Halaman

27 May 2014

Exco lawat mangsa kebakaran di Seberang Jertih.

Terima Kasih...seorang mangsa kebakaran menerima sumbangan daripada Pehimi.
Oleh: Mohammad Ishak.

KERESAHAN hidup tiga keluarga yang menjadi mangsa kebakaran di Perumahan Awam Seberang Jertih,terubat apabila mereka dikunjungi pemimpin yang prihatin dengan nasib yang menimba keluarga terbabit.

Kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Pembangunan Wanita,Keluarga Masyarakat Negeri, Muhamad Pehimi Yusof yang melawat mangsa melegakan sedikit perasaan selepas mereka kini hilang tempat tinggal selepas rumah kediaman musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira 10.58 pagi semalam tiga rumah teres terbabit musnah apabila kebakaran yang bermula dari salah sebuah rumah di situ merebak ke rumah berdekatan.

Bagaimanapun, kecekapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berjaya menyelamatkan berpulah rumah lain daripada hangus terbakar. Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, memberi jaminan kerajaan negeri akan memberi apa juga bantuan untuk memulihkan kehidupan mangsa yang terjejas dengan kejadian itu.

Ketika menemui mangsa Muhamad Pehimi berkata, bagi mereka yang mempunyai tanah sendiri kerajaan negeri sedia memberi bantuan untuk membina rumah kekal kepada mangsa terbabit.

Sempena lawatan itu beliau turut menyampaikan bantuan segera kepada ketiga-tiga mangsa bagi meringankan beban hidup mereka.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh yang diwakili oleh Pegawai Khas,Rozali Embong, turut menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran terbabit.

 

Guru perlu bersikap proaktif dalam memajukan bidang pendidikan- A.Latiff Awang.

Tahniah...A.Latiff menyampaikan hadiah kepada Tokoh Guru Marang.
Oleh: Aminudin Ismail dan Amirullah Othman.

GURU-guru perlu melengkapkan diri secara global serta bersikap proaktif dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih kerana pengajaran yang berteraskan pengunaan komputer adalah antara pengisian kurikulum wawasan negara untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Selain itu, guru juga harus memainkan peranan bagi memperkukuhkan perpaduan dalam sesebuah masyarakat majmuk yang sedang mengalami perubahan nilai sosial dan politik yang ketara, kata Exco Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri , A.Latif Awang ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Marang di Sekolah Menengah Rusila, Marang, semalam.

Latiff sedang memeriksa perbarisan kadet Polis.
Dalam ucapan itu juga, A.Latif menekankan supaya setiap guru perlu meraikan keperlbagaian dan pada masa yang sama memperkukuhkan perpaduan dalam sebuah masyarat majmuk yang sedang melalui proses perubahan nilai sosial dan politik yang ketara.

"Sememangnya menjadi hasrat dasar pendidikan kebangsaan untuk memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini melalui sistem pendidikan yang mengutamakan perkongsian nilai, budaya dan cita-cita bersama," katanya.

A. Latiff berkata, guru-guru tidak seharusnya tidak menyokong kerajaan kerana pelbagai insentif diberi kepada guru dalam bidang pendidikan dan katanya, kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan yang besar pada setiap tahun untuk memajukan bidang pendidikan di negeri ini.

Sementara itu, bekas Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Wahid Setiu dinobatkan sebagai Tokoh Guru Daerah Marang 2014 manakala Pengetua Cemerlang pula ialah milik Kamariah Ali dari SMK (A) Durian Guling.

Zahari Ibrahim dari Sekolah Kebangsaan Kelulut di Anugerah Guru Besar Cemerlang manakala Othman Mohd pula diumumkan sebagai pemenang bagi Anugerah Guru Berjasa.

Pemenang Pegetua Cemerlang menerima sijil.

Latiff tiba di perkarangan SM Rusila.


Teruskan projek sedang berjalan asalkan mendapat faedah rakyat- MB.

Oleh: Aminudin Ismail.

MENTERI Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman, memberi jaminan akan meneruskan beberapa projek kerajaan negeri yang kini sedang dalam pembinaan termasuklah Pulau Bebas Cukai Kenyir supaya ianya tidak akan menjadi projek gajah putih dan akan mendapat faedah kepada rakyat.

“Setakat ini kita akan teruskan mana-mana projek yang sedia ada, saya akan buat dan mengkaji semula, sebab kita tidak mahu hari ini, projek-projek begini apabila tidak diteruskan atau kita mengambil satu keputusan yang drastik dan akhirnya ia menjadi gajah putih.

“Jadi kita akan melihat baliklah, dan kita akan membuat kajian balik dan kita akan pastikan setiap duit yang dibelanjakan itu memberi impak yang besar kapada rakyat,” katanya selepas merasmikan satu program di Setiu, baru-baru ini. (Sabtu)

Katanya, beliau akan membuat keputusan dengan berbincang dengan exco kerajaan negeri bagaimana jalan terbaik untuk meneruskan projek-projek itu.

“Jadi Insya Allah lah perkara ini kita akan buat keputusan tapi yang telah mendapat kelulusan dan sedang dilaksana kita akan teruskan tiada masalah,” katanya.

Bercakap mengenai Pulau Bebas Cukai Kenyir, Ahmad Razif berkata, projek itu akan diteruskan kerana ia akan memberi manfaat kepada rakyat dan negeri.

“Bagi kita pihak kerajaan negeri tiada masalah, sebab kita sudah mendapat kelulusan , kelulusan kita sudah dapat untuk jadikan Pulau Bebas Cukai. Tiada masalah kita akan teruskan, bukan senang untuk dapatkan satu kebenaran yang begini.

“Cuma pendekatan dan kaedah sahaja yang sedang kita kaji balik untuk memastikan penglibatan pihak-pihak lain untuk membantu kerajaan negeri Terengganu bagi menjayakan hasrat tersebut.

“Insya Allah, Kita akan teruskan dan yang kita jalankan, kita jalankan, Tiada masalah asalkan benda yang baik dan akan dapat kepada rakyat,” katanya.

 

26 May 2014

40 Puteri UMNO Besut/Setiu sertai 'Kempen Digital'.

Tekun...antara peserta yang hadir menyertai program.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SERAMAI 40 ahli Puteri UMNO Bahagian Besut dan Setiu menyertai Program Kempen Digital yang diadakan di Pusat Internet 1Malaysia Jabi, kelmarin.

Program yang bertujuan memberi pendedahan mengenai cara berkempen melalui alam siber itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar.

Terang...Fuzilawati menyampaikan teknik pengunaan FB.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Setiu, Norfuzilawati Yusof, berkata sambutan daripada peserta terhadap program itu begitu mengalakan dan hampir kesemua yang ditawarkan untuk mengikuti kursus sehari itu hadir.

"Memandangkan tempat adalah terhad kita hanya menawarkan kepada 40 peserta sahaja iaitu 20 daripada Puteri Besut dan 20 lagi daripada Puteri Setiu.

"Tujuan diadakan program Kempen Digital ini adalah untuk memberi lebih pengetahuan kepada peserta tentang cara berkempen mengunakan internet iaitu pengunaan whatsaap, Facebook, dan U-Tube," katanya. 

Fuzilawati berkata, dengan adanya program itu, beliau mahu setiap ahli Puteri mahir dalam menyebarkan maklumat yang tepat mengenai kerajaan dan dapat menangkis segala tohmahan tidak baik yang dilemparkan pihak tertentu kepada kerajaan Barisan Nasional.

"Kita juga ada mengajar cara membuat "short movie" dimana ia sebagai salah satu pendekatan program 'attack' dan 'defends' kerajaan dan saya mengharapkan peserta program ini mengunakan ilmu yang mereka perolehi bagi membantu kerajaan menyampaikan maklumat yang tepat dan betul kepada masyarakat melalui dunia siber," katanya.

Turut hadir pada program anjuran Puteri UMNO Bahagian Setiu itu ialah Ketua Pergerakan Puteri UMNO Terengganu, Rozita Ismail.




 

263 bakal mahasiswa terima pendahuluan PTPTN.


Terima...Pehimi menyampaikan wang pendahuluan PTPTN kepada seorang bakal mahasiswi sambil diperhati Rasol (dua dari kiri)
Oleh: Mohammad Ishak.

KEGEMBIRAAN jelas terbayang di wajah bakal mahasiswa daerah Besut apabila permohonan mereka mendapatkan pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), untuk melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi tempatan mendapat kelulusan pihak terbabit.

Pemohon sebahagian besar mereka daripada anak petani dan nelayan menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang menyediakan kemudahan pinjaman menerusi PTPTN dan membolehkan mereka mengurus kemasukan ke pusat pengajian tinggi pilihan masing-masing.

“Tanpa kemudahan menerusi PTPTN sudah tentu saya tidak dapat meneruskan pengajian kerana keluarga tidak mampu menyediakan peruntukan untuk pembelajaran,” kata pelajar Mohd Daud Abdullah,25, dari Kampung Raja.

Majlis penyampaian Wang Pendahuluan Pembayaran (WPP) dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita,Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Muhamad Pehimi Yusof.

Pada majlis itu seramai 263 bakal mahasiswa mewakili pelbagai universiti tempatan menerima wang berkenaan pada majlis yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB), Gong Kemuntong, Jertih, semalam.

Hadir sama Pegawai Tugas-Tugas Khas, Menteri Pendidikan II, Dato’ Rasol Wahid. Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih ketika berucap pada majlis itu mahu pelajar memanfaatkan wang yang disediakan untuk kepentingan pendidikan dan tidak menyalahgunakan sumber kewangan berkenaan.

Katanya, PTPTN walaupun dibantah keras oleh pihak pembangkang tetapi ia sebenarnya satu program yang memberi faedah besar kepada bakal mahasiswa kerana ia satu-satunya agensi yang menyediakan pinjaman pembelajaraan yang terbaik.

“Sebab itu kerajaan tidak menghapuskan PTPTN walaupun ada pihak cuba membangkit isu berkenaan malah ia wajar dikekakkan kerana ia untuk kemudahan pelajar miskin,” katanya.

 

MENTERI BESAR, DATO' HJ AHMAD RAZIF: 'TAHNIAH KEPADA ATLET DAN KONTINJEN SUKMA DI PERLIS ATAS KEJAYAAN TANGGA TERATAS SEHINGGA INI

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Hj Ahmad Razif Abd Rahman  melahirkan rasa sukacitanya dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada atlet SUKMA Terengganu di atas kejayaan sehingga ini, Terengganu mendahului di tangga teratas dengan kedudukan terkini 10  pingat emas, 4 perak dan 3 gangsa (sehingga pagi ini 26 Mei).
Juga tahniah kepada Ketua Kontinjen, YB Mahadi Musa (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri) merangkap Adun Kota Putera dan seluruh pegawai dan petugas serta bapa-bapa angkat setiap acara terdiri dari Ahli-ahli YB Terengganu dan Ketua-ketua Jabatan.
Katanya, kejayaan itu sebenarnya adalah hasil dari kerja sama dan kerja sepasukan dari seluruh jentera kerajaan dan rakyat negeri Terengganu.
“Marilah kita  bekerja bersama-sama dan secara berpasukan dalam satu pasukan, itulah pendekatan saya untuk rakyat dan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas melalui Unit Komunikasi Negeri Terengganu.
Sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju  menambah insentif kemenangan kepada setiap pemenang  pingat emas dan perak  di Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014 bermula 24 Mei lalu.
Setiap pingat emas akan memperolehi RM6,000 dan perak RM5,000, masing-masing bertambah RM1,000 berbanding imbuhan yang disediakan kepada pemenang pingat itu pada tahun sebelumnya. Sementara setiap pingat gangsa kekal RM2,000 seorang.


Dato’ Ahmad Razif berkata, kenaikan insentif kemenangan itu sebagai menyuntik semangat atlet supaya  mencapai sasaran Kontinjen Terengganu memperolehi 53 emas, 45 perak dan 51 gangsa.
Beliau dijangka menemui pegawai dan atlet Terengganu di Perlis pada 28 Mei 2014 dan makan malam bersama serta menyampaikan amanat serta member semangat dan dorongan untuk terus berjuang.
Terengganu amat berhasrat untuk menjuarai SUKMA kali ini.



25 May 2014

Menteri Besar rai persaraan bekas gurunya./ MB seorang yang tepati janji- Cikgu Mat.

Mohamed bersama Ahmad Razif.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SEKALIPUN sibuk dengan tugas baru sebagai Menteri Besar Terengganu namun Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman sempat meluangkan masa kira-kira sejam meraikan majlis persaraan bekas gurunya yang juga rakan baik di Sekolah Kebangsaan Jelapang, Langkap, Setiu, hari ini.

Rakanya itu, Mohamed Nawi, 56, tahun bersara pada hari ini selepas berkhidmat sebagai guru kira-kira selama 34 tahun dan kedatangan Menteri Besar itu untuk menghadiri majlis ringkas persaraan itu memang sudah diduganya.

“Saya hanya sms kepadanya, menyatakan saya  akan mengadakan majlis ringkas persaraan saya pada hari ini dan saya juga tahu beliau memang sibuk dengan tugas sebagai Menteri Besar yang baru disandangnya sekarang.

“Tetapi saya yakin dia akan datang kerana saya memang kenal dia, kalau dia kata nak datang dia akan datang dan Alhamdulillah dia memang datang pada hari ini saya rasa begitu gembira,” katanya yang sudah lapan tahun mengajar di sekolah itu.

Kenangan..guru dan pegawai dari PPD bergambar dengan Ahmad Razif.
Mohamed berkata, dia mengenali Ahmad Razif ketika mengajar di Sekolah Menengah Ibrahim Fikri (SIF) dan ketika itu Menteri Besar Terengganu yang baru itu pernah belajar di situ sebelum menyambung pelajaranya ke Sekolah Menengah Sultan Sulaiman.

“Saya mengajar Ahmad Razif ketika dia belajar di Tingkatan tiga, masa itu saya baru menjadi guru dan mengajar di SIF, kemudian selepas itu saya pula mengajar kelas tuisyen miliknya selama beberapa tahun,” katanya yang berasal dari Pontian, Johor itu.

Mohamed berkata, Ahmad Razif adalah seorang yang menepati janji kerana itulah dia yakin bahawa Menteri Besar itu akan datang pada hari persaraannya hari ini.

“Dia memang seorang yang baik, itu yang boleh saya kata, kalau dia kata nak datang dia akan datang kerana itulah saya berani memberitahu kepada guru-guru lain bahawa Menteri Besar Terengganu akan datang ke sekolah saya itu dan dia betul-betul datang.

"Sikap baik YB itu, dengan saya, saya percaya dia sangat menghormati saya dan saya juga sangat-sangat menghormatinya” katanya.

Mohamed berkata, dia berterima kasih kepada Ahmad Razif atas kesudian Menteri Besar itu datang ke majlis persaraannya dan berharap rakan dan anak muridnya itu menjadi seorang pemimpin yang baik untuk memaju dan memakmurkan negeri Terengganu.

 

Kelab Motosikal Besut (BBC) ziarah kanak-kanak malang

Perihatin...beberapa ahli BBC ketika menziarahi Mohd Sharul di Gong Gucil.
Oleh: Mohamad Ishak.

KELAB Motosikal Besut (BBC) meneruskan aktiviti hujung minggunya dengan menziarahi golongan kurang bernasib seperti anak yatim, pesakit kronik dan golongan warga usia emas sambil menyampaikan sumbangan.

Semalam, BBC yang diketuai oleh Presidennya Nik Shamsuddin Sulaiman dengan diiringi beberapa orang ahli menziarahi adik Mohd Sharul Mufid Mohd Azwady, 7 tahun di Kampung Gong Gucil, Besut yang menderita akibat kemalangan jalan raya hujung tahun lalu.

Mohd Sharul Mufid yang lumpuh setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya berhampiran rumahnya terpaksa dirawat selama hampir lima bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kelantan.

Kini dia yang mengalami patah kaki kanan hanya mampu terbaring di kerusi dengan diberikan makanan menerusi tiub kerana mengalami masalah ekoran kecederaan di bahagian kepala dan paru-paru akibat kemalangan tersebut.

Nik Shamsuddin berkata, program ziarah sambil menyampaikan sumbangan itu menjadi acara mingguan BBC sejak ditubuhkan enam tahun lalu berpuluh ribu telah disampaikan kepada golongan sasar terdiri daripada anak-anak yatim, pesakit kronik dan warga usai emas.

“Walaupun hanya mempunyai ahli seramai 30 orang namun dengan inisiatif dan komitmen semua ahli kita mampu memberikan sumbangan termasuk sumbangan kepada masjid di perkampungaan minoriti Islam di Thailand, Myanmar.

Katanya, sumbangan yang disampaikan bukan hanya terbatas di daerah Besut malah melampaui negara-negara Asean dengan menziarahi minoriti Islam dan menderma kepada tabung pembinaan masjid.

“Menerusi sumbangan ini BBC berharap dapat membantu menceriakan kehiduapan anak-anak yatim, pesakit kronik serta meringankan beban keluarga mereka serta sebagai sokongan kepada membina masjid untuk saudara seagama.

“Kita harap lebih banyak kelab dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat memberikan perhatian seterusnya menyumbang kepada golongan yang tidak bernasib baik sekali gus merealisasikan konsep masyarakat penyayang, “katanya.

Sementara itu Nik Shamsuddin berkata, kira-kira 1,000 dari tiga buah negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu bakal mengambil bahagian dalam Bike 2014 berrtempat di Kampung Raja pada 31 Mei ini.

Tambahnya, menerusi himpunan terbesar kalangan pemilik motosikal berkuasa tinggi itu akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Keluarga, Masyarakat dan Wanita negeri, Muhammad Pehimi Yusof.

 

Cuepacs cadang kerajaan perkenal Elaun Bandar

Oleh; Esah Abdullah

 Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan memperkenalkan elaun baharu khas untuk penjawat awam yang tinggal di bandar bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup.

Presidennya, Encik Azih Muda berkata, Elaun Bandar itu yang dicadangkan antara RM400-RM500 sebulan pasti dapat mengurangkan beban kewangan dihadapi penjawat awam, terutama yang tinggal di bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur, Johor Baharu dan Ipoh.

“Sudah sampai masanya untuk kerajaan memperkenalkan elaun ini kerana kita khuatir jika kita tidak bantu mereka, tumpuan terhadap kerja akan terganggu apabila penjawat awam ini memilih untuk melakukan pekerjaan sampingan dalam mendapat pendapatan tambahan.

 “Kita mahu penjawat awam khususnya kumpulan pelaksana di bandar-bandar besar ini tidak terlalu terbeban dengan kos sara hidup yang melampau apabila mereka dapat menikmati elaun itu kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama-sama penjawat awam negeri Terengganu yang dirasmikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Encik Azih berkata Elaun Bandar dicadangkan itu adalah berbeza dengan Elaun Sara Hidup (COLA) kerana ia hanya dikhususkan kepada kira-kira 65 peratus penjawat awam yang tinggal di bandar.

“COLA ini pula, kita harap kerajaan akan buat penyeragaman (kadar COLA) kepada penjawat awam di seluruh negara, bukan seperti yang diamalkan sekarang.

“Ini kerana tiada perbezaan harga yang terlalu banyak di antara lokasi tertentu di seluruh negara, jadi wajarlah jika semua penjawat awam dapat menikmatinya pada kadar yang sama,” katanya.

Perlantikan Pengerusi BP UMNO Negeri: MB serah kepada pucuk pimpinan.

Oleh: Aminudin Ismail.

MB...bergerak satu pasukan.
MENTERI Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman akan menerima apa jua keputusan yang akan dibuat mengenai perlantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baru.

“Kita serahkan keputusan itu di tangan Perdana Menteri, di pihak saya Insya Allah tidak menjadi masalah, kita akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat pucuk pimpinan.

" Dan yang utama sekarang ialah kita bergerak dalam satu pasukan (untuk memperkukuhkan lagi UMNO negeri Terengganu)," katanya di Bandar Permaisuri, Setiu, semalam.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, beliau mahu semua Ketua Bahagian UMNO negeri supaya memainkan peranan dalam memberi penerangan kepada rakyat mengenai beberapa isu yang dimainkan pembangkang ketika ini.

“Jadi hasrat saya, kita mintalah ketua-ketua bahagian memainkan peranan untuk menerangkan kepada rakyat tentang apa keadaan yang berlaku dan menyelesaikan isu-isu yang sedang rancak diperkatakan sekarang seperti isu GST, Cukai Pintu dan sebagainya.

“Jadi saya nampak rakyat sebenarnya perlukan penjelasan dan Ketua Bahagian ini perlu memberi penerangan yang sejelas-jelasnya kepada rakyat supaya rakyat faham keadaan yang sebenar,” katanya.