Halaman

25 May 2014

PBT dan Perbandaran perlu Transformasi- Menteri Besar.

Oleh: Aminudin Ismail. 

Ahmad Razif...contohi dasar  kerajaan pusat.
MENTERI Besar, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Perbandaran bergerak berasaskan transformasi supaya segala permasalah dapat diatasi bagi mempastikan badan yang menjadi nadi utama kerajaan negeri itu ditadbir dengan baik dan berkesan dalam usaha untuk terus memaju dan memakmurkan negeri ini.

Katanya, dengan pertambahan penduduk yang semakin meningkat sekarang ini maka beliau mahu PBT dan Perbandaran bergerak berasaskan kepada transformasi.

“Transformasi yang pertama yang kita akan gerakan ialah menyelesaikan isu-isu dan keperluan-keperluan PBT dan perbandaran yang kita rasa boleh membantu untuk kita mempercepatkan proses tranformasi PBT.

“Jadi saya dah minta supaya YDP (Yang Di Pertua) PBT dan Perbandaran supaya mengenal pasti adakah masalah kekurangan staff, kekurangan perkakasan dan peralatan serta pengangkutan dan sebagainya, jadi kita akan melihatlah atas kekurangan ini.

Tahniah...wakil MBKT menerima piala kemenangan dari Ahmad Razif sambil diperhati Mazlan dan Samiun (kanan).

"Dan kita akan perbaiki dari semasa ke semasa tetapi bergantung kepada implikasi kewangan. Insyallah, pada peringkat-peringkat segala permasaalahan ini akan dapat di selesaikan,” katanya pada sidang akhbar selepas Perasmian Penutup Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Terengganu 2014 di Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, Setiu, malam tadi.

Menurutnya, beliau akan mencontohi dasar kerajaan pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang begitu menitik beratkan soal transformasi.

“Memang sudah menjadi dasar kerajaan pusat dibawah pimpinan Dato' Seri Najib yang menekan soal tranformasi maka negeri Terengganupun kita akan bergerak ke arah itu, jadi kita akan melihat transformasi kita kearah kebaikan.

Tiba...orang ramai menyambut ketibaan Menteri Besar.

Sehubungan itu, katanya, semua kakitangan PBT dan Perbandaran itu perlu bekerja dengan penuh tanggungjawab dan amanah supaya segala permasalahan rakyat dapat diselesaikan.

“Yang pertama kita kenalah mesti menjalankan tugas dengan penuh amanah dan berintergriti sebab kita bekerja untuk membantu rakyat dan masyarakat.

“Jadi kerana itu saya berharap benar supaya semua pekerja dan kakitangan PBT dan Perbandaran kita akan bekerja dengan penuh amanah dan penuh tanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap supaya PBT dan Perbandaran dapat selesaikan segala permasaalahan rakyat dengan baik dan berkesan supaya rakyat akan rasa berpuashati.

“Maka secara automatik keseluruhannya akan meningkat. Ini termasuklah dari segi ekonomi, pembangunan dan sebagainya di negeri kita ini," katanya.

Sementara itu, pada majlis itu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) diumumkan sebagai Johan Keseluruhan Kejohanan sukan yang mempertandingkan 11 jenis acara sukan itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Exco Pelancongan dan Kebudayaan, Dato' Mohd Jidin Shafee, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah dan YDP Majlis Daerah Setiu, Samiun Salleh.