Halaman

18 February 2014

JHEAT sedia RM2.9 juta untuk masjid dan surau

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memperuntukan kira-kira RM2.9 juta bagi membina, membaik pulih dan melaksanakan pelbagai program pengimrahan masjid dan surau sepanjang tahun ini.

Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohd Rozali Saleh, berkata peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri itu turut dibelanjakan bagi bayaran elaun imam bilal, elaun penceramah, kursus dan membeli peralatan.

“Pihaknya terharu kerana kerajaan negeri memberi kepercayaan penuh dengan mengagihkan peruntukan besar kepada JHEAT bagi merancang perbelanjaan itu.

“Oleh itu, pihak berkaitan terutama jawatankuasa masjid, imam dan bilal, sewajarnya mengambil peluang ini sebaik mungkin supaya masjid di kawasan masing-masing aktif dengan aktiviti berfaedah.

 “Usaha itu penting, bagi menarik minat penduduk setempat terutama golongan muda untuk bersama-sama terlibat selain menanam minat rajin ke masjid untuk solat berjemaah,” katanya.

Katanya, dia tidak mahu lagi wujud sikap `berpuak-puak’ dan ada jemaah yang masih berpegang kepada fahaman politik ketika berada di masjid.

“Kita mengakui apa yang diperkatakan itu masih wujud di beberapa masjid di Terengganu dan sebahagiannya sudah ditangani secara berperingkat-peringkat.

“Mana-mana masjid yang masih bermasalah, akan diselesaikan secara bijaksana dengan memanggil dan berbincang dengan jawatankuasa berkaitan..

“JHEAT serius menangani perkara itu kerana tidak mahu perkara negatif masih dibawa ke masjid sehingga boleh merosakan hubungan persaudaraan antara umat Islam,” katanya.