Halaman

23 February 2014

Ganjaran RM5,000 untuk pelajar cemerlang

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu memperuntukkan hampir RM700,000 sebagai ganjaran kepada 137 anak negeri yang memperolehi keputusan cemerlang di peringkat ijazah pertama di universiti dalam dan luar Terengganu, pada tahun ini.

Pelajar tajaan YT yang mendapat anugerah Pingat Emas YT 2013, iaitu Anis Raihan Asmadi  bersama ibu dan bapanya.
Setiap pelajar berkenaan memperolehi wang tunai RM5,000 sebagai insentif terhadap kejayaan mendapat Ijazah Sarjana Muda kelas pertama dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 ke atas.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib, berkata anugerah itu sebagai galakan dan juga motivasi kepada pelajar lain di peringkat sekolah menengah dan universiti supaya menghasilkan kejayaan yang sama dan lebih baik lagi.

“Anugerah ini menjadi pencetus motivasi supaya lebih cemerlang di peringkat universiti terutama pencapaian akademik dengan memperolehi kepujian atau PNGK melebihi 3.75.

 “Dari semasa ke semasa kita akan menaikkan PNGK ini bagi memastikan kecemerlangan pelajar Terengganu terus berada pada tahap tertinggi,” katanya di Majlis Penganugerahan Pingat Emas dan Sarjana Terengganu Yayasan Terengganu (YT) Kali ke-34, di Riyaz Heritage & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong; Ahli Parlimen Setiu, YB Che Mohamad Zulkifly Jusoh; Pengarah YT, Haji Azmi Razik dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Husin.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YT, Prof Dato’ Dr Aziz Deraman dan Timbalan Pengarah Pendidikan YT, Encik Razali Mahmud. Selain anugerah Sarjana Terengganu, dua pelajar turut mendapat anugerah Pingat Emas YT 2013, iaitu Anis Raihan Asmadi, dan Muhamad Hamdan Syafieq Ahmad, masing-masing berusia 19 tahun, selepas melakar kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2012 serta aktif dalam kurikulum di sekolah.

Kedua-dua pelajar berkenaan memperolehi ganjaran berjumlah RM7,000 seorang termasuk wang tunai RM5,000, pingat emas, seunit komputer riba dan sehelai kot.

Ghazali berkata, berdasarkan perkembangan semasa, kerajaan negeri berbangga dengan tahap kecemerlangan anak negeri berikutan wujud persaingan sihat di kalangan mahasiswa berkenaan untuk berlumba-lumba menghasilkan keputusan cemerlang dan memperolehi ijazah Kelas Pertama dalam pengajian mereka.

“Ia bukan semata-mata sekadar pengiktirafan tetapi bermatlamat untuk membangkitkan semangat supaya pelajar berkenaan mampu menjadi insan yang cemerlang serta apabila tamat pengajian kelak mampu menabur bakti dengan berkhidmat di negeri sendiri, satu masa nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Ghazali berkata, kerajaan negeri menjangkakan jumlah pelajar Terengganu yang cemerlang dan menerima Pingat Emas dan Sarjana Terengganu akan terus bertambah dari setahun ke setahun serta mencecah pembiayaan sehingga RM1 juta tahun depan.

Katanya, kerajaan bersedia untuk terus menganjurkan anugerah kecemerlangan dan pelbagai pengiktirafan lain supaya mampu menjadi nilai tambah kepada inisiatif untuk meningkatkan prestasi dan kualiti anak Terengganu di bidang pendidikan negara.