Halaman

03 March 2014

Belia perlu lakukan tranformasi minda

Sudah sampai masa bagi rakyat Terengganu khususnya golongan belia melakukan transformasi minda dengan bersedia berhijrah ke negeri lain bagi memenuhi pasaran kerja yang lebih lumayan.

 Pengerusi Jawatankuasa Transformasi, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latiff Awang berkata, golongan berkenaan perlu mengubah persepsi negatif ke arah lebih positif untuk menempuh kerjaya lebih mencabar demi masa depan mereka.

 Beliau juga mahu supaya masyarakat negeri ini mencontohi penduduk negeri lain yang sanggup berhijrah ke mana sahaja termasuk Terengganu untuk mendapat pekerjaan, meskipun terpaksa berjauhan dari kampung asal masing-masing.

 "Orang luar Terengganu berani berhijrah, jadi kita mahu orang Terengganu pun sedia berubah dan kena berani untuk berhijrah.

"Kita kena tanya diri kita kenapa takut berhijrah sedangkan banyak peluang pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan terbuka luas di negeri lain, malangnya kita tak mahu pergi," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang menyatakan perkara itu ketika berucap merasmikan program Hala Tuju Kerjaya Pelajar Lepasan SPM dan STPM serta Jelajah 1 Belia 1 Kemahiran Parlimen Marang 2014 di Dewan Utama Majlis Daerah Marang (MDM) di sini semalam.

 Program sehari yang bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang itu dianjurkan oleh Biro Penerangan UMNO Bahagian Marang.

Yang turut hadir, Pengerusi Biro Penerangan berkenaan yang juga Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT), Zaidi Muda. A. Latiff seterusnya berkata, golongan pelajar dan belia juga perlu memanfaatkan peluang menceburi pelbagai bidang kemahiran dalam usaha melahirkan tenaga mahir yang berdaya saing demi masa depan mereka yang lebih cemerlang.

 "Kita mahu golongan belia dan lepasan sekolah merebut peluang dengan mengikuti kursus-kursus kemahiran yang disediakan kerajaan," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan.

Sempena program itu, pelbagai acara disediakan termasuk gerai pameran dan kerjaya yang disertai institusi pendidikan tinggi dan kemahiran antaranya Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Politeknik Kuala Terengganu dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).