Halaman

03 March 2014

Siasatan kematian ADO, Wan Hariff hampir selesai- KP Negeri.


Jamshah (tengah) bersama Abdul Rahman dan Mohd Zamli (kanan)
Oleh: Aminudin Ismail. 


SIASATAN kes kematian Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Hariff Rafany Wan Muda yang ditemui mati di Sungai Tajin, Hulu Terengganu pada 17hb Februari lalu kini dalam peringkat akhir siasatan, kata Ketua Polis Negeri Terengganu, Dato' Jamshah Mustafa.

Jamshah berkata, selepas selesai siasatan nanti, pihaknya akan menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara dan siasatan dijangka selesai dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, Dato' Jamshah mengingatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan pelbagai spekulasi mengenai punca kematian Allahyarham Wan Hariff itu.

Jamshah ketika menjawab soalan pemberita.
"Kita dalam proses akhir untuk melengkap penyiasatan, 'so' bagi kita, kita dah diperingkat akhir dan siasatan akan selesailah. Selepas selesai kita akan mengemukan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara. 

"Saya rasa, nasihat saya supaya kita jangan dengar dan jangan 'involve' (terlibat) dengan spekulasi ini sebab kerana ia tidak adil kepada arwah dan juga keluarga, jangan buat spekulasi yang tidak sihat.

"Kita menyiasat perkara ini dan akan secepat mungkin diselesaikan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Pemimpin Muda Dan Pelancaran Sifar Masalah Disiplin SMK Sungai Tong, di Setiu, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Polis Daerah Setiu, Abdul Rahman Mohamed dan Pengetua SMK Sungai Tong, Mohd Zamli Muda.

 

ECERDC anjur Program Empower

Kira-kira  2,400 peserta terdiri daripada 1,600 pelajar dan 800 penduduk dewasa di Terengganu kini mengikuti Program Empower anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

 Pengurus Besar ECERDC Negeri Terengganu, Ahmad Fuad Sulaiman berkata kemasukan 400 lagi pelajar dari daerah Besut yang baharu dipilih kini menjadikan keseluruhan empat kawasan di Terengganu selain Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu yang terbabit dalam program itu.

 Katanya, para pelajar kini mengikuti kursus akademik dalam usaha membentuk generasi muda serba boleh, berkeyakinan dan memiliki kemahiran yang diperlukan manakala orang dewasa pula diberikan latihan kemahiran keusahawanan.

"Kebanyakan peserta yang mengikuti Program Empower anjuran ECERDC ini terdari daripada keluarga miskin dari luar bandar," katanya pada majlis pelancaran latihan untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah program Empower ECER Besut di sini hari ini.

 Majlis dirasmikan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Kota Putera, Mohd Mahdi Musa. Empower ECER ialah satu program yang menggabungkan kelas-kelas pemulihan akademik dengan pembinaan keyakinan diri yang mendedahkan pelajar kepada pengalaman belajar yang pelbagai melalui Kursus Dale Carnegie.



Belia perlu lakukan tranformasi minda

Sudah sampai masa bagi rakyat Terengganu khususnya golongan belia melakukan transformasi minda dengan bersedia berhijrah ke negeri lain bagi memenuhi pasaran kerja yang lebih lumayan.

 Pengerusi Jawatankuasa Transformasi, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latiff Awang berkata, golongan berkenaan perlu mengubah persepsi negatif ke arah lebih positif untuk menempuh kerjaya lebih mencabar demi masa depan mereka.

 Beliau juga mahu supaya masyarakat negeri ini mencontohi penduduk negeri lain yang sanggup berhijrah ke mana sahaja termasuk Terengganu untuk mendapat pekerjaan, meskipun terpaksa berjauhan dari kampung asal masing-masing.

 "Orang luar Terengganu berani berhijrah, jadi kita mahu orang Terengganu pun sedia berubah dan kena berani untuk berhijrah.

"Kita kena tanya diri kita kenapa takut berhijrah sedangkan banyak peluang pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan terbuka luas di negeri lain, malangnya kita tak mahu pergi," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang menyatakan perkara itu ketika berucap merasmikan program Hala Tuju Kerjaya Pelajar Lepasan SPM dan STPM serta Jelajah 1 Belia 1 Kemahiran Parlimen Marang 2014 di Dewan Utama Majlis Daerah Marang (MDM) di sini semalam.

 Program sehari yang bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang itu dianjurkan oleh Biro Penerangan UMNO Bahagian Marang.

Yang turut hadir, Pengerusi Biro Penerangan berkenaan yang juga Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT), Zaidi Muda. A. Latiff seterusnya berkata, golongan pelajar dan belia juga perlu memanfaatkan peluang menceburi pelbagai bidang kemahiran dalam usaha melahirkan tenaga mahir yang berdaya saing demi masa depan mereka yang lebih cemerlang.

 "Kita mahu golongan belia dan lepasan sekolah merebut peluang dengan mengikuti kursus-kursus kemahiran yang disediakan kerajaan," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan.

Sempena program itu, pelbagai acara disediakan termasuk gerai pameran dan kerjaya yang disertai institusi pendidikan tinggi dan kemahiran antaranya Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Politeknik Kuala Terengganu dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

 

Tahniah pasukan Bolajaring B12 Hulu Terengganu.

Shafruddin...perlawanan sengit.
Oleh: Aminudin Ismail.

KETUA Pegawai Pendidikan Hulu Terengganu, Shafruddin Ali mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan bawah 12 tahun (B12) bolajaring daerah Hulu Terengganu kerana berjaya menjuarai kategori itu dalam Kejohanan Bolajaring MSST di SM Komplek Mengabang Telipot, kelmarin.

Shafruddin berkata, sekalipun hanya dilatih oleh guru-guru yang tidak terlatih dalam sukan itu tetapi pasukan bawah 12 tahun itu berjaya mempamirkan permainan yang baik sehingga mampu menjadi juara.

"Tahniahlah saya ucapakan kepada semua pemain dan guru-guru yang terbabit dengan pasukan itu kerana memenangi perlawanan akhir menewaskan daerah Setiu dalam satu perlawanan sengit iaitu dengan keputusan 25-24.

"Kita dilatih oleh guru-guru biasa yang tidak ada sijil tetapi mempunyai komitmen yang sangat tinggi berbanding pasukan Setiu yang dilatih jurulatih negeri.

"Bagaimanapun, dengan kesungguhan dan komitmen mereka, pasukan dari Hulu Terengganu ini muncul sebagai johan buat kali pertama. Sebelum ini kita hanya sebagai naib johan pada 2009 dan 2011," katanya. 

Shafruddin mengharapkan pemain yang terpilih mewakili negeri nanti dapat menunjukan permainan yang bermutu bagi membantu pasukan negeri menang dalam kejohanan peringkat kebangsaan nanti.
Pasukan B12 Hulu Terengganu.

 

Pemuda UMNO Setiu pantau harga barang.

TINJAU…Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi yang juga Ketua Pemuda UMNO Setiu, Mohd Iskandar Jaafar bersama beberapa AJK UMNO Setiu mengadakan tinjauan harga barang di Pasar Minggu Bandar Permaisuri, Setiu, kelmarin.

Tinjauan yang turut disertai Ketua Pemuda UMNO Negeri dan beberapa pegawai di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna cawangan Besut itu bertujuan untuk memantau pematuhan harga barang oleh peniaga.

Iskandar berkata, hasil pemantauan skuad penguna itu mendapati kebanyakan peniaga mematuhi harga barang dan hanya segelintir sahaja yang melanggar peraturan.

Sebahagian Pemuda bergambar kenangan bersama Encik Zul dan YB Is.
“Hampir 90 peratus peniaga menjual mengikut harga yang ditetapkan cuma yang ada beberapa kesalahan yang dilakukan peniaga antaranya ialah tidak meletakan tanda harga dan menjual melebihi harga siling dan mereka yang melakukan kesalahan itu akur untuk mematuhi peratusan,” katanya.

Menurutnya, ahli skuad itu akan kembangkan pantauan harga barang ke peringkat Dewan Undangan Negeri masing-masing.

“Selepas ini kita akan membuat pantauan di beberapa pasar minggu dan pasar malam di di peringkat Dun pula supaya peniaga-peniaga di Parlimen Setiu ini mematuhi peraturan perniagaan dan menjual pada harga yang dibenarkan bagi meringankan bebanan pennguna,” katanya.- Aminudin.

  

Le Tour de Langkawi 2014 Stage 4 - Subang - Genting Highland





















02 March 2014

KOKANUN juara petanque Angkasa Zon Kuala Terengganu.

Shamsuddin menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Oleh: Aminudin Ismail. 

LAPAN pasukan bertanding dalam Kejohanan Petanque ANGKASA Zon Kuala Terengganu Kategori Dewasa yang diadakan di padang SMK Komplek Mengabang Telipot, semalam.

Dalam pertandingan itu pasukan petanque lelaki Koperasi Kokanun menjadi johan manakala naib johan disandang Koperasi Muamalat manakala bahagian wanita pula di menangi pasukan Koperasi Muamalat menewaskan Koperasi Guru.

Antara pasukan yang bertandinga ialah Koperasi Guru, Koperasi Muamalat, Koperasi Stemza, Koperasi Kokanun dan Koperasi KMT.

Urusetia pertandingan, Shamsuddin Ismail berkata, kejohanan kali ini menampakan peningkatan dimana setiap pasukan yang bertanding menunjukan skil dan kemahiran yang baik.

Shamsuddin...dapat sambutan.
"Sambutan terhadap permainan petanque ini semakin mengalakan di seluruh negeri. Jika dahulu hanya daerah Dungun dan Kemaman sahaja yang aktif kerana mereka ada persatuan dan melahirkan ramai pemain berbakat.

"Tetapi kini beberapa daerah lainpun sudah ada pasukan masing-masing seperti di Besut dan Hulu Terengganu dan saya mengharapkan bukan hanya di daerah Dungun sahaja permainan ini dapat dikembangkan di semua daerah di negeri ini," katanya.

Menurutnya, pada tahun ini pertandingan petanque Angkasa peringkat negeri akan diadakan di Dungun pada 8hb ini, jadi hari ini kita akan pilih dua pasukan yang akan bertanding di peringkat negeri itu nanti dan seterusnya akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan," katanya.

 

Jalinan kerjasama MyIPO -YPU galak budaya lindungi harta intelek

Oleh: Noraini Jusoh

Dato' Abdul Manan
Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menandatangani Memoradum Persefahaman (MoU) dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bagi menggalakkan budaya melindungi harta intelek serta mempergiatkan program kesedaran dan latihan dalam pembangunan harta intelek tempatan.

Pengerusi MyIPO, Dato’ Abdul Manan Ismail berkata, antara skop kerjasama ditekankan adalah dengan mengadakan latihan dan bengkel dalam bidang harta intelek kepada usahawan di bawah YPU.

“Jalinan kerjasama ini juga bertujuan membuka ruang bagi menjalankan aktiviti memberi kesedaran hak harta intelek di kalangan kakitangan dan pengusaha di bawah YPU melalui seminar dan penyertaan program anjuran YPU.

“Ia juga memudahkan jalinan kerjasama dalam apa-apa perkara yang dikira bermanfaat bagi kedua-dua pihak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Harta Intelek dan MoU antara MyIPO dan YPU di Dewan Konvensyen, Pusat Dagangan Terengganu (TTC), hari ini.
Pada majlis MoU itu, YPU diwakili Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Che Razali Adis manakala Timbalan Ketua Pengarah (Korporat) MyIPO, Mohd Shahar Osman mewakili MyiPO sambil disaksikan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah YPU, Mohd Iskandar Jaafar serta Pengerusi MyIPO, Dato’ Abdul Manan Ismail.

Menurut Dato’ Abdul Manan, melalui jalinan kerjasama tersebut dapat memberi kesedaran tentang pentingnya perlindungan harta intelek khususnya cap dagangan, reka bentuk perindustrian, petunjuk geografi dan hak cipta.

“Selain memberi kesedaran, ia juga dapat membantu usahawan-usahawan di negeri ini untuk mengorak langkah sebagai usahawan berjaya,” katanya.

 

Guru diminta layan murid seperti anak sendiri


YB Muhamad pehimi menyuap kek kepada Firdaus sempena hari kelahirannya.

Oleh: Mohammad Ishak 

Guru sekolah diminta melayan murid dan ibubapa murid sekolah tempat mereka berkhidmat sebagai anak dan keluarga sendiri untuk memastikan perhubungan erat terjalin antara mereka yang boleh menentukan kecemerlangan murid mereka dalam pelajaran.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat Negeri, Muhamad Pehimi Yusof berkata kasih sayang yang terjalin secara ikhlas dan erat antara guru dan murid serta keluarga mereka amat dituntut kerana jarang benar diamalkan di peringkat sekolah selama ini.

 “ Sebaiknya guru melapangankan sedikit masa untuk menyambut ketibaan murid mereka di sekolah sambil memastikan mereka hadir dalam keadaan terurus dengan berpakaian kemas sebelum masuk ke dalam bilik darjah bagi memulakan pelajaran,” katanya ketika melancarkan Program Guru Penyayang peringkat sekolah di Sekolah Kebangsaan Pelagat di sini hari ini.

Selain itu, katanya,, sekiranya terdapat murid atau keluarga mereka yang sakit samada di rumah atau di mana-mana hospital usaha untuk menziarahi mereka amat dituntut agama.

Menurutnnya, guru perlu menganggapkan bahawa anak murid adalah sebahagian daripada kehidupan mereka dalam memastikan tanggungjawab mereka benar-benar berkesan dalam melahirkan anak bangsa yang berhemah dan tahu membalas budi di masa depan.

Ketika melancarkan program berkenaan, Muhammad Pehimi telah menarik kain pemidang Program Guru Penyayang dan kemudiannya bersama adik Firdaus Che Mat, 10 dari Sekolah kebangsaan Pelagat yang hari lahirnya jatuh pada hari ini dipilih untuk menotong kek harijadi dan menyuap kek itu kepada murid berkenaan disamping kepada bapanya Che Mat Hassan, 58.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jertih mengumumkan mulai tahun ini beliau akan memulakan anugerah kepada mana-mana sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Jertih yang mencapai prestasi terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan juga kepada mana-mana sekolah di DUN Jertih yang berjaya mengatasi sekolah-sekolah di peringkat DUN lain.

Katanya, usaha itu adalah bagi memastikan daerah Besut mampu mengekalkan pencapaiannya sebagai daerah terbaik dalam pencapaian peratus tertinggi calon yang mendapati 5A disamping berusaha untuk memastikan daerah Besut juga terbaik dalam Gred Purata Sekolah (GPS) di peringkat negeri.

Hampir 3,000 pengunjung hadir pada program Kuala Terengganu Berselawat

Hampir 3,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat hadir pada program ilmu Kuala Terengganu Berselawat di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, malam semalam.

 Penganjuran majlis itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan mengenai kehebatan rangkaian selawat, zikir dan burdah yang mengagungkan Rasulullah SAW.

Antara artis yang menjaya program ilmu itu, termasuk Kumpulan Qasidah al-Hidayah dan Soutul Muhibah; Al Fathil Tuan Guru Syed Suhaimi Al Aydrus; Al Fathil Tuan Guru Mustafa Kamal dan Al Fathil Tuan Guru Mohd Suplar Yahya yang mendendangkan pelbagai selawat, zikir, qasidah dan burdah sepanjang program berkenaan.

Pengunjung dari Batu Rakit Kuala Terengganu, Muhammad Hafizi Ali, 23,, program itu sewajarnya diperluaskan ke serata daerah dan perlu dianjurkan acap kali kerana banyak perkara bermanfaat diperoleh..

Katanya, cukup tersentuh apabila penceramah menceritakan pelbagai perkara dan keajaiban ketika di zaman Rasullulah, dan apa yang pastikan semua itu akan dijadikan tauladan.

“Zikir dan qasidah yang dialun sambil diikuti pengunjung yang hadir, cukup menyentuh jiwa, dan mereka yang hadir pasti tenang mendengar,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Suraya Ruslan, 30, sudah tiba masanya masyarakat kita dididik dengan hiburan berpaksikan Islam selaras hasrat pimpinan kerajaan negeri Terengganu yang mahu melahirkan generasi cerdik ilmu, seimbang dunia dan akhirat.