Mohamed bersama Ahmad Razif. |
SEKALIPUN sibuk dengan tugas baru sebagai Menteri Besar Terengganu namun Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman sempat meluangkan masa kira-kira sejam meraikan majlis persaraan bekas gurunya yang juga rakan baik di Sekolah Kebangsaan Jelapang, Langkap, Setiu, hari ini.
Rakanya itu, Mohamed Nawi, 56, tahun bersara pada hari ini selepas berkhidmat sebagai guru kira-kira selama 34 tahun dan kedatangan Menteri Besar itu untuk menghadiri majlis ringkas persaraan itu memang sudah diduganya.
“Saya hanya sms kepadanya, menyatakan saya akan mengadakan majlis ringkas persaraan saya pada hari ini dan saya juga tahu beliau memang sibuk dengan tugas sebagai Menteri Besar yang baru disandangnya sekarang.
“Tetapi saya yakin dia akan datang kerana saya memang kenal dia, kalau dia kata nak datang dia akan datang dan Alhamdulillah dia memang datang pada hari ini saya rasa begitu gembira,” katanya yang sudah lapan tahun mengajar di sekolah itu.
Kenangan..guru dan pegawai dari PPD bergambar dengan Ahmad Razif. |
“Saya mengajar Ahmad Razif ketika dia belajar di Tingkatan tiga, masa itu saya baru menjadi guru dan mengajar di SIF, kemudian selepas itu saya pula mengajar kelas tuisyen miliknya selama beberapa tahun,” katanya yang berasal dari Pontian, Johor itu.
Mohamed berkata, Ahmad Razif adalah seorang yang menepati janji kerana itulah dia yakin bahawa Menteri Besar itu akan datang pada hari persaraannya hari ini.
“Dia memang seorang yang baik, itu yang boleh saya kata, kalau dia kata nak datang dia akan datang kerana itulah saya berani memberitahu kepada guru-guru lain bahawa Menteri Besar Terengganu akan datang ke sekolah saya itu dan dia betul-betul datang.
"Sikap baik YB itu, dengan saya, saya percaya dia sangat menghormati saya dan saya juga sangat-sangat menghormatinya” katanya.
Mohamed berkata, dia berterima kasih kepada Ahmad Razif atas kesudian Menteri Besar itu datang ke majlis persaraannya dan berharap rakan dan anak muridnya itu menjadi seorang pemimpin yang baik untuk memaju dan memakmurkan negeri Terengganu.