Halaman

01 July 2013

Perkaya bakal tubuh PEC

Oleh: Noraini Jusoh

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) cawangan Kuala Terengganu komited dalam membantu anak yatim negeri ini celik al-Quran.

Pengerusi Perkaya cawangan Kuala Terengganu, Haji Yusof Abd. Karim berkata, selain Taman Pra Tahfiz Perkaya yang terletak di Kampung Beladau Kolam, sebuah lagi pusat pembelajaran ilmu al-Quran dijangka akan di bina di Teluk Pasu.

"Setakat ini, ia masih dalam perancangan tetapi sekiranya tiada sebarang halangan, kerja-kerja asas pembinaan bangunan Perkaya Excellent Center (PEC) akan dilaksanakan tahun hadapan.

"Program ini diharap mendapat sokongan dan bantuan daripada kerajaan negeri serta Perkaya sendiri dan kos pembinaan PEC dijangka dalam lingkungan RM500,000,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Teganukita di Majlis Sumbangan Pakaian Raya Anak Yatim Sekolah-Sekolah Daerah Kuala Terengganu 2013, di Kompleks Seri Iman, baru-baru ini.

Katanya, apabila siapnya pusat ini nanti, anak-anak yatim akan dikumpul pada hari Jumaat dan Sabtu di pusat berkenaan untuk belajar al-Quran.

"Ia berkonsepkan seperti pusat tuisyen di mana memerlukan ibu atau penjaga sendiri menghantar anak-anak yatim ini ke PEC.

"Walau bagaimanapun, pihak kami juga akan menyediakan pengangkutan bagi mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Tambah beliau, sepanjang berada di sana dari pagi sampai petang, makan minum akan disediakan untuk anak-anak yatim tersebut.

Katanya, program ini merupakan projek terbaru dalam perancangan Perkaya cawangan Kuala Terengganu.

"Saya mengharapkan cawangan-cawangan lain akan sama-sama berusaha menubuhkan PEC di setiap daerah supaya anak-anak yatim negeri ini mempunyai tempat yang selesa untuk belajar al-Quran,” ujarnya.