Halaman

30 June 2013

Kadar penembusan jalur lebar 66.6 peratus

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Kadar penembusan jalur lebar di peringkat nasional sehingga Mei lalu mencecah 66.6 peratus dalam usaha kerajaan menjadikan perkhidmatan jalur lebar satu utiliti asas untuk rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata pada masa kini, kadar pencapaian jalur lebar di setiap negeri melebihi 50 peratus kecuali Kelantan.

 "Kerajaan mahu setiap masyarakat di negara ini mendapat akses kepada jalur lebar bagi merapatkan jurang digital keseluruhan masyarakat luar bandar khususnya pelajar, yang masih jauh ketinggalan dalam capaian internet.

 "Dulu sebelum pembinaan menara-menara SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dilakukan, jurangnya agak besar dan kini secara berperingkat kita mula mengatasinya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup majlis kesyukuran kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu di Padang Astaka Kuala Berang, semalam.

Datuk Jailani yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata kadar penembusan jalur lebar di negeri ini pula buat masa ini telah mencapai 59 peratus iaitu kedua tertinggi bagi kawasan Pantai Timur selepas Pahang.

Katanya hasil usaha kerajaan yang komited memberikan perkhidmatan berterusan, kadar penembusan jalur lebar di peringkat nasional meningkat secara berperingkat di mana melebihi sekitar 60 peratus dicatatkan pada 2012 berbanding 40 peratus pada 2008.