalui Beris Meraga-Seri Bandi-Padang Kubu," katanya.

Dalam pada itu, beberapa penduduk di beberapa taman perumahan dan kampung di Jalan Chukai- Air Putih, belum dapat pulang ke rumah masing-masing pagi ini berikutan masih terdapat air di kawasan rumah mereka.

"Saya sudah tiga hari tinggal di tempat perpindahan ini, nak balik rumah masih belum boleh kerana air masih dalam. Saya berharap ia akan surut dalam masa terdekat ini bagi membolehkan saya pulang ke rumah dan membersih barangan di dalam," kata seorang penduduk, Suffian Ismail, 42, katanya ketika dihubungi Teganukita.


Banjir Di Setiu semakin pulih, pusat pemindahan tutup.

Tutup..Pusat perpindahan Tadika Desa Jaya.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Seramai kira-kira 26 keluarga dari Kampung Paloh Licung dan Kampung Desa Jaya yang berpindah ke Tadika Desa Jaya kelmarin selepas rumah mereka dinaiki air, pulang ke rumah masing-masing, malam semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis (IPD)Setiu ketika dihubungi berkata, mangsa banjir itu pulang ke rumah masing-masing berperingkat-peringkat dan paling akhir ialah kira-kira jam 9 malam semalam.

Sementara itu tinjauan Teganukita di beberapa tempat pagi ini mendapati, di Jalan Kampung Buluh ke Hulu Seladang mendapati beberapa kenderaan sudah boleh melalui kawasan yang dinaiki air iaitu berhampiran sempadan Kampung Bukit Pepari-Kampung Besut walaupun masih ada sedikit air di atas jalan.

Manakala Jalan Bukit Nenas ke Pak Ba melalui Ladang Fikri masih tidak dapat dilalui semua kenderaan kerana masih terdapat air melimpahi jalan berhampiran rumah pekerja Ladang Fikri. 

Dalam pada itu, pada keseluruhannya, keadaan banjir di Setiu bertambah baik, beberapa jalan yang ditutup dibuka semula, tiada pusat perpindahan di buka dan beberapa kampung yang sebelum ini ditenggelami air pulih seperti biasa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor ketika dihubungi berkata, beliau bersyukur kerana banjir yang melanda langkap tidak berterusan setakat ini dan penduduk yang berpindah sudah pulang ke rumah masing-masing.

"Saya berterima kasih kepada semua yang terbabit dengan banjir di Dun Langkap ini, termasuklah  anggota keselamatan dan Jabatan kebajikan (JKM),"  katanya.


  

PEMIMPIN BN TURUN PADANG BANTU MANGSA BANJIR

Timbalan Perdana Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pagi ini ke Kemaman Terengganu untuk menemui mangsa banjir dan menyampaikan bantuan.
Beliau berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan tiba di Pangkalan TUDM Kuantan dan di situ beliau menaiki helikopter ke Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail Chukai.


Seterusnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol Paya Berenjut. 


Di sana beliau diberi taklimat keadaan banjir oleh Pegawai Daerah Kemaman, Haji Kamil Othman.
Tan Sri Muhyiddin akan menemui mangsa banjir dan menyampaikan sumbangan. 
Selepas itu beliau berlepas balik ke Kuala Lumpur semula untuk menghadiri Persidangan Agung Umno .



Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said sejak semalam telah berada di Kemaman meninggalkan Persidangan Agung Umno demi untuk bersama rakyat yang ditimpa banjir.
Semalam juga beliau mengiringi Sultan Terengganu yang mencemar duli berangkat melawat rakyat Baginda yang terlibat dengan banjir besar di Daerah Kemaman.
Menteri Komunikasi dan Multimedia selaku Ahli Parlimen Kemaman juga berada di Kemaman sejak beberapa hari lalu untuk membantu mangsa banjir terutama dalam menyelaras bekalan bantuan.


Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Haji Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar juga bersama penduduk Dun Air Putih yang terlibat banjir membantu dan menyelaras keselamatan dan kebajikan mangsa.


Sayap-sayap Umno di Kemaman dan seluruh kepimpinan Bahagian memberi tumpuan membantu mangsa banjir sebagai sukarelawan.
Inilah keperihatinan pemimpin BN/Umno dalam menbantu rakyat.menghadapi bersama suka dan duka.
- Ruslan Abdul Rahman
Sent from Yahoo Mail on Android