Halaman

13 June 2011

Skuad Penyu dapat ‘durian runtuh’ imbuhan menang Piala FA

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Skuad bolasepak Terengganu yang menjuarai Piala FA, menerima ‘durian runtuh’ berupa wang tunai RM10,000 setiap seorang daripada kerajaan negeri, sebagai ganjaran kemenangan tersebut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata imbuhan itu merupakan ganjaran tambahan kepada para pemain dan pengurus pasukan skuad berkenaan yang sebelum ini dijanjikan hadiah berupa lawatan ke London jika mereka memenangi piala tersebut.

Selain itu, setiap pemain juga akan diberi hadiah berupa komputer riba hasil sumbangan Syarikat Top IT, sebagai penghargaan kepada mereka yang telah mengharumkan nama negeri ini.

“Manakala bagi atlet yang memenangi pingat emas pada kejohanan Sukma akan diberi wang tunai RM5,000 manakala perak RM3,000 dan gangsa RM2,000 seperti yang dijanjikan sebelum ini,” katanya pada majlis meraikan pemain Piala FA dan atlet Sukma di Dataran Shahbandar, malam ini.

Hadir sama, Penasihat Undang-Undang, YB Noorbahri Baharuddin; Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat; Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Dato’ Haji Che Mat Jusoh dan Ketua Kontijen Sukma Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda.



Terengganu melakar sejarah apabila menjuarai Piala FA setelah menewaskan pasukan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Pada keesokannya, Terengganu dinobatkan juara Sukma XIV, iaitu kejuaraan kali ketiga berturut-turut apabila berjaya mengumpul 30 emas, mengetepikan pencabar terdekat, Selangor yang memenangi 26 emas.



Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang bertungkus lumus berusaha bagi meningkatkan kecemerlangan para pemain pasukan bola sepak dan atlet Terengganu.



Terengganu kuasa sukan negara

Oleh: Suriati Ali



Terengganu boleh dianggap sebagai kuasa sukan negara selepas berjaya meraih kejuaraan tiga kali berturut-turut dalam Sukan Malaysia (Sukma).

Dalam Sukma ke-14 di Kuala Lumpur, Terengganu dinobatkan juara keseluruhan apabila mengumpul 30 emas, sekaligus mengetepikan pencabar terdekat Selangor yang memenangi 26 emas, diikuti Johor 21 emas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata beliau cukup bangga dengan atlet Sukma kerana mereka mampu mengharumkan nama Terengganu.



“Terengganu selayaknya digelar sebagai kuasa sukan negara di mana sebelum ini sudah mendapat jolokan sebagai kuasa baru sukan ketika meraih kejayaan dalam Sukma ke 13, di Melaka.

“Tiada ucapan terbaik selain jutaan taniah buat atlet yang bertungkus lumus mencipta kejayaan ini sehingga ke detik terakhir,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Atlet Sukma di Padang Astaka Chukai, Kemaman, petang ini.



Sebelum itu, lebih 1,000 penduduk sekitar Kemaman menyambut kepulangan semua atlet di pintu gerbang sempadan antara Kemaman dan Cendor, Kuantan.

Sebaik tiba, mereka diarak meriah dengan persembahan tarian naga menuju ke Padang Astaka, Chukai, Kemaman.

Pelajar dari sekolah menengah sekitar Dewan Undangan Negeri Chukai turut mengambil bahagian mengadakan persembahan pancaragam sebagai tanda terima buat semua atlet.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Zainal Abidin Hussin, berkata Terengganu memperoleh 65 peratus daripada jumlah keseluruhan pingat emas yang ditawarkan sepanjang kejohanan itu.



Katanya, kejayaan membanggakan ini akan dikekalkan pada Sukma seterusnya dengan mencipta pelbagai rekod lain.

“Sekalung tahniah buat kamu semua atas kejayaan yang membanggakan ini, teruskan usaha untuk mencipta nama Terengganu di persada antarabangsa,” katanya.



Malam ini, majlis Meraikan Pasukan Terengganu Yang Menjuarai Piala FA 2011 dan Kontinjen Terengganu Sukma XIV 2011 akan diadakan di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.


Bina masjid demi keselesaan jemaah

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri sentiasa mengimbangi keperluan duniawi dan ukhrawi serta usaha meningkatkan syiar Islam di negeri ini berterusan tanpa henti.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudaham Awam negeri, YB Datuk Haji Za’abar Mohd Adib berkata, agenda pembinaan masjid menjadi perkara nombor satu untuk kepentingan dan keselesaan jemaah di negeri ini.

“Sejumlah 99 buah masjid dirancang dalam tempoh empat tahun (2005-2008) dan 73 buah berjaya disiapkan dalam tempoh berkenaan,” katanya kepada Teganukita.

Selain itu katanya, 22 buah sedang dalam pelaksanaan dan empat buah dalam proses pengeluaran tender dan dijangka selesai tahun ini.

Menurut YB Datuk Haji Za’abar, RM40 juta diperuntukkan tahun ini dan sasaran utama adalah untuk memperkukuhkan syair Islam di negeri ini.

Sehubungan itu, sebanyak 14 buah masjid disasarkan dalam fasa 1 dan 19 buah dalam fasa 11 di bawah projek satu Dewan Undangan Negeri (DUN) satu masjid.

Katanya, kerajaan juga sedang melaksanakan pembinaan Majid Negeri di Bukit Besar , Kuala Terengganu yang menelan belanja RM100 juta dengan kapasiti jemaah 1,500 orang pada satu-satu masa.




Program kesedaran pengguna

Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan merangka pelbagai program dan aktiviti untuk memberi kesejahteraan kepada pengguna di negeri ini di samping mewujudkan suasana kondusif kepada peniaga untuk menjalankan aktiviti harian mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, melalui Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNK) merangka program kesedaran untuk komuniti setempat , pelajar dan guru.

“Kumpulan ini diberi pendedahan berkait ilmu kepenggunaan termasuk perundangan dan kuatkuasa sesuatu barang keperluan,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, orang ramai perlu tahu hak mereka selaku pengguna dan memastikan harga yang seragam baik di bandar, kawasan pendalaman atau di pulau-pulau.

Menurutnya, pengetahuan luas perkara berkaitan penting agar tidak berlaku penipuan dan pihak ketiga meraih untung berganda di atas kesilapan pengguna sendiri.

Setakat ini katanya, pihak PPDNK melaksanakan projek Pengedaran Barang Perlu (PBP) dengan lancar dan berkesan kepada penduduk Pulau Perhentian dan Sungai Sayap, Besut , Pulau Redang, Kuala Terengganu dan Pasir Raja dan Kampung Basong, Hulu Terengganu.

“ Pelaksanaan PBP membabitkan kos pengangkutan yang tinggi dan ianya ditanggung oleh jabatan untuk memastikan pengguna yang tinggal jauh dari kawasan bandar dapat menikmati harga yang seragam,” katanya.



Pulau Bidong destinasi sukan air

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kerajaan negeri sedang giat mempromosikan Pulau Bidong yang terkenal sebagai penempatan perlarian dari negara Vietnam pada tahun 70-an, sebagai destinasi sukan air, selam skuba dan snorkeling.

Bagi tujuan itu, Eksplorasi Bidong Tourism Malaysia Bersama Media 2011 selama tiga hari dua malam, melibatkan penyertaan wartawan dan jurugambar daripada pelbagai media cetak dan elektronik, dilancarkan bagi menarik pengunjung ke situ.

Majlis pelancaran program tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, YB Datuk Abdul Rahin Mohd Said, di Kuala Lumpur, semalam.

Bercakap kepada wartawan selepas majlis itu, beliau berkata pihaknya tidak mahu pulau yang terkenal di seluruh dunia itu kerana peninggalan sejarahnya, terbiar begitu saja, sedangkan masih banyak hidupan laut yang boleh terus dipulihara dan dijaga.

Program berkenaan yang diadakan dengan kerjasama Tourism Malaysia diharapkan dapat memberi promosi sewajarnya dan mempopularkan semula pulau yang agak terbiar itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap pulau berkenaan akan menjadi destinasi pelancongan terkenal dan mampu menarik mereka yang gemar beriadah dan meminati sukan air.

Katanya, pulau tersebut masih kaya dengan khazanah alam semulajadi dan mampu menjadi lokasi pelancongan terkenal jika diberi perhatian dan promosi diadakan dari semasa ke semasa.

Cuba makanan Melaka di Primula

Oleh: Suriati Ali dan Azwa Shamsuddin (Pelatih UPM)

Langkah Kerajaan negeri melalui Primula Beach Hotel menganjurkan Minggu Pesta Makanan serta Kebudayaan (MPMK) antara negeri Terengganu dan Melaka membolehkan pelancong mengenali secara dekat kedua-dua itu.

MPMK merupakan usaha mempromosikan Terengganu sebagai pusat tumpuan untuk destinasi bercuti dalam negeri.

Menurut Pengurus Jualan & Pemasaran Tina Surinda Karim Primula berkata, aktiviti ini mampu mengukuhkan lagi hubungan antara negeri serta memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha memperkenalkan produk masing-masing.

MPMK yang berlangsung selama seminggu dan berakhir 16 Jun ini di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu mempromosi lebih 30 jenis makanan tradisional Melaka.

Antaranya dodol, cencaluk, tapai, otak-otak, asam pedas ikan pari, buah Melaka, lempeng kelapa dan bunga pudak.

Terengganu pula akan mengadakan kunjungan balas dengan mempromosi pelbagai jenis keenakan makanan dan keunikan budayanya bermula 24 Jun hingga 30 Jun ini di Hotel Seri Malaysia Melaka.

“Kedua-dua hotel akan menyediakan tapak perniagaan bagi pengusaha-pengusaha kraftangan tempatan memperkenalkan produk masing-masing,” katanya.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang MPMK termasuk pameran kraftangan Melaka, hidangan makanan (asam pedas) dan persembahan tarian


Pasukan Piala FA dan kontinjen SUKMA Terengganu dirai malam ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kerajaan Terengganu merancang untuk meraikan pasukan bolasepak Terengganu yang menjuarai Piala FA dan kontinjennya yang menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) ke-14, dalam satu majlis besar-besaran, di Dataran Shahbandar malam ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dijadualkan berangkat pulang ke Terengganu petang ini, bagi meraikan wira-wira tersebut yang telah mengharumkan nama negeri ini di bidang sukan.

Orang ramai, khususnya peminat sukan dijangka turut membanjiri dataran tersebut bagi meraikan kemenangan wira-wira mereka.

Teganukita difahamkan, Menteri Besar akan bergegas pulang dari Kuala Lumpur kerana menghadiri mesyuarat penting bagi membolehkan beliau turut hadir ke majlis yang penuh makna itu.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Encik Rosli Zakaria ketika dihubungi Teganukita mengesahkan Menteri Besar akan hadir pada majlis malam ini dan dijangka mengumumkan sesuatu yang bukan saja menggembirakan skuad Piala FA dan para atlet yang terlibat, tetapi seluruh rakyat Terengganu.

Rakyat seluruh negeri kini tertunggu-tunggu pengumuman rasmi daripada Menteri Besar berkaitan cuti umum bagi menghargai skuad Piala FA dan kontinjen Sukma.

Para pemimpin kerajaan dan badan-badan sukan turut dijemput menyertai majlis pada malam ini yang dijadualkan bermula selepas solat Isyak.

Sana sini berita kejayaan Terengganu

Oleh: Suriati Ali



Semua akhbar arus perdana iaitu Harian Metro, Berita Harian, Utusan, Nstp, Sinar Harian, Kosmo dan The Star bermula semalam, (12 Jun) secara berterusan menyiarkan pelbagai paparan berita menarik mengenai kejayaan Terengganu meraih kejuaraan dalam bola sepak Piala FA dan Sukan Malaysia (Sukma) ke 14 Kuala Lumpur.

Berita bertajuk, Ganu Nelang, Warna-warna Piala FA 2011, Terengganu Rai Kejuaraan Berganda dan sebagainya mampu membuatkan peminat tersenyum ketika membaca setiap laporan akhbar.

Warung kopi, restoran, dan kedai makan turut menjadi lokasi topik perbualan mengenai kejayaan Terengganu bersama rakan sekerja.

Kira-kira jam 3.30 petang semalam, hampir 5,000 rakyat Terengganu membanjiri ruang ketibaan lapangan terbang itu bagi menyambut kepulangan wira-wira Terengganu yang berjaya menjulang Piala FA.

Kesemua pemain bersama piala kemudiannya diarak dari LTSM sehingga ke Dataran Shahbandar dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Berpuluh-puluh buah kenderaan peminat pasukan itu turut mengiringi sambil mengibarkan bendera negeri dan membunyikan hon kereta sepanjang perjalanan ke Shahbandar.

Sambutan secara besar-besaran diadakan di Dataran Shahbandar pada malam ini bersama Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said bagi meraikan kejayaan itu bersama peminat dan pemain.

Terengganu menamatkan kemarau selama 11 tahun untuk menjulang Piala FA selepas berjaya menumpaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam semalam (11 Jun).


Pas perlu gugur istilah Islam

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sesuai dengan perjuangan Pas yang tidak lagi berjuang untuk Islam, pemimpin parti itu perlu mengugurkan perkataan Islam pada nama parti itu bagi mengelakkan orang ramai daripada terus terkeliru dengan perjuangannya yang sudah jauh menyimpang daripada matlamat penubuhannya.

Pelbagai pihak berpendapat langkah itu perlu bagi menyesuaikan perjuangan terkini parti itu yang kini dilihat lebih berminat menjaga hubungannya dengan parti pembangkang lain, terutama DAP.

Berdasarkan perkembangan semasa dalam Pas, pemimpin parti lain dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menyarankan Pas menukar nama parti itu kepada Parti Kebajikan se-Malaysia menggantikan nama asalnya Parti Islam se-Malaysia.

Ada juga pemimpin NGO yang menyarankan pemimpin Pas menukarkan nama parti itu kepada Parti Amal Jariah sahaja.

Malah, ada juga yang menyarankan nama Pas kini ditukar kepada Parti Kebajikan se-Malaysia, sesuai dengan perjuangannya untuk menjaga kebajikan rakyat, bukannya agama Islam.

Selama ini pemimpin parti itu lantang menyuarakan hasrat mereka untuk mengubah perlembagaan negara dengan menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai asas penggubalan undang-undang.

Dalam setiap ceramah, mereka mengecam pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana tidak melaksanakan undang-undang Islam, sebakliknya lebih mengutamakan projek pembangunan untuk rakyat.

Sebaliknya selepas sekian lama bergelumang dengan DAP, pemimpin Pas sudah mula melupai matlamat penubuhan parti itu dan kini mereka turut terikut-ikut dengan rentak permainan DAP.

Walau apa pun nama baru yang dicadangkan untuk parti itu, rakyat negara ini sudah dapat menilai matlamat sebenar perjuangan parti itu.

Kini ‘sudah terang lagi bersuluh’ bahawa Pas sebenarnya tidak ada apa-apa yang istimewa kerana pemimpinnya hanya berjuang untuk kepentingan diri mereka sahaja.

Malah, lebih teruk lagi pemimpin Pas mahu merealisasikan rakan-rakan mereka dapam pakatan pembangkang untuk memerintah negara ini dan mereka berpeluang untuk meraih pelbagai keuntungan jika pakatan pembangkan memerintah Malaysia.

Rakyat yang selama ini menyokong perjuangan Pas sudah mula sedar bahawa selama ini mereka telah ditipu pemimpin parti itu yang menggunakan agama Islam untuk mendapat sokongan.

TERENGGANU HANELANG- TERUS MENGEKALKAN KUASA BARU SUKAN TERMASUK BOLA SEPAK NEGARA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman-Pengarang Teganukita.




Bukanlah sesuatu yang mudah untuk mencipta kejayaan berganda dan berturut-turut,melainkan bermula dari persiapan yang rapi dan kecaknaan yang tinggi.

Kejayaan berganda Terengganu apabila menjuarai dalam tempoh masa yang sama iaitu juara bolasepak Piala FA Sabtu lalu dan keesokkannya (kurang dari 24 jam selepas itu) diumumkan pula menjuarai SUKMA buat kali ketiga berturut-turut.




Dalam usaha mempastikan kemenangan dalam Final Piala FA sekaligus menjuarainya dengan mengalahkan Kelantan 2-1, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkali-kali meminta supaya pasukan bolasepak Terengganu mesti memperbaiki segala kelemahan sebelumnya dan menunjukkan prestasi dan semangat juang yang tinggi.

Pada sidang akhbar, Rabu selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri beberapa hari sebelum perlawanan akhir Piala FA, Dato’ Seri Ahmad beberapa kali memberi peringatan berkaitan.

Dipetik peringatan Dato’ Seri Ahmad:

“Saya berharap pasukan Bola Sepak Terengganu dapat membaiki mutu permainan mereka menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil.



Saya mengakui berlaku kemerosotan pada pasukan Terengganu pada perlawanan terakhir di gelanggang sendiri semasa menentang Kelantan dalam pertandingan Liga Super Isnin lepas, saya menyaksikan permainan Pasukan Terengganu baru-baru ini dan mendapati ada satu kelemahan paling ketara iaitu berlaku kemerosotan mutu perlawanan, tetapi harap tidak berlaku lagi dalam perlawanan akhir Piala FA Sabtu ini, biarlah mereka berjuang hingga ke penghujungnya”.

Pada sebelah malam sehari sebelum perlawanan, Dato’ Seri Ahmad makan bersama dengan para pegawai dan pemain dan menerima ikrar janji pemain untuk berjuang habis-habisan membawa pulang Piala FA 2011 ke Terengganu.

Ini bermakna pesanan keramat Menteri Besar dan kesungguhan menyuntik semangat kepada pegawai dan pemain adalah menjadi asas perjuangan tinggi bagi kemenangan ini.

Sudah tentu peringatan Menteri Besar ini menjadi bekalan kepada barisan pegawai dan pemain bolasepak Terengganu di Bukit Jalil sehingga sanggup berjuang hingga ke penghujung waktu tanpa rasa penat dan jemu atau kecewa.

Walaupun sudah ‘lemas’ dengan ketinggalan yang berlarutan, tetapi pemain tidak hilang punca, berusaha dan terus berusaha hinggalah kira-kira 20 saat terakhir di masa “kecederaan” mampu menyamakan kedudukan semula, menyebabkan kedudukan seri dan masa tambahan untuk penentuan.



Sehinggalah dalam masa tambahan, Terengganu berjaya memperolehi jaringan kemenangan; bermakna perjuangan pemain Terengganu hingga ke saat akhir, memegang peringatan/pesanan Dato' Seri Ahmad.

Manakala SUKMA kali ke 14 pula di bawah pimpinan Ketua Kontinjen, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda menempa kejayaan sebagai Juara untuk kali ketiga berturut-turut.

Mempertahankan juara adalah lebih sukar dari mengejar kejuaraan untuk kali pertama, lebih-lebih lagi ia berlangsung bukan di gelanggang sendiri.

Kejuaraan pertama memanglah di gelanggang sendiri, tetapi kejuaraan kedua di Melaka dan kejuaraan berturut-turut buat kali ketiga ini adalah di ibu kota negara.




Bermakna Terengganu bukan sahaja ‘hero’ di tempat sendiri tetapi juga ‘hero’ di luar. Tahniah kepada Dato’ Wan Ahmad,para pegawai, pengurus dan atlet SUKMA Terengganu yang dengan segala kesukaran mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga dengan memperolehi 30 emas, 8 perak dan 12 gangsa.

Terengganu memperolehi pinggat emas ke 30 melalui acara bola baling lelaki.



Walaupun terpaksa bersaing sengit dengan Selangor (yang berjaya meraih 26 emas, 18 perak dan 28 gangsa) untuk merebut kejuaraan SUKMA 2011 ini, tetapi atas tekad dan kegigihan Terengganu mampu membuat pintasan juga di penghujung waktu, khususnya melalui penguasaan akhir dalam sukan air.

Di atas kemenangan berganda dan berturut-turut ini:

Tahniah kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, tahniah Dato’ Che Mat Jusoh, Presiden Persatuan Bola sepak Terengganu (PBSNT), tahniah kepada Ketua Kontinjen SUKMA Terengganu, Dato’ Wan Ahamad Muda (Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri-Pengurusan), tahniah kepada pegawai dan pemain bolasepak Terengganu, para pegawai serta atlet SUKMA Terengganu dan tahniah kepada seluruh rakyat Terengganu!!