Halaman

18 January 2014

Suksis UNISZA berkhemah di Agro Resort.

DENGAR...sebahagian daripada 152 peserta Perkhemahan Tahunan Kor Sukarelawan Siswa Siswsi (Suksis) Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) mendengar taklimat daripada seorang jurulatih dari PDRM sebelum memulakan aktiviti mereka di Peladang Agro Resort, Setiu, hari ini.

Perkhemahan selama lapan hari itu adalah bertujuan untuk menanam kecintaan terhadap negara melalui pengajaran dan pembelajaran badan berunifom dan ianya dilatih seramai 10 anggota PDRM.

Shahzool..aktiviti tahunan.
Pengarah Pusat Pembangunan Holistik Pelajar universiti itu, Shahzool Hazimin Azizam berkata, antara aktiviti program yang diadakan ialah Tunjuk Arah, Aktiviti Lasak, ceramah motivasi dan beberapa aktiviti lain

"Perkhemahan ini adalah perkhemahan tahunan anggota Suksis manakala aktiviti lain ialah kita ada latihan setiap minggu dan setiap sebulan sekali di Unisza.

"Saya mengharapkan program ini dapat melahirkan bakal warganegara yang lebih mencintai negara dan lebih ketahanan mental dan fizikal kepada peserta," katanya- oleh: Aminudin Ismail.

Segak..antara peserta lelaki.

Bincang..beberapa Kakitangan Unisza dan anggota PDRM berbincang sesuatu.

Anggota Suksis wanita.
Rancang...peserta berbincang sebelum memulakan aktiviti.
Siap..peserta bersiap untuk memulakan aktiviti.

 

Iskandar tiup semangat atlet Sukma Terengganu.

Terima..seorang atlet menerima hadiah daripada Iskandar.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Kehadiran Exco Pemuda UMNO Malaysia yang juga Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar merasmikan penutup Mini Kem Sukma XVII 2014 Siri 2 yang diadakan di Peladang Agro Resort Setiu, hari ini meniupkan semangat peserta kem itu untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi memperolehi pingat dalam Kejohonan sukan.

Iskandar dalam ucapan semangatnya kepada kira-kira 170 atlet itu mahu semua atlet berusaha bersungguh-sungguh untuk mencipta kejayaan lebih cemerlang dalam Sukma XVII yang akan diadakan di Perlis nanti.

Semangat..atlet menyanyikan lagu sukan.
"Saya percaya dari segi fizikal, dari segi luaranya kita memang cukup mampu bersaing dengan atlet dari negeri lain. Saya percaya, kem ini, dalam tempoh tiga hari ini mampu untuk kalau tidak ke peringkat maksimanya sekurang-kurangnya dapat mempertingkatkan mental kita," katanya. 

Iskandar berkata, beliau mengharapkan setiap peserta membangunkan ketahanan mental supaya seiring dengan ketahanan fizikal bagi mencapai kejayaan yang lebih besar dalam Sukma nanti. 

"Kejayaan anak-anak Terengganu yang mengharumkan nama negeri dalam bidang yang keduanya ialah Sukan. Adik-adiklah yang akan mengharumkan nama negeri Terengganu. Jadi dalam tempoh tidak lama lagi kita akan menghadapi Sukma di Perlis, saya optimis kita akan jadi juara kerana kita tahu kita mampu untuk menjadi juara," katanya penuh semangat.

Menurutnya, kerajaan sudah melakukan semua perkara untuk pembangunan sukan kerana kerajaan tahu, selain bidang akademik, sukan adalah satu sumber pendapatan.

"Kita sedang menciptakan satu suasana di mana orang boleh cari makan dengan bermain sukan. Walaupun saya tidak kemana bermain sukan tetapi saya akan menjadi penyokong nombor satu sukan di negeri Terengganu," katanya.

Nasihat..Iskandar (membelakangi kamera) bersama athlet.
Iskandar juga sempat menasihati semua atlet supaya tidak meninggal solat walaupun sesibuk mana mereka berlatih atau bertanding sukan.

"Saya percaya hampir semua atlet adalah muslim, jadi kita jagalah solat kerana pada akhirnya segala usaha kerajaan sudah buat, jurulatih sudah memberi pelbagai ilmu kepada atlet, pegawai-pegawai sudah menyediakan segala-gala kemudahan, kitapun sudah berlatih bersungguh-sungguh dan kita juga kena bertawakal kepada Allah supaya sentiasa mendapat keredaanNYa," katanya.

Turut hadir pada program itu ialah, Timbalan Pengarah MSN, Ibni Amin Busu dan Pengurus Besar Peladang Agro Resort Setiu, Nik Wan Mustaffa.
Sebahagian atlet wanita yang hadir.

Atlet lelaki asyik mendengar ucapan Iskandar.


Hadiah disedikan untuk pertandingan aktiviti lasak.


Nik Muhammad (menembak)..cabar minda.

Alif Syafiq (Bowling Tenpin)...harap teruskan kem.

Nabila Yasmin...mencabar.

Elia..seronok sertai kem.

Aminurrasyid...pertama kali sertai Sukma.
Kenangan...lima atlet sempat bergambar kenangan sebelum pulang.
Sokongan..beberapa tetamu jemputan yang hadir.
Ikrar..atlet penuh semangat berikrar.
Tertarik..beberapa atlet tertarik dengan ucapan Iskandar.


 

MB luang masa bersama warga WDI

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, sempat meluangkan masa hampir sejam bersama kira-kira 3,000 kakitangan dan keluarga warga Wisma Darul Iman (WDI), hari ini.
Acara tahunan yang menawarkan hadiah cabutan bertuah utama dua buah motosikal Yamaha itu diadakan di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu.

 Hadir sama memeriahkan majlis, isteri Menteri Besar, To’ Puan Hajah Norliza Mahmud dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Dato’ Seri Haji Ahmad berharap supaya hari keluarga seumpama itu menjadi medan bagi mengeratkan hubungan di kalangan kakitangan bersama ahli keluarga.

Katanya, hubungan baik seumpama itu wajar diteruskan setiap kali berurusan dengan masyarakat luar dan memberi perkhidmatan terbaik supaya imej sektor awam sentiasa baik dan dihormati semua pihak.

 “Ia juga selaras dengan konsep yang kita terapkan iaitu `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ , di mana rakyat diutamakan dan mereka akan berasa lebih selesa dalam apa jua aspek,” katanya.

Antara acara yang disediakan termasuk cabutan bertuah, penyampaian hadiah kepada anak-anak kakitangan yang cemerlang dalam peperiksaan awam 2013; sumbangan kepada kakitangan bersara dan sukaneka untuk kanak-kanak mahu pun dewasa.

Pada malam sebelumnya diadakan pertandingan karaoke yang disertai lebih 30 kakitangan KWDI yang mewakili kelab masing-masing dan berjaya tampil dengan bakat serta gaya tersendiri.

 

UMNO bentuk jawatankuasa perkukuh parti

Sebuah Jawatankuasa Kerja Biro Penerangan UMNO Terengganu dibentuk bagi memperluas dan memperkukuhkan peranannya ketika UMNO semakin berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

 Jawatankuasa itu mengandungi 11 jawatankuasa kecil yang dianggotai pelbagai peringkat kepimpinan termasuk Exco Kerajaan negeri, selain Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin di peringkat bahagian di negeri ini.

Selain itu, ia turut turut dianggotai pengerusi penerangan di lapan bahagian UMNO, badan-badan bukan kerajaan (NGO), para pemimpin masyarakat serta mereka yang setia dan penyokong BN daripada pelbagai lapangan.

 Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, 11 jawatankuasa kecil itu terdiri daripada jawatankuasa pengurusan; risikan, gerak saraf dan propaganda; latihan dan pengkaderan penceramah; jabatan serta agensi kerajaan dan swasta.

 Lain-lain ialah jawatankuasa belia dan NGO; Pemuda, Wanita, Puteri UMNO; veteran dan penerbitan media massa serta siber. Beliau seterusnya yakin dengan penubuhan jawatan kerja baharu itu akan dapat melaksanakan tugas serta tanggungjawab sebagai agensi penerangan yang lebih berkesan dan bersifat kontemporari.

 

Petronas Sumbang RM5 juta Untuk Mangsa Banjir

KEMAMAN 17 Jan – Sumbangan berjumlah RM5 juta disalurkan Petronas kepada seramai 21,000 keluarga yang terjejas teruk akibat banjir di seluruh Pantai Timur dengan sesi pengagihannya dijangka selesai sebelum akhir bulan depan.
Ketua Bahagian Komunikasi Strategik Petronas, Norliza Kamaruddin berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya kepada mangsa banjir di tempat mereka beroperasi iaitu di Terengganu, Pahang dan Kelantan.
“Untuk di Kemaman, bantuan ini akan disalurkan kepada kira-kira 15,000 keluarga mangsa banjir. “Sementara selebihnya iaitu bantuan kepada 6,000 lagi keluarga di Kuantan dan Pasir Mas dijangka selesai pada akhir Februari depan,” katanya selepas menyerahkan replika cek bantuan berjumlah RM3.4 juta kepada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dalam program di Masjid Pasir Gajah, Air Putih, hari ini.
Katanya, simbolik penyerahan replika cek itu menjadi fasa pertama pengagihan bantuan itu kepada mangsa banjir di Terengganu.
 “Diharap sedikit sumbangan ini mampu meringankan beban penderitaan keluarga mangsa banjir di Pantai Timur,” katanya.
 Setiap keluarga mangsa banjir akan menerima satu set alas tidur dan baucer dari Petronas bernilai RM150 untuk membeli barangan dan keperluan di Kedai Mesra Petronas serta membeli minyak di stesen itu.




17 January 2014

Sekitar ziarah YB Zul, Dato' Sabri ke Zon 4, Langkap.

Mesra...Sabri(baju hitam) bersama Zulkifly di rumah seorang wargatua.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

LANGKAP: Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh dan Adun Langkap, Dato’ Sabri Mohd Nor mengambil masa sehari suntuk menziarahi seramai kira-kira 25 penduduk yang uzur dan sakit di lapan kampung di Zon E, di dun, hari ini. (17.1.2014)

Zulkifly dan Sabri yang berkonvoi bersama kira-kira 50 peserta lain yang terdiri daripada JKKK, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO kawasan Langkap dengan menaiki kira-kira 15 buah kenderaan menghulurkan bantuan sejumlah wang dan hamper kepada penduduk terbabit.

Teganukita turut bersama kedua-dua YB itu yang memulakan konvoi kira-kira jam 9 pagi dan berakhir kira-kira jam 6 petang itu dengan mengunjungi lima buah rumah di Kampung Pak Ba selepas berhenti seketika di Kampung Bukit Nenas untuk makan pagi.

Bersama Ahmad Nawi yang lumpuh.
Antara rumah yang dikunjungi di kampung itu ialah rumah Mat Yaakob Mahmud , 75, yang mengalami penyakit kanser pipi sejak lapan bulan lalu dan rumah Ahmad Nawi Mohd, 61 yang lumpuh kerana terjatuh ketika memasang atap pada 2006 lalu.

Selepas itu, rombongan berkunjung pula ke Kampung Tayor Tengah, Kampung Bukit, Kampung Sungai Las, Kampung Bukit Munduk, Kampung Alor Lik dan Kampung Bukit Aman dan Bukit Lawang.

Sabri berkata, lawatan Program Ziarah Cakna Rakyat itu adalah untuk menghulurkan sumbangan kepada pesakit yang uzur dan sakit bagi meringankan bebanan mereka.

“Ini adalah kunjungi pertama melalui program ini pada 2014, selepas ini kita akan mengunjungi kampung lain pula di kawasan Langkap ini untuk bertemu penduduk dan meringankan bebanan mereka yang memerlukan ,” katanya.
Di rumah Tengah Hitam di Tayor Tengah.

Isteri YB Zul (kiri) dan isteri Sabri bersama seorang wargatua.

Rombongan memasuki Kampung Bukit.


Berjalan kaki ke rumah pesakit.

Mohd Yaakob pesakit kanser pipi.

Pengarah Jasa turut hadir.


Sabri bersama pesakit kanser pipi.

YB Zul bersama seorang wartawan.

Ketua Wanita, Wan Nasiah (kanan) memimpin warga emas.


Jamuan turut diadakan.

Istri YB Sabri (tengah) bergambar kenangan.

PA Dato Sabri (baju belang) bersama rakan.

Selera..peserta menjamu selera.

 

40 pelajar UUM berkampung di Beris Lampu,Kuala Besut



Oleh: Mohammad Ishak 

Peluang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai program Khidmat Bakti Siswa Perdana di Kampung Beris Lampu,Kuala Besut, membuka minda peserta apabila mereka diberi pelbagai pendedahan ketika mengikuti program berkenaan.

Program empat hari bermula 14 Januari dan berakhir petang ini juga mendedahkan peserta dengan selok belok tinggal bersama keluyarga angkat selain mengenali budaya penduduk sebahagian besarnya nelayan.

Paling menarik peserta juga mendapat ilmu dalam bidang media apabila satu slot khas mengenai penulisan berita, blog dan facebook diadakan untuk pelajar terbabit.

Program dengan kerjasama Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) dikendalikan oleh Timbalan Pengarahnya, Ruslan Abdul Rahman yang memberi bimbingan dalam bidang kewartawanan akhbar dan media baru.

Pelajar sememangnya berminat mendengar ceramah mengenai kewartawan yang disampaikan Ruslan kerana banyak info dalam bidang berkenaan disampaikan pada sesi ceramah pendek tetapi berkesan.

Program itu turut mendedahkan pelajar dengan pelbagai aktiviti sosial, pendidikan,keagamaan, riadah dan gotong royong. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, YBM Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman melakukan upacara penutup program berkenaan.

Pusat Pemindahan Kekal, Kenderaan Amfibia Langkah Terengganu Hadapi Banjir

Oleh FAUZI MOHD
KEMAMAN 17 Jan.- Kerajaan Terengganu akan membina pusat pemindahan kekal dan perkhidmatan kenderaan amfibia sebagai persiapan menghadapi bencana banjir setiap hujung tahun.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, komponen pusat pemindahan pelbagai guna itu terdiri daripada dewan penginapan, surau, tandas, bilik mandi serta sistem bekalan air yang teratur.
Katanya, beberapa tempat yang sesuai dan selamat sedang dikenalpasti bagi tujuan itu.
"Selepas musim banjir atau tengkujuh pusat itu akan digunakan untuk pelbagai tujuan seperti aktiviti kemasyarakatan, belia dan sukan.
"Kita anggarkan kos pembinaan setiap satu RM500,000 dan kita akan bina beberapa buah di negeri ini seperti di Air Putih," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan banjir sumbangan Petronas di Pasir Gajah, Air Putih, Kemaman hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kerjaraya, Ir. Rosli Othman dan ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar.
Petronas menyumbangkan RM3.4 juta kepada mangsa banjir di Kemaman dan Resort World Kijal turut memberi bantuan berbentuk barangan.
Mengenai perkhidmatan kenderaan amfibia kata Ahmad, kerajaan negeri bercadang menyediakan kemudahan itu hujung tahun ini.

Menurutnya, kenderaan itu bersaiz seperti lori atau bas yang mempu membawa kapasiti penumpang yang lebih besar dan muatan barangan sehingga 10 tan.
"Selepas tenkujuh, kenderaan berkenaan akan digunakan di Tasik Kenyir bagi tujuan pengangkutan pelancongan", ujarnya.


Terengganu peruntuk RM26 juta untuk pembangunan sukan negeri tahun ini

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM26 juta untuk pembangunan sukan di Terengganu pada tahun ini bagi memastikan Terengganu terus unggul dalam bidang sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Rozi Mamat berkata peruntukan terbesar berbanding negeri-negeri lain tersebut membuktikan Terengganu terus komited dalam memastikan kejayaan Terengganu dalam melahirkan atlet-atlet yang cemerlang.

"Jumlah peruntukan tahun ini akan diagihkan untuk keseluruhan pembangunan sukan di negeri ini termasuklah untuk akademi, atlet, prasarana, kejurulatihan dan pertandingan.

"Peruntukan ini juga merupakan jumlah terbesar berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana kita mahu melahirkan atlet-atlet yang hebat, tidak kira di peringkat kebangsaan mahupun peringkat dunia," katanya pada sidang media pada Majlis Penyerahan Bas dan Penyampaian Biasiswa Sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia negeri, Mohd Mahdi Musa; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Zakaria Hussin serta pengetua SMK Bukit Nenas, Mohd Shariff Ab Latiff.

YB Rozi berkata, Terengganu juga telah membuat persiapan yang rapi menjelang Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 yang bakal berlangsung di Perlis pada 24 Mei ini.

"Kita telah mengadakan pelbagai persiapan rapi sejak tahun lalu, termasuklah latihan, pelbagai kem dan juga Mini Kem Sukma telah kita adakan bagi memastikan emas dan juara milik kita," katanya.

"Peruntukan besar pada tahun ini juga akan digunakan bagi memantapkan lagi setiap pasukan yang bakal bertanding dan kita mahu merebut kembali gelaran juara yang mana sebelum ini kita telah empat kali berturut-turut merupakan juara sukma, tetapi pada tahun lepas kita hanya menyandang gelaran naib juara," katanya.

 Sementara itu pengetua SMK Bukit Nenas Mohd Shariff berkata sumbangan sebuah bas yang diberikan kerajaan negeri itu dapat memudahkan pergerakan atlet di sekolah berkenaan untuk menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

 "Kita sebelum ini hanya ada sebuah bas, dan kita terpaksa menyewa bas dari luar untuk membawa atlet menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri sebab kita hanya ada satu gelanggang dan bas yang ada tidak mampu menampung jumlah atlet yang mahu menjalani latihan.

 "Alhamdulillah, dengan adanya bas ini kita tidak lagi perlu menyewa bas untuk membawa atlet menjalani latihan." katanya.

Mohd Shariff berkata pemberian biasiswa sukan sebanyak RM600 setahun untuk setiap seorang 100 pelajarnya yang tidak memperoleh biasiswa-biasiswa lain itu juga menunjukkan kerajaan negeri sentiasa komited dan menjaga kebajikan sekolah sukan pertama kerajaan negeri itu.




Satu bakal jalan operasi potong bekalan

Oleh: Suriati Ali

Syarikat Air Terengganu (Satu) akan mengadakan operasi pemotongan bekalan air secara besar-besaran jika didapati pengguna gagal menjelaskan bayaran bil, bermula Februari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Haji Husain Embong, berkata menjadi tanggungjawab kepada semua pengguna untuk menjejaskan bayaran bil dalam tempoh yang ditetapkan.

 “Pengguna sebagaimana yang diperuntukkan di dalam akta hendaklah membuat bayaran bil dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyerahan bil air sebagaimana yang dinyatakan di dalam Syeksen 89 (2) (a) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006.

 “Penguna yang gagal menjelaskan bayaran bil dalam tempoh berkenaan akan dikeluarkan notis pemotongan bekalan air selama 14 hari sebagaimana Syeksen 89 (3),” katanya kepada Teganukita.

Katanya, sekiranya pengguna masih gagal menjelaskan bayaran bil selepas tempoh ini, pemotongan bekalan air akan dilaksanakan mengikut Syeksen 89 (4) Akta yang sama.

“Bagi akuan pengguna yang telah dibuat pemotongan bekalan, bekalan air akan disambung semula dalam tempoh 24 jam setelah mereka menjelaskan bayaran bil semasa, tunggakan dan denda caj pemotongan.

 “Dalam keadaan yang di luar jangkaan atau atas sebab-sebab yang diluar jangka maka bekalan air akan disambung tidak lewat daripada 2 (dua) hari dari tarikh pembayaran penuh jumlah wang yang kena dibayar sebagaimana Syeksen 89 (7) Akta yang sama,” katanya.

 Menurutnya, oleh hal yang demikian, Satu ingin memaklumkan dan menasihatkan pengguna supaya menjelaskan bil penggunaan air masing-masing dalam tempoh yang telah ditetapkan.

 “Kerjasama serta sikap prihatin dari semua pengguna akan memberi manfaat menjurus kepada kehidupan lebih selesa dan harmoni tanpa risiko berdepan dengan masalah gangguan bekalan air yang boleh dielakkan,” katanya.