Halaman

05 July 2013

Kerjasama tiga pihak tambah bekalan tabung darah HSNZ

Oleh: Noraini Jusoh

Kesedaran masyarakat di negeri ini khususnya mengenai kepentingan menderma darah masih kurang apabila hanya sebilangan kecil tampil ke hadapan untuk menunaikan tanggungjawab itu.

Menyedari akan hal tersebut, mendorong Malaysia Airports dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dun Seberang Takir dan Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mengadakan Program Derma Darah bertujuan menambah bekalan tabung darah hospital berkenaan.

Pengurus Malaysia Airports, Dr. Ahmad Ramli Mahmud berkata, kurang pendedahan mengenai perkara itu antara punca masyarakat tidak menyedari akan pentingnya menderma untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Masyarakat kita belum terdedah dengan kepentingan menderma terutama derma darah dan organ. Tidak seperti masyarakat Barat yang sudah ditanam dengan kesedaran tersebut sejak kecil sehingga mereka menganggap pendermaan ini sebagai satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan.

"Justeru, pihak kami mengambil inisiatif ini untuk memberi pendedahan kepada orang awam sekaligus menerapkan satu tanggapan positif terhadap kelebihan dan kepentingan menderma darah," ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, bekalan darah semakin berkurangan berikutan penggunaannya yang semakin meningkat terutama untuk kegunaan kes kemalangan, hemophilia, anemia dan thalesemia.

Beliau berharap lebih ramai sukarelawan akan tampil untuk menderma darah sekali gus menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

Sementara itu, Pegawai Perubatan, Dr. Nurul Nadhihah Adam berkata, kebanyakan sukarelawan yang tampil menderma adalah daripada golongan pelajar universiti yang lebih kesedaran dan pengetahuan mengenai perkara itu.

"Kebanyakan masyarakat berpendapat menderma darah akan menaikkan berat badan dan menjadikan badan kurang sihat.Disebabkan itu, tidak ramai mahu mengambil risiko yang dipercayai bakal memudaratkan mereka.

"Justeru, melalui pembacaan dan pengalaman daripada mereka yang pernah menderma darah amat perlu untuk mengubah pandangan negatif ini," katanya.

Tambah beliau, penderma sukarela yang datang ke hospital pada setiap hari hanya antara 10 hingga 20 orang dan bilangan itu perlu ditingkatkan bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.

Program derma darah tahunan yang bermula sejak 2009 itu dijangka akan disertai lebih 100 orang awam pada kali ini.

Selain program derma darah, turut diadakan kempen saringan kesihatan, pameran, dan taklimat mengenai keselamatan dan kesihatan daripada agensi yang terlibat antaranya Unit Kebombaan, Unit Keselamatan, Unit Operasi dan Kejuruteraan Lapangan Terbang serta Pejabat Kesihatan Daerah Marang.