Oleh: Aida Abd Rahman
Isu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merobohkan 17 penempatan haram di Kampung Mak Chili, Chukai, Kemaman, baru-baru ini sengaja disensasikan oleh wakil rakyat pembangkang apabila menjadi `hero’ dengan menyebelahi kedegilan seorang penduduk yang tidak mahu berpindah.
Malah, penduduk dikenali sebagai `Pak Awi’ itu juga dikatakan tidak bersetuju menerima pampasan perpindahan oleh pemaju berjumlah RM20,000 walaupun sedar sudah menghuni secara haram di tanah milik kerajaan itu sejak 10 tahun lalu.
YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih-BN) menjelaskan pihaknya kesal dengan tindakan wakil rakyat Chukai Hanafiah Mat, yang sengaja memperbesarkan isu itu sedangkan perkara berkenaan boleh diselesaikan dengan baik tanpa menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.
“Baru-baru ini saya terkejut mengenai isu kita merobohkan rumah haram melibatkan 17 keluarga yang tinggal sudah hampir 10 tahun, kita membiarkan mereka tinggal di situ malah sudah memaklumkan akan membina perumahan rakyat di situ dan pemaju sudah menawarkan pampasan kepada penduduk yang terlibat.
“Mereka yang sudah lama tinggal secara haram di situ, kerajaan turut menawarkan tanah ganti Rancangan Tanah Berkelompok (RTB), malah semua menerima dengan baik, bagaimanapun hanya satu keluarga sahaja (Pak Awi) yang tidak mahu pindah, tidak mahu menerima tawaran (pampasan), sebaliknya hendak RM60,000,” katanya ketika sesi perbahasan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Persidangan DUN, hari kedua, hari ini.
Dalam pada itu, Wan Abdul Hakim menjelaskan kerajaan negeri sudah berkompromi dengan penduduk yang terlibat apabila tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang tinggal sejak sekian lama di tanah haram itu.
Katanya, semua penduduk yang diarahkan berpindah itu akur kecuali Pak Awi, sedangkan dia sudah memiliki rumah lain yang dikatakan didiami oleh anaknya serta sebahagian lagi disewakan kepada sebuah keluarga lain.
“Pampasan RM20,000 mujur pemaju hendak beri. Ikut undang-undang kamu duduk di tanah haram, kena denda kena dakwa.
“Sebagai kerajaan yang cukup sayang kepada rakyat, kita tidak pernah buat begitu. Beri pampasan pulak, sepatutnya pemaju tidak payah beri pampasan pun, kerajaan boleh keluarkan notis dan dakwa terus kepada Pak Awi, tetapi kerajaan tidak buat (mengambil tindakan perundangan).
"Kita sudak maklum awal (perpindahan). Hantar cek (pampasan) RM20,000, tetapi dia tolak. Orang lain terima belaka tiada masalah. Kalau kita mengambil tanah hak milik mereka yang sudah ada geran kita boleh berbicara di mahkamah dan minta pampasan lebih tinggi," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Wan Abdul Hakim berterima kasih dan memuji tindakan wakil Chukai itu apabila membantu menasihati segelintir kecil penyokong Pas di Neram Satu yang menunaikan solat Jumaat di surau berasingan sedangkan sudah terdapat masjid di kawasan itu.
“Ada dua masjid besar di Neram itu, tetapi segelintir pengikut Pas ini hendak sembahyang dengan puak-puak dia sahaja di surau. Tiga kali sudah sembahyang Jumaat, tidak mahu dengar cakap kita. Jadi, saya amat terharu atas nasihat dan keikhlasan menasihati kumpulan itu supaya tidak buat sedemikian. Jika mahu buat, buat dengan cara betul, itu saya puji,” katanya.