Halaman

26 May 2014

MENTERI BESAR, DATO' HJ AHMAD RAZIF: 'TAHNIAH KEPADA ATLET DAN KONTINJEN SUKMA DI PERLIS ATAS KEJAYAAN TANGGA TERATAS SEHINGGA INI

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Hj Ahmad Razif Abd Rahman  melahirkan rasa sukacitanya dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada atlet SUKMA Terengganu di atas kejayaan sehingga ini, Terengganu mendahului di tangga teratas dengan kedudukan terkini 10  pingat emas, 4 perak dan 3 gangsa (sehingga pagi ini 26 Mei).
Juga tahniah kepada Ketua Kontinjen, YB Mahadi Musa (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri) merangkap Adun Kota Putera dan seluruh pegawai dan petugas serta bapa-bapa angkat setiap acara terdiri dari Ahli-ahli YB Terengganu dan Ketua-ketua Jabatan.
Katanya, kejayaan itu sebenarnya adalah hasil dari kerja sama dan kerja sepasukan dari seluruh jentera kerajaan dan rakyat negeri Terengganu.
“Marilah kita  bekerja bersama-sama dan secara berpasukan dalam satu pasukan, itulah pendekatan saya untuk rakyat dan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas melalui Unit Komunikasi Negeri Terengganu.
Sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju  menambah insentif kemenangan kepada setiap pemenang  pingat emas dan perak  di Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014 bermula 24 Mei lalu.
Setiap pingat emas akan memperolehi RM6,000 dan perak RM5,000, masing-masing bertambah RM1,000 berbanding imbuhan yang disediakan kepada pemenang pingat itu pada tahun sebelumnya. Sementara setiap pingat gangsa kekal RM2,000 seorang.


Dato’ Ahmad Razif berkata, kenaikan insentif kemenangan itu sebagai menyuntik semangat atlet supaya  mencapai sasaran Kontinjen Terengganu memperolehi 53 emas, 45 perak dan 51 gangsa.
Beliau dijangka menemui pegawai dan atlet Terengganu di Perlis pada 28 Mei 2014 dan makan malam bersama serta menyampaikan amanat serta member semangat dan dorongan untuk terus berjuang.
Terengganu amat berhasrat untuk menjuarai SUKMA kali ini.