Halaman

02 July 2013

Sokongan dengan keputusan BN Pusat

Oleh: Suriati Ali

Pemimpin Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) seluruh Terengganu bersetuju dengan keputusan Barisan Nasional (BN) Pusat yang melantik Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

 Tan Sri Muhyidin akan dibantu Ketua UMNO Bahagian Besut Dato’ Seri Idris Jusoh sebagai Timbalan pengarah (PRK) itu bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

 Dato’ Idris Jusoh berkata DUN Kuala Besut merupakan kubu kuat BN dan Allahyarham berjaya meraih majoriti lebih 2,400 undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Kita yakin dapat mempertahankan DUN Kuala Besut, di peringkat bahagian Besut akan membuat persiapan rapi dari segi jentera pilihan raya,” katanya yang juga Menteri Pendidikan II.

Menurutnya, jentera pilihan raya BN peringkat negeri dan pusat akan bekerja keras bagi mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut.

 “Saya cukup kenal rakyat dan amat memahami kawasan ini…biarkan pakatan pembangkang mahu cakap apa saja, yang penting rakyat tahu jasa BN dan saya cukup mengenali rakyat DUN Kuala Besut.,” katanya

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Terengganu, Encik Saiful Bahari Baharuddin, berkata dia yakin gandingan mantap kedua-dua pemimpin itu mampu beri yang terbaik kepada rakyat Kuala Besut.

 “UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memperkuatkan jentera pilihan rayanya bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada pilihan raya kecil yang bakal diadakan.

  “Pengundi di DUN Kuala Besut, menaruh harapan besar BN kekal di kawasan itu kerana masih banyak projek pembangunan untuk golongan nelayan termasuk di Pulau Perhentian akan dilaksanakan kerajaan.,” katanya

 Dr A. Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu pada pukul 10.18 pagi akibat kanser paru-paru. Allahyarham merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri.

Pada PRU-13, 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi itu setelah mengalahkan calon Pas Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 17 kerusi, Pas menguasai 14 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat satu kerusi.