Halaman

26 May 2014

263 bakal mahasiswa terima pendahuluan PTPTN.


Terima...Pehimi menyampaikan wang pendahuluan PTPTN kepada seorang bakal mahasiswi sambil diperhati Rasol (dua dari kiri)
Oleh: Mohammad Ishak.

KEGEMBIRAAN jelas terbayang di wajah bakal mahasiswa daerah Besut apabila permohonan mereka mendapatkan pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), untuk melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi tempatan mendapat kelulusan pihak terbabit.

Pemohon sebahagian besar mereka daripada anak petani dan nelayan menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang menyediakan kemudahan pinjaman menerusi PTPTN dan membolehkan mereka mengurus kemasukan ke pusat pengajian tinggi pilihan masing-masing.

“Tanpa kemudahan menerusi PTPTN sudah tentu saya tidak dapat meneruskan pengajian kerana keluarga tidak mampu menyediakan peruntukan untuk pembelajaran,” kata pelajar Mohd Daud Abdullah,25, dari Kampung Raja.

Majlis penyampaian Wang Pendahuluan Pembayaran (WPP) dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita,Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Muhamad Pehimi Yusof.

Pada majlis itu seramai 263 bakal mahasiswa mewakili pelbagai universiti tempatan menerima wang berkenaan pada majlis yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB), Gong Kemuntong, Jertih, semalam.

Hadir sama Pegawai Tugas-Tugas Khas, Menteri Pendidikan II, Dato’ Rasol Wahid. Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih ketika berucap pada majlis itu mahu pelajar memanfaatkan wang yang disediakan untuk kepentingan pendidikan dan tidak menyalahgunakan sumber kewangan berkenaan.

Katanya, PTPTN walaupun dibantah keras oleh pihak pembangkang tetapi ia sebenarnya satu program yang memberi faedah besar kepada bakal mahasiswa kerana ia satu-satunya agensi yang menyediakan pinjaman pembelajaraan yang terbaik.

“Sebab itu kerajaan tidak menghapuskan PTPTN walaupun ada pihak cuba membangkit isu berkenaan malah ia wajar dikekakkan kerana ia untuk kemudahan pelajar miskin,” katanya.