Halaman

15 August 2013

Ketua Puteri tujuh bahagian akan bertukar tangan

Oleh; Esah Abdullah 

Tujuh daripada lapan Ketua Pergerakan Puteri Umno bahagian di negeri ini bakal bertukar tangan dalam pemililihan jawatankuasa parti yang akan diadakan serentak di seluruh negara pada 12 Oktober depan.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Perhubungan Terengganu, Puan Nordiana Shafie berkata, perkara ini tidak boleh dielak kerana kesemua tujuh ketua puteri sedia ada sudah melebihi umur.

“ Rata-rata penyandang sekarang memegang jawatan ketua sejak mula ditubuhkan pada tahun 2000,” katanya kepada Teganukita hari ini.

Katanya, hanya Ketua Puteri Kemaman iaitu Puan Asfalinda Anuar masih dalam lingkungan usia puteri manakala Ketua Puteri Besut, Che Senah Che Sulaiman; Setiu, Puan Rosnari Awang Ngah; Kuala Nerus, Puan Aida Azam; Marang, Puan Marina Endut; Hulu Terengganu Puan Zarina Abdul Rahman dan Dungun, Puan Aziahwati Abdullah sudah berusia melebihi 35 tahun.

Oleh kerana pemilihan semua jawatan dalam parti tahun ini dibuat secara terbuka, beliau mengingatkan perwakilan Puteri agar dapat memilih pemimpin yang berkaliber , berilmu serta komited terhadap tanggung jawab yang diamanahkan.

Katanya, beliau tidak dapat meramalkan calon tertentu samaada dari kalangan jawatankuasa atau dari ahli biasa bakal menerajui pergerakan itu di peringkat bahagian sebaliknya akan menunggu proses pendaftaran calon yang berakhir pada bulan depan.

“Syarat bertanding semua jawatan dalam parti ialah mereka yang telah menjadi sekurang-kurangnya tiga tahun dan ini memberi peluang lebih luas kepada ahli parti merebut mana-mana jawatan dalam parti,” katanya yang juga Ketua Puteri Bahagian Kuala Terengganu..

Puan Nordiana seterusnya mengalu-alukan penyertaan ahli Puteri untuk menduduki mana-mana jawatan dalam parti asalkan ia dibuat secara profesional untuk mengukuhkan kedudukan parti serta membela nasib orang Melayu.