Oleh: Suriati Ali
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) berharap enam penghafaz yang bakal membawa nama Terengganu ke peringkat kebangsaan sempena Majlis Menghafaz AL-Quran, mampu melakukan yang terbaik.
Peserta itu adalah Nurul Syaabaniah Yahaya, 21, bakal bertanding bagi ketegori 1-30 juzuk; Muhammad Izzat Mat Nor, 25, (1-30 juzuk); Nurul Izatie Zuraimi, 17 (1- 20 juzuk); Syed Ahmad Hisyam Engku Taufik, 17, (1-20 juzuk); Asma Abdullah, 18 (1-10 juzuk) dan Muhammad Rayyan Abdullah, 17 pula bertanding bagi kategori 1-10 juzuk.
Mereka yang terpilih itu selepas berjaya mendapat markah tertinggi pada Pertandingan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, pertenggahan Februari lalu.
Pertandingan sama bagi peringkat kebangsaan akan diadakan di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, selama lima hari iaitu bermula 10 hingga 14 Mac.
Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Haji Mohd Rozali Salleh, berkata dia berharap peserta tidak menaruh harapan tinggi untuk menang dan mempunyai niat mahu mengejar ganjaran yang ditawarkan penganjur majlis.
“Perlu ada niat, apa yang dilaksanakan itu mahu mengajak orang ramai turut menyertainya, memperbanyakkan perbuatan mulia, selain menegakkan atau memartabatkan ajaran agama islam,” katanya.
Peserta Asma Abdullah, 18, yang juga pelajar Institut al-Quran Terengganu (IQT), berkata, syukur ke hadrat Ilahi kerana dia dan adik, Muhammad Rayyan, 17 turut terpilih membawa nama Terengganu ke peringkat kebangsaan.
“Saya akan melakukan yang terbaik, supaya dapat memenuhi harapan ibu bapa, guru dan kerajaan Terengganu.
“Apa yang disertai itu kerana minat, mahu memartabatkan agama Islam, dan bukannya mahu mengejar ganjaran yang ditawarkan,” katanya.
Muhammad Rayyan berkata, dia dan kakak dididik ibu dan bapa supaya minat mendalami ilmu al-Quran, sejak daripada kecil, dan mula menghafaznya ketika umur 14 tahun.
“Petua paling penting bagi seorang penghafaz, tidak menjamah makanan segera atau produk yang tidak berkhasiat dan makan organ dalaman haiwan.
“Sebaliknya perlu mengamal makanan yang disaran Rasullulah supaya minda sentiasa segar untuk menghafaz a-Quran,” katanya.