Halaman

25 October 2012

JKM utama keperluan anak yatim

Oleh: Noraini Jusoh 

Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa mengutamakan keperluan anak-anak yatim Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi terutamanya berkaitan dengan pendidikan mereka.

Penghuni Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi merakam kenangan bersama Serikandi.
Penyelaras Kanak-Kanak Daerah, Monira Sulaiman berkata, JKM bertanggungjawab memantau pusat jagaan ini dan memberikan sejumlah peruntukan kepada penjaga rumah kebajikan itu khusus untuk keperluan harian dan persekolahan penghuninya.

Ketua Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Haji Abu Bakar Awang berkata, pusat jagaan ini mula beroperasi pada tahun 1993 dengan satu blok yang telah disumbangkan oleh seorang insan prihatin yang menempatkan 16 orang penghuni.

“Lima tahun kemudian, satu blok lagi bina juga atas sumbangan insan yang baik hati,” ujarnya yang telah menabur bakti menjaga anak-anak yang kurang bernasib baik ini bersama dua keluarga lagi sejak 1 Mei 1999.


Katanya, buat masa ini, 20 anak yatim terdiri daripada keluarga miskin dan keluarga bermasalah ditempatkan oleh JKM di pusat jagaan ini.

“Walaupun tidak tinggal dengan keluarga kandung atau saudara mara, mereka tidak pernah kekurangan kasih sayang dan pendidikan kerana saya dan penjaga yang lain menganggap mereka seperti anak sendiri dan memberikan pendidikan agama yang sempurna.

“Buat masa sekarang, nasib 12 anak lelaki dan lapan perempuan ini juga tidak akan terabai kerana segala keperluan harian dan pendidikan mereka sentiasa mendapat sumbangan daripada JKM, lembaga pelawat, NGO, serta orang perseorangan.

“Saya berharap sumbangan ini akan berterusan agar masa depan anak-anak ini terbela,” ujarnya ketika ditemui Teganukita sempena lawatan isteri Menteri Besar ke Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, semalam.

Menurut Haji Abu Bakar lagi, sejak penubuhannya, pusat jagaan ini telah berjaya menjadikan bekas penghuninya sebagai seorang jurutera, guru dan ada yang masih menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Harapan saya kepada penghuni disini cuma satu iaitu rebutlah peluang yang diberikan dengan belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib diri sendiri dan hargailah jasa orang ramai kepada mereka,” katanya.

 

YPU ingin lahir usahawan jutawan

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) berazam untuk mewujudkan komuniti usahawan Terengganu yang mantap dan akan menjadikan negeri sebagai hub usahawan pelbagai produk.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik (gambar) berkata, pihaknya sentiasa berusaha memberi suntikan semangat kepada usahawan di negeri ini untuk mengembangkan perniagaan dengan membawa beberapa tokoh usahawan berjaya di negara ini untuk memberi motivasi bagaimana cara merintis jalan ke puncak.


“Kita yakin sebagai satu-satunya yayasan di negara ini yang diwujudkan oleh kerajaan negeri khusus untuk melahirkan usahawan jutawan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di program Luncheon Talk bersama Datuk Maznah Hamid di Hotel Permai Kuala Terengganu.

 Setakat ini katanya, YPU telah mewujudkan ruangan sahabat usahawan dan portal usahawan dalam usaha mendaftar seberapa ramai usahawan di negeri ini serta memberi peluang mereka mempromosikan produk masing-masing kepada umum.

Katanya, dalam bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri menyediakan peruntukan RM50 juta untuk pinjaman bagi perniagaan ‘online’ dan ia selari dengan kewujudan YPU e-Mall yang menyediakan kaedah jualan secara dalam talian dan peluang ini harus direbut oleh usahawan di negeri ini.

Tambahnya, YPU juga telah mengadakan beberapa perjanjian usahasama dengan pelbagai agensi di seluruh negara dan berharap peruntukan RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri di bawah Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terutama bagi pembiayaan pinjaman, kursus pembungkusan dan pemasaran merupakan sinar baru kepada usahawan untuk bergerak lebih aktif.

“Hasrat kita ingin melihat usahawan di negeri ini bukan setakat berlegar dalam negeri dan negara sahaja sebaliknya dapat pergi lebih jauh hingga menembusi pasaran luar negara,” katanya.

Beliau seterusnya berharap, mereka yang telah berjaya tidak terus meninggalkan rakan-rakan yang lain sebaliknya harus sentiasa berganding serta meluaskan lagi jaringan perniagaan bersama-sama.

Berhubung dengan program Luncheon Talk, hampir setiap bulan diadakan dengan menjemput tokoh-tokoh usahawan terkenal dalam negara   bagi membuka minda usahawan di negeri ini.

“Kita akan mengenakan sedikit bayaran kepada usahawan yang ingin menghadirinya dan setiap mereka yang ingin berjaya tentunya perlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit,” katanya.

 

Jentera BN Manir diminta bersama-sama perkemaskan strategi

Oleh: Suriati Ali

 Semua jentera Barisan Nasional (BN) terutama golongan muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir diminta bersama-sama memperkemaskan strategi bagi memastikan BN dapat merampas kembali DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kelak.

 Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam (gambar), berkata dia yakin hasil kerjasama semua disamping mendapat sokongan kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said ia pasti berjaya.

“Bermula sekarang, marilah kita bersama-sama gandakan usaha dan buang sikap ego jika benar-benar serik berada di bawah `ketiak’ kepimpinan Pas di mana sehingga kini tiada sebarang pembagunan dilaksanakan.

“Kita perlu bekerja keras mendekati dan memberi penerangan kepada rakyat, terutama golongan muda yang mungkin tidak begitu menghayati apa yang diperjuangkan oleh pemerintah hari ini,” katanya pada Majlis Komunikasi Patriotik, di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, semua pihak mesti akui PRU yang bakal ditempoh nanti adalah paling mencabar dan perlu tempuhinya dengan pelbagai persediaan.

"Jangan ada lagi istilah `cah keting’ sesama sendiri sebaliknnya perlu berjuang bermati-matian supaya kemenangan menjadi milik BN dan Umno,” katanya


 

MSN anjur Kejohanan Futsal

Oleh: Suriati Ali

 Majlis Sukan Negeri akan menganjurkan Kejohanan Futsal bawah 20 tahun pada 3 November depan bertempat di Gelanggang Futsal Sport Planet, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Pengarahnya, Zainal Abidin Hussin (gambar), berkata penganjuran kejohanan itu cukup penting bagi mencari bakat baru dan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur tahun depan.

 “Ia adalah salah satu program berterusan bagi memartabatkan sukan itu di kalangan remaja dan belia di Terengganu seterusnya mengentahkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Pada kejohonan ini nanti, kategori lelaki dan wanita akan dipertandingkan dan bakal merebut hadiah keseluruhan sebanyak RM8,000,” katanya.

 Johan kategori lelaki akan membawa pulang wang tunai RM3,000, kedua, RM1,500 dan tempat ketiga dan keempat masing-masing RM500.

Manakala kategori wanita RM1,000 (johan), RM700 (kedua) dan ketiga dan keempat pula RM400. Encik Zainal turut memberitahu, kejohanan yang bakal dianjurkan itu menjadi platform kepada pihaknya untuk memilih pemain berbakat sebelum diserapkan ke dalam skuad Terengganu menjelang Sukma akan datang.

Jesteru itu, siapa yang berminat untuk menyertai kejohanan yang berlangsung sehari itu boleh mendapatkan borang penyertaan di pejabat MSN, Gong Badak, Kuala Terengganu dengan kadar yuran yang dikenakan RM50 setiap pasukan.

 


Operasi bersepadu menjelang Aidiladha



Oleh: Mohammad Ishak

LIMA agensi  penguatkuasa mengadakan operasi bersepadu di Kampung Air sejuk, Setiu hari ini berjaya mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan pengguna jalanraya termasuk lima kes membabitkan penyalahgunaan dadah.

Operasi yang diadakan selama 4 jam itu disertai Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Trafik, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ,Bahagian Kawalan Filem, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KDNKK).

Penolong Pengarah Penguatkuasa JPJ Negeri, Hashim Borhan yang mengetuai operasi berkata lima kes penyalahgunaan dadah telah dikesan oleh anggota AADK apabila membuat saringan urin terhadap 60 pengguna jalanraya dalam operasi berkenaan.

Katanya, mereka membabitkan pemandu kereta dan menunggang motosikal yang apabila disaring didapati positif Methempetamine (pil kuda) dan tindakan lanjut telah diambil oleh AADK terhadap mereka.

 “ Selain itu pihak polis juga telah mengeluarkan 40 saman terhadap pemilik kenderaan yang didapati telah mengubah rekabentuk kenderaan mereka disamping menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mematuhi peraturan”, katanya kepada media selepas mengadakan operasi di lokasi pemeriksaan.

Menurut Hashim secara keseluruhannya sebanyak 215 buah kenderaan telah diperiksa dalam operasi itu dan darnya JPJ juga telah mengeluarkan 39 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan terutamanya memandu tanpa lessen dan penggunaan cukai jalan yang telah tamat tempoh.

Katanya, operasi bersepadu itu juga turut memberikan tumpuan kepada kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam seperti bas awam, bas ekspress dan bas pelancong.

 “ Enam buah pengangkutan perdagangan turut diberikan notis kerana membawa muatan melebihi had membabitkan lori membawa besi dan lori perabot. Kesemua kesalahan akan dirujukkan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD)”, katanya.

Beliau berkata, dalam Operasi Khas Motosikal yang diadakan di empat lokasi di seluruh diseluruh negeri pada 20 Oktober lalu , JPJ telah mengesan dan mengeluarkan notis saman kepada 200 penunggang motosikal.

 Katanya, pihaknya memberikan tumpuan khas kepada penunggang motosikal kerana mereka merupakan penyumbang tertinggi kes kemalangan maut setakat ini di Terengganu

T-Team melangkah ke fasa baru tahun depan

Menteri Besar ditemani SUK Terengganu menjawab pertanyaan wartawan pada sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman.
Oleh; Esah Abdullah

Pasukan T-Team akan melangkah ke fasa baru apabila bakal diuruskan secara profesional oleh seorang pengurus merangkap jurulatih yang didatangkan khas dari luar negara tahun depan.

 Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, langkah ini diambil untuk memberi keberkesanan terhadap corak permainan yang diuruskan oleh orang yang sama iaitu pengurus merangkap jurulatih malah bersama bermain di padang.

 “Setakat ini kita telah mengenalpasti beberapa pemain yang boleh mengalas tanggungjawab itu termasuk bekas penyerang Liverfool, Robbie Fowler,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, sebelum menerima pemain berkenaan mereka perlu menjalani ujian kecerdasan bersama pasukan sebagaimana yang ditetapkan oleh T-Team dalam usaha mencari penyerang untuk membantu pasukan pada musim depan.

Sehubungan itu, T-Team juga turut mengintai beberapa pemain import dari beberapa negara termasuk England serta pemain kelahiran Ghana, Derek Boateng, 29.

“Dengan kehadiran beberapa pemain ternama bersama pasukan T-Team diharap dapat menarik penonton untuk memenuhi bangku stadium musim depan,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini kehadiran penoton di stadium amat mengecewakan biarpun ketika itu T-Team beraksi dalam separuh akhir Piala Malaysia musim lalu ketika menentang Selangor dan berharao senario itu akan berubah.

 

Pilih BN negara aman

Oleh:Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman 

Hj Shamsudin Sulong
Pengundi di negeri ini diingatkan supaya memilih calon-calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 bagi memastikan BN terus memerintah, demi keamanan dan kesejahteraan negara.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri (Ukom), Haji Shamsudin Sulong, berkata hanya BN yang mampu menjaga keamanan negara dan kestabilan politik, berdasarkan sejarah pentanbirannya sejak dulu hingga kini.

Beliau berkata, pengundi di negeri ini perlu mengambil iktibar daripada kehancuran negara-negara lain seperti Syiria, Lubnan, Iraq, Palestin, Afganistan dan beberapa lagi negara Arab yang lain akibat politik yang tidak stabil dan perangan sesama sendiri.

“Percayalah tuan-tuan jika bukan BN yang memerintah negara ini selepas PRU-13, kita semua tidak akan dapat keluar rumah dengan aman, walaupun untuk ke masjid atau kubur kerana parti lain tidak mampu untuk menjaga keamanan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) di Hotel Vista malam tadi.

Hadir sama, Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan, Haji Azmi Razik; Penolong Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat (AMPT), Encik A. Latiff Awang, ketua-ketua cawangan Umno di DUN Rhu Rendang dan pengerusi-pengerusi JKKK.

Haji Shamsuddin berkata, parti Pas pula hanya memecahbelahkan rakyat dan menghasut mereka supaya menentang kerajaan.

“Tindakan yang dilakukan oleh Pas ini merupakan satu sikap yang bertentangan dengan lunas-lunas agama Islam. Orang Pas lebih rela memberi sokongan kepada DAP yang terang-terang anti-Islam.

Jadi buat apa lagi kita nak sokong Pas,” katanya. Beliau turut mengingatkan jentera UMNO dalam Dun Rendang supaya sentiasa bersedia dan jangan lalai kerana siren daripada YAB Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen bila-bila masa sahaja.


Pengundi Rhu Rendang, Parlimen Marang perlu pilih BN

Oleh :Amirullah Othman


Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Parlimen Marang tiada pilihan melainkan mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, berkata hanya ini pilihan yang ada bagi memastikan dua kawasan itu dibangunkan setanding dengan kawasan dan daerah lain.

“Jika kita tengok, Marang merupakan daerah paling mundur berbanding kawasan lain kerana lama berada di bawah pentadbiran parti pembangkang,” katanya ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Hadir sama Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan, Haji Azmi Razik; Penolong Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat (AMPT), Encik A. Latiff Awang, ketua-ketua cawangan Umno di DUN Rhu Rendang dan pengerusi-pengerusi JKKK.

Haji Nik Dir amat teruja dan berterima kasih dengan kehadiran semua jentera Umno yang akan bekerja dalam PRU 13 nanti kerana telah menunjukkan semangat yang kuat untuk hadir serta taat setia kepada parti.

Beliau amat mengharapkan kerjasama yang penuh dari semua jentera untuk memenangkan UMNO dan Barisan Nasional tanpa mengira siapa calon yang diletakkan oleh pucuk pimpinan di Dun Rhu Rendang.

Sejak PRU tahun 1986, Dun Rendang telah di tawan oleh pembangkang dan pada kali ini beliau ingin melihat dan pucuk pimpinan mengharapkan Barisan Nasional akan memenangi kerusi Dun Rhu Rendang.

“Jika ingin melihat Bandar Marang maju, Dun Rhu Rendang mesti dimenangi oleh Barisan Nasional kerana pusat bandar Marang berada dalam Dun Rhu Rendang,” katanya.


Kerajaan agih RM100,000 untuk guru, pelajar dan sekolah cemerlang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM100,000 bagi mengiktiraf kebolehan dan kemampuan guru, pelajar serta sekolah seluruh Terengganu yang mencapai keputusan terbaik dalam setiap peperiksaan awam, kurikulum dan kokurikulum di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

 Peruntukan itu diagihkan kepada 358 penerima anugerah mengikut 36 kategori di Majlis Karnival Pendidikan Terengganu, Anugerah Kecemerlangan Pendidikan, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, kelmarin (23 Oktober).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pengkitirafan itu merupakan satu usaha untuk meningkatkan lagi potensi diri dan kemampuan guru, pelajar serta pejabat pelajaran daerah sehingga Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) bagi memperkasakan sektor pendidikan negeri.

“Agenda menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu dapat dicapai menerusi pelbagai usaha memperkasa pendidikan melalui pengiktirafan kepada murid dan guru yang berjaya mempamerkan keterbilangan dalam bidang pendidikan.

 “Kita berharap bahawa kejayaan yang dapat dicapai selama ini dapat terus kita pertahankan sampai bila-bila..Insya-Allah,” katanya di sidang media selepas melancarkan program itu. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah JPNT, Encik Zakaria Hussin.

Kesemua penerima anugerah menerima sijil dan wang tunai di majlis yang bertemakan `Guru Penyayang, Murid Berkualiti’.

 

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Terengganu salur RM2 juta kepada KRT



Oleh: Mohammad Ishak

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Terengganu menyalurkan RM2 juta kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri ini bagi menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Tukimin Sarlan berkata, pengagihan menerusi geran pentadbiran itu membolehkan 371 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang ditubuhkan oleh jabatan itu dapat meenggerakkan ahli menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh pertubuhan itu.

Katanya, ketika ini terdapat lebih 7,000 ahli KRT dan komuniti setempat mendapat manfaat daripada penubuhan KRT yang sentiasa bergiat aktif menjalankan aktiviti di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun,katanya daripada jumlah itu masih ada 25 peratus daripada KRT yang ditubuhkan tidak bergerak aktif menjalankan aktiviti yang sepatutnya dilaksanakan oleh KRT terbabit.

“Pihak JPNIN sedang memantau KRT yang didapati tidak aktif supaya jawatankuasa dapat menggerakkan semula kerana tiada pihak jabatan sentiasa menyalurkan peruntukkan untuk menjalankan aktiviti,” katanya pada majlis Sambutan Perhimpunan Pemimpin Rukun Tetangga Peringkat Negeri Terengganu.

Majlis yang berlangsung di Dewan Besar Politiknik Sultan Mizan,Dungun itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Dato’ Zaa’ba Mohd Adib.

Pada majlis itu kira-kira 1,000 pemimpin dan ahli jawatankuasa KRT dari seluruh negeri ini menghadiri perhimpunan berkenaan.

Pada majlis sama Zaa’ba turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang, sempena sambutan bulan kemerdekaan negara tahun ini.