Halaman

03 April 2012

Nasi Dagang bakal popular di Perth

Oleh: Suriati Ali


Makanan tradisional Terengganu, nasi dagang bakal menembusi pasaran di Perth, Australia apabila Yayasan Usahawan Terengganu (YPU) membuka kedai makan T-Kafe di negara itu, di jangka bermula Jun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera berkata, selain nasi dagang, pelbagai jenis lagi makanan tradisi Terengganu akan dijual di sana.

“Kita akan menjual otak-otak, paih, keropok dan lain-lain lagi kerana di sana terdapat ramai orang Melayu yang kita percaya makanan ini akan mendapat sambutan,” katanya.

Dato’ Mohamed berkata, di Australia, terdapat lebih kurang 40,000 orang Melayu dan ini satu peluang bagi YPU untuk memasarkan produk industri kecil sederhana (IKS) keluaran negeri ini melalui T-Kafe itu.

Beliau berkata T-Kafe itu juga akan menjual barangan kraf buatan Terengganu seperti tekstil dan kraftangan serta air roselle selain makanan tersebut.

“Kita tiada masalah untuk mendapatkan bahan untuk membuat nasi dagang kerana beras dan ikan tongkol untuk lauk nasi dagang senang didapati di Australia,” katanya.

Katanya, YPU akan mengadakan kerjasama dengan usahawan Melayu di Perth untuk membuka kedai T-Kafe di negara itu.

“Pada dasarnya, usahawan Melayu itu merupakan seorang peniaga kedai makan yang berjaya di Perth dan beliau bersetuju untuk bekerjasama dengan YPU.

“Kami sedang berunding dan akan memulakan perniagaan sebaik sahaja perundingan itu mencapai kata sepakat,” katanya.


Program antarabangsa pikat pelancong luar negara

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menganjurkan pelbagai program tahunan peringkat antarabangsa di pelbagai lokasi menarik di negeri ini sebagai langkah menambat hati pelawat terutama pelancong luar negara.

Peningkatan jumlah pelancong bukan saja mampu memberangsangkan ekonomi negeri dan menarik minat pelabur malah meningkatkan taraf hidup penduduk terutama yang membabitkan diri dalam perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw, berkata apa yang membanggakan apabila tiba musim cuti sekolah atau umum, peniaga keropok lekor, pengusaha kain batik dan songket bagaikan tidak menang tangan melayan pelanggan.

Katanya, dia menyarankan kepada semua peniaga terutama pengusaha makanan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap kedatangan pelancong dengan mengenakan harga yang tidak munasabah.

“Sikap ingin untung sekejap ini, bukan saja merugikan diri sendiri malah membabitkan imej Terengganu. Apabila pelancong mengeluh mengenai harga makanan mahal, mereka bukan saja tidak mengunjungi restoran itu lagi malah akan menjaja topik kepada rakan atau saudara lain.

“Pelancong juag akan naik bosan untuk mengunjungi Terengganu, sekaligus membantutkan usaha kerajaan negeri yang tidak jemu-jemu menghebahkan tentang keindahan negeri ini ,” katanya juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar.


Malaysia berdepan ‘tragedi’ sokong Anwar jadi Perdana Menteri

Oleh FAUZI MOHD

Rakyat Malaysia akan berhadapan dengan ‘tragedi luar biasa’ sekiranya mereka menyokong Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, ia berikutan isu moral yang semakin banyak dihadapinya dan didedahkan sendiri oleh bekas pengikut setianya termasuk Presiden Parti Bersatu India Malaysia, Datuk S. Nallakaruppan.

Menurutnya, tuduhan itu pula bukan dibuat secara membuta-tuli, sebaliknya ia berdasarkan bukti yang ada dan pengalaman mereka sendiri ketika bekerja dengan Anwar dalam tempoh yang lama.

“Maknanya, sebagai rakyat kita kena hitung isu moral yang dihadapi pemimpin ini kerana ia didedahkan bekas rakannya sendiri yang menyokong perjuangan beliau selama ini.

“Bukan seorang tetapi ramai rakan karib beliau sudah meninggalkannya dan mereka semua tahu apa perangai Anwar sebenar dengan bukti-bukti kukuh,” katanya.

Rahim yang juga Pengerusi RISDA berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kasihi Pekebun dan Gerakan Membaja peringkat negeri yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di Kampung Perasing Jaya, Jabor, Kemaman kelmarin.

Beliau berkata, pelbagai isu dan penjelasan yang diberikan Anwar sebenarnya hanyalah semata-mata untuk memancing undi selepas menyedari beliau kini sudah tidak mendapat sokongan orang Islam dan Melayu.

Atas sebab itu, katanya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menimbulkan pelbagai isu baru termasuk menyokong Israel dan pluralisme kerana cuba beralih kepada sokongan kaum bukan Melayu dan bukan beragama Islam.

“Bayangkan orang yang sudah hilang sokongan ini dan berhadapan dengan isu moral menjadi pemimpin, maka tragedi luar biasa akan melanda negara ini,” katanya.


Permaisuri bukan lagi 'pekan koboi', projek hartanah terbaru RM11 juta

Oleh FAUZI MOHD

Bandar Permaisuri yang merupakan sebuah pusat pentadbiran utama bagi daerah ini dijangka berubah wajah apabila Majlis Daerah Setiu (MDS) akan membina dua bangunan kedai serta rumah teres bernilai lebih RM11 juta pada tahun ini.

Pelaksanaan tiga projek berkenaan di tiga lokasi sekitar bandar ini mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri, Pusat dan pihak swasta.

Ia dilihat akan merancakkan lagi pembangunan daerah Setiu yang turut mendapat perhatian daripada pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan.

Yang Dipertua MDS, Ishamudin Hashim berkata, daripada peruntukan itu, pihaknya akan membina sebuah bangunan dua tingkat yang menempatkan enam unit ruang kedai serta pejabat berhampiran Bank CIMB, di sini yang berharga RM3 juta.

Beliau berkata, bangunan tersebut akan dikendalikan secara usahasama dengan UDA Land bagi membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sedang berusaha menaikkan imej bandar itu yang suatu ketika dahulu sunyi serta sepi.

Menurutnya, MDS juga akan membina 21 unit kedai tiga tingkat di Bandar Permaisuri yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM4 juta.

"Kami turut membangunkan 15 unit rumah teres dua tingkat berharga RM4 juta di satu kawasan berhampiran perumahan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daerah Setiu di Kampung Putera Jaya.

"Dengan pembinaan ketiga-tiga projek itu, ia secara tidak langsung akan menambahkan lagi bangunan kedai serta perumahan yang sedia ada," katanya baru-baru ini.

Ishamudin memberitahu, PBT itu juga menyediakan peruntukan sejumlah RM300,000 untuk projek pengindahan kawasan bandar termasuk landskap.

Menurutnya, keceriaan sekitar Bandar Permaisuri perlu diberi perhatian sepanjang masa kerana ia merupakan nadi arus pembangunan, selain menjadi tumpuan orang ramai dari luar serta daerah berkenaan.


Marco Tulio jadi sandaran T-Team buru kedudukan teratas liga

Oleh FAUZI MOHD

Pasukan T-Team dijangka menurunkan penyerang import baru dari Brazil, Marco Tulio Lopez Silva, buat pertama kali pada perlawanan Liga Super menentang Selangor PKNS Jumaat ini.

Jurulatihnya, Yunus Alif berkata pengalaman pemain import itu dalam liga antarabangsa sebelum ini dapat membantu pasukan itu mengharungi baki perlawanan Liga Super musim ini.

"Saya berharap pendaftaran pemain import itu dapat berjalan lancar apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuka sesi kedua pendaftaran sehingga 16 April ini," katanya semalam.

Sekiranya pendaftaran Marco Tulio, 31, diterima oleh FAM, pemain itu, yang pernah bermain untuk pasukan kelab di Hungary, Bulgaria dan Jepun, menjadi sandaran pasukan T-Team bagi memburu kedudukan tiga tempat teratas liga musim ini.

T-Team terpaksa menggunakan khidmat Marco Tulio setelah pemain importnya sebelum ini, Zacharia Simokunda dari Zambia disingkirkan kerana prestasinya tidak memuaskan.


02 April 2012

Sekolah diminta guna e-Book secara optimun

Oleh; Esah Abdullah

Semua sekolah rendah di negeri ini diminta menggunakan e-Book secara optimun dengan segala kelengkapan soffware yang ada didalamnya.

Ketua Sektor Akademik, Pejabat Pelajaran negeri, Haji Zubir Embong berkata, guru-guru terbabit hendaklah merancang pengajaran dan pembelajaran yang menarik dengan menggunakan e-Book.

Katanya, bila sebut e-Book semua orang tahu itu jenama Terengganu, satu-satunya negeri di negara ini yang mengeluarkan buku digital bagi kegunaan secara menyeluruh murid Tahun Empat hingga Enam.

“Kandungannya, bukan hanya buku teks tetapi turut dilengkapi al-Quran Digital 30 Juzuk, doa harian, tatacara sembahyang fardu serta sembahyang jenazah,” katanya di majlis Penyerahan e-Book Pelajar Tahun Empat kawasan Dewan Undangan negeri (Dun) Bandar baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said hadir menyerahkan 667 unit e-Book kepada 667 orang pelajar Tahun Empat dari tujuh buah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga (13), SK Losong (47), SK Tengku Ampuan Meriam (90), SK Padang Hiliran (95), SK Seri Nilam (114), SK Pusat Chabang Tiga (146) dan SJKC Chung Hwa Wei Sin (162).

Katanya, betapa bertuah generasi baru hari ini yang di sediakan pelbagai kemudahan oleh kerajaan bagi membantu meningkatkan pengetahuan dan keyakinan dalam arus perdana ICT.

Sehubungan itu, ibu bapa diminta sentiasa memantau aktiviti anak-anak ketika dirumah supaya tidak leka bermain perkara yang tidak mendatangkan faedah serta pastikan kuasa bateri penuh bagi kegunaan di sekolah.





Tabung Haji sasar 50 peratus umat Islam jadi ahli

Oleh; Esah Abdullah

Tabung Haji (TH) Negeri Terengganu mengambil pendekatan melaksanakan promosi secara terbuka melalui aktiviti kemasyarakatan di kampung dan sekolah dalam usaha mencapai matlamat 50 peratus umat Islam menjadi ahli TH.

Pegawai Pemasaran TH negeri, Encik Mazlan Mohamad berkata, promosi secara terbuka ini diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai membuka akaun simpanan dengan TH.

“Sambutan dari masyarakat begitu membanggakan, bila golongan belia turut datang untuk mendaftar di samping orang dewasa dan kanak-kanak,” katanya di majlis Penyerahan Buku Simpanan TH kepada penduduk sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri merangkap Adun Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat telah menyerahkan Buku Simpanan TH kepada 100 orang yang membuat pendaftaran melalui promosi TH itu.

Katanya, selain promosi secara terbuka, pihak TH juga mengadakan program mendekati pelajar di sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri untuk menarik pelajar mendaftar sebagai ahli.

“TH juga menawarkan kepada pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun yang berminat untuk menjadi Kelab Taha dengan membuat pendaftaran sebanyak RM2 dan secara automatik layak mendapat buku simpanan,” katanya.

Tambahnya, bagi penuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mereka boleh menjadi ahli Kelab Taha @ U, dengan syarat mereka menjadi pendeposit TH terlebih dahulu.




Tabur janji kosong, rakyat berdepan ‘gerhana’ pilih Pas

Oleh FAUZI MOHD

Rakyat di Terengganu perlu menepis propaganda yang disebarkan oleh pihak pembangkang atau berdepan dengan 'gerhana' jika pakatan politik itu kembali menerajui negeri ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, rakyat negeri ini perlu menolak usaha pihak tidak bertanggungjawab khususnya pemimpin Pas yang cuba memperbodohkan pemikiran rakyat dengan janji yang bersifat ‘khayalan’.

Katanya, terdesak untuk memenangi banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum akan datang, parti pembangkang tidak habis-habis menabur janji kosong dan berbohong kepada masyarakat demi meraih sokongan.

“Usaha yang dilihat sebagai murahan itu semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini, kerana mereka (pemimpin Pas) begitu terdesak untuk menjadi wakil rakyat hingga sanggup berbohong.

“Malah, ada di antara pemimpim mereka mula naik tocang apabila Presiden (Dato’ Seri Abdul Hadi Awang) parti itu umum tidak berminat untuk menjadi Menteri Besar jika mereka tawan Terengganu,” katanya.



Beliau berucap pada majlis penyerahan e-Book peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Anak Dara, Kemaman hari ini.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, rakyat negeri ini disaran tidak mensia-siakan undi dalam memilih kerajaan yang lebih berwibawa demi memastikan pembangunan asas di negeri ini dapat diperbaiki.

Katanya, perkara itu hanya dapat dicapai sekiranya kerajaan yang dipilih benar-benar berwibawa dan dipimpin oleh mereka yang berkebolehan serta berpengalaman.

“Sebab itu, kita perlukan sebuah kerajaan yang lebih memfokuskan kepada agenda rakyat dan kerajaan yang pandai serta bijak merancang sesuatu pelan berkesan dalam menjaga perihal pembangunan rakyat,” katanya.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan e-Book percuma kepada 677 murid tahun empat dari 10 buah sekolah di DUN berkenaan yang turut dihadiri Pengarah Pelajaran negeri, Zakaria Hussin.

Daripada jumlah itu, 155 pelajar dari SK Bukit Kuang, SK Kijal (141), SK Meraga Beris (45), SK Ibok (64), SK Bukit Anak Dara (22), SK Seri Bandi II (55), SK Payoh (35), SK Seri Bandi (88), SK Padang Kubu (37) dan SK Telok Kalong (41).


Kakitangan Satu terima jawatan dan gaji baru

Oleh: Suriati Ali

Perstrukturan jawatan baru dan kenaikan gaji melibatkan 535 kakitangan Syarikat Air Terengganu (Satu) yang berkuatkuasa semalam (1 April) nyata mengembirakan golongan itu, selepas hampir 5 tahun menunggu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata kenaikan itu membabitkan semua kakitangan Satu, termasuk bertaraf kontrak dan sementara.

Katanya, proses ini memakan masa yang agak lama kerana beberapa pengubahsuaian perlu dibuat dengan mengambil kira semua faktor iaitu berkaitan memberi keadilan kepada semua peringkat kakitangan, perancangan kerja,` job rotation’ dan sebagainya.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan Satu yang bersungguh-sungguh bagi memastikan struktur baru ini berjalan dengan lancar.

“Kerajaan negeri pasti akan ada pihak-pihak tertentu yang masih tidak berpuashati dengan pengisian di dalam struktur baru ini,” katanya ketika berucap di Majlis Setiausaha Kerajaan Negeri Bersama Kakitangan Satu, semalam.

Menurutnya, pihak Lembaga Pengarah Satu telah meneliti perkara ini dengan terperinci dan keputusan yang telah dibuat melalui mesyuarat adalah muktamad,” katanya.

“Kriteria utama yang dinilai oleh Ahli Lembaga Pengarah Satu adalah berdasarkan prestasi kerja yang cemerlang, sanggup menghadapi tekanan kerja dan penerimaan positif majikan serta pelanggan.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua kakitangan SATU yang telah berjaya mendapat tawaran gred jawatan yang lebih tinggi.

“Walau bagaimanapun, semua kakitangan akan mendapat kenaikan gaji tetapi jumlahnya adalah berbeza-beza mengikut gred jawatan dan tangga gaji masing-masing,” katanya.

Katanya, tindakan pembuangan kerja atau penamatan kontrak akan diambil jika ianya perlu diambil. Oleh itu, saya ingin ingatkan kepada semua kakitangan supaya jangan memaksa Ahli Lembaga Pengarah mengambil tindakan yang sebenarnya kami semua tidak mahu ambil.

“Kerajaan Negeri bersedia memberi hadiah atau lain-lain penghargaan sekiranya kakitangan bekerja dan memberi komitmen yang penuh bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

“Begitu juga sebaliknya, Kerajaan Negeri tidak akan bertoleransi kepada kakitangan yang bermasalah dan menjadi liabiliti kepada syarikat,” katanya.


3,000 hadir program hi-tea bersama NGO’S

Oleh : Amirullah Othman

Kira-kira 3,000 wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari daerah Marang hadir pada majlis hi-tea di kediaman Pengerusi MPWK ParlimenMarang, merangkap Ketua Wanita Umno Bahagian Marang, To’ Puan Hajah Zaitun Mat Amin, kelmarin.

Program tersebut dirasmikan isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud yang juga Yang Dipertua Serikandi.

Program anjuran bersama Serikandi, Pergerakan Wanita Umno Bahagian dan Agensi Pembangunan MasyarakatNegeri Terengganu (APMT) itu bertujuan merapatkan silaturahim antara wakil pelbagai NGO yang terdapat di daerah ini.

Turut hadir pada majlis dengan moto “Jalinan Mesra Pemimpin Bersama Masyarakat” itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Puan Wan Asmah Wan Mohd dan To’ Puan Rosnani Ngah, isteri kepada Y.B. Dato’ Yahya Khatib Mohammad.

To’ Puan Hajah Norliza dalam ucapannya memuji program seumpamaitu kerana mampu memupuk silaturahim dan menyediakan ruang kepada golongan wanita untuk berbincang dan menjalinkan hubungan baik sesama mereka.

Beliau juga menasihatkan golongan wanita agar berhati-hati dalam membuat keputusan supaya tidak member impak yang tidak baik dalam kehidupan kerana golongan wanita membawa harapan yang cerah kepada masyarakat sebagai agen pendidik yang baik.

Beliau juga berharap kerajaan akan mengiktiraf golongan NGO’S, terutamanya wanita yang memainkan peranan penting sebagai pemangkin kerajaan.


Keputusan PRU-13 sukar diramal – Dr M

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata agar sukar untuk meramal keputusan pilihan raya umum akan datang kerana keadaan "agak mengelirukan".

Beliau berkata pelbagai andaian dibuat mengenai sokongan kepada Barisan Nasional, dengan ada yang mengatakan ia meningkat dan ada yang berpendapat sebaliknya.

"Apa yang pasti bukan mudah untuk BN mendapat dua pertiga majoriti kali ini. Pembangkang sekarang bukan seperti dulu, keadaan sekarang agak mengelirukan," katanya kepada pemberita di Putra Jaya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin bahawa BN hanya akan menang mudah di tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Pahang.

Mengenai kemungkinan sukar bagi BN mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sebagai antara penyebab mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak belum mahu mengadakan pilihan raya umum ke-13, Dr Mahathir berkata beliau tidak boleh hendak membaca apa yang ada dalam fikiran Najib.

"Kemungkinan perkara itu ada benarnya dan tidak," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucap utama bertajuk 'Bahasa - Penghalang atau Kelebihan Pelajar Melayu' pada Seminar Pendidikan Melayu Antarabangsa di sini.

Dalam ucapannya itu, Dr Mahathir berkata menguasai bahasa Inggeris bukan bermaksud seseorang itu perlu melupakan bahasa Melayu yang menjadi identiti bangsa.

"Bahasa Melayu mesti terus dipupuk kerana mungkin satu hari nanti ia akan menjadi bahasa ilmu tetapi hakikatnya ketika ini bahasa ilmu ialah bahasa Inggeris, jadi kita perlu menguasainya," kata beliau.

Dr Mahathir berkata peranan bahasa di zaman moden ini juga bukan sekadar menjadi penentu identiti sesuatu bangsa tetapi juga untuk menjadikan bangsa itu sebagai bangsa terpelajar.




Skuad Peteh tempang tanpa kelibat dua penggempur utama

Oleh: Aida Abd Rahman

Ketumpulan jentera serangan pasukan Terengganu yang gagal menjinakkan pertahanan Johor FC dalam perlawanan kesebelas Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam kelmarin menimbulkan reaksi kecewa peminat nombor satu pasukan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.



Malah, beliau berpendapat prestasi penyerang di bangku simpanan gagal membantu pasukan Terengganu untuk memenuhi aspirasi pasukan itu.

“Apa yang saya lihat, kita terlalu bergantung kepada penyerang sedia ada termasuk Manaf Mamat dan pemain import, Forkey Doe. Jadi kita perlu melatih lebih ramai penjaring gol dalam skuad Terengganu kerana kita mahu lebih ramai pemain yang boleh menghasilkan gol,” katanya sebagai mengulas prestasi skuad Terengganu yang gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri itu.



Walaupun beberapa kali peluang terhidang dalam aksi 90 minit itu, pemain Terengganu ternyata gagal menterjemahkannya dengan sepakang gol sehingga memaksa skuad Peteh sekadar berpuas hati untuk berkongsi satu mata dengan pasukan lawan.

Masalah kecederaan yang membelenggu penggempur utama, Abdul Manaf Mamat serta penggantungan satu perlawanan yang terpaksa dihadapi Fancis Forkey Doe akibat layangan kad kuning memberi impak kepada skuad kendalian Mat zan Mat Aris yang terpaksa mengharungi perlawanan dalam keadaan `tempang’.

Terengganu yang mengumpul 21 mata keseluruhan, kekal menghuni tangga ke ketiga di belakang pendahulu liga, Kelantan dan Lions XII.

Manakala T-Team berada di kedudukan keempat mengumpul 19 mata selepas tewas 1-2 dalam pertemuan menentang Lion XII di tempat lawan, malam kelmarin.



Pembangkang hasut pelajar demonstrasi

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pemimpin parti pembangkang dikatakan menghasut pelajar di negeri ini supaya mengadakan demonstrasi bagi membantah tindakan Yayasan Terengganu (YT) menarik balik pinjaman sembilan pelajar yang terlibat dengan perhimpunan haram di Dataran Hayyu Asyier, Mesir, tahun lalu.



Semalam, kira-kira 10 pelajar dipercayai didalangi pembangkang menghantar memorandum kepada YT dan pejabat Menteri Besar, supaya tindakan lembaga tersebut menarik balik pinjaman ke atas pelajar terbabit, ditarikbalik.

Apa yang menyedihkan seorang wakil pelajar tersebut yang mendakwa mereka mewakili Persatuan Gerak Mahasiswa Pantai Timur (Gempur), memberi kata dua kepada pihak YT sama ada menarik balik arahan mereka sebelum ini atau ahli-ahli Gempur akan mengadakan demonstrasi.

“Kami memberi tempoh seminggu kepada YT supaya menarik balik pinjaman itu dan jika YT tetap berkeras dan bertegas, ahli-ahli Gempur tidak akan segan silu mengadakan perhimpunan aman bagi membantahnya,” kata Pengerusi Gempur, Muhammad Syahmi Hazim Mohd Ithnin.

Begitu biadap sekali kenyataan seorang pelajar yang kononnya berjuang bagi membela nasib rakan-rakan mereka yang masih berada di Mesir kerana meneruskan pengajian mereka.

Golongan pelajar sepatutnya sedar bahawa mereka belajar di luar negara atas tajaan kerajaan negeri melalui YT dan tugas mereka belajar hingga tamat pengajian.

Kita kesal kerana segelintir pelajar yang menuntut di luar negara sanggup membiarkan diri mereka menjadi ‘tunggangan’ pembangkang dan melibatkan diri dalam kegiatan yang bertentangan dengan perjanjian yang dibuat sebelum mereka memohon pinjaman dari YT.

Pelajar berkenaan yang kebanyakannya dari golongan kurang berada, sepatutnya memikirkan masa depan mereka dan keluarga sebelum melakukan tindakan yang menghina kerajaan yang menanggung pengajian mereka.

Timbalan Pengarah (Pendidikan) YT , Encik Razali Mahmud, ketika mempertahankan tindakan menarik balik pinjaman pelajar tersebut menjelaskan YT terpaksa bertegas dengan keputusan itu kerana jelas kesemua pelajar itu melanggar peraturan dengan menyertai perhimpunan haram Bersih.

Menurut beliau, jika tiada tindakan tegas mungkin lebih ramai pelajar lain akan melakukan perbuatan sama selain ada yang menunding jari dan mempelekehkan YT jika bersikap berdiam diri.

Bagaimanapun, bagi memberi sedikit ruang kepada pelajar berkenaan beliau berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan Ahli-Ahli Lembaga YT bagi membincangkan isu itu secara terperinci dan lembaga itu akan membuat keputusan muktamad sama ada diteruskan tindakan tersebut atau sebaliknya.

Dalam hal ini, sepatutnya para pelajar yang terlibat datang berbincang dengan pihak pengurusan YT dan mengemukakan rayuan serta membuat akujanji dengan YT bahawa mereka tidak akan terlibat dengan sebarang kegiatan yang memberikan kesan negatif kepada kerajaan.

Pelajar terbabit perlu menginsafi kesilapan lalu dan tidak lagi membiarkan mereka menjadi ‘tunggangan’ pemimpin politik pembangkang yang sentiasa mengambil kesempatan untuk mempergunakan pelajar bagi kepentingan politik mereka.



Rangkaian T- Hardware setiap parlimen

Oleh: Aida Abd Rahman

Selepas berjaya mewujudkan rangkaian kedai T-Shoope, T-Lekor dan T-Kafe, kerajaan Terengganu merancang mewujudkan rangkaian kedai peruncitan bahan perkakasan binaan, T-Hardware di setiap Parlimen di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata ia bagi memastikan supaya lebih ramai Bumiputera di negeri ini menceburi sektor berkenaan sekali gus memantapkan penyertaan mereka dalam pasaran Sistem Binaan Industri (SBI).

"Cadangan kita kalau boleh rangkaian kedai T-Hardware itu dibuka bermula Mei ini secara berperingkat-peringkat. Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sudah pun mengenal pasti peniaga yang berminat untuk bekerjasama.

“YPU akan membuat pengubahsuaian kedai itu bagi membantu peniaga mendapatkan peralatan dan bekalan bahan binaan secara terus daripada pembekal utama dari China,” katanya selepas merasmikan pembukaan restoran T-Kafe cawangan Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Dato’ Mohamed berkata, beberapa pembekal dari China sudah bersetuju untuk membekalkan secara terus peralatan dan bahan binaan terutama simen, paku dan cangkul kepada Pusat Pengumpulan Produk (PPP) milik YPU.

“Kita akan bekalkan bahan binaan ini pada harga lebih rendah kepada setiap T-Hardware. Selain beroperasi dengan jenama sendiri, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai bahan bagi industri pembinaan dengan harga yang lebih murah dan kompetitif,” katanya.

Katanya, kedai peruncitan itu nanti mampu menonjolkan bentuk perniagaan bahan pembinaan yang tersusun dan sistematik, selain berdaya maju keranan mampu menjana hasil jualan sehingga RM5 juta setahun bagi setiap rangkaian T-Hardware berkenaan..



01 April 2012

Pekebun kecil perlu dampingi RISDA

Oleh FAUZI MOHD

Pekebun kecil getah dinasihatkan melakukan proses membaja mengikut kaedah yang betul bagi memastikan pembesaran pokok getah tidak terbantut dan mampu menghasilkan susu berkualiti.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pekebun kecil perlu mendampingi pihak RISDA bagi mendapatkan perkembangan terkini teknologi berkaitan dengan pengeluaran dan penghasilan susu getah.

Katanya, RISDA mempunyai kepakaran bagi meningkatkan mutu serta hasil getah para pekebun kecil melalui teknik terbaru dan kaedah pembajaan yang betul.

"Klon-klon getah terbaru yang ditanam akan subur serta dapat mengeluarkan hasil yang banyak dan secara tidak langsung memberikan hasil berlipat ganda kepada pekebun kecil.

"Klon-klon terbaru tidak mendatangkan hasil yang baik jika kita masih menggunakan kaedah lama tetapi kalau ikut nasihat RISDA kita akan mendapat susu getah yang bermutu tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kasihi Pekebun dan Gerakan Membaja peringkat negeri di Kampung Perasing Jaya, Jabor, Kemaman hari ini.



Pada majlis itu, Dato’ Seri Ahmad turut menyampaikan bantuan program pembangunan RISDA negeri berjumlah RM15.32 juta dan RM771,000 untuk program peningkatan produktiviti getah melibatkan 771 pekebun kecil.

Turut disampaikan, bantuan berjumlah RM70,000 untuk Program Tuisyen Desa kepada tujuh buah sekolah melibatkan 105 anak pekebun kecil yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.



Sementara itu, anak syarikat RISDA, Espek Sdn. Bhd. turut menyerahkan zakat perniagaan kepada 167 pekebun kecil yang layak berjumlah RM66,844, iaitu sebanyak RM400 seorang.

Syarikat itu bersama Kolej RISDA turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat dengan menyampaikan sumbangan RM2,000 masing-masing kepada Masjid Kampung Perasing Jaya, Kemaman dan Masjid Teluk Kalong, Kijal.

Sejurus selepas itu, Menteri Besar menyertai gimik pelancaran membaja pokok getah di ladang peserta RISDA kampung itu.















Terharu, dua anak cacat terima e-Book

Oleh; Esah Abdullah

“Saya bersyukur kerana kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan yang tidak bernasib baik untuk menerima e-Book walau pun anak saya dalam kategori Orang Kelainan Upaya (OKU),” kata Encik Zulkifli Awang, 46, dari Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Anaknya Ahmad Fahmi, 10, yang mengalami sakit saraf kini berada dalam Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan Khas (SKK) Padang Hiliran di sini, menerima e-Book daripada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama 667 pelajar kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bandar baru-baru ini.

Katanya, kesungguhan kerajaan untuk merubah nasib generasi baru hari ini mencapai kejayaan kecemerlangan dalam bidang pelajar amat dikagumi semua pihak sekali gus terbukti kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pilih kasih.

“Contohnya dua anak saya yang cacat pun dapat e-Book,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui di majlis pengagihan e-Book Dun Bandar di Kompleks Seri Iman.

Ayah kepada tujuh anak berusia antara 18 hingga dua tahun ini mempunyai dua anak mengidap penyakit saraf iaitu Ahmad Fahmi dan Zul Ashraf,12, yang memerlukan perhatiannya kerana tidak mampu berjalan .

Namun begitu anaknya boleh bercakap dan menunjukkan kecenderungan belajar walaupun agak lambat menerima apa yang diajar.

“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri terutama Menteri Besar, kerana dengan adanya e-Book, dapat membantu proses pembelajaran anak saya lebih cepat kerana ia dapat melihat hanya dengan sentuhan saja,” katanya yang bekerja sendiri untuk menyara keluarga.




Peluang pekebun kecil RISDA tingkat hasil

Oleh FAUZI MOHD



Pelancaran Gerakan Membaja RISDA peringkat negeri di Kampung Perasing Jaya, Jabor, Kemaman hari ini diyakini memberi peluang kepada pekebun kecil di bawah skim bantuan RISDA mengamalkan teknologi membaja dengan betul.

Pada masa sama, gerakan membaja itu akan dapat memastikan pekebun kecil melaksanakannya secara berterusan mengikut amalan berkebun yang baik untuk meningkatkan produktiviti.

Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, melalui amalan pembajaan yang betul dan teknologi yang sesuai, tempoh muda pokok boleh dipendekkan kepada empat tahun setengah bagi getah dan dua tahun setengah bagi sawit selepas ditanam.

“Apa yang paling diharapkan adalah gerakan membaja ini juga dapat meningkatkan produktiviti pekebun kecil dan secara langsung akan meningkatkan pendapatan mereka.

“Dengan harga komoditi yang baik sekarang, saya minta pekebun kecil tidak terus berasa selesa sebaliknya memberi komitmen lebih tinggi dan sentiasa memberi respons kepada teknologi, pendekatan mahupun sistem yang diperkenalkan oleh RISDA atau agensi penyelidikan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kasihi Pekebun dan Gerakan Membaja peringkat negei yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, YB. Ir. Rosli Othman; Ketua Pengarah RISDA, Dato’ Wan Mohamad Zuki Mohamad dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman.

Tambah Tan Sri Rahim, gerakan membaja telah dilancarkan pada tahun lalu secara besar-besaran berteraskan kepada peningkatan produktiviti supaya setiap pekebun kecil akan membaja setiap pokok getah dan sawit mengikut jadual serta peraturan yang betul.

Katanya, dengan gerakan itu para pekebun kecil akan dapat meningkatkan hasil dan seterusnya meningkatkan pendapatan selari dengan Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apa yang perlu dilakukan oleh para pekebun kecil adalah mengubah minda dan sikap untuk melihat tanah sebagai aset bagi menjana pendapatan secara maksimum.

“Bagi tujuan ini, pembajaan pokok amat penting kerana ia merupakan asas amalan pertanian yang baik, tetapi jangan pula RISDA memberi baja, kita tinggalkan di bawah rumah sahaja atau dijual kepada orang lain dan baja tidak sampai ke pokok," katanya.



YT bertegas dengan tindakan tarik balik pinjaman.

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Terengganu (YT)tetap bertegas dengan tindakan menarik balik pinjaman sembilan pelajar yang terlibat dengan perhimpunan haram di Dataran Hayyu Asyier, Mesir walaupun ada pihak menghantar memorandum supaya tindakan itu dibatalkan.



Timbalan Pengarah (Pendidikan) YT , Encik Razali Mahmud, berkata pihaknya menerima memorandum tersebut yang dihantar 16 wakil Persatuan Gerak Mahasiswa Pantai Timur (Gempur) hari ini, tetapi YT terpaksa bertegas dengan keputusan itu kerana jelas kesemua pelajar itu melanggar peraturan dengan menyertai perhimpunan haram Bersih.

Katanya, jika tiada tindakan tegas, mungkin lebih ramai lagi pelajar lain akan turut melakukan perbuatan sama selain ada yang menunding jari dan mempelekehkan YT jika bersikap berdiam diri.

“Pihak kami akan mengadakan mesyuarat dengan Ahli-Ahli Lembaga YT bagi membincangkan perkara ini secara lebih lanjut, sebarang tindakan sama ada diteruskan tindakan atau sebaliknya, YT terpaksa akur.

“Tindakan itu dilakukan selepas pihak kami tidak puas hati dengan jawapan kepada surat tunjuk sebab yang dikemukakan kepada mereka sebelum ini setelah didapati terlibat dengan kes salah laku tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima memorandum dari 16 wakil Gempur di pejabatnya hari ini.

Beliau turut memberitahu, pelajar terbabit didapati melanggar peraturan dengan menyertai perhimpunan haram Bersih.

“Selepas kita tidak berpuas hati dengan jawapan yang mereka berikan, kita bertindak menarik balik pinjaman mereka berkuatkuasa serta-merta iaitu pada awal September tahun lalu..

“Pelajar yang dikenakan tindakan itu adalah dua pelajar perubatan yang masing-masing kini berada di tahun lima dan tahun 4 manakala tujuh lagi pelajar pengajian Islam yang merupakan pelajar tahun 2 dan tahun 3,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya kesal dengan tindakan mereka yang nyata tidak memikirkan masa depan diri sendiri dan keluarga.

“Mereka tetap berdegil walaupun menyedari akibat dan musibah yang bakal berlaku jika menyertai sebarang perhimpunan dan demontrasi politik,” katanya.

Encik Razali berkata, YT membelanjakan ratusan ribu ringgit setahun dengan menghantar mereka melanjutkan pelajar ke luar negara dengan tujuan menimba ilmu dan bukannya menghentam kerajaan.

“Pihak kami mengharapkan supaya tidakan yang diambil ini menjadi pengajaran berguna kepada semua pelajar supaya tidak melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gempur, Muhammad Syahmi Hazim Mohd Ithnin, berkata pihaknya mengharapkan YT memberi peluang kedua kepada sembilan pelajar yang ditarik balik pinjaman kerana mereka jelas tidak bersalah kerana hanya mengikuti perhimpunan aman yang bukan di bawah tajaan mana-mana parti.

“Budi bicara YT yang bertanggungjawab meluluskan pinjaman kepada pelajar di negeri ini amatlah ditagih kerana rata-rata pelajar yang dikenakan tindakan itu memiliki latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.

“Gempur memberi tempoh seminggu kepada YT supaya menarik balik pinjaman itu, jika YT tetap berkeras dan bertegas, ahli-ahli Gempur tidak akan segan silu mengadakan perhimpunan aman bagi membantahnya,” katanya.





Kerajaan belanja jutaan ringgit bantu nelayan di Marang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri tetap membantu nelayan di Marang dengan menyediakan pelbagai bantuan dengan kos melebihi jutaan ringgit bagi memastikan golongan itu dapat meneruskan kelangsungan hidup walaupun menyedari majoriti mereka tidak memihak kepada kerajaan.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku, berkata majoriti kumpulan nelayan di Marang adalah penyokong pembangkang dan jika dibuat perbandingan daripada 1,000 nelayan, kira-kira 700 daripada mereka memilih Pas.

“Kerajaan negeri dan Pusat menjalankan pelbagai pembangunan dan kemudahan kepada nelayan supaya mereka dapat terus bekerja dan mencari rezeki mereka. Terlalu banyak yang kita sediakan, bagaimanapun mereka masih tidak sedar sehingga membelakangkan kerajaan
ketika Pilihan Raya Umum.

“Bagaimanapun, saya yakin dan percaya kini sudah ada perubahan dan kesedaran di kalangan mereka (nelayan). Ada peningkatan di kalangan nelayan yang menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) berikutan banyak kehendak mereka kita laksanakan,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, antara projek berkaitan termasuk mendalamkan Sungai Marang yang dilaksanakan Kerajaan Pusat dengan kos RM30 juta, selain peruntukan tambahan kira-kira RM500,000 bagi mendalamkan semula sungai itu.

Selain itu, projek membangunkan prasarana longkang Sungai Kerok bernilai kira-kira RM5 juta, longkang Sungai Riting (fasa i) RM500,000, (fasa ii) RM300,000 dan projek yang terbaru, longkang Sungai Riting (fasa iii) menghala ke Kelulut dan Sungai Marang melibatkan kira-kira RM3juta.

“Kita juga menyiapkan Marang Waterfront (fasa i) bernilai kira-kira RM4 juta, longkang di Bandar Marang, Alor Pok Bang dan banyak lagi dalam proses membangunkannya dari masa ke semasa kerana peruntukan bagi tujuan itu sudah disediakan.

“Alhamdulillah, dengan pembinaan prasarana longkang dan tebatan banjir kita hampir berjaya menyelesaikan masalah banjir di kawasan Rhu Rendang terutama Bandar Marang,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang mengadakan lawatan ke daerah Marang pada 7 Februari lalu meluluskan peruntukan serta-merta RM3 juta bagi tujuan pembinaan jalan baru dan pembesaran jalan kampung di seluruh daerah itu.

Peruntukan itu tidak termasuk projek pembesaran parit dan longkang di daerah tersebut yang memerlukan pembinaan segera bagi mengatasi pelbagai masalah seperti banjir kilat.

Kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM750,000 bagi setiap DUN di Parlimen Marang tahun ini untuk membina jalan-jalan kampung dan membesarkan jalan sedia ada.



Laporan penambahbaikan pilihan raya diedar esok

Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya akan diedarkan kepada semua anggota Parlimen (MP) esok.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata bagaimanapun laporan itu dijangka hanya dibentangkan di Dewan Rakyat pada akhir minggu depan.

"Laporan itu adalah menyeluruh dan menyentuh semua isu utama. Sesetengahnya dipersetujui, sesetengahnya tidak. Tetapi anda akan dapat lihat semua itu dalam laporan itu. Tunggu sehingga esok. Kita akan tahu apakah cadangan yang dibuat," katanya semasa dihubungi Bernama.

Dr Ongkili, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata laporan itu mengandungi 22 cadangan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

Ia dikumpulkan oleh sembilan anggota PSC pada pendengaran-pendengaran awam dan daripada maklum balas sejak ia memulakan kerjanya pada 2 Okt tahun lepas. Lima daripada anggotanya ialah daripada Barisan Nasional (BN), tiga daripada pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS dan seorang anggota Parlimen Bebas.

PSC juga menubuhkan lima jawatankuasa kecil untuk meneliti memorandum yang dihantar terus kepadanya. Ia menyiapkan kerjanya pada Rabu lalu selepas mengadakan 14 mesyuarat dan enam sesi inkuiri awam.

Dr Ongkili berkata banyak isu telah diberikan pertimbangan oleh jawatankuasa berdasarkan tiga prinsip iaitu kepentingan, kesegeraan dan kebarangkalian pelaksanaannya dibenarkan dalam kerangka undang-undang dan perlembagaan.

Sembilan anggota panel itu dilaporkan telah mencapai persetujuan ke atas 16 daripada 22 isu yang dibangkitkan oleh MP kerajaan dan pembangkang, dan antara isu yang belum diputuskan ialah mengenai tempoh kempen, undi pos bagi pengamal media, undi luar negara dan pembiayaan politik.

Sesetengah anggota dikatakan mahukan tempoh berkempen lebih panjang iaitu 21 hari tetapi sebahagian lagi mahukan hanya 10 hari.

Mengenai undi pos bagi pengamal media, dikatakan sesetengah anggota tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana berpendapat undi pos patut dimansuhkan.

Juga dilaporkan bahawa jawatankuasa itu bersetuju untuk membenarkan pembiayaan politik tetapi modelnya masih belum diputuskan.



Pembangkang racun pemikiran nelayan, peneroka Felda

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Selepas ‘bertemu mata’ dengan kira-kira 5,500 nelayan di seluruh negeri, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan berjumpa pula dengan peneroka Felda bagi menjelaskan plebagai isu semasa kepada golongan tersebut.

Selama ini golongan nelayan dan Felda sering disogokkan dengan pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap pemimpin kerajaan, menyebabkan sebahagian mereka membenci kerajaan.

Golongan nelayan sering dikaitkan dengan masalah kemiskinan, tetapi mereka sebenarnya merupakan golongan yang banyak menerima kemudahan dan subsidi daripada kerajaan.

Bermula dari bantuan subsidi disel, hinggakan kepada bantuan bulanan RM200 sebulan daripada Kerajaan Pusat dan RM100 sebulan daripada kerajaan negeri, nelayan juga turut menerima bantuan kelengkapan seperti bot, enjin bot dan pukat.

Begitu juga dengan peneroka Felda yang dulunya miskin dan tidak ada tanah untuk bercucuk tanam, tetapi mereka ditempatkan di tanah rancangan dan diberi tanah serta kediaman yang selesa oleh kerajaan.

Selepas tanah yang diusahakan memberi hasil lumayan, sebahagian peneroka mula lupa diri dan membenci pemimpin kerajaan yang sebelum ini banyak berjasa, hinggakan sebahagian peneroka kini sudah memiliki rumah besar dan kereta.

Dalam majlis pertemuan dengan golongan nelayan, Menteri Besar mengumumkan kerajaan Terengganu akan menaikkan kadar bantuan tahunan kepada lebih 5,500 nelayan di seluruh negeri ini daripada RM100 kepada RM200.

Agihan yang melibatkan peruntukan kira-kira RM1.1 juta itu akan dilaksanakan sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat mentadbir negeri ini selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke-13.

Bantuan yang diperkenalkan tahun lalu itu bukan ‘gula-gula’ pilihan raya, sebaliknya inisiatif kerajaan negeri untuk mengurangkan beban golongan itu khususnya pada musim tengkujuh.

Dalam pertemuan dengan nelayan, Menteri Besar mengingatkan mereka supaya tidak terpedaya dengan janji-janji manis pihak pembangkang yang lebih banyak bercakap dan berceramah untuk memburukkan pihak kerajaan.

Begitu juga dengan golongan peneroka, beliau akan menjelaskan isu-isu yang ditimbulkan pihak pembangkang agar mereka tidak dipengaruhi dengan dakyah yang disebarkan parti pembangkang.

Menteri Besar yakin dengan penjelasan yang diberikan berhubung isu-isu semasa, golongan nelayan dan peneroka akan menyokong kerajaan dan mengundi calon-calon BN pada PRU 13.



MPWK perkasakan institusi keluarga



Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) akan terus memperkasakan Majlis Pembangunan Wanita Keluarga (MPWK) di seluruh negara bagi membantu dan meningkatkan sumbangan wanita dalam pembangunan negara

Ketua Pengarah JPW, Puan Wan Hasmah Wan Mohd berkata, ia diselaraskan melalui program-prgoram yang dianjurkan oleh MPWK menjurus untuk membangunkan wanita dan institusi kekeluargaan.

Beliau berbangga dengan MPWK yang aktif dan dapat melaksanakan pelbagai program di peringkat parlimen masing-masing sebagai pembawa mesej kerajaan kepada kumpulan sasar.

``JPW sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWK) memberi komitmen tinggi kepada MPWK dalam membantu kerajaan bagi meningkatkan pembangunan wanita di seluruh negara,’’ katanya.

Beliau ditemui di majlis Program Hi-Tea Bersama NGO’s Wanita Parlimen Marang yang dirasmikan oleh isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud di Binjai Rendah, Marang petang semalam. Hadir sama Pengerusi MPWK Marang, To’ Puan Hajah Zaiton Mat Amin

Puan Wan Hasmah berkata, MPWK diwujudkan di setiap parlimen yang disertai NGO wanita daripada pelbagai bangsa dan pelaksanaan aktiviti seperti literasi undang-undang serta pembangunan kesihatan disasarkan kepada penduduk setempat dalam usaha meningkatkan ekonomi keluarga.

Terdahulu To’ Puan Seri Hajah Norliza ketika berucap, mahukan golongan wanita terus memainkan peranan sebagai agen perpaduan di kalangan semua masyarakat tanpa mengira bangsa.

Katanya, walaupun wanita mempunyai nilai-nilai kelembutan, tetapi mereka mempunyai sikap tegas dan tidak mudah diperlekehkan.

``Sebagai fitrah wanita yang prihatin, sabar, lembut, mesra , wajarlah mereka sebagai pendidik yang terbaik bagi membimbing terutama kepada generasi muda,’’ ujarnya.

Isteri Menteri Besar kemudiannya turut menyampaikan sumbangan kerusi roda dan barangan kepada golongan yang kurang bernasib baik.




Promo Teganu Kita @ Tv3! (Setiap Khamis - jam 6.00 petang)




Pelajar Jepun berhasrat kembali ke Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Persekitaran yang menarik, makanan yang menyelerakan serta sikap mesra dan ramah penduduk negeri ini membuatkan sekumpulan 34 pelajar Jepun berhasrat untuk berkunjung lagi ke Terengganu pada masa depan.



Menerusi bantuan jurubahasa, Mohamad Nabil Mohamad Nasir kesemua peserta yang mengenakan baju Melayu dan baju kurung ketika ditemui sempena penutupan Program Homestay Hippo Club Jepun anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kelab Antarabangsa Hiroshima di Kuala Lumpur, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, melahirkan rasa teruja dan seronok berkampung di negeri ini.

Malah, keceriaan mereka terserlah apabila tidak henti bergelak ketawa dan berbual mesra bersama rakan senegara ketika dijemput mengiringi artis kebudayaan negeri membuat persembahan di majlis itu.

Seorang peserta, Jonpei Ohasyi, 11 berkata, dia teruja dan sangat seronok menyertai program ini, malah tidak menolak untuk terus mengunjungi negeri ini lagi kelak.

“Saya mendapat pengalaman baru melalui lawatan ini dan pertama kali memakai baju Melayu beserta dengan samping dan songkok. Selain itu, saya berpeluang mendapat keluarga angkat yang baik,” katanya.

Sementara Yukino Iwasaki, 11, pula seronok setiap kali berpeluang mengikuti program yang diatur pihak penganjur kerana dapat melihat pelbagai persembahan kebudayaan.

"Di setiap sekolah yang saya lawati ada persembahan oleh pelajar dan persembahan berlainan antara satu sekolah dan sekolah yang lain," kata pelajar perempuan itu yang ingin tinggal lebih lama di Terengganu.

Manakala Okada Kazuya, 17, dari Hiroshima pula berkata banyak pengalaman diperoleh sepanjang berada seminggu di Terengganu yang terkenal dengan pelbagai tempat yang menarik dan makanan yang lazat.

"Kami juga dibawa ke tempat-tempat yang menarik seperti Muzium Negeri, Taman Tamadun Islam, Pasar Payang dan lain-lain," katanya.

"Persekitaran di sini amat menarik dan orangnya juga baik-baik. Semasa di sini saya belajar makan makanan tradisi seperti nasi dagang. Walaupun sedikit pedas tetapi saya menggemarinya," katanya.

Seramai 34 pelajar melibatkan 19 pelajar lelaki dan 15 perempuan serta tiga guru pengiring dari Jepun berkampung selama seminggu di Terengganu bermula 25 Mac lalu menerusi Program Homestay Pelajar Antarabangsa Jepun ke Malaysia.

Program kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kelab Antarabangsa Hiroshima bagi bertukar pengalaman berkaitan sistem pendidikan sekali gus membina rangkaian persahabatan sejagat.

Peserta program tinggal bersama keluarga angkat di Terengganu yang terdiri daripada guru Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu dan Serikandi.





31 March 2012

Kongsi idea pendidikan, antarabangsakan pelajar: MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Program penempatan pelajar Jepun dari kelab Hippo bersama keluarga angkat di negeri ini diharapkan dapat mencetus perkongsian kebudayaan dan idea dalam bidang pendidikan sekaligus mengantarabangsakan pelajar Terengganu.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata walaupun kedatangan mereka ke negeri ini hanya dalam tempoh yang singkat, tetapi ia memberi impak yang amat besar terutama dalam aspek kebudayaan dan juga pendidikan.

“Mereka dapat mempelajari dan mengenali budaya tempatan, melalui usahasama ini juga memberi kesan jangka masa panjang kepada peserta dan juga Terengganu khususnya.


“Justeru itu, saya yakin program ini dapat meninggalkan kenangan manis kepada para peserta yang terlibat dan juga dapat berkongsi pengalaman dengan keluarga serta rakan-rakan sekembali ke rumah (negara asal) mereka kelak. Malah, kita berharap mereka akan berkunjung lagi ke Terengganu,” katanya di Majlis Perasmian Penutupan Program Homestay Hippo Club Jepun Terengganu 2012 di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat negeri Terengganu (Serikandi), To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin dan Ketua Koordinator program, Hatsugo Hatano.

Menteri Besar turut berterima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana memilih negeri ini sebagai destinasi kelima selepas Selangor, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2001.

Sepanjang program peserta dibawa melawat ke pusat pertukangan bot tradisional di Pulau Duyong, Kota Lama Pulau Duyong, Taman Tamadun Islam (TTI), Muzium Terengganu sebelum menyertai permainan tradisional di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di Telaga Batin.

Sementara itu, seorang peserta, Jonpei Ohasyi, 11 berkata, dia teruja dan sangat seronok menyertai program ini, malah tidak menolak untuk terus mengunjungi negeri ini lagi kelak.

“Saya mendapat pengalaman baru melalui lawatan ini dan pertama kali memakai baju Melayu beserta dengan samping dan songkok. Selain itu, saya berpeluang mendapat keluarga angkat yang baik,” katanya.

Seramai 35 pelajar serta tiga guru pengiring dari Jepun berkampung selama seminggu di Terengganu bermula 25 Mac lalu menerusi Program Homestay Pelajar Antarabangsa Jepun ke Malaysia.

Program kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kelab Antarabangsa Hiroshima bagi bertukar pengalaman berkaitan sistem pendidikan sekali gus membina rangkaian persahabatan sejagat.

Peserta program tinggal bersama keluarga angkat di Terengganu yang terdiri daripada guru Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu dan Serikandi.

















Tekad Zakaria realisasikan ‘Terengganu Negeri Anjung Ilmu’

Oleh FAUZI MOHD

Zakaria Hussin, 57, yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri yang baru bertekad memastikan Terengganu terus unggul dalam pendidikan dengan melahirkan modal insan cemerlang.

Beliau yang berasal dari Kampung Dusun Nyior, Kemaman itu yakin misi dan visi iaitu bagi mencorak masa depan anak bangsa dan negeri dapat dicapai dengan kerjasama serta sokongan padu seluruh warga pendidik di jabatan dan sekolah.

Katanya yang berkelulusan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Matematik, hasrat itu diperkukuhkan lagi dengan komitmen kerajaan negeri sendiri melalui sokongan dan dokongan yang cukup kuat.

"Saya bersyukur atas bantuan kerajaan negeri selama ini dan sebagai Pengarah Pelajaran baru, saya sedar tanggungjawab besar ini dan saya pikul amanah ini sambil dibantu rakan-rakan lain.

"Walaupun cabaran ini besar tapi pada kesempatan sebegini, saya akan berusaha lebih baik lagi bagi meningkatkan tahap pencapaian dalam bidang pendidikan secara keseluruhannya," katanya baru-baru ini.

Zakaria turut memberi jaminan untuk merealisasikan gagasan Terengganu Negeri Anjung Ilmu yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang antara lain untuk memastikan negeri ini mendahului negeri lain dalam kecemerlangan pendidikan.

"Saya juga akan memimpin dasar pendidikan Terengganu dengan memperkasakan semangat dan budaya kerja berkonsepkan 'pendidik penyayang, murid berkualiti' bagi memacu kecemerlangan," ujarnya.

Zakaria yang menggantikan Razali Daud yang bersara pada 27 November tahun lalu memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Cukai, Kemaman dan menyambung pelajaran peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cukai serta SMK Khir Johari, Sungai Petani, Kedah.

Beliau memulakan kerjaya perguruan di SMK Sungai Lembing, Kuantan; SMK Cukai dan SMK Air Putih.

Zakaria juga menjadi Pengetua Sekolah Menengah Teknik Kemaman dan seterusnya sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Kemaman sebelum dilantik sebagai Pengarah Kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) Sultan Mizan pada Julai 2011.


Jabatan Penerangan Terengganu laksana 486 program

Jabatan Penerangan Terengganu akan melaksanakan 486 program dan aktiviti melibatkan peringkat negeri dan daerah sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Hajah Azizah Awang berkata semua program yang dirancang itu berdasarkan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian dan jabatan.

"Semua program yang akan dijalankan itu adalah mengikut sasaran tertentu dan kesesuaian sesuatu tempat. Setakat ini, sebanyak 25 peratus daripada program itu telah dijalankan," katanya.

Beliau berkata, semua aktiviti jabatan itu melibatkan kumpulan sasar seperti Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, kakitangan kerajaan, pelajar sekolah, masyarakat umum dan belia.

Jabatan itu juga mengadakan program Wacana Bicara 1Malaysia di peringkat sekolah selain menubuhkan Kelab Setia di setiap sekolah menengah yang akan membantu menyebarkan dasar kerajaan.

Beliau berkata untuk masyarakat di akar umbi pula, jabatan mewujudkan Komuniti 1Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Komuniti Bestari di 83 mukim.




Terengganu senarai 12 pemain buru kejuaraan Piala Emas Khir Johari

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) meletakkan harapan kepada 12 pemain untuk meledakkan misi kemenangan pada kejohanan sepak takraw Piala Emas Khir Johari di Manjung, Perak.

Pengerusi PSTNT, Mohd Shapian Ali berkata, barisan pemain yang terdiri daripada gabungan muka lama dan baru yang diharap mampu meraih kejuaraan buat pertama kali pada 5 hingga 8 April ini.

"Harapan Terengganu memang tinggi kerana kita sebelum ini tidak pernah memenangi sebarang kejohanan dalam merebut trofi ini, hanya pernah menjadi naib johan sebanyak tiga kali," katanya semalam.

Beliau berkata, untuk melakar kejayaan, Terengganu akan menurunkan tujuh pemain lama yang pernah mewakili skuad itu di mana seorang daripadanya merupakan pemain senior iaitu Rosmadi Abdul Ghani.

Enam lagi pemain senior ialah Mohd Shazwan Hussin, Mohd Hami Khairi Roslan, Mohd Fazli Roslan, Zulhafizazudin Roslan, Mohd Azrol Nizam Zakaria dan Mohd Subbha Mohd Latip yang rata-rata pernah mewakili skuad Sukan Malaysia (Sukma) sebelum ini.