Halaman

26 May 2014

263 bakal mahasiswa terima pendahuluan PTPTN.


Terima...Pehimi menyampaikan wang pendahuluan PTPTN kepada seorang bakal mahasiswi sambil diperhati Rasol (dua dari kiri)
Oleh: Mohammad Ishak.

KEGEMBIRAAN jelas terbayang di wajah bakal mahasiswa daerah Besut apabila permohonan mereka mendapatkan pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), untuk melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi tempatan mendapat kelulusan pihak terbabit.

Pemohon sebahagian besar mereka daripada anak petani dan nelayan menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang menyediakan kemudahan pinjaman menerusi PTPTN dan membolehkan mereka mengurus kemasukan ke pusat pengajian tinggi pilihan masing-masing.

“Tanpa kemudahan menerusi PTPTN sudah tentu saya tidak dapat meneruskan pengajian kerana keluarga tidak mampu menyediakan peruntukan untuk pembelajaran,” kata pelajar Mohd Daud Abdullah,25, dari Kampung Raja.

Majlis penyampaian Wang Pendahuluan Pembayaran (WPP) dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita,Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Muhamad Pehimi Yusof.

Pada majlis itu seramai 263 bakal mahasiswa mewakili pelbagai universiti tempatan menerima wang berkenaan pada majlis yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB), Gong Kemuntong, Jertih, semalam.

Hadir sama Pegawai Tugas-Tugas Khas, Menteri Pendidikan II, Dato’ Rasol Wahid. Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih ketika berucap pada majlis itu mahu pelajar memanfaatkan wang yang disediakan untuk kepentingan pendidikan dan tidak menyalahgunakan sumber kewangan berkenaan.

Katanya, PTPTN walaupun dibantah keras oleh pihak pembangkang tetapi ia sebenarnya satu program yang memberi faedah besar kepada bakal mahasiswa kerana ia satu-satunya agensi yang menyediakan pinjaman pembelajaraan yang terbaik.

“Sebab itu kerajaan tidak menghapuskan PTPTN walaupun ada pihak cuba membangkit isu berkenaan malah ia wajar dikekakkan kerana ia untuk kemudahan pelajar miskin,” katanya.

 

MENTERI BESAR, DATO' HJ AHMAD RAZIF: 'TAHNIAH KEPADA ATLET DAN KONTINJEN SUKMA DI PERLIS ATAS KEJAYAAN TANGGA TERATAS SEHINGGA INI

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Hj Ahmad Razif Abd Rahman  melahirkan rasa sukacitanya dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada atlet SUKMA Terengganu di atas kejayaan sehingga ini, Terengganu mendahului di tangga teratas dengan kedudukan terkini 10  pingat emas, 4 perak dan 3 gangsa (sehingga pagi ini 26 Mei).
Juga tahniah kepada Ketua Kontinjen, YB Mahadi Musa (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri) merangkap Adun Kota Putera dan seluruh pegawai dan petugas serta bapa-bapa angkat setiap acara terdiri dari Ahli-ahli YB Terengganu dan Ketua-ketua Jabatan.
Katanya, kejayaan itu sebenarnya adalah hasil dari kerja sama dan kerja sepasukan dari seluruh jentera kerajaan dan rakyat negeri Terengganu.
“Marilah kita  bekerja bersama-sama dan secara berpasukan dalam satu pasukan, itulah pendekatan saya untuk rakyat dan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas melalui Unit Komunikasi Negeri Terengganu.
Sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju  menambah insentif kemenangan kepada setiap pemenang  pingat emas dan perak  di Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014 bermula 24 Mei lalu.
Setiap pingat emas akan memperolehi RM6,000 dan perak RM5,000, masing-masing bertambah RM1,000 berbanding imbuhan yang disediakan kepada pemenang pingat itu pada tahun sebelumnya. Sementara setiap pingat gangsa kekal RM2,000 seorang.


Dato’ Ahmad Razif berkata, kenaikan insentif kemenangan itu sebagai menyuntik semangat atlet supaya  mencapai sasaran Kontinjen Terengganu memperolehi 53 emas, 45 perak dan 51 gangsa.
Beliau dijangka menemui pegawai dan atlet Terengganu di Perlis pada 28 Mei 2014 dan makan malam bersama serta menyampaikan amanat serta member semangat dan dorongan untuk terus berjuang.
Terengganu amat berhasrat untuk menjuarai SUKMA kali ini.



25 May 2014

Menteri Besar rai persaraan bekas gurunya./ MB seorang yang tepati janji- Cikgu Mat.

Mohamed bersama Ahmad Razif.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SEKALIPUN sibuk dengan tugas baru sebagai Menteri Besar Terengganu namun Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman sempat meluangkan masa kira-kira sejam meraikan majlis persaraan bekas gurunya yang juga rakan baik di Sekolah Kebangsaan Jelapang, Langkap, Setiu, hari ini.

Rakanya itu, Mohamed Nawi, 56, tahun bersara pada hari ini selepas berkhidmat sebagai guru kira-kira selama 34 tahun dan kedatangan Menteri Besar itu untuk menghadiri majlis ringkas persaraan itu memang sudah diduganya.

“Saya hanya sms kepadanya, menyatakan saya  akan mengadakan majlis ringkas persaraan saya pada hari ini dan saya juga tahu beliau memang sibuk dengan tugas sebagai Menteri Besar yang baru disandangnya sekarang.

“Tetapi saya yakin dia akan datang kerana saya memang kenal dia, kalau dia kata nak datang dia akan datang dan Alhamdulillah dia memang datang pada hari ini saya rasa begitu gembira,” katanya yang sudah lapan tahun mengajar di sekolah itu.

Kenangan..guru dan pegawai dari PPD bergambar dengan Ahmad Razif.
Mohamed berkata, dia mengenali Ahmad Razif ketika mengajar di Sekolah Menengah Ibrahim Fikri (SIF) dan ketika itu Menteri Besar Terengganu yang baru itu pernah belajar di situ sebelum menyambung pelajaranya ke Sekolah Menengah Sultan Sulaiman.

“Saya mengajar Ahmad Razif ketika dia belajar di Tingkatan tiga, masa itu saya baru menjadi guru dan mengajar di SIF, kemudian selepas itu saya pula mengajar kelas tuisyen miliknya selama beberapa tahun,” katanya yang berasal dari Pontian, Johor itu.

Mohamed berkata, Ahmad Razif adalah seorang yang menepati janji kerana itulah dia yakin bahawa Menteri Besar itu akan datang pada hari persaraannya hari ini.

“Dia memang seorang yang baik, itu yang boleh saya kata, kalau dia kata nak datang dia akan datang kerana itulah saya berani memberitahu kepada guru-guru lain bahawa Menteri Besar Terengganu akan datang ke sekolah saya itu dan dia betul-betul datang.

"Sikap baik YB itu, dengan saya, saya percaya dia sangat menghormati saya dan saya juga sangat-sangat menghormatinya” katanya.

Mohamed berkata, dia berterima kasih kepada Ahmad Razif atas kesudian Menteri Besar itu datang ke majlis persaraannya dan berharap rakan dan anak muridnya itu menjadi seorang pemimpin yang baik untuk memaju dan memakmurkan negeri Terengganu.

 

Kelab Motosikal Besut (BBC) ziarah kanak-kanak malang

Perihatin...beberapa ahli BBC ketika menziarahi Mohd Sharul di Gong Gucil.
Oleh: Mohamad Ishak.

KELAB Motosikal Besut (BBC) meneruskan aktiviti hujung minggunya dengan menziarahi golongan kurang bernasib seperti anak yatim, pesakit kronik dan golongan warga usia emas sambil menyampaikan sumbangan.

Semalam, BBC yang diketuai oleh Presidennya Nik Shamsuddin Sulaiman dengan diiringi beberapa orang ahli menziarahi adik Mohd Sharul Mufid Mohd Azwady, 7 tahun di Kampung Gong Gucil, Besut yang menderita akibat kemalangan jalan raya hujung tahun lalu.

Mohd Sharul Mufid yang lumpuh setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya berhampiran rumahnya terpaksa dirawat selama hampir lima bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kelantan.

Kini dia yang mengalami patah kaki kanan hanya mampu terbaring di kerusi dengan diberikan makanan menerusi tiub kerana mengalami masalah ekoran kecederaan di bahagian kepala dan paru-paru akibat kemalangan tersebut.

Nik Shamsuddin berkata, program ziarah sambil menyampaikan sumbangan itu menjadi acara mingguan BBC sejak ditubuhkan enam tahun lalu berpuluh ribu telah disampaikan kepada golongan sasar terdiri daripada anak-anak yatim, pesakit kronik dan warga usai emas.

“Walaupun hanya mempunyai ahli seramai 30 orang namun dengan inisiatif dan komitmen semua ahli kita mampu memberikan sumbangan termasuk sumbangan kepada masjid di perkampungaan minoriti Islam di Thailand, Myanmar.

Katanya, sumbangan yang disampaikan bukan hanya terbatas di daerah Besut malah melampaui negara-negara Asean dengan menziarahi minoriti Islam dan menderma kepada tabung pembinaan masjid.

“Menerusi sumbangan ini BBC berharap dapat membantu menceriakan kehiduapan anak-anak yatim, pesakit kronik serta meringankan beban keluarga mereka serta sebagai sokongan kepada membina masjid untuk saudara seagama.

“Kita harap lebih banyak kelab dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat memberikan perhatian seterusnya menyumbang kepada golongan yang tidak bernasib baik sekali gus merealisasikan konsep masyarakat penyayang, “katanya.

Sementara itu Nik Shamsuddin berkata, kira-kira 1,000 dari tiga buah negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu bakal mengambil bahagian dalam Bike 2014 berrtempat di Kampung Raja pada 31 Mei ini.

Tambahnya, menerusi himpunan terbesar kalangan pemilik motosikal berkuasa tinggi itu akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Keluarga, Masyarakat dan Wanita negeri, Muhammad Pehimi Yusof.

 

Cuepacs cadang kerajaan perkenal Elaun Bandar

Oleh; Esah Abdullah

 Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan memperkenalkan elaun baharu khas untuk penjawat awam yang tinggal di bandar bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup.

Presidennya, Encik Azih Muda berkata, Elaun Bandar itu yang dicadangkan antara RM400-RM500 sebulan pasti dapat mengurangkan beban kewangan dihadapi penjawat awam, terutama yang tinggal di bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur, Johor Baharu dan Ipoh.

“Sudah sampai masanya untuk kerajaan memperkenalkan elaun ini kerana kita khuatir jika kita tidak bantu mereka, tumpuan terhadap kerja akan terganggu apabila penjawat awam ini memilih untuk melakukan pekerjaan sampingan dalam mendapat pendapatan tambahan.

 “Kita mahu penjawat awam khususnya kumpulan pelaksana di bandar-bandar besar ini tidak terlalu terbeban dengan kos sara hidup yang melampau apabila mereka dapat menikmati elaun itu kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama-sama penjawat awam negeri Terengganu yang dirasmikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Encik Azih berkata Elaun Bandar dicadangkan itu adalah berbeza dengan Elaun Sara Hidup (COLA) kerana ia hanya dikhususkan kepada kira-kira 65 peratus penjawat awam yang tinggal di bandar.

“COLA ini pula, kita harap kerajaan akan buat penyeragaman (kadar COLA) kepada penjawat awam di seluruh negara, bukan seperti yang diamalkan sekarang.

“Ini kerana tiada perbezaan harga yang terlalu banyak di antara lokasi tertentu di seluruh negara, jadi wajarlah jika semua penjawat awam dapat menikmatinya pada kadar yang sama,” katanya.

Perlantikan Pengerusi BP UMNO Negeri: MB serah kepada pucuk pimpinan.

Oleh: Aminudin Ismail.

MB...bergerak satu pasukan.
MENTERI Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman akan menerima apa jua keputusan yang akan dibuat mengenai perlantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baru.

“Kita serahkan keputusan itu di tangan Perdana Menteri, di pihak saya Insya Allah tidak menjadi masalah, kita akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat pucuk pimpinan.

" Dan yang utama sekarang ialah kita bergerak dalam satu pasukan (untuk memperkukuhkan lagi UMNO negeri Terengganu)," katanya di Bandar Permaisuri, Setiu, semalam.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, beliau mahu semua Ketua Bahagian UMNO negeri supaya memainkan peranan dalam memberi penerangan kepada rakyat mengenai beberapa isu yang dimainkan pembangkang ketika ini.

“Jadi hasrat saya, kita mintalah ketua-ketua bahagian memainkan peranan untuk menerangkan kepada rakyat tentang apa keadaan yang berlaku dan menyelesaikan isu-isu yang sedang rancak diperkatakan sekarang seperti isu GST, Cukai Pintu dan sebagainya.

“Jadi saya nampak rakyat sebenarnya perlukan penjelasan dan Ketua Bahagian ini perlu memberi penerangan yang sejelas-jelasnya kepada rakyat supaya rakyat faham keadaan yang sebenar,” katanya.

 

Perlantikan Pegawai Pembangunan Dun akan dibincang- Menteri Besar.

Oleh: Aminudin Ismail.

MENTERI Besar, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerajaan tetap akan membantu beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 lalu dengan perlantikan beberapa Pegawai Perantara yang diumumkan baru-baru ini.

Katanya, ketika ini perlantikan beberapa Pegawai Pembangunan di peringkat Parlimen sudah memadai tetapi sekiranya perlu diwujudkan di peringkat DUN, beliau akan berbincang terlebih dahulu dengan pemimpin tertinggi BN Terengganu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Belum, kita belum membuat keputusan lagi (samada mahu meletakan atau tidak pegawai perantara peringkat DUN), jadi setakat ini, setakat yang ada itu sahaja lah yang kita lantik.

“Kita akan berbincang balik dan kita akan melihat keperluan (perlantikan itu) dan akan membuat keputusan secara berpasukan, nanti ini kita akan bincang balik dengan Exco dan pemimpin tertinggi BN Terengganu,” kata Menteri Besar di Setiu, semalam.

Katanya, beliau akan melihat dari semua sudut keperluan itu supaya kerajaan dapat membantu rakyat di kawasan-kawasan yang kalah dalam PRU lalu.

“Kita akan tengok daripada masa ke semasa atas keperluan, kita hari ini, kita memang nak bantu di kawasan-kawasan yang tidak ada wakil rakyat (BN) terutamanya Kuala Terengganu, jadi kita perlulah seseorang menjadi perantara antara kerajaan dan rakyat.

“Jadi kerana itulah kita wujudkan. Di kawasan Dungun, kita dapati ada seorang sahaja wakil rakyat (BN)di kawasan Dungun dan kita melihat kepada keperluan, kita tambah seorang lagi dan akan dibantu pegawai khas yang sedia ada.

“Di Kuala Nerus, ada tiga Dun yang tiada wakil rakyat kerajaan maka kita wujudkan seorang (Datuk Basir) dan Marang kita belum ada apa-apa perancangan kerana (buat masa ini) kita rasa sudah memadai dengan adanya seorang exco iaitu A.Latiff Awang bersama pegawai-pegawai Khas MB.

 

PBT dan Perbandaran perlu Transformasi- Menteri Besar.

Oleh: Aminudin Ismail. 

Ahmad Razif...contohi dasar  kerajaan pusat.
MENTERI Besar, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Perbandaran bergerak berasaskan transformasi supaya segala permasalah dapat diatasi bagi mempastikan badan yang menjadi nadi utama kerajaan negeri itu ditadbir dengan baik dan berkesan dalam usaha untuk terus memaju dan memakmurkan negeri ini.

Katanya, dengan pertambahan penduduk yang semakin meningkat sekarang ini maka beliau mahu PBT dan Perbandaran bergerak berasaskan kepada transformasi.

“Transformasi yang pertama yang kita akan gerakan ialah menyelesaikan isu-isu dan keperluan-keperluan PBT dan perbandaran yang kita rasa boleh membantu untuk kita mempercepatkan proses tranformasi PBT.

“Jadi saya dah minta supaya YDP (Yang Di Pertua) PBT dan Perbandaran supaya mengenal pasti adakah masalah kekurangan staff, kekurangan perkakasan dan peralatan serta pengangkutan dan sebagainya, jadi kita akan melihatlah atas kekurangan ini.

Tahniah...wakil MBKT menerima piala kemenangan dari Ahmad Razif sambil diperhati Mazlan dan Samiun (kanan).

"Dan kita akan perbaiki dari semasa ke semasa tetapi bergantung kepada implikasi kewangan. Insyallah, pada peringkat-peringkat segala permasaalahan ini akan dapat di selesaikan,” katanya pada sidang akhbar selepas Perasmian Penutup Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Terengganu 2014 di Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, Setiu, malam tadi.

Menurutnya, beliau akan mencontohi dasar kerajaan pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang begitu menitik beratkan soal transformasi.

“Memang sudah menjadi dasar kerajaan pusat dibawah pimpinan Dato' Seri Najib yang menekan soal tranformasi maka negeri Terengganupun kita akan bergerak ke arah itu, jadi kita akan melihat transformasi kita kearah kebaikan.

Tiba...orang ramai menyambut ketibaan Menteri Besar.

Sehubungan itu, katanya, semua kakitangan PBT dan Perbandaran itu perlu bekerja dengan penuh tanggungjawab dan amanah supaya segala permasalahan rakyat dapat diselesaikan.

“Yang pertama kita kenalah mesti menjalankan tugas dengan penuh amanah dan berintergriti sebab kita bekerja untuk membantu rakyat dan masyarakat.

“Jadi kerana itu saya berharap benar supaya semua pekerja dan kakitangan PBT dan Perbandaran kita akan bekerja dengan penuh amanah dan penuh tanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap supaya PBT dan Perbandaran dapat selesaikan segala permasaalahan rakyat dengan baik dan berkesan supaya rakyat akan rasa berpuashati.

“Maka secara automatik keseluruhannya akan meningkat. Ini termasuklah dari segi ekonomi, pembangunan dan sebagainya di negeri kita ini," katanya.

Sementara itu, pada majlis itu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) diumumkan sebagai Johan Keseluruhan Kejohanan sukan yang mempertandingkan 11 jenis acara sukan itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Exco Pelancongan dan Kebudayaan, Dato' Mohd Jidin Shafee, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah dan YDP Majlis Daerah Setiu, Samiun Salleh.

 





24 May 2014

Perhilitan keluarkan seekor gajah liar di Hutan Hulu Setiu, hari ini

PINDAH...beberapa anggota Perhilitan sedang giat melakukan kerja-kerja untuk memindahkan seekor gajah liar berusia 12 tahun yang berjaya ditangkap di hutan berhampiran Kampung Che Long, Hulu Setiu, Ahad lalu.

Kerja-kerja pemindahan yang dibantu dengan mengunakan dua ekor gajah denak daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah Pahang itu bermula kira-kira jam 10 pagi dan berakhir jam 12.30 tengahari.

Difahamkan gajah itu akan dibawa ke dibawa ke sebuah sungai berdekatan terlebih dahulu untuk tujuan rawatan sebelum tindakan selanjutnya iaitu kemungkinan akan dibawa ke Kenyir Elephant Village (KEV) untuk dipelihara dan dilatih di pusat santuari gajah milik kerajaan Negeri Terengganu itu.

Sebelum ini beberapa akhbar melaporkan beberapa pekebun kelapa sawit dan getah di beberapa kampung di Hulu Setiu mengalami kerugian yang banyak akibat ancaman gajah liar itu sejak beberapa tahun lalu.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato' Mohd Jidin Shafee berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk menanggung kos mengalihkan gajah-gajah liar itu ke KEV yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM50,000 seekor.- Aminudin Ismail.

 

100 sertai Pertandingan Memancing Apal Hilir.

GEMBIRA...Juara Pertandingan Memancing Kampung Apal Hilir, Hakim Mohd Daud, dari Kampung Gerai, (lima dari kiri) bergambar kenangan bersama Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar (depan) serta beberapa peserta memancing lain selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu yang diadakan di sebuah tasik di Kampung Apal Hilir, Besut, hari ini.

Jurucakap penganjur, Kamaruzaman Hamat berkata, kira-kira 100 peserta dari beberapa kampung di DUN Jabi menyertai pertandingan itu.

Iskandar menanyakan sesuatu kepada Hakim
"Pemenang pertama ialah Hakim Mohd Daud yang berjaya mendaratkan ikan patong seberat 240 gram manakala kedua ialah Suhaimi Daud dan ketiga ialah Azhar Japri.

"Pertandingan ini adalah yang pertama kali diadakan dan ianya akan dijadikan acara tahunan dan diharap penyertaan peserta akan bertambah pada tahun hadapan," katanya.

Sementara itu, Iskandar berkata, beliau akan berusaha untuk menjadikan kawasan memancing itu sebagai taman reakrasi dengan mempertingkatkan prasarana iaitu dengan membina beberapa kemudahan antaranya ialah wakaf rehat, trek joging dan beberapa kemudahan lain.

Sehubungan itu, untuk menjayakan hasratnya itu, beliau mahu penduduk Kampung Apal Hilir terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional supaya segala apa yang dirancang itu akan dapat dapat dilaksanakan.

Turut hadir pada program anjuran KRT Kampung Apal Hilir itu ialah Pegawai Jabatan Perpaduan Negara Daerah Besut. Nor Almizan Mahmod-Aminudin Ismail.
Seorang pemenang menerima hadiah kipas angin.
Urusetia bergambar kenangan bersama Iskandar.

Almizan sampai hadiah cabutan bertuah.

Antara peserta pertandingan.

Peserta cilik turut menang hadiah.