Halaman

19 August 2010

Piala Malaysia: Terengganu Anggap Semua Pasukan Hebat

KUALA TERENGGANU, 18 Ogos (Bernama) -- Terengganu menganggap semua pasukan yang bertanding pada kejohanan Piala Malaysia musim ini yang bermula 14 Sept ini sebagai seimbang dan tidak ada pasukan pilihan.

Naib Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata ini kerana kekuatan sebenar pasukan-pasukan itu sukar dibaca dan diramal.

Sheikh Tajudin, yang juga pengurus pasukan Terengganu, berkata kejohanan musim ini dijangka lebih menarik dan sengit dengan kehadiran beberapa pasukan baru.

Beliau berkata bagi Terengganu, yang menduduki tangga ke tiga Liga Super musim ini, pasukan itu akan turun dengan kekuatan pemain sedia ada.

Katanya walaupun Terengganu akan kehilangan pakar tendangan bebas, Zairo Anuar Zalani yang berehat panjang kerana menjalani pembedahan lutut, pasukan itu tetap utuh dan hebat.

Sheikh Tajudin berkata ketua pasukan Marzuki Yusof, dan beberapa pemain yang cedera seperti Tengku Hasbullah Raja Hasan, Helmi Remeli dan Muhaimin Omar bagaimanapun sudah pulih dan bersedia diturunkan.

-- BERNAMA

Menteri Besar dan Isteri Melawat Mangsa Simbahan Asid

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said begitu sedih melihat keadaan Nurul Dahyatul Fazlinda yang cedera teruk di muka selepas disimbah asid oleh bapanya sendiri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud meluang masa melawat mangsa simbahan asid di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, hari ini (16 Ogos).

Dato’ Ahmad yang tidak dapat menahan kesedihan melihat keadaan semua mangsa, berkata beliau amat kesal dengan apa yang berlaku dan menyifatkan haiwan lebih mulia kerana sayangkan anak.

Katanya, peristiwa ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya seseorang individu itu mempunyai akal dan berfikiran waras.



Beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan membantu mangsa dengan mendapatkan rawatan sebaik mungkin dan menyediakan keperluan yang diperlukan bagi meringankan beban mereka.

“Diharapkan pihak berkuasa menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada suspek yang sememangnya tidak mempunyai hati perut dan sifat berperikemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, Che Ku Zaimah Che Awang, 28, mangsa simbahan asid oleh suaminya dalam kejadian amuk di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, kira-kira jam 1.45 pagi pada 15 Ogos lalu berkata dia tidak akan maafkan suaminya (Mat Haizan Mat Yasin, 32) sampai bila-bila.

“Tindakannya menyimbah asid ke muka saya dan anak-anak akan kami kenang hingga akhir hayat. Kejadian itu membuatkan kedua-dua anak saya, Nurul Dahyatul Fazlinda dan Muhammad Irfan Firdaus dalam keadaan trauma. Mereka menangis setiap kali mengenangkan peristiwa itu,” katanya.

Dalam kejadian itu, Che Ku Zaimah melecur di muka, belakang badan dan sebahagian leher manakala anak kedua dan anak bongsunya melecur di muka dan badan. Ibu Che Ku Zaimah, Minah Omar, 56, cedera di mata sebelah kiri, akibat terkena asid yang dicurah suaminya.

Che Ku Zaimah berkata, dia sudah menjangka kejadian itu akan berlaku kerana pernah menerima Sistem Pesanan Ringkas (SMS) daripada suami yang mengugut akan menyimbah asid jika permintaannya tidak ditunaikan.



Katanya, ketika dia dan anak-anak sedang tidur, terdengar ketukan kuat pada pintu bilik serta teriakan suami yang inginkan duit RM30 sambil memintanya segera keluar.

“Saya tidak mengendahkan teriakan itu, kerana bimbangkan keselamatan anak-anak yang sedang tidur. Tetapi, tidak lama selepas itu saya akur dan keluar bertanyakan suami mengapa bertindak demikian.

“Pada masa sama, saya terlihat satu beg berisi air berwarna hitam yang dipegang suami, apabila teringat SMS yang dihantar, saya terus mencapai beg plastik berkenaan sebelum kandungan terpercik pada muka dan badan kedua-dua anak kami yang ketika itu berada disisi saya,” katanya.

Menurutnya, ketika bergelut, dia tidak sedar dirinya turut melecur sebelum terasa pedih di anggota badan yang terkena asid.

“Ketika itu juga, Nurul dan Irfan meraung dan menggelupur kesakitan sebelum kami berempat dikejarkan saudara ke hospital berdekatan,” katanya.

TEGANUKITA

17 August 2010

Sampaikan Transformasi Kerajaan, Ekonomi dan RMK10 Kepada Rakyat

Oleh: Ruslan Abdul Rahman dan Aida Abd Rahman


Dato' Seri Hishammudin menyampaikan cek RM2000 kepada wakil sekolah untuk akaun Tabung Haji kepada 1000 orang pelajar Sekolah Menengah Seri Nilam sambil diperhatikan Dato' Seri Ahmad Said di Majlis Berbuka Puasa di Dun Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu.

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein berharap program tranformasi kerajaan, transformasi ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) merupakan perkara asas yang perlu disampaikan ke pengetahuan rakyat supaya difahami apa yang sedang kerajaan jalankan untuk rakyat dan negara.

Pada masa yang sama katanya di peringkat parti pemerintah Umno dan Barisan Nasional (BN) juga telah dilakukan transformasi, termasuk beberapa pindaan perlembagaan yang telah dilaksanakan.

“Semua ini adalah perkara-perkara penting yang kita bincangkan untuk disampaikan kepada rakyat ke arah persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti,” kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu itu di sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat badan itu, di Bangunan Umno Negeri Terengganu, petang semalam (15 Ogos).

Program transformasi kerajaan termasuklah membanteras jenayah, rasuah, mencemerlangkan pendidikan, taraf hidup rakyat, tumpuan kepada prasarana dan pengangkutan awam, manakala tranformasi ekonomi ialah dengan memperkenalkan Model Baru Ekonomi.

Manakala RMK10 (2011-2015) diperuntukkan sebanyak RM230 ribu juta untuk mencarta perjalanan pembangunan negara ke arah mencapai Wawasan 2020.

Dato’ Seri Hishamuddin menyatakan, sememangnya ada usaha-usaha pembangkang melontarkan pelbagai isu tetapi rata-rata rakyat tetap rapat dengan kerajaan dan parti yang memerintah negara sekarang, terutamanya di peringkat akar umbi.


Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kawasan menyambut ketibaan Dato' Seri Hishamuddin di Majlis Berbuka Puasa di Sekolah Menengah Sri Nilam Dun Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu.

Apa yang penting ialah perkhidmatan wakil rakyat BN agar dipastikan benar-benar menjadi wakil rakyat yang berkesan, katanya.

Turut bersama dalam sidang akhbar tersebut Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek (Ketua Penerangan).

Sementara itu, di majlis berbuka puasa bersama kakitangan kerajaan dan penduduk setempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam, pada sebelah petangnya, Dato’ Seri Hishamuddin meminta semua pemimpin supaya mengukuhkan semangat persahabatan kerana sikap itu akan menentukan jatuh bangunnnya setiap kelompok masyarakat termasuk dalam politik.

Katanya, semangat persahabatan itu mampu membawa makna tersendiri dalam dunia kini yang penuh cabaran dan ianya menguji kita sama ada mampu untuk sama-sama berjuang membawa pembangunan yang tiada sempadannya.

Di majlis itu, Dato’ Seri Hishamuddin diiringi Menteri Besar dan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh menyampaikan Dana Hari Raya kepada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung di Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam serta penyerahan akaun Tabung Haji mengandungi RM1,000 setiap seorang kepada 1,000 pelajar SMK Seri Nilam.

TEGANUKITA

16 August 2010

MB menemui penduduk Kijal sempena Ramadhan

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Dato' Seri Ahmad Said menyampaikan bantuan zakat kepada fakir miskin di Dewan Sivik Kijal Kemaman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menyambut kehadiran bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said tidak lupa menemui penduduk dalam kawasan yang diwakilinya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.


Menteri Besar Terengganu berjumpa dengan peniaga bazar Ramadan di Pekan Kijal.

Petang Sabtu lalu (14 Ogos) beliau telah menemui warga emas, pesakit kronik dan ramai lagi yang seumpamanya berjumlah 744 orang dengan mengagihkan bantuan zakat bertempat di Dewan Sivik, Kijal, Kemaman.

Beliau sebagaimana biasa menyampaikan sendiri bantuan itu kepada setiap penerima tanpa berasa penat kerana yang penting baginya ialah dapat bersalaman dengan golongan berkenaan, sambil bertanya khabar.


To' Puan Seri Norliza turut bersama mengagihkan zakat kepada warga fakir miskin.

Pada kali ini zakat yang disampaikan itu antara RM200 hingga RM350 seorang melibatkan jumlah keseluruhannya RM260,400.

Para penerima zakat di DUN berkenaan melahirkan rasa syukur dan sukacita di atas kehadiran Menteri Besar sendiri menyampaikan wang zakat itu bagi dibelanjakan oleh mereka di bulan Ramadhan.


Dato' Seri Ahmad meluangkan masa melawat bazar ramadan Pekan Kijal dan menyerahkan apron kepada peniaga sempena Semarak Ramadan anjuran Berita Harian.

Selepas itu, Dato’ Seri Ahmad mengadakan lawatan ke Bazar Ramadhan Pekan Kijal bagi melihat sendiri perjalanan urus-niaga di situ sambil bertanya khabar kepada para peniaga.

Bagi memastikan kebersihan diutamakan oleh peniaga, beliau sendiri menyerahkan Apron kepada peniaga.


Tiga menerima wang zakat gembira dan mengharapkan raya tahun ini lebih bermakna buat mereka.

Bagi Dato’ Seri Ahmad, Pekan Kijal itu begitu meruntun hatinya penuh dengan nostalgia kerana beliau dilahir dan dibesarkan di situ.

Beliau kemudiannya menghadiri majlis berbuka puasa bersama penduduk di Kampung Batu 9, Kijal dan kemudiannya menunaikan solat bersama-sama.


TEGANUKITA

MB TURUN PADANG JUMPA GURU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Dato Seri Ahmad Said menunjukkan `pendrive' yang ditempah khas oleh Kerajaan Negeri yang akan diberikan kepada seluruh guru di negeri Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Sebagai langkah memberi suntikan semangat berganda kepada guru-guru, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said turun padang menemui sendiri guru-guru.

Sabtu lepas (14 Ogos) beliau telah mengadakan perjumpaan dengan guru-guru di daerah Dungun yang diadakan di Sekolah Menengah Seri Paka. Hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Datuk Zaabar Mohd.Adib.


Sebahagian guru dari daerah Dungun mengambil kesempatan bersalaman dengan Menteri Besar Terengganu.

Dalam perjumpaan itu beliau melahirkan hasrat agar guru-guru menjalankan tugas dengan penuh komited bagi memastikan Terengganu terus-menerus melahirkan pelajar yang cemerlang.

Katanya, kerajaan negeri sanggup berbelanja besar di bidang pendidikan dengan harapan melahirkan anak Terengganu yang cemerlang dan muncul sebagai professional dalam pelbagai bidang, termasuklah menghantar pelajar ke luar negara.


Menteri Besar menyampaikan cenderahati kepada guru-guru terbabit.

Beliau memberitahu, sasaran kerajaan negeri sekurang-kurangnya 150 pelajar anak Terengganu dapat menyambung pelajar ke luar negara setiap tahun dalam pelbagai bidang profesional.

“Misalnya untuk membiayai pelajar Terengganu di Mesir sahaja, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM16 juta setahun,” katanya.


Guru gembira selepas Kerajaan Negeri mengambil cakna pengorbanan mereka dan balasannya masing-masing menerima cenderahati berbentuk pendrive.

Sebagai galakan juga katanya, pada tahun lalu (2009) kerjaaan negeri memberikan hadiah RM5,000 kepada mana-mana pelajar anak Terengganu yang mendapat ijazah kelas pertama di universiti tempatan.


TEGANUKITA

RM1,000 Untuk 1,835 Pelajar Tingkatan Enam

Oleh: Wan Haironniza Wan Naim

Seramai 1,835 pelajar Tingkatan Enam di negeri ini yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) seluruh Terengganu tahun ini menerima bantuan RM1,000.

Bantuan yang disalurkan melalui Yayasan Terengganu itu diperkenalkan oleh kerajaan negeri sejak 2008 bagi tujuan meringankan beban pelajar tingkatan enam yang tidak menerima sebarang bantuan biasiswa pendidikan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said sendiri telah menyampaikan bantuan itu dalam satu majlis yang diadakan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (10 Ogos).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman.

Dato’ Seri Ahmad ketika berucap di majlis itu menasihati pelajar supaya menggunakan bantuan itu bagi tujuan yang bermanfaat, khususnya untuk tujuan pembelajaran mereka.

Beliau juga meminta pelajar tingkatan enam yang bakal menduduki peperiksaan STPM dalam tempoh tiga bulan lagi supaya menumpu perhatian bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dalam peperiksaan tersebut.

“Berkorbanlah dalam tempoh tiga bulan ini untuk kesenangan masa depan para pelajar sekalian sehingga 40 tahun yang akan datang selagi hayat dikandung badan,” katanya.

TEGANUKITA

Solat Terawih Bersama Imam Dari Timur Tengah

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Seramai 31 imam dari Timur Tengah ditempatkan di masjid seluruh Terengganu bagi memimpin solat terawih sepanjang Ramadan ini.

Daripada jumlah itu, tujuh imam didatangkan dari Makkah, tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) kira-kira jam 8.40 malam, Jumaat lalu (13 Ogos).

Mereka disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Penolong Pesuruhjaya (Imam Besar), Encik Aizi Saidi dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Manakala Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Encik Khazan Che Mat dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama, Dato’ Haji Shaikh turut meraikan mereka di Majlis Suai Kenal yang diadakan di Ri-Yaz Pulau Duyung, Kuala Terengganu pada malam yang sama

Encik Aizi berkata, seramai 10 imam Makkah dijemput kerajaan negeri ini pada Ramadan tahun ini, tujuh daripada mereka sudah tiba manakala selebihnya dijangka tiba dalam masa terdekat.

Mereka ditempatkan di masjid utama seperti Masjid Abidin, Masjid al-Muktafibillah, Masjid Tengku Zaharah, Masjid Wakaf Tembesu dan Masjid Kristal..

“Pihaknya berbangga kerana 21 imam berasal dari Mesir dan sudah lama bertugas di negeri ini bersetuju mengimankan solat terawih di daerah tempat mereka bertugas.

“Program membawa imam dari Arab Saudi dan Mesir yang dimulakan tahun lalu, akan diteruskan setiap kali menjelang Ramadan kerana ia mendapat sambutan menggalakkan daripada jemaah selain dapat mengimarahkan lagi masjid,” katanya

Umat Islam sewajarnya merebut peluang ini, kerana ia dapat menambahkan lagi ilmu khususnya berkaitan bacaan mengikut tajwid sebenar.

TEGANUKITA

11 August 2010

Pendidik Pewaris Tugas Rasul

Oleh: Esah Abdullah

Warga pendidik dipandang tinggi di sisi masyarakat dan agama kerana mereka adalah pewaris tugas-tugas Rasulullah saw di dalam membimbing manusia ke jalan yang benar, mencetus mobiliti sosial sesebuah masyarakat dan membentuk tamadun manusia menerusi pendidikan serta penyebaran ilmu pengetahuan.

“Adalah jelas bahawa pengurus pendidikan mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar kepada negara,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2009 Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI) Kuala Terengganu petang semalam (10 Ogos).

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong.

Katanya, peranan ini perlu sentiasa ditambah baik menerusi penonjolan tahap perkhidmatan yang cemerlang dan menjangkau ekspektasi agar matlamat melahirkan modal insan yang berkualiti dapat dicapai.

“Sebagai pengurus pendidikan, warga JPN perlu mengambil sikap proaktif dan sentiasa bersedia untuk menangani perubahan dengan merangka strategi dan menggembleng pelaksanaan yang sesuai dan berkesan dengan keperluan semasa,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad kemudiannya menyeru agar dasar yang dirangka serta prinsip yang menjadi pegangan dapat dilaksanakan dan dikaji kesesuaian dari masa ke semasa supaya sentiasa relevan dengan matlamat membina negara bangsa dan menghasilkan sumber manusia yang berkualiti dan bertaraf dunia.

“Saya percaya, rakyat mahukan perkhidmatan yang berkualiti dan meletakkan harapan yang tinggi kepada warga pendidik untuk mendidik dan memimpin anak-anak mereka menjadi manusia berguna,” katanya.

Katanya, sebagai penjawat awam, harus menyulam diri dengan nilai-nilai murni yang mendasari kecemerlangan prestasi ini termasuklah nilai integriti dan profesional dalam menyampaikan perkhidmatan yang telus dan bersih.

“Carilah redha Ilahi di dalam kerja kita, semoga akal budi, integriti dan profesional mendapat restu di samping memberi kesan positif seperti yang diharapkan serta keyakinan rakyat akan meningkat,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad melahirkan keyakinannya, segala matlamat dan dasar serta program yang dirangka berjaya dicapai sekiranya semua komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan serta sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti perkhidmatan tanpa mengharapkan habuan.

Menteri Besar kemudiannya menyampaikan APC berupa sijil penghargaan kepada 1,878 warga pendidik dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) serta kakitangan JPN dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) seluruh negeri.

TEGANUKITA

10 August 2010

Pakar jantung anak tempatan

Oleh: Esah Abdullah

Institut Jantung Terengganu (IJT) akan diterajui oleh seorang doktor pakar anak tempatan yang akan pulang berkhidmat ke negeri ini apabila IJT berkenaan mula beroperasi kelak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata doktor berkenaan dikagumi ramai kerana mampu melakukan kaedah pembedahan tanpa perlu menghentikan jantung.

“Beliau satu-satunya doktor pakar di negara ini yang tidak membuat pembedahan pesakit jantung melalui dada sebaliknya pembedahan melalui rusuk serta menjahit ketika jantung berdenyut,” katanya.

“Setakat ini saya tidak boleh mendedahkan identiti pakar berkenaan, tunggulah sehingga IJT memulakan operasinya,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (Pas – Rhu Rendang) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman (9 Ogos).

Katanya, doktor berkenaan akan kita lantik sebagai Pengarah Urusan (MD) di IJT yang terletak di Kijal, Kemaman dan buat masa ini beliau turut memberi khidmatnya di sebuah klinik pakar milik kerajaan negeri di Kuala Lumpur.

“Walaupun memiliki IJT sendiri berkonsepkan perniagaan, namun kerajaan akan tetap meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama membantu pesakit kronik di negeri ini mendapatkan rawatan terbaik,” katanya.

Katanya, seperti Institut Jantung Negara (IJN), IJT juga akan menggunakan kaedah yang sama iaitu membantu meringankan beban rakyat dimana mereka yang berkemampuan akan dikenakan bayaran penuh dan bagi yang tidak mampu diberi kelonggaran 50-50 dan seterusnya ditanggung penuh oleh kerajaan bagi mereka yang benar-benar tidak mampu.

Ketika menjawab soalan tambahan daripada wakil Pas Manir, Dato’ Harun Taib yang ingin tahu kenapa memilih Kijal untuk membina IJT, Dato’ Seri Ahmad menjelaskan perkara itu hanya kebetulan dan bukan kerana beliau orang Kemaman.

“Premis ini yang asalnya sebuah resort dibeli dengan harga lebih murah iaitu RM25 juta daripada harga asal RM60 juta dan lokasinya sangat menarik, tepi pantai dan berdekatan tasik di Kijal,” katanya.

Katanya, kerja-kerja mengubah suai bangunan berkenaan akan dimulakan tidak lama lagi dan bila siap dan beroperasi ia dijangka dapat memberi manfaat besar kepada orang-orang di sebelah Pantai Timur kerana tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan jantung.

TEGANUKITA

Masalah kemasukan peserta Felda diatasi

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri bersetuju menyediakan kertas cadangan kepada pengurusan Felda bagi menyelesaikan masalah berhubung kemasukan peserta baru sebagai peneroka di tanah yang dimajukan perbadanan itu.

“Cadangan baru ini ialah meminta Felda membuat bayaran kepada 3,700 keluarga miskin dan termiskin di negeri ini dengan kadar RM1,000 sebulan,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said ketika menjawab soalan Haji Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini (9 Ogos).

Beliau berkata, kertas cadangan tersebut adalah tambahan kepada dua cadangan terdahulu iaitu memasukkan peneroka baru dan kedua meminta Felda membayar 30 peratus kepada kerajaan negeri daripada pendapatan tanah yang dimajukan untuk diagihkan kepada golongan miskin.

Kerajaan negeri menyerahkan 15,200 hektar tanah kepada Felda sambil mengharapkan Felda akan memasukkan peneroka kerana kerajaan negeri berhasrat mengurangkan kadar kemiskinan golongan petani dan nelayan.

Namun begitu, pada 1 Januari 1986 Felda telah mengubah dasarnya dan tidak lagi memasukkan peserta di atas tanah yang diusahakan dan sejak itu sudah dua kali kerajaan negeri menolak pemberian bayaran daripada pihak Felda ketika Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi Menteri Besar dan kemudiannya Dato’ Seri Idris Jusoh.

“Kerajaan percaya dengan 15,200 hektar tanah yang dibangunkan Felda dapat menempatkan 3,700 keluarga miskin dengan kadar empat hektar bagi setiap peneroka, dengan ini kita dapat mengurangkan lebih 50 peratus masalah kemiskinan kalangan masyarakat,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad memaklumkan dua bulan lalu telah menemui Perdana Menteri bagi menyatakan hasrat kerajaan negeri berkait dengan masalah yang tidak ada penyelesaiannya ini dan mendapat reaksi positif daripada Dato’ Seri Mohd Najib.

“Satu perjumpaan sedang diatur untuk bertemu dengan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohamad Yusof Noor bagi mencari penyelesaian,” katanya.

Menurut Dato’ Seri Ahmad, sehingga ini Terengganu mempunyai 5,500 keluarga miskin dan termiskin yang perlu dibantu untuk mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan sebab itu kerajaan masih mempertahankan konsep untuk memasukkan peneroka.

“JIka 3,700 orang dapat dimasukkan ke dalam tanah rancangan atau diberi elaun bulanan RM1,000, baki 1,800 keluarga miskin akan diserapkan kedalam pelbagai program yang dijalankan oleh kerajaan pasti usaha mengurangkan kadar kemiskinan dapat dicapai,” katanya.

Katanya, hanya Terengganu satu-satunya negeri yang tidak menerima bayaran daripada Felda apabila agensi itu mengubah dasarnya lebih 20 tahun lalu manakala negeri lain semuanya menerima bayaran ini kerana kerajaan negeri masih menjalankan rundingan dengan pihak Felda.

TEGANUKITA