Halaman

03 July 2013

Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2013 jadi medan persaingan atlet marathon dunia

YB ROZI MAMAT
Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu sekali lagi menjadi lokasi tumpuan atlet marathon dunia apabila Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2013 bakal dilaksanakan pada 28 September ini bagi tahun kedua berturut-turut selepas menyepi selama 14 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan sumber manusia negeri, YB Rozi Mamat, berkata selepas kejayaan penganjuran tahun lalu, kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Olahraga Amatur Terengganu akan terus mengekalkan tradisi kejohanan antarabangsa itu pada tahun ini.

 “Kami yakin kira-kira 8,000 peserta tempatan dan luar negara, termasuk Thailand, Singapura, Indonesia, Afrika Selatan dan Indonesia dijangka menyertai larian ini jika dibandingkan 5,000 penyertaan keseluruhan tahun lalu.


“Hadiah keseluruhan yang ditawarkan cukup lumayan iaitu kira-kira RM200,000 di mana tempat pertama bakal membawa pulang RM24,000 yang juga bersamaan USD 7,500,” katanya di sidang media LAJSM 2013, di Hotel Meridien, Kuala Lumpur, kelmarin.

Hadir sama, Pegawai Daerah Marang, Haji A Rahman Che Ali dan Ikon orang kurang upaya, Cik Ras Adiba Mohd Radzi.

YB Rozi berkata, larian terbahagi kepada beberapa kategori iaitu kanak-kanak, pelajar sekolah, dewasa, Orang Kurang Upaya (OKU) dan terbuka antarabangsa termasuk empat kategori baru untuk peserta antarabngsa lelaki dan wanita (42 kilometer (km)), kategori OKU (kerusi roda terbuka) (7 km) dan kategori Family Run (3 km).

Kategori yang dikekalkan, terbuka lelaki Malaysia dan terbuka wanita Malaysia; terbuka veteran lelaki (21 km); terbuka veteran wanita, tertutup lelaki Terengganu,  tertutup wanita Terengganu ,  tertutup veteran junior lelaki dan tertutup veteran senior lelaki (10km).

Lain-lain, sepanjang tujuh km, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lelaki dan IPT wanita ; pelajar sekolah senior lelaki dan pelajar sekolah senior wanita; pelajar sekolah junior lelaki dan pelajar sekolah junior wanita serta OKU (kerusi roda hospital).

 “Kerajaan negeri sentiasa merancang dan memberi peluang kepada pelbagai pihak yang gemar dan aktif dengan acara larian seperti marathon supaya turut serta, malah pada masa yang sama juga tidak lupa  mengiktiraf penglibatan golongan OKU bagi menyemarakkan lagi kejohanan tahunan ini.

“Pihak kami serius menganjurkan larian antarabangsa yang menghimpunkan pelari marathon seluruh dunia ini kerana ia bukan saja mampu mencungkil bakat-bakat baru, malah mampu memperkenalkan keindahan dan keistimewaan Terengganu kepada pelancong asing sempena Tahun Melawat Terengganu 2013,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini penganjur sudah menerima lebih 50 penyertaan dari luar negara termasuk Indonesia, Thailand, England, Singapura dan Filipina.

Beliau berkata, penganjur turut mensasarkan 8,000 peserta akan menyertai kejohanan yang akan bermula di Taman Awam Batu Buruk, jam 7 pagi dan berakhir di lokasi yang sama itu, pada tahun ini.

Tarikh tutup penyertaan pada 28 Ogos ini, di mana sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi :

 Sekretariat Larian Jambatan Sultan Mahmud,
 Majlis Sukan Negeri Terengganu Jalan lapangan Terbang, 
 21300 Kuala Terengganu
 Talian : 09-6672577/ 6672578 samb 131 014-6064494 / 014-6084494 
 Laman web www.marathon.terengganu.my