Halaman

19 February 2014

IMTIAZ KIJAL KEMAMAN, MB MENERUSKAN APA YANG BAIK UNTUK RAKYAT DAN NEGERI

Oleh: Ruslan AR

Perkara yang baik diteruskan, demikian Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said meneruskan sistem pendidikan Imtiaz yang diasaskan oleh Menteri Besar sebelum ini, termasuklah di Kemaman.



Kompleks Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Kemaman yang mula dibina dengan kos RM60 juta awal bulan lalu di Kijal (Beris Meraga) bakal siap hujung tahun ini (2013) mampu menampung 1,000 orang pelajar.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, penubuhan kompleks cawangan kelima sekolah berasrama penuh itu bagi menampung permohonan kemasukan yang meningkat saban tahun.

Teganukita difahamkan tahun ini, SMI menerima hampir 2,000 permohonan termasuk 600 dari luar Terengganu bagi mengisi 480 tempat tingkatan satu di lima cawangan iaitu SMI Besut, SMI Kuala Terengganu, SMI Dungun dan SMI Kuala Berang di Hulu Terengganu.

"Satu lagi cawangan iaitu Imtiaz telah beroperasi sementara di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun yang menempatkan 200 orang pelajar tingkatan satu dan dua.

“Dua lagi sekolah yang sama akan dibina di Setiu dan Marang bagi menjadikan setiap daerah mempunyai sekolah yang bersepadu antara kebolehan akademik dengan pengetahuan agama yang tinggi termasuk mampu menghafaz al-Quran " katanya di Kemaman baru-baru ini.

Beliau telah membuat lawatan tidak rasmi ke tempat pembinaan bangunan Imtiaz di Beris Meraga, Kijal bagi memastikan perjalanan pembinaannya mengikut jadual.