Halaman

03 March 2014

YPU fail tujuh permohonan baharu Petunjuk Geografi dengan MyIPO

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu memfailkan tujuh permohonan baharu Petunjuk Geografi untuk didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dalam usaha melindungi hak harta intelek usahawan di negeri ini.

Petunjuk Geografi adalah petunjuk yang mengenalpasti di mana barangan itu berasal. Kualiti, reputasi atau ciri tertentu barangan itu pada dasarnya boleh dianggap berpunca dari tempat asal geografinya.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah YPU, Mohd Iskandar Jaafar (gambar) berkata, tujuh produk Terengganu iaitu Tembaga Ladang; Keropok Losong, Keropok Lekor; Kapal Pulau Duyong; Batik; Ukiran Kayu Besut dan Nasi dagang merupakan identiti negeri ini yang begitu berpontesi di pasaran dan perlu didaftarkan.

“Kebanyakkan produk di negeri ini adalah perusahaan warisan yang diwarisi turun temurun dan diteruskan oleh generasi kedua dan ketiga. Mungkin pada satu ketika dahulu, perusahaan warisan ini nampak agak eksklusif seperti perusahaan tembaga, batik serta songket contohnya kerana tidak dikormesialkan.

“Tetapi kini, apabila pasaran dibuka ia mendapat permintaan yang meluas sehingga ke luar negara dan mula timbul persaingan.

“Apabila timbul persaingan daripada orang yang bukan pada asalnya mewarisi perusahaan tersebut tetapi turut berminat ia memberi cabaran kepada usahawan Terengganu kerana persaingan itu pada satu peringkat akan merugikan usahawan asal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Harta Intelek dan MoU antara MyIPO dan YPU yang dirasmikan oleh Pengerusi MyIPO, Dato’ Abdul Manan Ismail di Dewan Konvensyen, Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Che Razali Adis serta Timbalan Ketua Pengarah (Korporat) MyIPO, Mohd Shahar Osman.

Menurut Mohd Iskandar, jalinan kerjasama antara YPU dan MyIPO mampu meningkatklan kesedaran tentang kepentingan pendaftaran serta perlindungan harta intelek di kalangan usahawan negeri ini.