Halaman

05 January 2014

25 Pelajar miskin di DUN Kuala Besut dapat perhatian Menteri.


Idris menggunakan motosikal roda tiga mengunjungi rumah pelajar miskin.

Oleh: Mohammad Ishak 

Masalah membiayai kos persekolahan yang dihadapi golongan miskin di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, mendapat perhatian Menteri Pendidikan II, Dato' Seri Idris Jusoh, yang turut padang menyampaikan bantuan kewangan kepada pelajar terbabit.

Seramai 25 pelajar miskin yang disenaraikan oleh pihak guru besar dan pengetua sekolah di DUN berkenaan diberi bantuan segera bagi menyelesaikan masalah dihadapi sempena pembukaan sekolah kelmarin.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut turut padang dan menyampaikan sendiri bantuan berkenaan dari rumah ke rumah dan menemui pelajar serta ibu bapa berkenaan.

Paling menarik Idris bergerak dengan menggunakan motosikal roda tiga yang turut disertai ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Pada program itu pelajar terpilih akan menerima RM500 dan RM1,000 berdasarkan keadaan kehidupan keluarga masing-masing.

Menurut Idris, kementerian tidak mahu mendengar ada laporan mengenai isu pelajar miskin yang tidak dapat belajar di sekolah negera ini.

Katanya, pemimpin terutama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen yang mempunyai butiran jika ada pelajar di kawasan masing-masing menghadapi masalah kemiskinan diminta menghubungi kementerian untuk diberi bantuan.

“Sehingga ini hampir 100 pelajar yang benar-benar menghadapi masalah kemiskinan untuk menyambung belajar sudah diberi bantuan di tiga DUN di Parlimen Besut,” katanya.

Risda perkenal TS Online - TS 14 untuk peserta

Oleh: Mastura Jamaldin

Risda memperkenalkan `TS Online-TS 14' bagi memudahkan pekebun kecil membuat permohonan semula sebagai peserta bermula tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan )Risda, Haji Mohamat Muda, berkata menerusi kecanggihan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) peserta boleh memohon semula menerusi talian internet walaupun berada di rumah bagi mendapat kelulusan serta merta tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti biasa.

“Pada masa yang sama, kita juga mempertingkatkan kemahiran kakitangan Risda dengan menghantar mereka menyertai kursus yang dianjurkan terutama mengenai GAP supaya lebih banyak transformasi dilakukan.

“Selain itu juga, RISDA yang ditubuhkan lebih daripada 40 tahun lalu adalah lanjutan daripada Lembaga Perusahaan Getah yang ditubuhkan pada 1953. Malah, sejak itu, pelbagai transformasi dilakukan untuk menjadikan agensi itu lebih hebat selaras dengan perkembangan semasa,” katanya ketika berucap sempena merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Tanam Semula Peringkat RISDA Negeri Terengganu di daerahHulu Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Risda negeri Terengganu, Rusly Yaacob dan pekebun-pekebun kecil.

Dalam pada itu, Risda memperuntukkan 2,410 hektar melibatkan perbelanjaan RM13.4 juta untuk pekebun kecil getah mengusahakan tanaman itu pada tahun ini. Jumlah itu meningkat pada tahun ini, berbanding 1,650 hektar pada tahun lalu.

“Pertambahan kawasan getah itu juga disokong dengan kempen penorehan dan penghasilan yang diperkenalkan pada tahun ini .

 “Kempen bertujuan untuk memastikan setiap kebun akan menghasilkan susu getah yang berkualiti melalui amalan pertanian yang betul dan baik,” katanya.


Futsal tertutup Padang Kemunting meriah.

Kenangan..pemain final veteran bergambar kenangan bersama Bazlan (enam dari kanan).
Teks dan gambar: Aminudin Ismail. 

BATU RAKIT: Penyertaaan beberapa pemain veteran dengan pelbagai aksi ketika di padang untuk kategori JKKK memeriahkan Kajohanan Futsal Tertutup Zon Padang Kemunting, yang diadakan di Dewan Futsal kampung itu, dekat sini, semalam.

Kejohanan yang disertai kira-kira 30 pasukan itu terbahagi kepada lima kategori iaitu Sekolah Menengah (SM), Sekolah Rendah (SK), Pemuda, Wanita dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Zakaria..acara tahunan.
Jurucakap Penganjur, Zakaria Abdul Rahman, berkata kejohanan yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara JKKK dengan golongan belia itu berlangsung selama dua hari.

"Sambutan penduduk terhadap kejohanan ini begitu mengalakan dan kita bercadang akan menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan pada masa depan.

"Kami amat berterima kasih kepada YB Bazlan (Adun Batu Rakit) kerana sudi hadir untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang dan kehadirannya pada petang kelmarin juga menyuntik semangat pemain untuk bermain dengan bersungguh-sungguh pada perlawanan akhir kejohanan itu," katanya.

Zakaria berkata, JKKK Gelong Gajah menjadi johan bersama JKKK Pancur Kuin untuk kategori JKKK manakala kategori Pemuda pula, johan ialah pasukan 'Inter Milan'yang menewaskan 'Parma'.

"Wanita pula, johan ialah pasukan 'Thailand' yang menang ke atas 'Malaysia'. Kategori sekolah rendah, johan ialah 'Selangor', naib johan 'Kelantan' manakala Sekolah Menengah pula dimenangi 'Chelsea' yang menewaskan 'Mancester City'," katanya.

Gol..aksi jaringan pasukan vateran.

Tengok..sebahagian penonton yang hadir.
Sedia..pasukan pemuda sedia berentap.

Johan..Bazlan menyampai hadiah pemenang kategori vateran.

Menang..pemenang kategri sekolah rendah terima hadiah.

 

RM200 cukup bermakna buat golongan belia

Oleh: Noraini Jusoh

Wang tunai sebanyak RM200 yang diberikan Kerajaan Terengganu kepada golongan bujang berusia 21 hingga 40 tahun melalui Program Dana Bakti Remaja cukup bermakna buat golongan belia.
Nurul Sawani, 22, dan Nurul Afizatul Atikah,22, menyifatkan pemberian dana tersebut merupakan tanda keprihatinan kerajaan negeri kepada golongan remaja seperti mereka.

“Kami bangga menjadi anak Terengganu kerana mempunyai kerajaan yang sentiasa membantu rakyat termasuk golongan remaja,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Dana Bakti Remaja (Dun Kijal) yang dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad bin Said di Dewan Sivik Kijal, Kemaman, baru-baru ini.

Bagi Abdul Razak Husin,23, berkata, wang yang diperolehnya itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan sehariannya.

“Saya hanya bekerja ladang dan duit ini sedikit sebanyak dapat membantu saya membeli barang keperluan harian untuk saya dan ayah,” katanya.

Norhayati Abd Ghani,22, pula berkata, wang tunai RM200 itu cukup bernilai kepada dirinya.

“Saya bersyukur dengan rezeki ini dan bercadang untuk menyimpan wang yang diberikan oleh kerajaan negeri,” ujarnya yang pertama kali menerima dana tersebut.

Adli Mohamad, 29, berkata, wang yang diperolehi itu akan digunakan bagi meringankan beban kedua ibu bapanya dengan membeli barang keperluan dapur.

 

Kerajaan negeri sokong langkah penjimatan Kerajaan Pusat


Kerajaan negeri menyokong langkah berjimat-cermat yang dilaksanakan Kerajaan Pusat dalam usaha mengamalkan perbelanjaan lebih berhemah.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said berkata Terengganu akan turut melaksanakan langkah sebagaimana Kerajaan Pusat itu bagi menjimatkan perbelanjaan kewangan negeri.

"Malah kitapun sebelum ini telah mengamalkan jimat cermat seperti yang pernah saya sebut semasa pembentangan bajet tempoh hari," katanya di Kemaman, kelmarin.

Dato' Seri Haji Ahmad berkata kerajaan negeri akan mengkaji dari semasa ke semasa perbelanjaannya berasaskan keperluan sebagaimana apa yang disarankan Kerajaan Pusat.

Katanya langkah berjimat cermat itu penting bagi mengelak sebarang pembaziran.

Sementara itu mengulas tentang pemberhentian 300 guru al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) oleh Yayasan Islam Terengganu (YIT),  Dato' Seri Haji Ahmad berkata penamatan kontrak guru itu berdasarkan prestasi mereka dan peraturan yang ada.

"Mereka yang tidak mempunyai prestasi yang bagus selain bermasalah, maka kontrak mereka tidak akan disambunglah.

"Jangan anggap kerja kontrak ini kekal sampai bila-bila. Mereka ini ada penilaian dan ukuran prestasi yang dibuat YIT. Kalau tidak boleh didik anak bangsa dengan baik, maka kontrak mereka tidak akan disambung," katanya.

Dato' Seri Haji Ahmad berkata kerajaan mahu guru Kafa berwibawa yang mampu mendidik anak bangsa dengan baik.

Katanya penamatan itu disebabkan pemarkahan oleh YIT yang mempunyai syarat dan peraturan yang sepatutnya dipatuhi guru berkenaan.

"Kalau dia tidak boleh didik dengan baik dan maki hamun orang, ini bukan satu contoh yang baik," katanya.

04 January 2014

RM241,000.00 untuk pelajar Dun Batu Rakit.

Semak...Pegawai dari PDS menyemak nama penerima bantuan.
Oleh: Aminudin Ismail.
Gambar ihsan: Mazlan Mustaffa (Pejabat Dun Batu Rakit).

BATU RAKIT: Sebanyak RM241,000.00 diperuntukan kerajaan negeri bagi membantu meringankan bebanan seramai 2410 pelajar di kawasan Dun ini untuk membeli pakaian sekolah. 

Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah Dun Batu Rakit 2014 itu diadakan di Dewan Serbaguna Wakaf Chatur, Maras Batu Rakit dan disempurnakan oleh Adun Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman, hari ini.

Hadir..sebahagian ibubapa yang hadir.
Turut hadir bersama isteri Adun Batu Rakit Puan Siti Zaimah Mahmod, Penghulu Mukim Batu Rakit/Bukit Chempaka Encik Khairul Anuar Hasyim, Pembantu Tadbir Kewangan Pejabat Daerah Setiu Che Rahim Che Ali dan Ketua Pembantu Tadbir Pejabat Daerah Setiu Mohd Tarmizi Ngah. 

Bazlan berkata, beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sentiasa menjaga kepentingan rakyat didalam hal ehwal pelajaran. "Bantuan yang diberikan dapat meringankan beban rakyat. Rakyat perlu bersyukur dan berterima kasih diatas segala yang diberikan oleh kerajaan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah Setiu yang menyegerakan pembahagian bantuan pakaian sekolah demi meringankan beban perbelanjaan ibubapa," katanya.
Bazlan bersalaman dengan seorang wakil dari PDS.


03 January 2014

Dua YB berganding bahu bantu penduduk.

Perihatin...Iskandar(bersongkok putih) bersama Zulkifly (kanan) meninjau bahagian dapur rumah seorang warga emas, Limah Ibrahim, 80, yang runtuh di Kampung Oh.
Oleh: Aminudin Ismail.

JABI: Dua YB iaitu Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar dan Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Josoh mengambil masa lebih empat empat jam untuk bertemu dengan beberapa penduduk di dua buah kampung di Dun Jabi, hari ini

Program 'turun padang' kedua-dua YB itu bertujuan untuk menghulurkan sedikit bantuan dan menyelami beberapa permasalahan penduduk terutamanya mengenai perumahan.

Iskandar berkata, melalui program itu, pihaknya mengenal pasti beberapa keluarga perlu diberi bantuan bagi meringankan bebanan mereka.

YB Zul bertanya sesuatu kepada seorang wargatua sambil diperhati Iskandar.
"Kita dapati ada lagi, masyarakat Dun Jabi ini memerlukan kepada bantuan kerajaan samada darisegi kemudahan perumahan dan persekolahan anak-anak.

"Jadi kita dapati jika bergerak bersama seperti ini, kita boleh ada kerjasama antara pejabat Parlimen dan juga pejabat DUN terutamanya bagi menyelaraskan peruntukan-peruntukan dan bantuan," katanya mengenai lawatan ke sembilan buah rumah di Kampung Oh dan Cabang Tiga Oh itu.

Iskandar berkata, melalui lawatan itu, terdapat dua kategori untuk diberi bantuan iaitu keperluan segera di mana pihaknya menyalurkan terus bantuan berbentuk kewangan untuk perbelanjaan keluarga.

"Yang kedua ialah darisegi keperluan perumahan samada darisegi rumah baru melalui PPRT dan bantuan-bantuan untuk membaikpulih rumah," katanya mengenai program yang turut disertai Setiausaha UMNO Setiu, Mohd Azmi Nazir, Jawatankuasa Penyelaras Dun Jabi dan Pengerusi JKKK kampung terbabit.

Berikut ialah gambar-gambar sekitar program pemimpin bersama masyarakat itu, hari ini:-

Mula..peserta program memulakan perjalanan.

Rehat..Iskandar bersama beberapa penduduk kampung Oh.

Di rumah Othman Che Soh yang mengidap lelah.

Serah..menyumbang kerusi roda kepada seorang pesakit.

Bonceng..Iskandar menaiki motosikal bersama pengerusi JKKK Kg.Oh.

YB Zul melihat isterinya memakaikan tudung kepada Limah Ibrahim.

Iskandar dan ZulKiflly di rumah vateran UMNO Jabi, Mohd Ali yang mengalami sakit buah pinggang.

Isteri YB Iskandar (kanan atas) dan YB Zul (baju hitam) bergambar kenangan bersama Mohd Ali (tengah) .
Yb berjanji akan berusaha untuk mendapatkan rumah PPRT untuk keluarga Ghani Awang (kiri) di Kampung Gong Kubur, Oh.

Mesra..YB Zul berbual sesuatu dengan beberapa penduduk.

 

Ketengah sambut baik pembinaan menara

Oleh Suriati Ali

Lembaga Kemajuan Tengah (Ketengah) menyambut baik pembinaan menara telekomunikasi di pulau-pulau pelancongan di Tasik Kenyir.

Pengarah Pembangunan Tasik Kenyir, Encik Mokhtar Che Ali berkata, sebelum ini liputan di kawasan itu sangat terhad dan pembinaan menara menjadikan kawasan tersebut lebih menarik sekali gus memberi kepuasan kepada pengunjung.

“Perkara ini disambut baik, apatah lagi tahun hadapan Tahun Melawat Malaysia (TMM 2014) dan menjangkakan 500,000 pengunjung datang ke Tasik Kenyir.

“Pada tahun ini sahaja, 450,000 pengunjung dalam dan luar negara datang ke sini untuk melihat suasana di Tasik Kenyir, malah kita jangka akan dapat menarik 1 juta pengunjung setahun menjelang semua pakej disiapkan,” katanya kepada pemberita ketika turut serta dalam lawatan ke pulau-pulau di Tasik Kenyir, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Jailani Johari.

Sementara itu, Encik Mokhtar berkata, satu daripada dua unit feri yang dapat memuatkan 100 penumpang telah pun siap dibina dan sebuah lagi dijangka dapat diguna Mac depan sebagai persediaan Ketengah dalam menghadapi TMM 2014 di samping 30 ‘houseboat’.

Selain itu, 300 bilik disediakan kepada pengunjung dan bakal menambah 600 unit lagi dalam masa beberapa tahun akan datang.

 

Masjid baru Kampung Pauh lengkap dan selesa.

Masjid Kampung Pauh, Hulu Terengganu.
Oleh: Aminudin Ismail.

PEMBINAAN beberapa masjid baru oleh kerajaan negeri bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar semata-mata malah penduduk kawasan pendalaman turut dapat menikmatinya untuk melakukan solat dan ibadah-ibadah lain di dalam masjid baru yang lebih luas dan selesa.

Masjid Kampung Pauh yang terletak di Hulu Terengganu dibina bagi mengantikan masjid lama bagi menampung jumlah jemaah dari beberapa kampung sekitar yang semakin meningkat terutamanya untuk menunaikan solat jumaat dan solat dua hari raya.

Di buka kepada orang ramai pada Julai 2012, masjid yang dibina di atas tapak berhampiran masjid lama itu boleh menampung kira-kira 800 jemaah dan mempunyai pelbagai kelengkapan termasuklah tempat letak kereta berbumbung, dapur dan tempat menjamu selera.

Ustaz Mohd...Iman I Masjid.
"Masjid ini memang memberi banyak keselesaan kepada jemaah. Selain kita boleh melakukan ibadah dengan lebih selesa kerana ia lebih luas, beberapa kelengkapan lain turut disediakan.

"Jika dahulu, untuk menunaikan solat Jumaat atau dua hari raya jemaah terpaksa bersolat di luar daripada ruang solat kerana tidak muat tetapi dengan adanya masjid baru ini jemaah dapat bersolat di dalam masjid dengan lebih selesa," kata iman I masjid itu Mohd@ Zali Ismail.

Menurutnya, pelbagai aktiviti keagamaan diadakan di masjid itu, antaranya ialah ceramah agama pada malam Ahad dan Isnin serta mengadakan bacaan yasin, tahlil dan solat hajat pada malam jumaat.

"Buat masa ini kita hanya mengadakan bacaan Al-Quran sahaja kerana ustaz yang mengajar itu sakit dan belum ada pengantinya. Sebelum ini sambutan daripada penduduk agak mengalakan terutamanya pada malam yang terdapat ustaz," katanya.

Beliau mengharapkan dengan pembinaan masjid baru oleh kerajaan Barisan Nasional itu, penduduk akan sentiasa mengimarahkan masjid dan meminta penduduk terutamanya golongan muda supaya datang ke masjid untuk menunaikan solat fardu berjemaah kerana ia lebih baik daripada solat berseorangan di rumah.

Katanya, Iman II Masjid ialah Ahmad Muhammad manakala bilal I ialah Razali@ Mohd Ali dan Bilal II pula ialah Bidin Teras. Pengerusi masjid ialah Abdullah Sulong.
Kemas..ruang letak kereta.

Selesa...ruang solat yang luas.

Lengkap...dapur turut dibina di luar masjid.

Hias..dinding yang terdapat ayat Quran.

Mimbar..terdapat ukiran kayu.

Iman I bersama dua bilalnya.

 

KRT Taman kalongan Melor melangkah ke depan

Oleh : Amirullah Othman 

Kawalan Rukun Tetangga (KRT) Kalongan Melor melangkah setapak ke hadapan dengan penubuhan Sistem Rondaan Sukarela (SRS), baru-baru ini.

Pengerusinya Encik Mohd Subri Abdullah bin merupakan penggerak utama dan tulang belakang kepada kejayaan ini sehingga SRS berjaya dilancarkan.

"Setiap perancangan tidak akan berjalan lancar jika tidak mendapat sokongan dan bantuan yang penuh daripada JKKK dan belia di Taman Kalongan Melor ini.

"Sambutan yang menggalakkan dan kerjasama yang baik daripada semua lapisan masyarakat telah mencerminkan perpaduan dan ukhwah yang baik di kalangan semua penduduk," katanya.

Encik Mohd Subri mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan dan bantuan secara langsung dan tidak langsung sehingga program dapat dijalankan dengan baik dan lancar.

Program pelancaran Sistem Rondaan Sukarela (SRS) ini dilancarkan pada 14 Disember lalu,  oleh Pengarah Jabatan Perpaduan Negeri Terengganu yang melibatkan 70 keahlian bagi mengawasi tiga zon yang ditetapkan.

Setiap anggota SRS mendapat pelbagai faedah seperti keselamatan setiap ahli akan diinsuranskan.

Selain itu, KRT berkenaan juga mendapat bantuan tetap tahunan sebanyak RM1,500 serta peruntukan tambahan berdasarkan setiap program yang dijalankan.