Halaman

03 July 2013

Yayasan Terengganu hargai komitmen kakitangan

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 28 kakitangan Yayasan Terengganu diraikan dalam satu majlis dan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebagai menghargai usaha, pengorbanan dan komitmen mereka berkhidmat dengan jabatan berkenaan.



Penerima anugerah APC yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2012 masing-masing membawa pulang Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan wang tunai sebanyak RM1000.

14 daripadanya turut menerima Insentif Lama Berkhidmat dengan mendapat hadiah tambahan sebanyak RM1000 dalam bentuk Sijil Simpanan Premium, Bank Simpanan Nasional (BSN) yang disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah, di Primula Beach Hotel, semalam.

Penerima anugerah, Dr. Hashim Azmi Che Noh yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Yayasan Terengganu berkata, anugerah tersebut berbaloi dengan segala sumbangan beliau yang telah berkhidmat selama 20 tahun 9 bulan dengan jabatan itu.

"Selama bekerja dengan Yayasan Terengganu, saya pernah beberapa kali menerima anugerah APC dan saya menyokong sepenuhnya usaha jabatan dalam menghargai kakitangan dengan mengadakan majlis sebegini,” ujarnya yang turut menerima Insentif Lama Berkhidmat.

Suffianah Jalaluddin yang bertugas sebagai Penolong Pengarah pula melahirkan perasaan gembira kerana usahanya selama ini dihargai dan disenaraikan sebagai salah seorang penerima APC.

"Saya bersyukur dengan anugerah ini dan mengharapkan ia akan menjadi pendorong untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang di jabatan ini,” ujar ibu kepada lima orang anak ini.

Bagi Mohd Zaid Abdullah yang menerima APC dan Insentif Lama Berkhidmat menyatakan rasa syukur kerana anugerah tersebut merupakan kali kedua diterimanya setelah hampir 35 tahun bekerja di Yayasan Terengganu.

"Perasaan saya sungguh gembira kerana segala komitmen yang diberikan kepada jabatan selama ini dihargai,” ujarnya yang merupakan kakitangan sokongan di jabatan terbabit.