Halaman

03 March 2014

Siasatan kematian ADO, Wan Hariff hampir selesai- KP Negeri.


Jamshah (tengah) bersama Abdul Rahman dan Mohd Zamli (kanan)
Oleh: Aminudin Ismail. 


SIASATAN kes kematian Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Hariff Rafany Wan Muda yang ditemui mati di Sungai Tajin, Hulu Terengganu pada 17hb Februari lalu kini dalam peringkat akhir siasatan, kata Ketua Polis Negeri Terengganu, Dato' Jamshah Mustafa.

Jamshah berkata, selepas selesai siasatan nanti, pihaknya akan menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara dan siasatan dijangka selesai dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, Dato' Jamshah mengingatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan pelbagai spekulasi mengenai punca kematian Allahyarham Wan Hariff itu.

Jamshah ketika menjawab soalan pemberita.
"Kita dalam proses akhir untuk melengkap penyiasatan, 'so' bagi kita, kita dah diperingkat akhir dan siasatan akan selesailah. Selepas selesai kita akan mengemukan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara. 

"Saya rasa, nasihat saya supaya kita jangan dengar dan jangan 'involve' (terlibat) dengan spekulasi ini sebab kerana ia tidak adil kepada arwah dan juga keluarga, jangan buat spekulasi yang tidak sihat.

"Kita menyiasat perkara ini dan akan secepat mungkin diselesaikan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Pemimpin Muda Dan Pelancaran Sifar Masalah Disiplin SMK Sungai Tong, di Setiu, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Polis Daerah Setiu, Abdul Rahman Mohamed dan Pengetua SMK Sungai Tong, Mohd Zamli Muda.