Halaman

05 March 2014

PBT bertegas soal kebersihan makanan - MB

 Oleh: Suriati Ali 
Gambar oleh Zulkipli Putra

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha makanan, termasuk peniaga pasar malam yang didapati mengabaikan aspek kebersihan.

Menteri Besar dan isteri melawat mangsa keracunan makanan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
 “Perkara itu perlu dipandang serius bagi mengelak kejadian seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut dipercayai akibat keracunan makanan berulang dan hampir 150 pelanggan lagi menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat masalah yang sama,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa keracunan makanan di HSNZ, Kuala Terengganu hari ini.


 Turut mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, YB Muhammad Pahemi Yusof; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas, YB Ghazali Taib dan Pengarah Kesihatan negeri, Dato' Dr. Anwa Sulaiman.

 Mereka itu mendapatkan rawatan di hospital berkenaan sejak 28 Februari sehingga awal pagi ini kerana mengalami muntah-muntah dan cirit-birit selepas membeli makanan di dua pasar malam iaitu di Dataran Shahbandar dan Padang Hiliran.


Dato’ seri Haji Ahmad turut memberitahu, PBT perlu kerap kali mengadakan pemantauan dan patut kenakan kompaun terhadap peniaga-peniaga yang masih ingkar dengan undang-undang yang ditetapkan.

“Undang-undang yang dilaksanakan kerajaan, seperti peniaga perlu mengambil suntikan, pakai apron dan denda jika premis atau gerai kotor bukannya perkara yang menyusahkan sebaliknya untuk kesihatan dan keselamatan.

 “Jika peniaga-peniaga amal dan patuh dengan undang-undang yang ditetapkan, perkara seumpama ini, mungkin tidak akan berlaku,” katanya. Menurutnya, berdasarkan siasatan Jabatan Kesihatan Negeri, mangsa keracunan makanan didapati mengambil makanan seperti nasi goreng, mee goreng dan ayam goreng yang dijual tiga pemilik gerai di dua lokasi pasar malam.

“Diharapkan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang, saya minta jasa baik peniaga, amalkan kebersihan sama ada berkaitan makanan yang dijual atau tempat berniaga, jangan fikir hendak untung saja.

“Jika makanan yang dijual itu tidak laku, anggaplah tiada rezeki, janganlah pula dipanaskan lagi untuk dijual pada keesokan hari, “katanya.