Halaman

25 May 2014

Cuepacs cadang kerajaan perkenal Elaun Bandar

Oleh; Esah Abdullah

 Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan memperkenalkan elaun baharu khas untuk penjawat awam yang tinggal di bandar bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup.

Presidennya, Encik Azih Muda berkata, Elaun Bandar itu yang dicadangkan antara RM400-RM500 sebulan pasti dapat mengurangkan beban kewangan dihadapi penjawat awam, terutama yang tinggal di bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur, Johor Baharu dan Ipoh.

“Sudah sampai masanya untuk kerajaan memperkenalkan elaun ini kerana kita khuatir jika kita tidak bantu mereka, tumpuan terhadap kerja akan terganggu apabila penjawat awam ini memilih untuk melakukan pekerjaan sampingan dalam mendapat pendapatan tambahan.

 “Kita mahu penjawat awam khususnya kumpulan pelaksana di bandar-bandar besar ini tidak terlalu terbeban dengan kos sara hidup yang melampau apabila mereka dapat menikmati elaun itu kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama-sama penjawat awam negeri Terengganu yang dirasmikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Encik Azih berkata Elaun Bandar dicadangkan itu adalah berbeza dengan Elaun Sara Hidup (COLA) kerana ia hanya dikhususkan kepada kira-kira 65 peratus penjawat awam yang tinggal di bandar.

“COLA ini pula, kita harap kerajaan akan buat penyeragaman (kadar COLA) kepada penjawat awam di seluruh negara, bukan seperti yang diamalkan sekarang.

“Ini kerana tiada perbezaan harga yang terlalu banyak di antara lokasi tertentu di seluruh negara, jadi wajarlah jika semua penjawat awam dapat menikmatinya pada kadar yang sama,” katanya.