Halaman

04 July 2013

Istana Syarqiyyah masih dalam pembinaan

Suriati Ali dan Nurul Suraya Abd Sukur (Pelatih) 

Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Raya Kuala Terengganu masih lagi dalam pembinaan dan dijangka siap pada Jun tahun depan.



 Pengarah Kerja Raya Terengganu, Dato’ Haji Shafii Mohamad, berkata projek yang dimulakan pada November 2006 itu melibatkan kawasan seluas tiga hektar daripada 42 hektar keseluruhan tapak projek.

 Katanya, skop pembinaan Istana Syarqiyyah membabitkan empat fasa meliputi balai istiadat, istana kediaman, balai Islam, balai nobat, blok pentadbiran, blok pengawal dan blok utiliti.

Kemudahan lain, surau, jalan raya, jambatan dan 480 tempat letak kenderaan.

 “Istana itu masih dalam pembinaan di mana kini sudah berada di fasa ke 4 atau fasa terakhir, sekiranya tiada masalah teknikal, ia dijangka siap pada Jun tahun depan.

“Fasa empat masih lagi melibatkan tembok penahan, penstabilan cerun, bangunan balai istiadat, bangunan balai islam, kediaman Sultan Terengganu, kerja mekanikal serta elektrikal, kerja hiasan dalaman dan landskap,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.