Halaman

01 May 2013

Pulangkan DUN Sura kepada BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pemimpin masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura meminta agar pengundi di kawasan berkenaan memulangkan semula DUN tersebut kepada Barisan Nasional (BN) bagi meneruskan lagi agenda kebajikan kepada penduduk.

Mereka berpendapat amat rugi jika kawasan itu terus dikuasai parti pembangkang kerana ia kini semakin ketinggalan berbanding dengan DUN lain yang berada dalam Parlimen Dungun.

 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sura Utara, Che Harun Che Ismail, berkata walaupun DUN Sura diterajui oleh pemimpin Pas, BN yang lebih banyak bertindak melaksanakan kebajikan kepada penduduk di kawasan itu.

Menurut beliau, Pengerusi Pembangunan DUN Sura, Datuk Rosli Mat Hasan yang diberi amanah menerajui DUN berkenaan berikutan kekalahan calon BN pada pilihan raya 2008 menggalas banyak permintaan penduduk, terutama golongan miskin di kawasan itu.

“Biarun kalah, sepanjang empat tahun rakyat DUN Sura mendapat hasil limpahan kebajikan sama dengan kawasan lain yang dipimpin BN.

 “BN melaksanakan pembangunan bagi menjaga golongan miskin, remaja dan orang kurang upaya (OKU), bantuan persekolahan, atap biru, baiki rumah dan sebagainya.

 “Pemimpin BN bukan bercakap bohong, tetapi mereka menunaikan apa yang telah dijanjikan kepada rakyat,” katanya.

Seorang penduduk, Wan Soriaty Wan Sharif, 53, mengakui penduduk di DUN Sura banyak mendapat limpahan kebajikan biarpun di kawasan itu ditadbir wakil rakyat pembangkang.

 “Saya akui banyak rakyat menerima manfaatnya dan ramai penduduk di kubu kuat Pas seperti di Padang Jambu, Bukit Chatak dan sebagainya tidak dipinggirkan sebaliknya mendapat bantuan termasuk ahli-ahli parti pembangkang,” katanya.

Wan Sioriaty berkata, adalah tidak adil pengundi di DUN Sura memilih pemimpin pembangkang menerajui kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini kerana semua limpahan bantuan dan kebajikan disumbangkan kerajaan BN.

 “Bagi saya tidak adil mengundi Pas sedangkan BN yang banyak membantu dan wakil rakyat Pas hanya tunjuk muka apabila tiba musim pilihan raya sedangkan yang penat membantu rakyat adalah BN,”katanya.

Sementara itu calon BN, Zakariah Ali berkata, sepanjang hampir dua minggu berkempen di DUN Sura beliau mendapati sokongan rakyat di kawasan itu telah banyak beralih untuk menyokong BN.

 “Selain pengikut Pas yang mendakwa kecewa dengan pemimpin mereka, masyarakat Cina juga kira-kira 1,000 pengundi di DUN Sura melahirkan hasrat mereka untuk terus menyokong BN,” katanya.

 Zakariah yang merupakan seorang tenaga pendidik berkata, sebagai menghargai pengundi masyarakat Cina, Menteri Besar telah berjanji akan membina sebuah bangunan baru atau bangunan tambahan sekolah Rendah Kebangsaan (C) Kwang Hwa di Kuala Dungun.

Katanya, beliau tidak menpunyai halangan berdepan dengan calon Pas, Wan Hapandi Wan Nik kerana calon Pas tersebut merupakan sahabat sepermainan sejak kecil termasuk rakan sekelas sehingga tahun 1973.

“Saya hormat beliau sahabat sekampung namun sekiranya diberi mandat saya akan menggalas tugas mencabar ini demi rakyat DUN Sura, tanpa mengira fahaman politik,” katanya.

 

Kenang peristiwa pahit zaman Pas - PM

Oleh: Suriati Ali 

 Rakyat Terengganu diminta mengenang semula peristiwa pahit dan karenah pemimpin Pas ketika parti itu memerintah negeri ini dahulu, agar mereka tidak kembali berada di zaman `kegelapan’.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata tentunya rakyat negeri masih ingat pelbagai kezaliman yang pernah dilakukan pemimpin Pas semasa mereka mendapat kuasa (memerintah negeri Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004).

Sehubungan itu, beliau meminta agar penduduk negeri ini membuat pilihan yang tepat pada hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang jatuh pada 5 Mei (Ahad) depan.

“Saya mahu pinjam slogan calon Parlimen Besut Dato’ Seri `Haji Idris Jusoh, "masihkah kau ingat?,". “Rakyat mesti ingat bagaimana Pas semasa mentadbir negeri ini telah menutup tadika, gagal menguruskan sampah sarap serta tidak menunaikan janji untuk melaksanakan hukum hudud.

“Perkara itu perlu dibangkitkan semata-mata kerana mahu mengingatkan semula rakyat parti manakah yang benar-benar menjaga dan mengutamakan kebajikan rakyat.

"Jika rakyat terus beri kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN), Insya-Allah, Dasar Transformasi Nasional akan diteruskan, dan landskap negeri Terengganu ini akan berubah hebat dalam beberapa tahun akan datang," katanya.



 Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 15,000 penduduk yang hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2012, di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Sri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

 Tetamu kehormat lain, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Apdal; Ketua Setiausaha, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Ibrahim Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Turut hadir Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, calon wakil rakyat DUN dan Parlimen serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu.

 Kampung (Kg) Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu dan Kg Jambi, Batu Pahat, Johor dinobatkan sebagai juara bersama dan masing-masing berjaya membawa pulang wang tunai RM215,000.

 Manakala naib johan Kg Tanjung Parang, Samarahan, Sarawak (RM170,000) dan tempat ketiga Kg Bukit Bulat, Alor Gajah, Melaka, berjaya memperoleh RM115,000.

Dato’ Seri Mohd Najib turut memberitahu, dia yakin BN Terengganu akan memperoleh kemenangan besar berdasarkan sokongan padu dan positif yang dipamerkan rakyat.

“Sokongan rakyat terutama peringkat akar umbi dilihat semakin kuat kerana mereka menyedari keupayaan BN yang telah membawa satu anjakan pembangunan kepada Terengganu berbanding masa lalu,”katanya.
 





MB nasihat rakyat mengundi awal

Oleh: Suriati Ali

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menasihatkan penduduk negeri ini supaya keluar mengundi pada awal waktu, bagi mengelakkan kesesakan.

 Beliau berkata, mereka tidak perlu bimbang tentang soal keselamatan untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini.

 Katanya, kerajaan negeri sudah meluluskan cuti umum pada hari itu dan rakyat tidak mempunyai alasan lagi untuk tidak keluar mengundi, terutama bagi individu yang bekerja.
“Saya mahu rakyat kita keluar beramai-ramai untuk mengundi kerana kita mengharapkan sokongan yang kukuh daripada mereka.

“Kita juga mengharapkan peratusan yang keluar mengundi akan tinggi. Elak sikap melengah-lengahkan waktu mengundi kerana dibimbangi tamat tempoh pengundian

 “Saya yakin pengundi di Terengganu akan keluar mengundi walaupun dalam keadaan apa jua keadaaan, termasuk hujan dan ribut ,” katanya

 Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu menyediakan 367 Pusat Mengundi membabitkan 1,209 saluran Tempat Mengundi di seluruh negeri bagi PRU13.

Berdasarkan jumlah itu, Parlimen Kemaman mencatatkan jumlah Pusat Mengundi paling tinggi iaitu sebanyak 53, diikuti Dungun (51), Hulu Terengganu (50), Marang (47), Kuala Terengganu (46), Setiu (44), Besut 43 dan Parlimen Kuala Nerus (33) .

 Manakala sebanyak 24 Pusat Mengundi Awal melibatkan 31 saluran pula disediakan bagi anggota pasukan Polis dan Tentera serta pasangan masing-masing. Mereka akan keluar mengundi tiga lebih awal berbanding hari pengundian biasa.

 

PRU13: Zubir janji laksana amanah rakyat

Oleh: Aida Abdul Rahman

" Saya berjanji akan menjaga amanah dari semua dan meletakkan diri saya di bawah tapak kaki rakyat di Parlimen Kuala Terengganu. Bukan untuk dipijak, bukan untuk dihina, bukan juga untuk ditendang dan diterajang, tetapi amanah yang saya pegang akan memberikan kesan kehebatan dan kekuatan kepada semua, kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong.

 “Sekiranya tuan puan tidak mampu melangkah, saya akan membantu untuk melangkah. Kalau tidak boleh berdiri saya akan membantu untuk berdiri.

 “Kita bukan sekadar cakap tetapi kita buat. Saya harap semua memberi undi kepada wakil dan calon yang membawa panji-panji BN dan memastikan supaya kita akan rampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam dan P036, Parlimen Kuala Terengganu,” katanya ketika berucap di Markas Besar DUN Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri,To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Calon BN DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah dan semua ketua Pusat Daerah Mengundi DUN berkenaan.

 Haji Mohd Zubir dengan rendah diri mengakui sebagai orang baru dalam arena politik berbanding rakan seperjuangan lain, beliau memerlukan kerjasama dan bantuan semua pihak bagi memastikan Parlimen Kuala Terengganu kembali kepada BN.

 Katanya, semua pihak harus menjadikan pilihan raya umum ini sebagai pilihan raya paling getir yang menentukan hala tuju dan perjuangan bangsa agama dan negara.

 “Saya orang baru, kurang pengalaman, bantulah saya kerana walau sehebat mana pun jawatan saudara dan tuan puan, walau bergelar jutawan sekalipun, apabila hendak makan nasi, harus cari petani untuk menanam padi bagi mendapatkan beras. Maka, semua orang saling memerlukan antara satu sama lain dalam hidup mereka.

 “Sebagai wakil yang memegang panji-panji BN, saya begitu komited untuk memastikan panji yang saya pegang mewakili tuan puan, kekalahan mahupun kemenangan saya mewakili seluruh rakyat, maka jangan benarkan kekalahan panji BN,” katanya.

 Haji Mohd Zubir juga percaya dengan keprihatinan dan kesanggupan Menteri Besar meluangkan masa dan turun padang ke setiap kawasan termasuk DUN yang ditawan pembangkang membuktikan BN akan terus membela nasib rakyat tanpa mengira sempadan politik.

 Beliau turut menasihatkan semua pengundi supaya tidak terlalu mengejar peribadi dan pangkat, tetapi arus mengutamakan akhirat sebagai penyudah kepada setiap perjuangan.

 

Bantuan pentadbiran untuk persatuan saudara baru

 Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri bersedia untuk menyalurkan bantuan pentadbiran kepada persatuan saudara baru yang bergerak sebagai sebuah persatuan yang sah dan berdaftar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peruntukan sebanyak RM10,000 akan disalurkan kepada persatuan-persatuan berkenaan untuk membantu melancarkan aktiviti yang akan mereka jalankan.

"Selagi kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah negeri ini khususnya dan negara ini amnya, saudara baru tidak akan dipinggirkan kerana kerajaan BN akan sentiasa membantu mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Persatuan Saudara Kita Bersama YAB Menteri Besar di Dewan Permata, Hotel Permai, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong.

Mengulas mengenai program yang diadakan, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, program sedemikian sangat bagus kerana dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Seorang saudara baru yang ditemui di majlis tersebut, Roslina Abdullah, 50, berkata perasaannya sangat gembira kerana berpeluang berjumpa rakan-rakan dan berkongsi pengalaman.

Beliau yang telah 25 tahun memeluk Islam sebelum ini merupakan seorang penganut Kristian dengan mengunakan nama Rolin Banun.

"Saya sangat bersyukur kerana diberi hidayah oleh Allah s.w.t dan melalui persatuan saudara baru yang saya sertai banyak program dan kursus-kursus yang dijalankan untuk membantu kami lebih mengenal Islam,” ujar ibu tunggal kepada dua orang anak yang berasal dari Kuala Berang itu.




30 April 2013

PM lawat Terengganu esok

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu esok (Rabu).

Beliau yang diiringi isteri, Datin Sri Rosmah Mansor, dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, kira-kira jam 9.15 pagi dan disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said serta pembesar negeri.

Perdana Menteri dan rombongan akan bertolak ke Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, bagi merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan, kira-kira jam 9.30 pagi.

Pada sebelah petang beliau dijadualkan menghadiri Perjumpaan YAB Perdana Menteri Dengan Anggota Rela Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man.

Kira-kira jam 5 petang, Perdana Menteri akan menghadiri Majlis Sepetang Bersama YAB Perdana Menteri di padang berhampiran Masjid Mengabang Telipot, Kuala Nerus.

Sebelum berlepas pulang, beliau akan singgah di Pusat Rihabilitasi 1Malaysia di Bangunan Penyelaras Umno Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Kampung Telaga Daeng.

YAB Perdana Menteri dan isteri dijadualkan berlepas pulang ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, kira-kira jam 5.30 petang.

 

Penjawat awam perlu hormat dasar kerajaan

Oleh: Suriati Ali 

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta penjawat awam di negeri ini supaya bersikap profesional, menghormati dasar kerajaan dan bukannya bertindak menghentam apa yang dilaksanakan dengan perkara remeh- temeh.

 Katanya, pada masa sama, mereka perlu mengekalkan kaedah berkerja secara berkualiti dan mengamalkan budaya sihat sewaktu bertugas supaya mampu dipandang positif oleh masyarakat.

 “Selaku pekerja dalam pasukan kerajaan yang sentiasa memberi bantuan serta mempermudahkan segala urusan berkait dengan rakyat, mereka perlu jujur ketika menjalankan tugas masing-masing.

“Ikhlas bekerja demi membantu kerajaan sedia ada supaya dapat terus memerintah dan bukannya memberi laluan kepada pihak lain yang belum tentu dapat mengekal kemakmuran Terengganu dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, peringkat negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama, Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu, YB Encik Noorbahri Baharuddin dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Haji Abdul Razak Ismail. 

Seramai 50 penjawat awam pelbaai jawatan di seluruh Terengganu hadir menerima anugerah masing-masing berupa wang tunai RM5,000, pakej menunaikan haji atau umrah berserta sijil.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu pejawat awam bahawa Pakatan Rakyat kini bercita-cita besar untuk menakluki Putrajaya, “katanya.

"Puak itu awal-awal lagi mengakui, jika PR dapat memerintah negara agenda utama mereka adalah mahu bertindak memberhentikan separuh atau 50 peratus jumlah penjawat di negara ini dan memendekkan had umur pencen melalui `Projek Khas Mengurangkan Kakitangan Awam’.

 “Kenapa mereka bersikap begitu, sebenarnya PR yang ditujangi DAP, tidak senang dengan keadaan sekarang, berikutan dalam sektor perkhidmatan awam kini dimanopoli masyarakat Melayu.

 “Mereka ingin berbuat demikian kerana banyak agenda tersembunyi yang mahu dijalankan semata-mata mahu melihat Melayu kacau bilau dan berpecah,” katanya.

 

PRU13: Masa terbaik Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu kembali kepada BN

Oleh: Aida Abd Rahman

Inilah masa terbaik untuk kembalikan DUN Wakaf Mempelam dan Parlimen Kuala Terengganu kepada Barisan Nasional (BN), kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Calon-calon kita termasuk Haji Wan Mahyuddin lima tahun bekerja sebagai Pegawai Pembangunan Dewan Undangan negeri (DUN) walaupun kalah, demi menjaga kepentingan rakyat.

“Takkan tidak boleh tilik pandang kebaikan kita selama ini, berbanding Pas yang tidak melakukan sebarang kebajikan walaupun sudah lebih 30 tahun berkuasa di DUN ini, katanya ketika berucap di markas Besar Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf mempelam, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan seri Norliza Mahmud; Calon BN DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah dan Calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong.

Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Terengganu berkata Kerajaan BN juga merancang untuk membawa lebih banyak pembangunan dan kemudahan di DUN itu, bagaimanapun hanya akan mengisytiharkannya apabila DUN itu menjadi milik BN.

Beliau berkata, jika tidak memilih BN dan memastikan BN merampas semula DUN itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), bermakna rakyat di Wakaf Mempelam menolak usaha pembangunan yang mahu dilaksanakan di kawasan itu khususnya pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik yang sudah dijanjikan sejak tahun lalu.

 “Jentera Jalinan Rakyat Wanita Umno sila sampaikan salam saya kepada pengundi yang ditemui dan jangan lupa minta tolong pada kali ini supaya undilah Barisan Nasional kerana kita mahu melaksanakan pelbagai pembangunan di kawasan ini, selain meneruskan bantuan sedia ada.

“Pada kali ini, saya berjanji untuk membina 1,000 unit rumah di sini. Maknanya jika kita tidak melaksanakan tugas kita (mengundi BN), kita sudah mengecewakan 1,000 keluarga yang bakal menerima kemudahan itu. Bukan kita sahaja kecewa, malah lebih ramai rakyat yang memerlukan juga akan kecewa,” katanya.

Beliau berharap supaya rakyat di DUN itu mula sedar dan tahu bersyukur dengan nikmat pembangunan serta bantuan yang diterima mereka selama ini hasil tanggungjawab Kerajaan BN yang sentiasa menjaga kepentingan rakyat.

Menteri Besar juga berbangga dan berterima kasih dengan kegigihan jentera parti yang bertungkus-lumus merealisasikan hasrat untuk memastikan Wakaf Mempelam dan juga Parlimen Kuala Terengganu kembali dikuasai BN.


TERBONGKARNYA SEBUAH KEPURA-PURAAN

Kisah seseorang yang menggoda isteri orang dan akhirnya menyebabkan pasangan itu bercerai memang sudah diketahui ramai di Terengganu, khususnya dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Malah dalam keadaan perbuatan yang securang itu pun dia masih dicalonkan oleh partinya untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13.

Mungkin atas nama Islam yang digunakan, maka segala noda dan dosanya ‘merampas’ isteri orang dirasakan halal.

Di manakah dia hendak letak mukanya sewaktu berkempen bila sebahagian besar masyarakat dan pengundi telah tahu skandalnya itu, perampas isteri kepada seorang pengusaha kereta sewa ‘prebet sapu’.

“Mula mula saya hormat sangat pada YB itu, tetapi apabila saya ketahui dia mempunyai skandal dengan kawan sekerja saya , saya dah mula hilang rasa hormat kepada pemimpin yang mendakwa dari pejuang Islam itu,” kata seorang rakan sekerja wanita.

Apatah lagi sehingga menyebabkan kawan sekerjanya itu bercerai dengan suaminya , gara-gara mahu hidup bersama dengan pemimpin dari parti itu.

Rakan sekerjanya itu berkata, semua orang tidak sangka si wanita itu sanggup berbuat demikian.

Beliau amat kasihan mendengar kisah bekas suami wanaita itu yang juga dikenalinya.

Sebelum rakyat kawasannya itu mengetahui tentang skandalnya itu, beliau cukup bangga ke hulu dan ke hilir bersama wanita yang dijadikan isterinya itu, malah gambar beliau bersama wanita pada kain rentang ‘Selamat Hari Hari Aidil Fitri’ digantung di merata tempat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri itu.

Tetapi apabila menyedari masyarakat sudah tahu skandalnya sebelum berkahwin dengan wanita itu, dia jarang kelihatan bersama lagi.

Apatah lagi, skandal’ urut mengurut’ bersama wanita itu sebelum dikahwininya, sudah dibongkarkan oleh bekas suami wanita itu.

Meskipun wanita itu dalam komen balasnya melalui sebuah media di internet menghina bekas suami sendiri dengan menuduh kononnya suaminya kini hidup susah, bawa ‘kereta prabet sapu’, tetapi sekurang-kurangnya bekas suaminya itu telah melakukan kerja halal.

Tuduhan wanita bahawa bekas suaminya diupah untuk membongkarkan rahsia kecurangannya dengan pemimpin bergelar YB sebelum ini adalah suatu andaian yang tidak boleh diterima bekas suaminya yang juga bapa kepada beberapa orang anak wanita itu sendiri.

Selain itu, wanita itu turut menuduh bahawa bekas suaminya adalah manusia jenis panas baran, sering memukulnya adalah sangat memalukan kerana suami mana tidak marah sekiranya isteri yang dia sayang curang dengan lelaki lain walaupun menjadiYB dari parti yang mendakwa memperjuangkan Islam.

Wanita itu perlu memohon maaf kepada bekas suaminya, bukannya menghina dan memburukkan orang yang pernah disayangi itu.

Apatah lagi bekas suaminya pernah terlihat wanita isterinya itu berkurung di rumah YB itu di siang hari sewaktu melalui di depan banglo YB itu.

Apakah kerana telah hidup mewah bersama wakil rakyat itu yang masih dicalonkan lagi oleh partinya kali ini, membuatkan dia telah lupa jasa dan pengorbanan bekas suami sebelum ini?

Anak bekas YB Adun dalam Parlimen Kuala Terengganu itu sendiri benci akan perbuatan ayahnya berskandal dengan perempuan yang masih punya suami waktu itu.

Dia tahu dulu wanita itu mengurut arwah ibunya, tetapi sekarang kini wanita itu menjadi perampas kebahagiaan keluarganya adik-beradik.

Anaknya adalah pelajar lepasan UiTM dan kini menetap di ibu kota.

Difahamkan dia amat mengetahui hubungan ayahnya dengan perempuan itu sewaktu ‘mak cik’ itu masih lagi isteri kepada pengusaha ‘kereta prebet sapu’ itu.

Mengapakah wanita yang kini menjadi ibu tirinya sanggup curang sebelumnya dengan bapanya dan dia tahu kecurangannya itu adalah dosa tetapi kerana nafsu menguasai, segalanya dipersetankan.

Lantaran itulah dia tidak suka perbuatan curang seperti itu dilakukan oleh seorang isteri yang kini terpaksa menjadi ‘mak tiri’ kepada nya dan adik-beradiknya yang lain.

Dia kini menetap di ibu kota penuh dengan perasaaan benci kepada perbuatan yang bertentangan dengan agama dan adat timur dilakukan bapa dan ibu tirinya sebelum ini.

Maklumat yang diterima juga mendapati, anak calon itu begitu kecewa dengan apa yang berlaku dalam keluarganya itu .

Pengikut parti itu sentiasa menganggap pemimpin dan wakil rakyat mereka baik akhlak walaupun jelas betapa buruknya akhlak pemimpin dan puak mereka.

Mungkin ramai di kalangan pengikut parti itu tidak tahu akan perkara tidak bermoral seperti ini dilakukan oleh pemimpin dan wakil rakyat mereka.

Ini kerana bagi mereka dan persepsi pengikut-pengikut taksub mereka bahawa pemimpin parti yang berlebel agama itu baik-baik belaka akhlaknya, yang jahat dan tidak berakhlak itu adalah dari pemimpin dari parti lain.

Tapi tahukah itulah sebenarnya ‘ perangai” pemimpin yang mereka sangka baik itu.

Anaknya itu melahirkan kepada kawan- kawannya ‘mak cik’ ibu tirinya itu pernah mengugut mereka, tetapi mereka tetap bersabar.

Mereka tidak pulang ke rumah kerana tidak bersedia melihat suasana kekeluargaan yang tidak seindah dulu lagi dengan kehadiran wanita yang tidak direstui mereka.

Oleh itu marilah kita menolak calon yang tidak bermoral dan berakhlak seperti ini yang bertopengkan dengan perjuangan agama untuk mengaburi kecurangan yang dilakukan sebelum ini.

Segala kemunafikan, kepura-puraan yang cuba disembunyikan, akhirnya terbongkar jua, kerana kebenaran datang menimbusi segala kepalsuan.

 

BN peka kehendak orang muda

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya peka dengan kehendak golongan muda dan sentiasa berusaha memenuhi impian mereka.

Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, dalam Aku Janji BN Terengganu terdapat keistimewaan ditawarkan kepada golongan muda termasuk untuk aktiviti riadah dan bersukan.

"Sekiranya terus diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kerajaan BN akan mewujudkan gelanggang futsal di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).

"Selain itu, kompleks litar perlumbaan motosikal bertaraf antarabangsa juga akan dibina demi memenuhi kehendak orang muda,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai perjumpaan bersama pengundi muda sempena lawatan sehari beliau ke Parlimen Kuala Nerus di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu di Kampung Petai Bubus, semalam.

Katanya, BN bukan sahaja memberikan sumbangan seperti pembahagian dana raya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya kepada golongan muda tetapi pucuk pimpinan BN turut mengambil pendekatan turun padang berjumpa mereka.

Katanya, beliau yakin dengan sokongan orang muda BN mampu menang dengan cemerlang di negeri ini.

Beliau turut berpesan kepada pengundi muda agar keluar awal di hari pembuangan undi pada 5 Mei nanti.