Halaman

21 October 2012

PNM simpan 4,600 manuskrip jawi

Oleh; Esah Abdullah

Sebuah manuskrip berusia 400 tahun adalah antara 4,600 manuskrip dalam tulisan jawi yang terdapat dalam simpanan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang masih belum dikaji dan diterjemah setakat ini.

Ketua Pengarah PNM, Dato’ Raslin Abu Bakar berkata, manuskrip paling lama ini diterima pada 1,600 Masihi iaitu selepas zaman Kesultanan Melaka.

“Jika manuskrip ini dapat diterjemahkan dalam tulisan Rumi tentu lebih banyak ilmu dalam pelbagai bidang dapat di manfaatkan oleh masyarakat hari ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Semarak Jawi Kebangsaan 2012 di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Pengarah Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan, Haji Wan Mohd Zali Wan Abdullah; Pengarah Radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Haji Mohamad Mat Yasin dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.

 Katanya, PNM mempunyai pakar mengkaji manuskrip yang tersimpan tetapi memerlukan lebih ramai mereka yang berkemahiran dan berminat untuk sama-sama menghasil kajian agar dapat dikongsi dengan masyarakat.

“Kita percaya manuskrip ini kaya pelbagai catatan ilmu pengetahuan berkaitan bidang perubatan dan perniagaan,” katanya.

Katanya, melalui Unit Jawi di PNM bertanggungjawab dalam melestarikan dan membuat aktiviti berkaitan dengan jawi di samping mengumpul buku dalam tulisan jawi untuk direkodkan semula dalam tulisan Rumi.

Selain itu, karnival ini digarap berkonsepkan informasi dan santai dengan harapan menjadi satu titik anjakan terutamannya kepada golongan muda untuk memertabatkan kembali tulisan jawi sebagai warisan tamadun bangsa Melayu.

 

Perpaduan, hindari peteh-memeteh kunci utama kejayaan BN

Oleh: Aida Abd rahman dan Amirullah Othman

Perpaduan di kalangan jentera parti serta hindari anasir peteh-memeteh menjadi kunci utama kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, berkata setiap jentera parti sama ada pemimpin dan ahli perlu saling bersatu-padu serta menjauhi sikap gemar mencantas semasa sendiri akibat tidak puas hati.

 “Tidak kira siapa calon yang penting kita berjuang bermati-matian untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional di DUN Bukit Payong.

“Saya pasti kekalahan BN pada PRU lalu di DUN Bukit Payong dengan hanya majoriti 113 undi bukan kerana Pas kuat tetapi terdapat sebilangan pengundi Barisan Nasional sendiri yang khianat terhadap parti,” katanya di majlis Komunikasi Patriotik anjuran unit Komunikasi Negeri Terengganu, di Hotel tanjong Vista, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong dan Ketua Bahagian Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Superitendan Ridzuan Abdul Aziz.

Seramai 200 orang jentera parti daripada 23 cawangan dalam Dun Bukit Payong hadir di program itu.

Encik Zaidi juga mengharapkan kerjasama antara semua jentera, baik Wanita, Pemuda mahu pun Puteri bagi memastikan BN berupaya bergelar `johan’.

Katanya, ini kerana dalam politik tiada istilah `naib johan’, walaupun satu majoriti undi boleh menentukan siapa pemerintah di DUN mahu pun Parlimen.

Selain itu, beliau turut mengambil pendekatan dengan memanggil satu per satu cawangan bagi membuat bacaan sikap supaya satu keputusan yang tepat dapat dicapai sebelum menjelangnya PRU13 nanti.

“Alhamdulillah, setakat ini mood rakyat dalam DUN Bukit Payong menampakkan perubahan dan peningkatan positif terutama dari aspek sokongan seluruh lapisan masyarakat terhadap setiap program yang dianjurkan oleh Pejabat Dun Bukit Payong dan juga Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya.

Beliau juga mengingatkan setiap jentera yang hadir di program itu supaya jangan bertelagah sesama sendiri dan jangan mengharapkan orang lain untuk mencapai kemenangan, sebaliknya harus sama-sama memainkan peranan berjuang bermati-matian supaya kemenangan menjadi milik BN dan Umno.

Beliau berkata, bukan hanya DUN Bukit Payong, malah 31 DUN dan lapan Parlimen di seluruh Terengganu juga tidak mustahil mampu ditawan BN jika semua anggota parti melaksanakan gerak kerja yang tersusun dan bersungguh-sungguh, selain mengekalkan perpaduan dan kesetiaan yang utuh terhadap parti.
 

Khatam Quran sebelum masuk sekolah menengah

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said
Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan akan memastikan semua pelajar di sekolah rendah di negeri ini akan khatam al-Quran sebelum melangkah ke tingkatan satu di sekolah menengah.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, komitmen pelajar terhadap pengajian al-Quran semakin menurun bila berada di sekolah menengah akibat tugasan sekolah yang semakin bertambah.

“Saya harap ibu bapa beri tumpuan dalam hal ini dan pastikan anak-anak mereka dapat khatam sebelum habis tahun enam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Khatam al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak semalam.

Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama pelajar kelas KAFA yang berjaya Khatam al-Quran.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.

 Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh; Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail; wakil Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Haji Ali Mohamad dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Haji Rozali Salleh.


Menteri Besar melahirkan rasa bangga di atas pencapaian pelajar-pelajar kelas KAFA yang mampu membawa negeri ini muncul negeri terbaik untuk lima tahun berturut-turut.

“Kerajaan negeri terima peruntukan berjumlah RM36 juta setahun daripada JAKIM bagi pembiayaan kelas-kelas KAFA di seluruh negeri,” katanya.

Katanya, bayangkan berapa banyak yang dibelanjakan oleh Kerajaan Pusat untuk negeri-negeri bagi memastikan pendidikan agama generasi kecil ini terus subur dijiwa mereka.

Seramai 21,610 pelajar kelas KAFA berjaya khatam Quran tahun ini yang diadakan serentak lapan kawasan parlimen seluruh negeri dan daripada jumlah itu 1,600 pelajar telah menggunakan e-book.


Bagi Parlimen Besut, majlis khatam berlangsung di Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja membabitkan 3,186 pelajar dan perasmi ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar.

Parlimen Setiu di Masjid Bandar Permaisuri (2,653 pelajar), Parlimen Marang, di Masjid bandar Marang (2,551), Parlimen Hulu Terengganu di Masjid Sultan Mahmud Kuala Berang (1,933), Parlimen Dungun di Masjid Sultan Mahmud, Bandar Al Muktafi Billah Shah (2,555) dan Kemaman di Masjid Sultan Ahmad (2,349) oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera.

 “InsayaAllah, jika kerja-kerja pembaikan Stadium Sultan Mizan selesai, tahun depan kita akan himpunkan semua pelajar seluruh negeri untuk khatam serentak di stadium itu,” katanya.

 

Jangan terpedaya dengan pemimpin pembangkang-MB

Menteri Besar menyapa Dr Chandra Muzaffar sebaik tiba di majlis bersama guru di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Oleh: Suriati Ali 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta penduduk negeri ini supaya tidak terpedaya dengan mana-,mana pemimpin pembangkang yang gemar menggunakan Islam sebagai alasan untuk memancing undi.

Katanya, mereka bijak memutarbelit isu berkaitan Islam sehingga timbul kecelaruan dan keraguan dikalangan masyarakat untuk menilai baik atau buruk kerajaan memerintah.

Ikrar sebahagian daripada guru yang menghadiri majlis berkenaan.
“Puak jenis ini sewajarnya diketepikan kerana tiada pegangan kukuh untuk menjadi pemimpin.

“Pemimpin Pas yang mendakwa menegakkan Islam sebenarnya melakukan tindakan mengikut hukum mereka sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Menteri Besar Terengganu Bersama Guru, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang kelmarin.


Hadir sama, Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Haji Zakaria Hussin dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.


Dato’ Seri Haji Ahmad turut meminta penduduk negeri ini menolak Anwar dan Pakatan Rakyat kerana pemimpin parti itu banyak melakukan kegiatan yang mengkhianati negara termasuk menganjur Perhimpunan haram Bersih.

 “Sama-samalah kita pelihara kerajaan yang ada sekarang ini kerana pemimpin Barisan Nasional (BN) melakukan semua perkara yang sepatutnya disediakan kepada rakyat negeri ini,” ujar beliau.

 

iHEAL Terbang ke Palembang

Oleh FAUZI MOHD

iHeal Medical Services Sdn. Bhd. (iHeal Medical), projek usahasama Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWT) kini melebarkan sayap perkhidmatan kesihatan ke Palembang, Indonesia.


Perkara itu dicapai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani iHEal Medical dengan Pemerintah Kota Palembang di Indonesia Jumaat lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said ketika ditemui Teganukita berkata, pusat perubatan pakar yang beroperasi di Kuala Lumpur itu akan memberi perkhidmatan kesihatan khususnya rawatan penyakit jantung kepada pesakit dari Palembang.

“Sejak beroperasi pada Jun 2010, iHeal Medical telah menerima tujuh pesakit jantung dari Palembang termasuk seorang Ahli Parlimen yang membuat pembedahan dan rawatan berkaitan jantung selain pesakit Indonesia dari daerah-daerah lain.

“Menerusi MoU ini juga, pesakit jantung yang dirujuk ke rumah-rumah sakit di Palembang akan diterbangkan ke iHEAL untuk rawatan pakar yang terbaik,” katanya selepas majlis menandatangai MoU itu di Palembang, Indonesia.



Mou itu ditandatangani Pengarah Perubatan iHeal Medical, Dr. David Khoo Sin Keat dan Walikota (Dato’ Bandar) Palembang, Ir. Eddy Santana Putra dengan disaksikan Dato’ Seri Ahmad.

Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata, bilangan warga Palembang dijangka bertambah susulan Mou itu serta kemudahan perkhidmatan penerbangan terus yang disediakan AirAsia dari Palembang ke Kuala Lumpur.



"iHeal sudah pasti akan merebut peluang ini kerana saya diberitahu rumah-rumah sakit di Palembang masih belum memiliki kepakaran dan kemudahan seperti yang terdapat di iHeal.

"Dengan kepadatan penduduk 1.7 juta orang di kota ini, saya tidak menolak kemungkinan di masa akan datang, kita akan meneliti untuk membina cawangan di sini atau bertukar tenaga doktor pakar," katanya.



Sejurus selepas itu, Dato’ Seri Ahmad dan rombongan turut melawat Rumah Sakit Umum Daerah Palembang Bari iaitu salah sebuah daripada 26 rumah sakit dan klinik yang terdapat di kota berkenaan.













Terengganu Pelawa Media Palembang Promosi TMT 2013

Oleh FAUZI MOHD

Hubungan baik antara Kerajaan Terengganu dan Pemerintah Kota Palembang wajar dipertingkat menerusi kerjasama dalam sektor pelancongan, kata Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said.



Menurut beliau, kedua-dua wilayah memiliki keunikan tersendiri yang boleh dipromosi bersama termasuk Terengganu yang begitu giat melancarkan kempen Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, tahun depan.


“Saya mempelawa media di Palembang khususnya untuk berkunjung ke Terengganu bagi mempromosi produk pelancongan serta meneroka potensi yang ada.

“Untuk itu, Kerajaan Terengganu sedia membiayai kos lawatan itu bagi memberi peluang kepada beberapa media cetak dan elektronik di Palembang mengenali dan mempromosi Terengganu kepada rakyat di sini,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad berkata demikian pada majlis makan malam bersama Dato’ Bandar Kota Palembang, Ir. Eddy Santana Putra di River Side Restoran, Sungai Musi, Palembang Khamis lalu.


Sementara itu, Ir. Eddy Santana dalam ucapannya berkata, Palembang kini sedang berusaha untuk menjadi sebuah bandar yang bersih dan selamat bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke kota berusia 1,329 tahun itu.

Katanya, Palembang yang merupakan kota tertua di Indonesia dirancang oleh pemerintah di republik itu untuk menjadi sebuah bandar pelancongan bersejarah.

“Banyak peninggalan daripada Kerajaan Srivijaya pada dahulu kala masih diterokai. Sebab itulah proses pencarian harta karun di sini sudah menjadi satu kerjaya yang cukup lumayan.

“Apa yang saya pelajari ketika melawat negeri Melaka di Malaysia, nilai sejarahnya cukup tunggi untuk sektor pelancongan di Palembang,” katanya sambil menyatakan hasrat akan berkunjung ke Terengganu pada masa akan datang.







20 October 2012

Empat Sumber Utama Menjana Ekonomi Negeri

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Dato'Seri Haji Ahmad Said ketika memberi ucapan dasar
Pembengkelan Sub Manifesto BN Terengganu.
Terengganu di bawah Barisan Nasional (BN) mensasarkan empat sumber utama bagi menjana ekonomi negeri iaitu membabitkan minyak dan gas, bijih besi, bio teknologi dan pelancongan.

Kesemua ini akan menjadi sumber pendapatan yang terpenting bagi negeri Terengganu untuk kepentingan rakyat, kata Pengerusi BN Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said.

Menurutnya yang juga Menteri Besar Terengganu, hasil sumber minyak dan gas boleh menyumbangkan sekurang-kurangnya RM2 billion setahun.

Minyak dan gas Terengganu masih boleh bertahan lagi walaupun kandungan karbonnya semakin tinggi, memerlukan kos yang tinggi untuk pemprosesannya.


"Terbaru syarikat carigali telah menandatangani kontrak dengan Petronas untuk selama 25 tahun lagi menjalankan proses cari gali itu di luar pantai Terengganu," kata Dato' Seri Ahmad Said ketika menyampaikan ucap utama di Perbengkelan Sub Manifesto BN Terengganu untuk Piliharaya Umum (PRU) ke 13 di Ri-Yaz Heritage, Duyong Terengganu.

Manakala bijih besi masih banyak kandungannya di Bukit Besi di samping penemuan di suatu kawasan baru di negeri ini yang agak banyak kandungannya.

“Dianggarkan masih ada kira-kira 50 juta tan metrik kandungan besi di Bukit Besi,” katanya. Manakala dari segi pelancongan, Tasik Kenyir akan jadi tasik bekas cukai Ogos 2015, yang ketiga di dunia selepas tasik di Switzerland dan Itali.


Sumber keempat katanya ialah Taman Polimer kilang yang berasaskan bio teknologi dan kimia yang jumlah pelaburan sehingga RM7 billion dengan lebih 10 ribu peluang pekerjaan.

 

21,610 pelajar Kelas KAFA khatam Quran

Sebahagian 21,610 pelajar kelas al-Quran dan fardu Ain (KAFA) berjaya khatam al-Quran.
Oleh; Esah Abdullah

Seramai 21,610 pelajar Kelas al-Quran dan fardu Ain (KAFA) dari tahun satu hingga enam seluruh negeri berjaya khatam al-Quran tahun ini berbanding 20,133 pelajar tahun lalu.

Majlis khatam al-Quran telah diadakan serentak hari ini di lapan Parlimen iaitu Besut (3,186), Setiu (2,653), Kemaman (2,349), Dungun (2,555), Hulu Terenggau (1,933), Marang (2,551) dan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Batu Rakit (6,383).


Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang merasmikan majlis khatam bagi Parlimen Kuala Terengganu di stadium Tetutup Kompleks Sukan Gong Badak turut berlintas langsung bersama YB Haji Rozi Mamat yang merasmikan majlis di Hulu Terengganu dan Dato’ Haji Mohamad Awang Tera bagi Parlimen Kemaman.

Pada majlis itu adik Nur Hidayah Azmidi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Jaya Setiu menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Peperiksaan Kelas KAFA (UPKK) Peringkat Negeri yang membawa pulang wang Tunai RM500, medal dan sijil penghargaan.

Manakala adik Umairah Ramli dari SK Teluk Pasu mendapat tempat kedua dan adik Muhammad Nor Haikal Abdul Rahman dari SK Alor Peroi Besut tempat ketiga masing-masing menerima RM400 dan RM300, medal serta sijil penghargaan.


Turut menerima penghargaan adalah tujuh pelajar terbaik UPKK Peringkat Parlimen (RM200 setiap seorang) , tujuh buah sekolah terbaik UPKK (RM500) dan sekolah terbaik Khatam al-Quran (RM500) yang dimenangi SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu.

Hadiah-hadiah pemenang telah disampaikan oleh Menteri Besar disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri YB Haji Muhammad Ramli Nuh; Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail; wakil Ketua Pengarah jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Haji Ali Mohamad dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Haji Rozali Salleh.

 

SUK hadir makan malam sempena Sultan Mizan Cup 2012

Dato' Haji Mazlan Ngah bersama penaja dan peserta Sultan Mizan Cup 2012.
Oleh: Kamarudin Mat Akib

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, menghadiri majlis makan malam sempena Sultan Mizan Cup 2012 di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong, malam ini.

 Pada majlis itu juga para penaja kejohanan tersebut turut menyerahkan cek masing-masing bagi menjayakan kejohanan berkenaan yang akan bermula petang esok.


Hadir sama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ketua-ketua jabatan, peserta kejohanan dan wakil syariklat-syarikat yang menaja kejohanan berkenaan.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijadualkan menyempurnakan ‘flag off’ kejohanan itu pada jam 5 petang esok.

 

19 October 2012

600 nelayan Besut terima elaun sara hidup

Oleh: Mohmmad Ishak

Seramai 600 nelayan daerah Besut menerima bayaran elaun sara hidup yang disampai secara tunai kepada nelayan terbabit hari ini.

Majlis yang berlangsung di Kompleks Rakan Muda Besut, Kampung Raja itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Kemajuan Ikan Malaysia (LKM),Datuk,Mohd Khaidir Hamzah.


Pengagihan wang sara hidup bernilai RM200 sebulan yang sebelum ini dimasukkan ke dalam akaun penerima kini diberikan secara tunai bagi memudahkan nelayan terbabit.

Mohd Khaidir berkata, nelayan pembayaran elaun sara hidup itu sepatutnya ditamatkan pada 2010 tetapi kerajaan membuat pertimbangan untuk meneruskan elaun berkenaan kerana prihatin terhadap golongan nelayan.

Menurutnya, Perdana Menteri,Dato’ Seri Najib Tun Razak yang prihatin dengan nasib nelayan bersetuju untuk meneruskan pemberian elaun itu kerana tidak mahu nelayan menghadapi masalah menyara hidup keluarga.

Beliau berkata, dalam pembentangan bajet 2013 Perdana Menteri juga mempuruntukan RM230 juta untuk membantu nelayan di seluruh negara.

Selain memberi subsidi disel dan elaun sara hiduk kerajaan melalui LKIM juga menyediakan kemudahan membaik pulih rumah nelayan.

Sehubungan itu,60,000 nelayan seluruh negara kini menikmati pelbagai kemudahan yang disalurkan oleh kerajaan untuk membantu golongan terbabit.