Halaman

10 June 2012

Pemberian BR1M wajar diteruskan

Oleh: Suriati Ali

Pemberian Batuan 1Malaysia (BRIM) yang diperkenalkan menerusi Bajet 2012, perlu diteruskan buat kali kedua dengan jumlahnya dinaikkan, jika sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Maslan, berkata pemberian BR1M wajar dilanjutkan kerana ianya cukup bermanfaat kepada rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Katanya, jika jumlah itu dinaikkan kepada RM550 atau sebagainya, ianya membuatkan rakyat lebih gembira.

“ Apa jua bentuk dan pemberian yang dilaksanakan membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat dan menjadi kemestian kepada rakyat untuk berterima kasih dengan meneruskan sokongan terhadap kerajaan.

“Sebagai rakyat, kita perlu berbangga dengan keprihatinan kerajaan yang ada sekarang, semua yang dilakukan adalah untuk rakyat di samping mewujudkan negara yang aman makmur,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan seminar menyiarkan Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia yang diadakan di dewan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Perasmian penutup seminar yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said itu turut dihadiri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan beberapa exco kerajaan negeri.

Kira-kira 2,500 peserta pelbagai peringkat, termasuk pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO), kakitangan kerajaan, belia dan guru hadir bagi mendengar amanat ceramah dua tokoh berpengalaman.

Program itu sebelum ini telah dilaksanakan di beberapa negeri seperti Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) berbakti kepada rakyat sejak sekian lama menerusi pelbagai pembangunan dan program yang diwujudkan.

“Kita yakin, kerajaan BN akan terus memberikan semua yang terbaik untuk rakyat selagi rakyat terus memberikan sokongan kepada kerajaan,” katanya.




Wajar contohi Terengganu- Dato’ Ahmad Maslan

Oleh: Suriati Ali

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Maslan memujikan pendekatan kerajaan Terengganu yang menyiarkan Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia secara langsung di webtv.terengganu.gov.my.

Dato’ Maslan,berkata negeri lain sepatutnya mencontohi Terengganu yang berjaya menyiarkan seminar seumpama ini ke seluruh dunia.

“Kemudahan dan teknologi yang ada perlu digunakan sebaik mungkin supaya segala maklumat dapat disalurkan secara terus kepada rakyat.

“Kehadiran peserta pada seminar ini turut memuaskan hati di mana Terengganu mencatatkan jumlah paling ramai iaitu melebihi 2,000 jika dibanding dengan enam negeri yang menganjurkan program sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan seminar itu yang diadakan di dewan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Perasmian penutup seminar yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said itu turut dihadiri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan beberapa exco kerajaan negeri.

Kira-kira 2,500 peserta pelbagai peringkat, termasuk pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO), kakitangan kerajaan, belia dan guru hadir bagi mendengar amanat ceramah dua tokoh berpengalaman.

Program itu sebelum ini telah dilaksanakan di beberapa negeri seperti Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan.


Usahawan tani perlu berani melakukan perubahan-KSU

Oleh; Esah Abdullah

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meminta kumpulan usahawan pertanian dan asas tani mengubah cara berniaga yang lama kepada cara baru yang lebih moden dan komersial sejajar dengan keperluan ekonomi masa depan yang diterajui inovasi dan ilmu pengetahuan.

Ketua Setiausahanya, Dato; Mohd Hashim Abdullah berkata, Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan tulang belakang ekonomi negara yang memain peranan penting sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.

“Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) pada masa ini masih berhadapan dengan cabaran kualiti produk yang rendah dan tidak seragam serta tidak mematuhi piawaian antarabangsa,” katanya di majlis Pelancaran Testbed Mardi Terengganu di Stesen Mardi Kuala Terengganu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Mardi, Dato' Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman; Timbalan pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN, Haji Zulkifli Abu Bakar dan Pengarah Mardi Terengganu,Haji Hassan Said.

Oleh itu katanya, para usahawan perlu berani melakukan perubahan dan sentiasa bersedia merebut peluang yang disediakan kerajaan dalam mengembangkan perniagaan.

“Saya yakin adanya suntikan elemen inovasi dalam menjalankan sesuatu perusahaan, ia mampu menjanjikan transformasi yang cukup signifikan kepada para usahawan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, peranan Mardi sangat penting serta berupaya membantu usahawan yang ingin membangunkan perniagaan mereka berasaskan teknologi.

Beliau berharap usahawan di negeri ini mengambil peluang dan datang ke Mardi untuk menjalani latihan menggunakan teknologi moden yang disediakan.

Katanya, usaha Mardi mengadakan sistem testbed seperti ini membolehkan usahawan mendapat perkhidmatan sokongan secara teknikal khususnya dalam penggunaan teknologi terkini termasuk mesin, peralatan dan kemudahan pengeluaran berskala kecil bagi pengeluaran produk makanan terpilih.





Testbed teknologi bantu usahawan IKS

Oleh; Esah Abdullah

Institusi Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) berjaya membangunkan sebuah lagi testbed teknologi khusus dalam pemprosesan produk ikan yang bakal menjadi tempat utama melatih usahawan dan bakal usahawan dalam bidang pemprosesan makanan di negeri ini.

Ketua Pengarahnya, Dato’ Dr Abd. Shukor Abd. Rahman berkata, sehingga ini terdapat sembilan buah testbed teknologi Mardi di seluruh negara yang bersedia menerima usahawan menjalani latihan sangkut atau kursus teknikal.

“Sistem testbed ini dilengkapi mesin dan peralatan moden untuk kemudahan pengeluaran berskala kecil,” katanya di majlis Pelancaran Testbed Mardi Terengganu di Stesen Mardi Kuala Terengganu.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Mohd Hashim Abdullah.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pemindahan dan Pengkomersialan Teknoogi Mardi, Dato’ Dr. Haji Masri Muhamad; Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Haji Zulkifli Abu Bakar dan Pengarah Mardi Terengganu, Haji Hassan Said.

Katanya, usaha ini untuk merangsang proses inovasi teknologi di kalangan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berkembang dan menghasilkan produk berdaya saing hingga ke pasaran global.

Sehingga ini katanya, 200 pengusaha sedang dibimbing oleh Mardi di seluruh negara bagi memajukan perusahaan masing-masing yang bersedia menyahut saranan kerajaan untuk mentransformasikan perniagaan melalui penggunaan teknologi.

Tambahnya, produk berasaskan ikan menjadi pilihan utama pelancong yang berkunjung ke negeri ini dan ia membentuk satu ruang perniagaan yang mampu menjana pendapatan yang lumayan.

Berdasarkan faktor inilah testbed telnologi dibangunkan di negeri ini bagi membatu usahawan tempatan menghasilkan produk berasaskan ikan menggunakan teknologi terkini.

“Setiap testbed disertakan dengan manual prosedur operasi standrard (SOP) bagi pemprosesan, mesin dan peralatan serta sanitasi untuk memudahkan pemahaman usahawan semasa latihan amali dijalankan,” katanya.




Manifesto BN Terengganu : 10,000 unit lagi rumah untuk rakyat

Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh Zulkipli Putra


Barisan Nasional (BN) Terengganu akan mewujudkan manifesto tambahan selain yang diputuskan di peringkat Pusat, kata Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan penambahbaikan melalui perincian mengikut kesesuaian dan kehendak kerajaan dan rakyat di Terengganu.

“Secara prinsipnya,  manifesto peringkat nasional akan dipersetujui semua BN negeri tetapi tentulah satu negeri berbeza dengan keperluan di negeri lain. Jadi kita akan menghalusi apa yang boleh dilakukan di peringkat negeri.

‘‘Kita mahu memperincikan perkara itu supaya kita boleh melaksanakannya sesuai dengan kehendak di peringkat negeri dan tambah perkara-perkara yang ada kaitan dengan Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran projek perumahan Taman Koperasi Perdana yang dibangunkan Koperasi Pembangunan Daerah Kemaman Berhad di Kampung Pasir Minal, Binjai, Kemaman pagi tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi, Dato' Mohamed Awang Tera, ADUN Air Putih, YB. Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Pengerusi koperasi terbabit, Ab. Ghani Azahari.

Dalam pada itu, Dato' Seri Ahmad memberitahu, antara manifesto tambahan BN Terengganu adalah untuk membina 10,000 unit lagi rumah mampu milik di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun antara 2013 hingga 2018.

"Jumlah itu termasuklah seperti yang telah dijanjikan sebelum ini iaitu masing-mading 1,000 unit di DUN Wakaf Mempelam dan DUN Batu Buruk serta 500 unit lagi di DUN Ladang," katanya.

Manifesto itu kata beliau, berdasarkan kemampuan kerajaan negeri untuk menunaikan janji membina 10,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun pada 2008 hingga pertengahan tahun depan.

"Sehingga kini, kira-kira 8,000 unit rumah telah siap dibina dan bakinya akan diteruskan hingga tahun depan. Siap 10,000 unit yang kita janjikan, 10,000 unit lagi akan kita bina," ujarnya.



09 June 2012

Pelatih PDK Jertih diajar cara mengosok gigi



Oleh: Mohammad Ishak 

Pelatih yang sedang belajar di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jertih diberi pendidikan dan latihan kaedah mengosok gigi yang betul bagi mempastikan penjagaan gigi yang baik dan sistematik.

Program bulanan yang dikendalikan oleh kakitangan Klinik Pergigian Jertih itu bertujuan memberi kemahiran kepada pelatih berkenaan untuk mengosok gigi dengan cara yang betul.

Penyelia PDK Jertih,Salina Mat Ali, berkata program turun padang yang dikendalikan oleh klinik berkenaan memudahkan pelatih di pusat itu untuk mempelajari cara mengosok gigi seperti yang disarankan pihak terbabit.

Katanya, pihak pengurusan kelas PDK sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dalam usaha memberi pendidikan dan bimbingan kepada pelatih terutama dalam bidang kesihatan.

Menurutnya, kelas berkenaan yang kini mempunyai 50 pelatih terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) beruntung kerana mendapat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Salina berkata, walaupun sebahagian besar pelatih menghadapi masalah untuk melakukan sesuatu pergerakan kerana kecacatan tetapi mereka sebenarnya mampu menerima apa sahaja latihan dan bimbingan.

Beliau berkata, selepas diajar cara mengosok gigi yang betul mereka kemudian perlu menjalani pemeriksaan gigi oleh kakitangan bertugas.

“Menerusi program turun padang oleh jabatan terbabit ia diharap dapat memudahkan pelatih menerima latihan dan rawatan yang diberikan secara percuma,” katanya.

EURO 2012 : Greece pasukan pilihan MB

Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said turun bersama para peminat bola sepak sekitar DUN Kijal menyaksikan perlawanan buka tirai temasya EURO 2012 di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal bersama kiri-kira 100 hadirin.



Beliau yang sebelum itu menyatakan sokongan kepada pasukan Greece turut ditemani Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), Roshali Taha bermula kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Sama seperti musim sebelum ini, juara EURO 2004 itu terus menjadi pasukan pillihan Menteri Besar.

Ulasnya kepada wartawan Teganukita, beliau kagum dengan keupayaan Greece tampil antara pasukan terbaik di Eropah walaupun negara itu berdepan kemelut ekonomi yang kritikal pada ketika ini.



Pada program santai itu, beliau yang juga ADUN Kijal turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan 'sepak gol' yang diadakan selang waktu rehat separuh masa pertama perlawanan itu.


Janji Pakatan Rakyat ibarat 100 ekor burung emas di langit

Oleh FAUZI MOHD

Menjelang pilihan raya umum ke-13 merupakan musim pemimpin pembangkang menabur janji yang disifatkan Pengerusi MCA Kemaman, Teo Nyon Foy sebagai 'khayal' bagi meraih undi.

Beliau mengingatkan rakyat khususnya masyarakat Cina supaya tidak terjerumus dalam dunia politik yang 'tersasar' berikutan sikap pemimpin Pakatan Rakyat yang lebih banyak bercakap berbanding berfikir.

Katanya, janji yang ditabur pemimpin pembangkang diibaratkan seperti melepaskan ratusan 'burung emas' di langit yang hanya menjadi bahan tontonan dan bukan untuk dimiliki.

"Kerajaan Barisan Nasional sudah ada rekod yang baik mentadbir negeri dan negara. Parti kita diibaratkan sudah ada burung di tangan walaupun seekor.

"Satu ekor burung di tangan lebih baik daripada seratus ekor burung emas yang bebas di langit. Kita hanya mampu melihat, jauh sekali untuk memiliki," katanya pada majlis makan malam sempena Sambutan Hari Ibubapa di Dewan Seri Amar, Chukai hari ini.



Program anjuran MCA Bahagian Kemaman itu dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato' Mohamad Awang Tera.

Tambah Nyon Foy, pemimpin Pakatan Rakyat tiada pilihan lain melainkan menabur 'janji-janji besar' bagi menandingi rekod Barisan Nasional membawa kemakmuran ekonomi kepada negeri dan negara.

"Saya menasihatkan masyarakat Cina, Tiong Hua tidak mudah dibeli dengan janji-janji yang kita sendiri tidak pernah dengar dan jangka," kata beliau.


Beri peluang untuk BN PRU13: PPD

Oleh: Aida Abd Rahman



Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam diminta memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) mentadbir kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan rakyat boleh membuat perhitungan semula pada PRU seterusnya jika sepanjang tempoh berkenaan BN gagal menjalankan tanggungjawab termasuk melaksanakan pembangunan yang sepatutnya.

Pegawai Pembangunan DUN (PPD) Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, berkata kuasa di tangan rakyat menentukan kemenangan BN di DUN itu pada PRU13 nanti.

Sehubungan itu, beliau berjanji sekiranya BN memenangi PRU13, segala keperluan pembangunan yang sepatutnya akan dilaksanakan selain meneruskan bantuan dan kebajikan lain.

“Apa lagi yang penduduk DUN ini mahukan kerana segalanya serba lengkap dan tersedia buat mereka. Jadi kita yakin dan berharap 24,310 pengundi berdaftar dalam DUN ini (sehingga 2011 lalu) tidak lagi tersilap langkah pada PRU13 nanti.

“Kita memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 6,767 isi rumah menerusi tujuh fasa pengagihan termasuk dua daripadanya proses rayuan yang diserahkan sejak awal tahun lalu. Jika penerima BR1M bersama isteri atau suami masing-masing, tahu erti bersyukur, bermakna lebih 13,000 pengundi sudah memihak kepada BN. Majoriti itu akan memberi kemenangan kepada BN,” katanya.

Selain BR1M, seramai 1,188 penduduk menerima Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat, Dana Hari Raya (6,600 penerima), Dana Remaja (2,400 penerima) serta lebih 200 penerima bantuan cermin mata.

Katanya, usaha memastikan seluruh penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam yang memiliki pelbagai latar kehidupan bebas dari kemiskinan dan tidak tercicir dalam arus pembangunan dilaksanakan tanpa memilih bulu.

Haji Wan Mahyuddin menegaskan, walaupun majoriti daripada pengundi di DUN itu sudah membuat kesilapan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) sejak 33 tahun lalu dengan memilih Pas yang terang-terang gagal membela nasib mereka, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan penduduk yang sudah tersilap percaturan itu.

Katanya, sebagai pemimpin yang dipilih sebagai wakil dan medium kepada kerajaan negeri, beliau yang dibantu 31 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta 34Ketua Cawangan dalam DUN itu nekad dan ikhlas membantu tanpa mengira status penduduk serta mereka di kalangan penyokong pembangkang.

“Saya tetap juga meneruskan rutin memasuki kawasan yang dikatakan `hitam’ (kawasan kubu kuat Pas) demi memastikan bantuan tiba dan mereka yang memerlukan benar-benar menikmati bantuan itu tanpa ianya dipolitikkan.

“Kadangkala saya tidak terlepas daripada menerima cemuhan walaupun niat saya ikhlas membantu. Mungkin mereka (puak Pas) berhati batu dan `keras keng’ sehingga kita datang membantu pun mereka ini menganggap kita seperti `membawa bom’ ke kawasan mereka pula,” katanya.

Katanya, puak yang dikatakan tegar itu sebahagian besar kini secara beransur-ansur sudah mula membuka mata, hanya berdiam diri dan mungkin api kebencian terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tertanam dalam jiwa mereka kian terhakis melihat nikmat dan bantuan yang disediakan kerajaan BN dari dulu sehingga kini.



08 June 2012

Kayuhan energetik Fatehah

Oleh: Aida Abd Rahman



Fatehah Mustapa, atlet kelahiran Kampung Langgar, Hulu Terengganu cukup dikenali ramai lantaran keupayaan menempatkan diri selaku pelumba wanita pertama Malaysia dan atlet wanita pertama Terengganu ke sukan Olimpik London yang bakal berlangsung Julai ini.

Dengan nada optimis, atlet yang baru menginjak usia 23 tahun tanggal 12 Mac lalu, nekad mahu menggalas cabaran negara untuk merangkul kedudukan terbaik dalam acara trek berbasikal di temasya terulung dunia itu.

“Saya mahu menang dulu di peringkat awal, seterusnya menempatkan diri ke pusingan akhir. Selepas itu mudahlah untuk memburu kemenanngan..Apa-apapun, saya nekad untuk melakukan yang terbaik walaupun persaingannya hebat dan seboleh-bolehnya mahu muncul atlet wanita pertama membawa pulang emas untuk negara.




"Di London nanti saya terpaksa bersaing dengan pelumba handalan dunia, antaranya jaguh Britain yang juga idola saya, Victoria Pedleton, yang sebelum ini banyak menjuarai perlumbaan besar dunia,"” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Selaku pelumba kedua terbaik Asia di belakang pelumba China, Guo Shuang, reputasi anak ke keenam daripada lapan beradik itu semakin membuka mata semua dan menjadi bualan ramai, apatah lagi menjadi atlet negara yang terawal menempah nama ke slot Olimpik London.

Nama atlet wanita yang berjaya menerobos dominasi kaum lelaki dalam sukan lasak itu terus popular selepas meraih kejayaan demi kejayaan. Malah impak paling dirasai apabila merangkul pingat emas pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Kuala Lumpur Februari lalu.

Beliau merupakan peserta wanita pertama negara yang memenangi pingat emas sejak ACC diperkenalkan pada 1963 sekaligus menjadi tiket melayakkan pelumba elit negara untuk beradu di Olimpik London 2012.

Fatehah yang menerima latihan secara intensif dan padu di bawah bimbingan John Beansley yang kini berpangkalan di Melbourne, Australia pernah dinobatkan Olahragawati Terbaik Sukan Malaysia (Sukma) Kedah 2006, Olahragawati Terengganu 2007 dan 2010 serta Atlet Wanita Terbaik Karnival Krismas Australia 2008.

“Sukma Kedah antara platform yang melonjak pembabitan saya dalam acara kegemaran saya ini. Di kejohanan itu, saya meraih enam emas sekaligus menobatkan saya selaku atlet wanita terbaik Sukma berkenaan.

“Sebelum Sukma Kedah, saya berpeluang mewakili Terengganu di Sukma Negeri Sembilan 2004 dan penyertaan pertama itu menghasilkan sebutir pingat emas dan perak pada acara lebuh raya,” katanya.

Kayuhan energetik pemegang rekod kebangsaan menerusi acara 200 meter pecut dengan catatan masa 11.866 saat dan 500 meter ujian masa (35.989 saat) itu turut mengetuai kejayaan skuad berbasikal trek negara membolot tujuh pingat emas, tiga perak dan satu gangsa di Sukan Sea Indonesia ke- 26 tahun lalu.

Malah, ratu basikal trek negara berpewatakan penuh tenaga dan berani yang mula serius dengan acara berbasikal sebaik memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2000 itu turut merangkul tiga emas menerusi acara 500 meter ujian masa individu, pecut dan pecut berpasukan ketika bergandingan dengan Ju Pha Som Net.

Pun begitu, Fatehah yang menduduki tempat kelima Kejohanan Dunia di Belanda Mac tahun lalu sepatutnya boleh menambah satu lagi koleksi emas, namun kekangan tayar pancit ketika beraksi dalam acara Scratch menutup peluang itu.

Menyingkap sisi berbeza, tidak banyak kenangan perihal basikal yang boleh dikongsi, melainkan peristiwa beliau mengayuh kenderaan dua roda itu untuk pergi ke sekolah bersama rakan-rakan setiap hari.

"Masa zaman sekolah, saya sebenarnya terlebih dahulu aktif dalam sukan badminton, acara balapan dan trek, bola baling dan bola jaring. Sukan basikal hanya muncul sebaik melangkah ke sekolah menengah," kata bekas murid Sekolah Kebangsaan Kampung Langgar, Kuala Berang itu.

Menyedari, dunia sukan bukan selama-lamanya mampu ditawan, Fatehah akur yang dia harus memilih bidang lain yang lebih terjamin apabila tiba usia persaraan nanti.

Malah, atlet yang menanam hasrat meneruskan pengajian peringkat sarjana muda dalam bidang perniagaan itu menjadi penerima ketiga biasiswa Yayasan Sime Darby bernilai RM400,000 bagi merealisasikan hasratnya menyambung pengajian di Universiti Victoria, Melbourne bermula September depan.

Beliau merupakan pelumba basikal kedua negara yang menerima biasiswa selepas pelumba yang menerima jolokan `The Rocket Pocketman’, Azizulhasni Awang dianugerahkan biasiswa serupa bernilai RM456,000 untuk menyambung pelajaran di Melbourne dalam bidang Pengurusan Sains Sukan.

"Saya pastinya tidak akan melepaskan peluang menikmati nasi dagang apabila pulang ke kampung halaman, khususnya yang disediakan ibu saya sendiri. Setakat ini rasanya tiada hidangan lain di dunia yang setanding dengan air tangan ibu," tutur atlet yang gemar mendengar muzik dan mengumpul ramai rakan dari serata dunia, selain memiliki lebih 4,400 rakan menerusi akaun facebook peribadinya.